Saturday 30 June 2012

ANGGUK-ANGGUK


Di satu lubuk
aku terlihat satu susuk
terbongkok-bongkok
tangan mencedok
menggosok
mengocok
sedang meliuk
sambil jejari mencucuk
sambil menekan dia menunjuk
lagaknya seperti menunjuk-nunjuk
tak reti untuk menyorok
terangguk-angguk sambil merokok.

Adoi! ... aku tak reti nak memujuk.

ss/spl/pm ... 1/7/2012.



JALAAN BASAH


Puas kutebar jalaku ini
namun tiada yang mengena
tiada apa yang tersangkut di jala
tiada apa yang terjerut kata
hanya keluhan menemani asa
kudratku juga kehabisan kuasa
berputus asa lagak gayanya
keletihan kian menghambat rasa
menebar jala di lautan maya
jala kutebar kebasahan bucunya.

Ahh! ... mengarut rasa-rasanya.

ss/spl/pm ... 30/6/2012.



KARANG DI HATIKU


Deburan ombak
membantai pantai
mengalun resah
lagu alam
menyapa kejam
pantai rindu
aku yang layu
kian terpaku
terpasak tumitku
bersalutkan
karang yang berbatu
kaku di jiwaku kala rindu datang bertamu.

Ahh ... aku amat merindui kamu.

ss/spl/pm ... 30/6/2012.


KEKWA


Mekarmu indah si bunga kekwa,
Bagai merpati tinggi di awan;
Hilanglah resah rindu di jiwa,
Bila menatap wajah rupawan.

Hujan menyiram langit kegelapan,
Berderuan hujan debuan dibawa;
Sudah menjadi resam kehidupan,
Memandang sepi si bunga kekwa.

Simpatiku tertuju kepadamu si bunga kekwa.

Ss/spl/pm … 30/6/2012.

MENCARIK MIMPI


Menyapa rindu di angin lalu
membelai resah jiwa dipalu
mencongak sunyi sendu berlagu
menongkah lembah kasih diseru
meredah lurah kian berhantu
mendongak langit matinya bayu
menampar sepi di lantai baldu.

Mencarik mimpi kalbu merindu.

ss/spl/pm ... 30/6/2012.

MERAH


Menusuk hati
membujuk mimpi
mendesah kalbu
menggamit rindu
memori bertamu
kau dan aku merindu
berdakapan lesu
di angin lalu.

Mainan cindai ratapan mempelai.

ss/spl/pm ... 29/6/2012.

senryu


menurut kitab
serangan angin ahmar
ludahan syaitan.

ss/spl/pm ... 29/6/2012.

SENJA ITU


Telah berlalu
tidak akan kembali lagi
dan kini
telah menjadi lipatan sejarah lalu
hanyalah sendu
mengiringi igauan malamku
kembaraku yang layu
dihimpit pilu memori bersamamu.

Sendu yang berlalu kini bersatu senja nan pilu.

ss/spl/pm ... 29/6/2012.

KOLAM RINDUKU


Renanglah sayang
berenanglah sebebas mana kemahuanmu
sebebas mana mahunya renanganmu
kerana kebebasan itu milikmu
kerana pintu kebebasan itu telah pun terbuka untukmu
berenanglah kamu sebebasnya di lautan rindu
mahupun bebas berenang di lautan kalbu
cuma janganlah kamu sayangku
janganlah kamu berenang di lautan cemburu
yang penuh debu dan jerebu
berbarakan api dan abu dari debuan palsu
dan berlarvakan akan ludahan hawa dari nafsumu.

Dan kini sayangku! ... ,
cubalah kamu renangi pula kolam dari takungan rinduku.

ss/spl/pm ... 29/6/2012.

Segarmu Meredup Hatiku


Sedetik aku rebah engkau bangunkan
sedetik aku tersinggung engkau damaikan
siraman air penawar dari luhur hatimu
penawar segala duka deritaku
penyembuh segala seka di batinku
hadirmu menyejuk iman di kalbuku
agar aku bisa hadir selalu di samping
menemani menggagasi satu kiblat yang sama
dingin pawanamu menongkat sendi-sendiku
biar kuat meneguh kupastikan hadir saban waktu
dengan tiang yang lima berdiri gagah
aku si kerdil ini setia hadir menjiruskan hati
di saf belakang aku sujud menghambakan diri
bersama usapan kedamaianmu di setiap anggotaku
mengsyukuri dan mengharapkan keredhaanMu Ya Ilahi.

~~LK~~

SAYAP KAYANGAN


Cantik sungguh cantik
bagaikan dewi bidadari
duduk bersimpuh
kaki di tepi
bermain air di tepian kali
menyentuh lembut bersayapkan jari.

Sungguh sopannya
wajah cantik
gadis perawan
menjadi idaman pria hartawan
persis puteri dari kayangan
menyentuh kabut bersayapkan tangan.

Terpukau kalbu ... apabila jejarinya mengoles pipiku.

ss/spl/pm ... 29/6/2012.

CINTA SEUTUH KINABALU


Akan aku pertahankan sayang
memori cinta kenangan semalam
walau kabus datang menghalang
walau kabut tebal datang berhalang
pertahankan ... ,
tetap akan aku pertahankan
sehingga ke titisan
darahku yang terakhir
itulah janjiku kepadamu ... sayangku
usahlah engkau bimbang dan ragu
selagi bernyawa cintamu padaku
akan aku pertahankan cintaku terhadapmu
akan aku pertahankan rindu di kalbuku.

Kukuhnya cintaku bukannya dejavu di Kinabalu.

ss/spl/pm ... 28/6/2012.

MUSNAH


Sayang
sunyi bertahta
rindu bergelora
resah gelisah
menyiksa jiwa
jurang pemisah
menyeka asa
mencipta resah
di segenap arah
kudrat diikat
janji tersekat
kasih berbirat
sayang berjirat
cinta terlerai
hancur berkecai.

Musnah mutiara kasih
jatuhnya berkecai dan berderai.

ss/spl/pm ... 28/6/2012.

senryu


teras gaharu
ladang bersih terjaga
wangian alam

ss/spl/pm 28/6/12

Haiku(berbentuk Rengga)

Haiku(berbentuk Rengga)
(Bulan Syaaban)

Nisfu Syaaban

Solat fardu sahaja
Sunat bidaah.

Hindar bidaah
Pertengahan Syaaban
Solatul fardu.

Nisfu Syaaban
Membaca surah Yassin
Rahimatullah

ss/spl/pm ... 28/6/2012.
(jauhilah amalan solat sunat berjamah di malam Nisfu Jumaat kerana ianya akan mendekatkan kita dengan Bidaah)

SERULING SUMBING


Suria hening
subuh bening
langit gering
fajar menguning
hati kering
kalbu runsing
jiwa berkeping
rindu berpuing
kolek beroleng ke tebing berjaring
laut mengering di keting membunting.

Mendayu seruling bucunya sumbing.

ss/spl/pm ... 28/6/2012.

REZEKI DIHITUNG


Kolek kudayung
rezeki kuhitung
poketku kosong
kantung tergantung
tiada beruntung
lautku sombong
berdendang dan berdengung
perutku berkeroncong
leher terpancung
rezekiku masih aku hitung
menunggu si sotong takpun si ikan kembung
kolek kudayung di laut tergantung.

ss/spl/pm ... 28/6/2012.

AWAN BERARAK


Mendung tiba
melanda jiwa
hati sengsara
mencakar rasa
langit gelita
peneman duka
di kala mendung menyapa hiba
awan berarak tangisan gelora
di waktu senja menyuluh derita.

Tangisan sedih hati merintih pedih.

ss/spl/pm ... 28/6/2012.

KUCUPAN CINTA DI ANGIN SENJA


Masih aku terasa
kehangatannya asmara
dari kucupan bibirmu
yang lembut dan gebu
menyentuhi bibir gasarku
bertautan mesra kita
membelai rasa cinta
kau dan aku
berkucupan mesra di angin senja.

Bahang cinta kian terasa.

ss/spl/pm ... 27/6/2012.

SENDIRI MENYENDIRI


Menyendiri
di puncak sepi
sunyi menemani diri
membelai memori
melerai mimpi
tercarik duri ngeri
merindui kekasih hati
pergi tak akan kembali lagi.

Resah bersendirian ... sunyi menemani.

ss/spl/pm ... 27/6/2012.

PELABUHAN HATI


Senja di pelabuhan sunyi
menggamit memori
tatkala langit berkaca jingga suci
rinduku kembali
berperca di dalam sepi
menampar di tangkai hati.

Aku merindu lagi.

ss/spl/pm 27/6/12.


haiku


mentari terbit
sungai mengalir tenang
senyuman alam

ss/spl/pm ... 27/6/2012.

haiku


dedaun kering
penuh di atas jalan
ratapan alam

ss/spl/pm ... 26/6/2012.

SATIRA BERBUNGA


Pakai baju berbunga-bunga,
dipakai pula anak maniam;
wajah cantik tiada berguna,
kalau mulut terlebih asam.

Anak kucing berak sembelit,

terberak pula diatas cadar;
pelbagai ragam cara pembelit,
mencari mangsa separa sedar.

ss/spl/pm .. 26/6/2012.

SATIRA KASAR


Dah tak ada kerja lain gamaknya
asik menonggeng kerjanya
pagi menonggeng
malam menonggeng
sampai ke subuh pun asik menonggeng.

Menonggeng dan tertonggeng

ada jugak yang tertonggeng di tepi jalan nanti ni.

ss/spl/pm ... 26/6/2012.

SATIRA LEMBUT


Ish!! ... jangan diselak pelekatku
tengoklah lubangan di batikmu itu.

Besar lubangnya tu ... ngeri.


ss/spl/pm ... 26/6/2012.

SATIRA NAKAL


Hangat! ... kehangatan yang maxima
Pelukanmu menggila
Pelukan hangatmu itu mendera
Kehangatan batang tubuhmu itu berbara
Gebu dan menggiurkan namun berbisa
Menghangatkan malamku di dalam ribut berperca
Yang mengasyikkan namun mempunyai agenda
Melemaskan aku dalam rangkulan berpura
Menunggu masanya aku terleka
Sebelum engkau membedalku tanpa aku menduga.

Ribut yang kalut
Kalut menambahkan mengarut
Datangnya minta diurut
Datangnya minta diturut
Datangnya minta aku jadi pak turut
Urutan badan ke badan yang menggeliut
Licin dan licik bagaikan belut
Melingkar di badan tidak berselut
Hinggakan aku menurut tidak berbalut
Hanya tuala muka menutup anuku yang aku salut.

Ah!! ... karut!
Jangan nak mengarut!
Anuku bukannya belut
Yang engkau tangguk di dalam selut
Dan bukannya juga untuk engkau sedut
Bak siput sedut semahunya perut .

Aku bukannya pak turut!!!! ... .

Ss/spl/pm ... 26/6/2012.
(buat baik ada makna tu)

SATIRA HATI


Cuba kamu buka gobok dan laci kamu ini
Di sebelahnya tersergam indah almari bersendi
Dan kamu cari apa yang ada di dalamnya nanti
Mana tahu akan terjumpa apa yang kamu cari
Kerana gobokmu ini tidak pernah berkunci
Memang tidak pernah walaupun sehari
Memang tidak pernah dikunci walaupun sekali.

Terkangkang pintunya amat luas sekali
Mungkin ada toyol yang menjadi penghuni
Mencuri wang kamu berguni-guni
Tanpa kamu waspada dan berhati-hati
ada yang sembunyi dan tersembunyi
ada yang tersembunyi dan disembunyi
di dalam gobok dan laci almari tempat ianya bersembunyi.

Ataupun kamu lihat di dalam kocek kamu sendiri
Mana tahu tiris kantung sakumu, tirisnya di tepi
Yang kamu selitkan wang kamu secara sembunyi
Tanpa disedari dan tiada siapa yang menyedari
Sebelum kamu meminta-minta diberikannya lagi
Kerana sifat haloba kamu yang tidak terpuji
Dan sikap kikir kamu sendiri yang penuh iri dan hasad dengki.

Eh! ... cuba kamu lihat pula di dalam coli
Mana tahu ada daki yang berdaki tidak tercuci.

Ss/spl/pm ... 26/6/2012.
(sifat dan sikap suka memfitnah, menuduh, tamak haloba dan tidak pernah puas apa yang dimiliki)

haiku


mawar berkembang
di tangkai penuh duri
menggigit jari

ss/spl/pm ... 26/6/2012.

SAKITNYA AKU


Kudepangkan siku
Kuletakkan telapak tangan di kepalaku
Sambil menutup mataku
Merehatkan sejenak benak keletihan ngilu
Di pundak ubun-ubun lesu
Berdenyutan seribu
Sebentar ke kanan sebentar ke kiri ubun-ubunku
Yang semakin menekan kesakitan padu
Yang semakin menyebal otak letihku
Dan ketahanan ... ,
Ya! Ketahanan;
Ketahanan semakin berkurangan di dada sabarku
Untuk aku terus melawan dan bertahan dari arus deras yang datangnya menyerbu
Menderu bak deruan lumpur yang membanjiri dan menimbus tebal di dalam otak kewarasanku.

Sakitnya tidak tertahan olehku.

ss/spl/pm ... 26/6/2012.

ADUHAI


Ohh! ... di manakah?
Ishh! ... takkanlah!?
Ahh! ... biarkanlah!

Emmmm!! ... ya ... lah!


Oklah.


ss/spl/pm ... 25/6/2012.

haiku


di hulu sungai
tempat salmon bertelur
pusingan hidup

ss/spl/pm ... 25/6/2012.

MAIN-MAIN LATAH


Cuit mencuit amalan mulia
Ehh ... silap!

Hormat menghormati amalan mulia,

Usik mengusik mengukuhkan ikatan;
Kasih mengasihi sesama kita,
Kemakmuran dikecapi kerukunan persahabatan.

Hidup berjiran tingkatkan muafakat,
Kenal mengenali sesama saudara;
Pesan berpesan amalan bermasyarakat,
Kedamaian dikecapi kehidupan terpelihara.

Ekk! ... main cuit-cuit ya!
Kan dah melatah ni ... hik hik hik.

ss/spl/pm ... 25/6/2012.

KEHANGATAN TERCEMAR


Perlawanan semalam ada keanehannya
Bila penyokong bersorak sakan semahu hati mereka
Ada yang terpekik dan terlolong bersuara
Menyorak memanggil pasukan yang dipujanya.

Italy ... Italy ... Italy ... ,

laungan mereka
Bergema di stadium dan juga di warung mamak kaki lima
Mengimarahkan suasana Euro 2012 di kaca TV ketika penalti ditonton oleh semua.

Tak kurang hebatnya penyokong England melaungkan sokongannya
Apabila Wayne Rooney mengambil sepakannya
Bagai nak tercabut gegendang telinga gamatnya
suara penyokong yang menggila.

Tapi tiba-tiba suasana bening seketika
Keheningan subuh mula mengambil tempatnya
Rasa nak dibaling kerusi dan meja rasanya
Dalam riuhnya sorakkan ada yang hendak cari pasal pula.

Ada ke patut ... M.U ... M.U ... M.U ... ,
yang dilaungkannya.

Ss/spl/pm ... 25/6/2012.

KITARAN HIDUP


Adat yang kuat bermaharajalela
Disanjung dan dipuja
Dikasihi dan dicinta
Dibelai dan juga dimanja
Yang lemah pula matinya melata
Dibiarkan sahaja sekehendaknya
Kebuluran kian melanda
Lapar dan juga dahaga
Lemah dan tiada bertenaga
Dibiarkan sahaja di bucu sarangnya
Matinya tiada terbela
Matinya tidak diratap berhiba
Sejarah berulang tidak tersangkal kejadiannya
Tetap mendatang seperti diduga
Dari empat lahirnya
Dah tinggal tiga
Dan bakal menyusul kematian yang ke dua
Si ibu muda dengan anak-anaknya
Menyusukan hanya yang dua
Yang ke tiga pula dibiarkan sahaja maut menyapa tiba.

Sedih di pangkal hiba ... kitaran hidup tetap berleluasa.

Ss/spl/pm ... 25/6/2012.

BILA HATI BERTAMANKAN BUNGA


Serba serbi tak kena
Makan tak lalu tidur tak lena
Mandi tak basah hati meresah
Pendek kata semuanya ada
Rindu dan amarah
Sentiasa bergelora
Sehari tak mendengar suara
Tidak tentulah arah
Sehari tak bertatapan muka
Membawa jiwa yang parah
Sehari tidak bersapa
Aduhai ... adalah yang nak kena sumpah seranah
Macam-macam ada
Bila hati bertamankan bunga
Nafsu berserakah.

Parah-parah.

Ss/spl/pm ... 25/6/2012.

PUISI RINGKAS PERTANYAAN TENTANG CINTA


Bolehkah aku bertanya?
Kalau tidak keberatan menjawap pertanyaanku ini.

Cintakah kamu kepada diriku?


Itu sahaja pertanyaan dariku ... terima kasih.


ss/spl/pm ... 25/6/2012.

SATU PERTANYAAN DI HATI


Kenapalah sunyi sangat malam ini
seumpama selepas dilanggar garuda
menyingkap daerahku yang sunyi
hening suasana,
sunyi terasa,
bening kian menggila
hanyalah suara cengkerik berkerincing
semakin meruncing di jiwa
melagukan simfoni alam yang semakin menyinsing hiba
di waktu malam sepi gering berona
setelah bayuku bertiupan mati di muka
hanya sesekali berpuputan lembut
membelai pipi hatiku yang runsing berserabut jiwa.

Ahhh ... di mana budak-budak aku malam ini?
Di manakah minah-minah aku di malam sebegini?
Dan di manakah anaknda-anaknda dan adinda-adinda di ketika ini?

Mungkinkah terbungkang di dalam kamar ditutupkan jendela
atau memejamkan sahaja mata dan memekakkan telinga
membiarkan kerandut perut bergendang dan bertablakan musika
mengharapkan penyudah malam yang berbulankan gerhana
menunggu tabir malam disingkap birainya dengan kadar segera
agar dapat dicucuk kad bank mereka ... gaji dituai esoknya.

Ohhh ya! ... aku pun terlupa rupanya
yang esok mereka akan menuai hasil keringat yang tergendala
dan malam ini mereka mengikat perut sambil membuta
mengharapkan suria esoknya hilanglah gerhana
poket-poket kering dan gering di kantung saku mereka.

Dibutakan sahaja mata, telinga dan nafsunafsi perut mereka ... kasihan.

ss/spl/pm ... 25/6/2012.

haiku


helang mengendap
tebing sungai berlalang
renungan maut

ss/spl/pm ... 25/6/2012.

haiku


sekawan bangau
terbang di waktu senja
merentas bumi

ss/spl/pm ... 24/6/2012.

Senryu


sang raja bedal
tongkang penuh pelancong
libasan maut

ss/spl/pm ... 24/6/2012.

haiku


bunga sakura
lebat di atas dahan
tunas harapan

ss/spl/pm ... 24/6/12

RINDU


Senja itu
aku mengelamun di situ
di pantai berbatu
mencari jawapan persoalan rindu
yang telah kusisipkan dengan namamu
agar bersatu rinduku
dan bayanganmu
bersatu di bawah bayu
yang menderu ... syahdu.

Aku rindu kamu.

ss/spl/pm...24/6/2012.

KECELARUAN MENGGAMIT FATAMORGANA BERDEBU


Riang suasana
di waktu petang bercahaya
langit membiru
awan pula seakan cemburu
kepada keindahan alam
berserta rona senja
yang mulai kelam
di kaki langit bersahaja.

Hiruk pikuk keriangan
menjadi wardah kegembiraan
kanak-kanak berlarian
kejar mengejar tiada halangan
tiada sempadan
yang menaungi hati dan fikiran.

Mungkinkah aku cemburu
pada kanak-kanak yang polos itu
yang belum mengenal erti celaru
seperti kecelaruan di hatiku
dibelengu benak yang celaru membiru.

Sebenarnya aku juga cemburu
kenangan kembali menggamit rindu
rindu untuk kembalinya aku
kesaat zaman kanak-kanakku
berlarian semahu-mahunya diriku.

Ahh ... mungkinkah aku terlalu celaru
sehingga kewarasanku menggamit fatamorgana berdebu.

ss/spl/pm ... 24/6/2012.

Sunday 24 June 2012

RAHSIA PERIBADI INGIN AKU KONGSI


Setiap hari sebelum mata kupejam
apa yang aku lakukan
selain berdoa kepada Tuhan
dan berwuduk keseluruhan anggota badan
sebagai pendamping kegelapan malam
ketika jasad dan roh
bakal berpisah
dan kehidupanku berkesudahan.

Inilah rahsia terbesar
yang aku simpan sendirian
tiada siapa yang tahu
melainkan isteri
dan anak-anakku yang tersayang
rahsia yang terpendam
dan kusimpan
di dalam gobok hatiku yang paling dalam.

Ketahuilah oleh kamu
teman-teman dan rakan-rakan
akan aku bocorkan
kepada dirimu sekelian
agar dapat kamu semua jadikan pedoman
dan kalau mahu dijadikan contoh ikutan
silakanlah dan janganlah segan
ragu dan bimbang
kerana tiada sesiapa yang bisa menegahkan
untuk aku kongsikan
rahsia diriku yang paling aku sorokkan.

Beginilah
aku ringkaskan perbualan
banyak bermonolog
terkadang jauh menyimpang
rahsia terpendam akan menjadi omongan.

Yang pertama
janganlah lupa basuhkan kaki
setelah menggosok keseluruhan gigi
agar kaki tidak berdaki
bersih berseri
semuganya kembali nanti
bertemu Tuhan dengan kebersihan sejati
beraroma pudina di hati dan sanubari.

Itulah rahsia yang kupendamkan selama ini
jangan terbit pula nanti daki kebencian
di dalam hati kamu sekelian
kerana sesekali aku juga ingin melakarkan
sebuah karya yang mengenakan kalian.

Hik hik hik ... jangan ada daki ya di hati.

ss/spl/pm ... 24/6/2012.

Saturday 23 June 2012

KECANTIKAN WAJAHMU KEGILAANKU


Cantik di mata cantik di hati
itulah kecantikan milikmu sayang
kecantikan yang menjadi kegilaan
mereka-mereka yang bernafsu
yang amat mempersonakan
yang amat menawan
yang amat memukau kalbu kegersangan.

Kecantikan dirimu sayang
menjadi hidangan serakah mataku
keayuan dirimu sayang
menjadi jamuan selera hatiku
pendek kata ... ,
mandi tak basah
tidur tak lena
makan tak kenyang
dibuatnya diriku
kerana kecantikanmu
aku terkulai layu.

Sesaat engkau menghilang
setahun diriku dalam kehilangan
sehari engkau tidak kelihatan
setahun mataku tidak berpelihatan
buta kerana kecantikan wajahmu
wajah dambaan hatiku
wajah kesayangan diriku.

Aku gila sayang
aku angau sayang
kerana gilakan dan angaukan
kecantikan
wajah panAsiamu.

ss/spl/pm ... 23/6/2012.

PESONA MEMBUTAKAN MINDA


Pesona mempersona
gersang memberangsang
otak berdagang
bergendang dan berdendang
berdengung dan bergelandangan
kenikmatan pesona
dari sentuhan bersyaitan
malam minggu menjadi taruhan.

Mata dibutakan telinga dipekakkan
hanya kenikmatan menjadi dambaan
tegukan demi tegukan
kencingan syaitan ditonggangkan
menonggeng dan tertonggeng
berdagangkan di keronkong kejahilan
penuh kehinaan dan kehancuran.

Nasihat dan teguran
caci maki dan penghinaan tidak diendahkan
telah lali di dalam benak kecanduan
hanya di minda
malam minggu malam didambakan
malam melepaskan keluhan dan keletihan
yang berpanjangan
malam penuh kemaksiatan
kulum mengulum itulah kenikmatan
andai bernyawa lagi di badan
malam minggu hadapan tetap menjadi taruhan.

Pemudanya dengan rempit berempitan
pemudinya dengan penyundalan
atok dan neneknya dengan dangdut bersenggolan
pakcik dan makciknya berdisko sakan
Datuk pula dengan gadis simpanan
dan Datinnya juga dengan anak-anak ikan peliharaan.

Wahai sekalian insan yang dibekalkan akal fikiran
inikah yang dinanti-nantikan
saban minggu menjadi agenda dipertaruhkan
kenikmatan pesona yang membutakan
tidak akan berpanjangan kenikmatan pesonanya.

Ingat-ingatlah akan hari pembalasan.

ss/spl/pm ... 23/6/2012.

FENOMENA DEMAM MENGGILA


Petang ini aku berlenggeng lagi
di hadapan tingkap terselak luas langsirnya
merenung jauh barang sejenak
menikmati keindahan, taman permainan
tempat anak-anakku
berkejar-kejaran
berlari kegirangan
bermain kegembiraan.

Seronok dapat kulihat
terpancar di hati dan wajah mereka
sambil mengejar sebiji bola bersama teman-temannya
lagak gaya seumpama Ronaldo
kalau tidak pun seperti Mehsud Ozil gerangannya
di dalam Euro 2012
medan pertembungan pemain-pemain bertaraf antarabangsa.

Sesekali aku lihat anak bongsuku tergolek di atas rumput
dibentes kakinya oleh teman sepermainan bolanya
namun bangkit semula dia mengejar kembali
bola yang terlepas dari kaki
tidak akan dibiarkan lama di kaki temannya pula
kerana semangat Tores bergegar di benak mindanya
berkejaranlah dia tanpa mengenal erti lelah di jiwa.

Dengan semangat juang yang berkobar di dada
dicurinya bola dengan liciknya
entah di mana datangnya semangat Rooney
dengan mudahnya, dia mencuri bola dengan selamba
terkebil temannya akan kelicikan kaki kecil berlipan bara
tidak percaya semangat juang ditunjukkan olehnya
tidak terkejar akan mereka
akan geleceknya
ketika itu menuju ke pintu gol teman seteru permainannya.

Dengan libasan maut lipan bara
dia melibas bola dengan derasnya
seumpama Gerard
yang merembat bola dengan kederasan maksima
bola meluncur laju menuju kesasaran tersedia
pintu gol yang memisahkan kejayaan yang ingin dicipta.

Namun sayang adat permainan
ada juga seteru yang berbisa
penjaga gol lawannya bukan sebarangan calang juga
semangat Peter Cheqs ditunjukkan pula
mendakap kemas
tidak terlepas
bola dari dakapan tangan emasnya.

Begitulah girangnya mereka
berlari-larian dan berkejar-kejaran
sehingga tak terasa masa menginjak lajunya
aku yang mengelamun memandang
teralpa dan terlupa
yang aku perlu bersedia
untuk bertugas pada malam harinya
bergegas pula aku seumpama seorang 'Manager'
di tepi padang kehilangan buku panduan pengurusan masa.

Ahh ... bahana Euro 2012
terbawa-bawa dalam lamunan minda
semua yang aku pandang membawa anganan bersahaja
lawak juga terasa di dalam dada
kiranya inilah demam yang sedang menggila.

ss/spl/pm ... 23/6/2012.

TERLERAI YANG DIPENDAM


Malam indah cuaca tenteram,
semakin indah berbulan purnama;
hati senang tidak terilham,
mencandat kasih cinta bergema.

Jiwa lara kian bergelora,
di bawah langit cahaya tenggelam;
gembira hati tidak terkata,
di malam ini terlerai yang diidam.

Yei yei ... aku dapat kuih talam
aku dapat kuih talam.

Hik hik hik.

ss/spl/pm ... 23/6/2012.

PANAHAN ASMARA BERGELORA


Untukmu sayang
akan kupintal buih di lautan
akan kugulung ombak mengganang
akan kupuing pusaran taufan
dan kubusurkan halilintar menggila
agar membadai pantai hatimu
bersama panahan asmara cintaku
yang bergelora dan bergempita
seisi penghuni langit dan buminya
gunung dan ganangnya
lurah dan landainya
dipijak gegarannya
tidak akan dirasai sesiapa
digenggam baranya
tidak juga akan dirasai oleh sesiapa
akan bahangnya
hanya engkau dan aku
kita berdua
yang akan merasai geloranya
sebuah panahan asmara yang bergelora hebat di dada ... ada cinta.

ss/spl/pm ... 23/6/2012.

Friday 22 June 2012

Duri-Duri Lalang Memanjang


Bila padang tiba-tiba kontang
cacing pun hilang
dan belalang jua terbang pergi
tak pulang-pulang
manalah lagi burung-burung nak singgah datang.

Yang tinggal cuma duri-duri lalang memanjang
tempat burung but-but buat sarang.

yassinsalleh
2023 hrs. 22. 6. 12
La Cassa Pacifica De Yasleh
Copyright © 2012 yassinsalleh
All Rights Reserved.

PENYAPUKU HILANG

SATU, DUA, TIGA LEKUK


haiku


camar mengamuk
lereng tinggi berbukit
maruah sarang

ss/spl/pm ... 22/6/2012. 


LANGIT BIRU TERNODA

PANTUN HATI MEMBIRU

Thursday 21 June 2012

Bisikan Bayu Cintaku

Usahlah merayu pada bulan
hadirkan daku di malammu
kerna aku sentiasa wujud di lubuk hatimu

Usahlah mendayukan serumu pada mentari
hadirkan daku di siang harimu
kerna aku setia bersama lafaz syahdumu

Andai diriku engkau rindui
pejamkan matamu
dan rasakan kehadiranku
hangat nafasku
merdu suaraku
intim tubuhku
sentiasa bersama bayu rindu
yang wujud ada di sisimu
milikmu selamanya.

~~LK ♥ U~~

KEJUTKAN AKU JAM SEBELAS


Kejutkan aku jam sebelas
agar anakku tidak lewat ke kelas
tak mahu dia jadi pemalas
hidup sentiasa berhias
tidak dalam keadaan berhadas
cakapnya pun berkias.

Kejutkan aku jam sebelas

jangan pula jam sepuluh
nanti belum ke kelas dah berpuluh
tak tahu nak buat apa asiknya mengeluh
katanya ... bapaknya tak menyempat
nak jumpa awek yang ke empat.

Kejutkan aku jam sebelas
bukannya jam duabelas
nanti tak sempat mengalas
perut kecilnya memulas
tanya dek cikgunya ... kenapa?
... ,
jawap dia bermuka selamba
masuk yang ini dah empat kali cikgu
anak berudu nak bertukar jadi si katak puru
saya ke tandas dulu ya cikgu!
... tak ke haru biru.

Kejutkan aku jam sebelas
kejutnya biarlah ikhlas ya! ... be.

ss/spl/pm ... 19/6/2012.

YANG DAH SUDAH DAN TAK SUDAH-SUDAH


Bangun sudah
mandi sudah
beri anak makan sudah
mandikan anak sudah
siapkan anak ke sekolah sudah
hantar anak ke sekolah sudah
masak untuk yang pulang dari sekolah sesi pagi pun sudah
beri kucing-kucing garong makan juga sudah
apa lagi ya yang belum sudah
rasanya semua sudah
cuma mendirikan tiang agama je belum sudah
ahhhh ... sudah
jomlah kita mengerjakan yang belum disudah
lepas tu boleh lah ... ,
kita sambung semula misi yang tak sudah
mataku pun dah layu semula seperti yang belum sudah.

Tak sudah-sudah.

ss/spl/pm ... 19/6/2012.

ERTI RINDU, ERTI KASIH, ERTI SAYANG ... CINTA?


Erti rindu;

:Siang malam sering merindu

hanya wajahmu terbayang mataku
di dalam air kulihat bayangmu
kupandang bulan di situ tersergam indah potret wajahmu.

Erti kasih;


:Saban waktu hatiku merintih
mengenang dirimu yang aku kasih
sehingga tidak kusedar rinduku bertasbih
menyeru namamu di waktu fajar merindu sering berselisih.

Erti sayang;

:Setiap ketika aku terbayang
dirimu sayang datang bertandang
membelai rindu ikatan sayang
membelai kasih di perdu waktu bulan bersatu indah mengambang.

Cinta;

:Entahlah?
Adakah ini dinamakan rindu?
Adakah ini dinamakan kasih?
Adakah ini dinamakan sayang?

Bila rindu, bila kasih, bila sayang sering bertandang
jantungku pula berdegup kencang.

Adakah ini ertinya cinta?.

ss/spl/pm ... 19/6/2012.


TIGA PULUH TIGA


Empat campur satu
duabelas tolak lapan
enam bahagi dua
tujuh darab tiga
dan nisbahkan semuanya dalam kata berganda
berapa ya jawapan keseluruhannya.

Hidup mesti bernawaitu

jangan sombong tidak bertempat
jagalah hati dan nama keluarga
barulah hidup bersatu padu
amalan budaya zaman berzaman
sentiasa berjaga-jaga dalam nisbah tiga puluh tiga.

Sudah terang bersuluh juga.

ss/spl/pm ... 19/6/2012.

PUISI BIRU

SEMALAMKU YANG HILANG

CINTA PANTAI DAN LAUT

CATATAN ANAKKU BOB SAZA


Dah ayah
hari-hari abang Amin mandikan dia
gosok dia
belai dia
dodoikan dia
dengan sepenuh kasih dan sayang.

Jam kesayangan si Bob Saza
aduhai ... mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

ss/spl/pm ... 21/6/2012.

PAT PAT SIKU LIPAT


Pat pat siku lipat
jantan betina aku lipat
nah ... sekali keluar empat
tak ingat
tu baru seekor belum lagi yang dua ekor
dua-dua pun bunting gak tu
yang jadi mangsanya kain pelekat aku
dok mengira cuculah aku.

ss/spl/pm ... 21/6/2012.
 

MALAM PUN BIRU


Tidak kusangka dan tidak kumenduga
ular lidi dah jadi naga
cempedak dah jadi nangka
semuanya senyap dan menyepi sahaja
tiada sekelumit tulisan dari teman-teman setia
hanya sepi mengiringi malam Jumaat yang berpujangga
takkan dah mula pasang kelambu berenda
agar tercipta malam biru yang bergelora ... hik hik hik.

ss/spl/pm ... 21/6/2012.

MENTARI BIRU


Mentari menyinar syahdu
kerana kedukaan kulihatkan biru
memandang alam bertatah kelu
ingin kubicara tapi lidahku pula terkedu
sekelian alam hanya membisu
menantikan persoalan terlucutnya dari mindaku
namun suara terhadam benakku
kerana mentariku tetap membirukan rinduku.

ss/spl/pm ... 21/6/2012.

BULAN NAN BIRU(BLUE MOON)

BULAN NAN BIRU(BLUE MOON)

Bulan datanglah kepadaku
jatuhlah ke dakapan malam rinduku
yang meresahkan kalbu
rawannya aku bak pungguk sedang merindu
merindui hangatnya batang tubuhmu
dan bidangnya alur lurah di dada berpasirmu.

Bulan ... aku dahagakan tegukan belaian birumu itu.

ss/spl/pm ... 21/6/2012.

Tuesday 19 June 2012

KUIH TALAM DI DALAM TALAM


(Pantun Dalam Puisi)

Kuih talam di dalam talam♥

Jalan-jalan pusing Malaysia,
singgah sebentar di Shah Alam;
seiring jalan sesama manusia,
jauhkanlah dari bersifat pualam.

Kuih talam di dalam talam♥

Jalan-jalan sambil beriringan,
mata meliar mencari ilham;
telah kuberikan satu peringatan,
janganlah bersifat si muka talam.

Kuih talam di dalam talam♥

Jalan-jalan sekeliling kampung,
ternampak pula mempelam nangka;
saling percaya titik bersambung,
elakkan dari talam bermuka.

Kuih talam di dalam talam♥

Jalan-jalan pusing Setiawan,
berjalan malam kelilingi pura;
marilah teman marilah kawan,
kuih talam menjamu selera.

Kuih talam di dalam talam♥

ss/spl/pm ... 19/6/2012.

KURIK KENDI MERAH SAGA

Pantun Dalam Puisi tentang ANU dalam kamus DBP
Pusat Rujukan Persuratan Melayu(PRPM)


Kurik Kundi Merah Saga


Akan beratap daun keladi,

Membuat junjung di tepi paya;
Tunang si anu tidak menjadi,
Bolehkah saya ikut bersama.

Kurik Kundi Merah Saga

Tidak jadi padi Terengganu,
Burung kuang berintik-rintik;
Tidak jadi dengan si anu,
Air Pahang balik mudik.

Kurik Kundi Merah Saga

Tidak jadi padi Terengganu,
Anak denak berkawan tiga;
Tak jadi dengan cik anu,
Hari besok berbesan juga.

Kurik Kundi Merah Saga

Lemak ketam di Ulu Terengganu,
Lagi lemak lagi bertelur;
Saya berpesan abang si anu,
Saya tiada berteman tidur.

ALAMAT RUJUKANNYA PERKONGSIAN INI

http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=anu&d=6

Monday 18 June 2012

BERLAINAN HALUAN


Bicaraku sunyi
bicaramu sepi
bicaraku tentang diri sendiri
bicaramu juga tentang dirimu sendiri
bicaraku tentang alam
bicaramu pula tentang mempelam.

Mengidam pula yang putik muda
aduhai kenapa lain pula gerangannya kau idamkan.

Pintaku fahamilah
pintamu mengertilah
pintaku tentang kemahuan fikiran
pintamu juga tentang keinginan impian
pintaku tentang penyatuan
pintamu pula tentang sekedudukan.

Tangkap dek Tok Kadi percuma dinikahkan
apalah berlainan kemahuan yang didambakan.

Perlukah diteruskan.

ss/spl/pm ... 18/6/2012.

PANTUN KEPALA PENING


Di puncak Kiara bermain cinta,
jatuh tertiarap ditimpa sekrap;
banyak bicara banyak berkata,
muka terperap tak boleh harap,

Menari inang di Pulau Pinang,

sedap berdengkur jatuh tersungkur;
mata bergenang air berlinang,
anu diukur burung terkukur,

Ketuk ketampi di tepi perigi,
memohon restu hendak menipu;
puas kujampi puas kuuliti,
rupanya anuku bulu mengerutu,

Siakap senohong di atas pelampong,
bermain tenteng di atas loteng;
cukup kurenung mulutku terlopong,
menari ronggeng bontot tertonggeng.

Sambil berbaring badan berlenggeng.

ss/spl/pm ... 18/6/2012.

HANYA SATIRA BUKAN OPERA


Usah berlagak kononnya masyhur
bagaikan pakar seumpama Maestro
sedangkan engkau hanya si Miyabi
pelakon porno ketiak berdaki
paling tidak si Pamela Anderson
tidur mandi di dalam besen
dikejar lelaki berdozen-dozen
tak senang hidup selalunya tension.

Hanya permainan Satira bukannya Opera.

ss/spl/pm ... 18/6/2012.

Kau Main Sajalah Buih Sabun Membasuh Anumu


Kerana otakmu cetek tak cukup selapis
dan ilmu tak lebih dari bacaan sebaris
tak usahlah cuba nak membicarakan
perihal yang banyak lapis,
berlapis-lapisan,
bertindih bertindan kotor dan bersihnya

Kerana selama ini engkau hidup
dalam tahu yang tak tahu
janganlah memperagakan
kedunguanmu yang amat bahlul
yang amat dogol, yang amat tolol.

Teruskanlah menggilap bulan dan bintang
dengan sajak-sajak buku lalimu itu
sambil membelai anumu yang koro.

Usap sajalah
telurmu yang sebelah kecil sebelah leper itu.
janganlah cuba-cuba nak jadi jurujual sabun
sedangkan pakaianmu sendiri sekujur tubuh
terlalu amat tidak bersih. Aduhai sedih.

Makanya,
Kau main sajalah buih sabun membasuh anumu.

yassinsalleh
1217 hrs. Jun 25. 2011
Kg Jerang, Durian Tipus,
Jelebu, Negeri Sembilan
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved.

Sumber: yassinsalleh.blogspot.com

ADUHAI ... PERLUKAH SEMUANYA


Aduhai!

Perlukah aku melakarkan

sebuah puisi cinta
untuk kusematkan
dalam hatimu
menjadi buktinya
kasihku terhadapmu
yang selalu ujud di benak rinduku.

Juga perlukah aku
ukirkan sebuah ukiran kayu
dari pohon berlian yang hanyut
padu dan jitu
untuk kuukirankan perasaanku
menjadikannya sebagai bukti
sayangku kepadamu.

Dan haruskah aku
melukiskan sebuah potret
dari kanvas baldu
sebagai maha karya cintaku
yang sentiasa kunobatkan
di dalam benakku
yang amat menyintai kamu.

Kerana sesungguhnya
kasihku, sayangku dan cintaku
telah kutatahkan dengan namamu ... aduhai sayangku.

ss/spl/pm ... 18/6/2012.

TALAM DUA MUKA


Hari ini kau bercerita tentang luka
segala penyesalan bermain di minda
yang memaku duka dan dosa
mengharap simpati kepada yang mendengarnya
sehingga bersimpati beruangan di dada
akan cerita dikongsikan pula
namun kepercayaan dibalas tuba
engkau menjaja
walaupun tidak bercerita
akan rahsia
dikongsikan bersama
kepada pihak yang diberitahu akan rahsianya
yang mengonarkan dirimu pra mula
yang menyakitkan dirimu pra mula
yang berangkara kepada dirimu pra mula.

Mungkinkah engkau lupa
walau hanya sekadar bertanya
pasti pihak yang satunya akan terasa
kita mengumpat
kita mengata
kita menjaja akan rahsia-rahsianya
sehingga mengusutkan sengketa yang ada.

Itulah namanya si talam dua muka
menjajakan cerita kepada dua pihak berseteru pra mulanya
pecah amanah kepada rahsia yang diberikan kepadanya.

ss/spl/pm ... 17/6/2012.

Puisiku Untukmu


Tanda menghargai huluranmu
tiada yang lebih berharga
ingin kupersembahkan
seluruh hati dan nyawa
bagai mitos pula bunyinya
terimalah bingkisanku secebis cuma
mewakili diri tidaklah sehebat mana
hanya sepotong puisi biasa
pengganti diri menyatakan sirat di hati
tiadalah sempurna
sekadar ingatan tulus
dari lubuk hatiku
lafaznya sentiasa bergema
bersama deru nafasku
selagi bernyawa.

~~LK~~