Wednesday 29 February 2012

KERINDUAN INI....



Bumi telah beratapkan bintang
Keindahan alam telah tertelan petang
Kesunyian turut melingkupi jua
Menebarkan rindu di dalam jiwa

Resah datang menghampiri
Melukiskan indah wajahmu
Diwarnai dengan senyuman
Dihias dengan nyanyian lembut suaramu

Andaiku jumpai seekor merpati
Kan kuterbangkan tuk mencari
Di manakah bumi nan kau pijaki
Dan kukhabarkan kerinduan ini

Kau yang di sana
Adakah isyarat kau sua
Tentang apa yang kurasa
Tentang gejolak di dalam jiwa

~mentari nur~

NIKMAT HIDUP DALAM ILMU YANG MELIMPAH



N-Nilai
I-Ilmu
K-Kepada
M-Manusia
A-Amat
T-Tinggi harganya.


H-Haruslah
I-Ilmu
D-Dicari
U-Untuk
P-Perubahan kehidupan.


D-Dengan
A-Amalkannya
L-Latihan
A-Akan
M-Menjadi mudah.


I-Ilmu
L-Lazimnya
M-Meningkatkan
U-Usaha untuk berjaya.


Y-Yang
A-Akan
N-Nikmati
G-Gemilang hidupnya.


M-Meningkatkan
E-Ekonomi
L-Lakarkan
I-Ilmu
M-Melalui
P-Penghidupan
A-Agar
H-Hidup Gemilang, Cemerlang dan Terbilang.


ss-z/spl/pr..29-feb-2012.



NASIHAT




Pakuku karat
untuk menyukat
bukan menyakat
hanya nasihat
ambil berkat
bermuafakat
fitrah akhirat.

ss-z/spl/pr..29-feb-2012.



‎~~SYAHDU~~~


GETARAN RONA
TERTUSUK TERTIKAM
RAPUH BERTAHTIH
TIRAI WAJAH
CAHAYA GELAM
GERIMIS....

TERSENTAK TERKEJUT
CAHAYA DALAM WARNA
TERCALAR PURNAMA
NALURI BERBISIK
SEBAK TANGISAN
GERIMIS.....

~BfAnna ♥♥♥


Gerimis Petang

rrrrrrrr: RETAK MUKA BULAN :rrrrrrr



Retak muka bulan
bila kau memanah racun bermadu
menyusur alur setia di muara sepi
apabila suara bertaut di penghujung rindu
malam tua pun berlabuh

retak muka bulan
di kala bulan mengambang sara
untuk apa kau mencium bara
menitip sirip linkungan metafora
di setiap bilah-bilah lara

retak muka bulan
semua berhenti mengejar detik
walau hatimu dan mataku bertitik
di bahu rajawali membelah api
tanpa ada rembesnya mentari

Namun retat muka bulan tetap bertepi
menampi sesudah jampi serapah
hanyut membadai sesampah
berdebu menghinggap di setiap celah

Kiriman puisi oleh :-
Lezaihasra Lm
besut,terengganu
29/2/2012...( 2.o2 pagi )

~ DIGAMIT MEMOIR SILAM ~



inginku seret rasa itu yang berpintal dengan ceritera silam
kan kukendong walau saratnya makin kekar
masih tak terlunas perasaan yang hangat
menyapa angan pada himpunan suram
menyentak jiwa pada mimpi yang nanar
sayap alpa pun terkirai

aduhai bulan
gamit apa yang kau serahkan pada gumpalan awan
membawa sarat hitam bersenandung
dan renyainya berdenyar
melimpah hanyirkan hati nan rawan
gelap menjadi kawan
ralit pun terpugar

bintang
kau rengkuhlah hitam yang berkabung
gemerlapmu kau cicahkan ke dada langit
aku ingin malamku meminjam sulur sinarmu
walau segaris cuma
akan aku teguk cahayamu
menjentik bayang kesumat jiwa
lantas mengalir wangian kelopak agra
melarut hanyir yang tersisa

engkau
intailah rasa ini
gundahnya telah lama meratap
keping-kepingnya telah lama melumat
menyingkap tiraian arca hati
nanti bisakah ketemui
tulus budi
pada kesejatiaan
yang hakiki

aku tinggalkan jajahan nurani
kelak kepinginku injak kembali
tiada jemu denainya menggamit
melayan esaknya bulan
merawat bintang yang rawan
namun....
terbelaikah hatiku
pada telunjuk rindu
yang membuai

♥ manja ♥
17:05pm
28~02~2012

PERJALANAN RINDUKU


Jauhku berjalan
merenung alam semesta
bertukar ke warna pelangi
memancar sinar syurga duniawi
begitu indah dan sempurna
mendamaikan jiwaku
yang sunyi dan sepi

Jauhku berjalan
mencari pada nama
mengenal diriku
bertanyakan pada hatiku
adakah aku untukmu
siapakah aku di sisimu
mungkinkah aku bukan untukmu
atau kau bukan untukku

Aku
merindui dirimu
mencari bebayangmu
di setiap sudut perjalananku
apa khabar kekasihku
adakah kau seperti aku
ada rindu di kalbu
merindui berbaris kata cinta
gurau senda dan seloka
walau hanya di tinta
terjalin sudah kasih mesra
dan saat itu indahku rasa ♥

Nukilan rasaAmirah Amir
28022012



SEMALAMKU


Semalam telah berlaku
biarkanlah ianya pergi berlalu
berseteru
terharu
terkedu
memilu
terpilu
melesu
membiru
di angin lalu
bersama sebak di dadaku.

Hari ini kubuka hijapku
kubukakan juga palang di muka pintu
buat menerima catatan bukuku yang baru
kisah kita, yang baru
kisahku dan juga kisahmu
bergenggaman jejariku, tanganku; tanganmu
tangan kananku bergenggaman erat tangan kirimu.

Berlapang di dadaku yang mula rasa terharu.

ss-z/spl/pr..29-feb-2012.




Tuesday 28 February 2012

TING TING TING TING


Ting tak keting tang ting
tak keting tang ting...

penaku juga berdenting
menghala ke lorong keting
bagaikan menggiling
terguling
dan tertongging.

Ting tak keting tang ting
tak keting tang ting...

sesekali berpusing
melekat di dinding.

penaku dan penamu
berjalan seiring
tidak menjuling. 

TING TING TING TING...

ss-z/spl/pr..28-feb-2012.






INGATLAH WAHAI ORANG MUDA


Apa nak jadi?
Dengan dunia masa ini
semakin maju  negara
semakin majulah pula rakyatnya
semakin kaya negara
semakin kaya juga rakyatnya.

Tapi!...Dalam kaya rakyatnya
semakin miskin akhlaknya pula
semakin tinggi didikan di beri
semakin terkurang ajarlah, pulanya.

Kurang ajar!
Ya...kurang ajar
sesungguhnya yang amat kurang ajar.

Semakin tinggi pelajarannya
semakin bertingkat-tingkat pula sombongnya
dan semakin berani pula menghina-hina.

Semakin berani?!...Memang berani!
Orang yang lebih tua darinya
yang selayak-layaknya di panggil bapak
yang sebaya pula umur bapaknya!
...
...
diherdik; dimaki
dihina; dicerca
dikotak katikkan
diseranah bodoh
yang mengguris hati dan perasaannya.

Ingatlah!
Pepatah pernah berkata; katanya!

'Yang tua di hormati, yang muda di sayang, di sanjungi'

Dunia ini bulat 
sahabat
tidak berlipat!

Dunia ini umpama sebiji tayar; pergerakannya
berpusing-pusing akan paksinya
sekejap di atas, sekejap pula di bawah
tempatnya...
jadi janganlah kita terlupa; teralpa, mendabik dada
kerana pepatah juga ada berkata-kata...

'Tiada yang tua, tiadalah yang muda'

Hari ini kita muda, sihat; perkasa
hari esok kita pasti sudah tua seharinya
entah sihat entah sakit mendatangi kita
entah hidup entah mati kita di dunia.

Janganlah pula bila kita meninggalkan dunia
dengan membawa dosa
yang tidak terduga...
dosa menghina sesama manusia
dosa menghiris hati dan perasaan
si orang tua...yang dikatakan bodoh
hanya kerana mahu
mempertahankan
soal akidah
dari dipermainkan
oleh agama lainnya.

Kelak nanti lewat pula kita
dapat menghidu bauan, wangian syurga
di negeri akhirat sana.

Ingatlah lima perkara sebelum datangnya pula yang lima.

ss-z/spl/pr..28-feb-2012.


BULAN DAN BINTANG



Aduhai bintang!
Kenapalah hatimu terasa?
Hanya kerana pungguk rindukan bulan
tidak pungguk rindukan bintang.


Aduhai bintang!
Kenapalah iri, rasa hatimu?
Hanya kerana bulan di sebut purnama
tidak pula bintang purnama.


Aduhai bintang?
Kenapalah malangnya nasibmu?
Selalu di sebut orang si bintang malang
tidak pula bulan!...Disebut-sebut, si bulan malang.


Tapi bintang!...Dalam terasa hatimu itu
dalam iri, rasa hatimu...dalam malangnya nasibmu
ada juga gah pada namamu; kerana!
Namamu diguna seantero dunia
disebut-sebut sebagai bintang raksaksa.


Tidakkah gah di hatimu itu?
Aduhai bintang!


ss-z/spl/pr..28-feb-2012.



Monday 27 February 2012

MAZHAB


Mazhab
berkitab
bukan meratip; meratap
bukan memilih yang mana untuk ditatap
bukan memilih yang mana kita nak hadap.

Selagi kita mendakap
sunah Rasul dan kalam Allah yang ditetap
kita pasti seorang yang bermazhab
mengikut fatwa ulama negara yang kita menginap.

Tak suka pergilah menetap
di negara mana yang tidak BERMAZHAB.

ss-z/spl/pr...27-feb-2012.




FATWA PUJANGGA



Hujan emas di negara orang
hujan batu di negara aku
usah berbangga budaya seberang
apa kurangnya budaya Melayu.

Berakit -rakit kita ke hulu
berenang-renang kita ke tepian
berlajar sempurnakan tatabahasa dahulu
sastera tersanjung mertabatkan impian.

Malu bertanya sesat perjalanan
mundar mandir masih di situ
kalau rasa tak boleh keteguran
angkatlah kaki di situ ada pintu.

Pintu bukan sebarangan pintu
pintu keluar terpampang selalu
begitulah adat orang melayu
bersopan santun amalan yang jitu.

Fatwa pujangga fatwa berwarna
mewarnai hidup mencakna ilmuan
fatwa ulama tersanjung diguna
jangan sesiapa memandai duluan.

Ke kanan sepi ke kiri sunyi
mencari bunyi cengkerik bergema
maafkan aku jika terasa hati
hanya pesanan dikongsi bersama.

ss-z/spl/pr..27-feb-2012.

KUALA LUMPUR



Kuala Lumpur
kau aman dan masyhur
wilayah maju tanahmu juga subur
rakyat hidup makmur
berbudi luhur.


Kuala Lumpur
kualamu keruh penuh berlumpur
tempat lahirnya aku, membesar dan berumur
bersantai dan berjemur
merembes peluhku penuh luhur
dan penuh rasa bersyukur.


Keranamu Kuala Lumpur
aku kenal erti hidup berkelemumur
erti pelacur dan si pisaucukur
erti manusianya yang riak, taksub dan takbur
yang asyiknya saling bertempur
mahu melihat kamu hancurlebur dan mundur.


Kuala Lumpur
kupanjatkan doaku penuh rasa bersyukur
keranamu Kuala Lumpur
aku menjadi salah seorang pelupur
dan warga setiamu...oh!...Kuala Lumpur.


ss-z/spl/pr..27-feb-2012.




MAAFKAN AKU TEMAN



Teman!


Ingatkah lagi kamu?
Akan kata-kata kamu sendiri!
Yang engkau akan menghargai persahabatan kita!
Walau apa jua yang mendatang!
Walau apa jua yang terjadi!
Persahabatan kita
akan tetap utuh terbina
kekal buat selama-lamanya.


Teman!
Inginku...inginku ucapkan kepadamu
di sini...di waktu ini...dan...di saat ini,
sebuah ucapan terima kasih
yang tidak terzahir
hanya dari kata-kata!
Di atas ikatan persahabatan!
Di atas sebuah ikatan kasih sayang
yang pernah kita bina bersama.


Dan di sini juga teman!
Inginku ucapkan ribuan...bukan...bukan!
Bukan sekadar ribuan!
Malahan jutaan ucapan...ucapan terima kasih
yang tidak terhingga kepadamu, teman.
Kerana engkau!
Engkau sendiri yang telah memutuskan 
ikatan persahabatan kita; berdua.


Hanya kerana! 
Aku tidak dapat melayan...melayan kehendak dan kemahuanmu.


Hanya kerana!
Aku tidak dapat menerima cintamu; seadanya.


Hanya kerana!
Aku tidak dapat menyintai dirimu...seperti yang engkau mahukan.


Maafkan aku teman...seandainya
aku banyak melukakan hatimu.


Maafkan aku teman...seandainya juga
aku banyak menyakitkan hatimu.


Sehingga engkau membuat keputusan
membuang aku, dari senarai teman; mukabukumu.


Maafkan aku!
Bekas...teman kesayanganmu.


ss-z/spl/pr..27-feb-2012.



KOLAM RINDU BERKASIH


Berdiri aku di sini
di kolam rindu; kasih

yang sunyi; sepi
hanya mampu menyeru
dan berseru...memuja

bayangan dirimu
tanpa pegangan; berpaksi
hanya kelam sebagai saksi
kocakan kasih ini

yang suci dan sejati
di dalam tasik cinta murni
merindu bayangan,

bayangan cinta semalam
kerana aku; kekasih...!

Aku masih menyayangimu

aku masih menyintai dirimu
masih memujamu,
kekasihku.


ss-z/spl/pr..27-feb-2012.


Sunday 26 February 2012

HANYA KAMU



Sayang
di sebalik tabir tirai malam
termanggu aku bersendiri
mencari erti rindu ini
yang semakin mencengkam hebat

kuat di tangkai hatiku
yang semakin nazak
hanya kerana kamu

sayangku.

Sayang
malamku rawan; pilu
malamku gersang; rindu
malamku hilang; kamu.

Ya...sayang!
Hanya kamu...hanya kamu
dambaan; jiwaku
dambaan; hatiku
dambaan; kasihku
dambaan; cintaku.

Tanpamu, aku sepi
tanpamu, aku rindu
tanpamu; siapalah aku.

Hanyalah kamu...sayangku!
Segalanya untukku.



ss-z/spl/pr..26-feb-2012.



BILA HATI BERTASBIH


Ketika hatiku merintih
menahan pedih
jiwaku letih
kepada Tuhan Yang Maha Pengasih
hatiku bertasbih
memohon sesuatu yang tidak lebih

hanya pinta dikasihi; kekasih,
agar laraku hilang; sedih,
semuga tenang jalananku; walaupun bertatih.



ss-z/spl/pr..26-feb-2012.


GURINDAM KASIH HATI KERESAHAN


Lautan luas tiada penghujung
airnya biru langit bersambung
bagaikan ombak tinggi menggunung
membelah dunia tiada terhitung.

Keresahan hati bagaikan hilang
melihat keindahan bukan kepalang
cantik pemandangan dunia kupandang
secantik mahligai di atas kayangan.

Tapi mengapa hatiku tersentuh
melihat bahtera banyak berlabuh
bagai bersarang perasaanku luruh
mencari sang puteri cantiknya sungguh.

Adakah hatinya seperti hatiku
saban hari merindu padaku
memendam rasa hati terpilu
tercucuk duri sakit mengilu.

Wahai kekasih wahai manjaku
ke mana hilangnya bayangan dirimu
mungkinkah engkau meluat memandangku
hingga hilang perasaan rindumu. 



ss-z/spl/pr..26-feb-2012.


Saturday 25 February 2012

TERIMA KASIH SAYANG


Terima kasih sayang
kerana kau menghilangkan rinduku
rindu yang telah lama bertamu
rindu yang selalu meresahkan jiwaku.

Sayang...
hanya dengan bisikan merdu suaramu
bisikan dari suaramu ke telingaku
segalanya terlerai sudah dibawa bayu
berlalu bersama derai tawamu.

Sayang...
saat ini dunia milikku
saat ini bahagia milikku
kerana kini baru aku tahu
yang engkau telah menjadi milikku.

Terima kasih Sayang
terima kasih kerana hadiahmu itu
hadiah yang amat bermakna buatku
hadiah yang menjadi tanda,
tanda percayanya kamu padaku

tanda cintanya kamu terhadap diriku
yang akan aku simpan

seumur hidupku.

Sayang...
mungkin tidak engkau sedari
bertapa bermaknanya hadiahmu itu kepadaku
hadiah yang merialisasikan impianku
dan mengilhamkan rindu di dalam kalbuku
yang engkau turut menyintai dan merindui aku.

Terima kasih Sayang

engkaulah kekasih hatiku yang aku rindui selalu.


ss-z/spl/pr..25-feb-2012.


DAHAGA RINDUKU


Rindu...
kau menyapa; hiba
kala siang; tiba
dalam pelukan badai; asmara
yang 
semakin menghilang; buta 

bersama titisan embun; asa
yang membantai jiwa; meronta.

Dahaga...

memerit di kerongkong haus; cinta
mengharap setitik air; cuma
dari telaga kasih sayangmu; cahaya
yang terbias indah; asmara
dek bahang mentari; bara
yang mematri janji dan sumpah setia; cinta kita.

Dahaga;
: Cinta, Cuma, Cahaya, Asmara, Bara, Cinta kita.


Rindu;
: Hiba, Tiba, Asmara, Buta, Asa, Meronta.


Dahaga rinduku padamu, sayangku.

ss-z/spl/pr..25-feb-2012.


BERBICARALAH ALAM AKAN RINDUKU


Berbicaralah angin
berbicaralah kamu wahai bayu
bicaralah tentang laut yang biru
dan kau bicarakanlah tentang samuderamu

yang ganas menghempas.

Berbicaralah laut
berbicaralah samudera
bicaralah tentang pantai rindu
dan kau bicarakanlah tentang pasirmu

yang sendu sering termangu.

Berbicaralah pantai rindu
berbicaralah pasir sendu
bicaralah tentang muara kasihmu
berbicaralah tentang kualamu

yang menjadi saksi akan sayangmu.

Dan akhirnya...


Berbicaralah muara kasihmu
berbicaralah kuala sayangmu
kau hidangkanlah pula

di hadapan kekasihku
tentang bicara kalbu
tentang bicara rindu
dari hatiku yang berbicara tentang kasih
dan kalbuku yang turut berbicara tentang cinta
bahawa aku juga sepertinya yang sentiasa merindu,
merindui saat yang pastinya akan datang bertamu
saat bila dua hati bersatu menjadi satu

di dalam bahtera beradu.

Teman...

kaulah kekasih, kaulah kesayanganku
cinta dan rinduku hanyalah milik kamu
dan selamanya menjadi milikmu
sehingga tiba saat dan waktu itu; engkaulah kekasih pujaanku.



ss-z/spl/pr..25-feb-2012.


SEMALAM MEMBAWA ESOK


Semalam kau datang bersama embun pagi
membawa riang dan bahagia bersamamu
yang berbunga indah mekar dan mewangi
membuat aku terlena di perdu dakapan rindu.

Hari ini kau bisikan rindumu padaku
bersama sendu tangisan yang bernoda di hati
menyatakan kasihnya dirimu akan aku
bersaksi nukilan kasih suci bertautan murni.

Esok tubuhmu tidak akan aku lepaskan
remangnya fajar menjadi saksi perbuatanku
bibirmu bertautan dan bibirku kegersangan
membogel kita di remang cahaya mentariku
membelangkas erat bersatu dirimu milikku.

Semalam, hari ini dan esok kekal abadi di hatiku.



ss-z/spl/pr..25-feb-2012.


Friday 24 February 2012

BALADA CINTA SEMUSIM




Lagu cinta
mendayu rindu
menyemai hasrat
hati terbuku
yang membeku
di jiwa berkalbu
bagai
BALADA 
si pohon Rhu 
yang bersatu
menyeru
dan memburuku.


Aku terkulai layu dalam dakapan rindumu.


ss-z/spl/pr..24-feb-2012.