Friday 31 August 2012

BUKAN BAHAN LAWAK


Bila ajal dan maut dipersenda-sendakan
adakah sesiapa yang masih mahu mentertawakannya
bagai satu bahan gurauan sang fasik
pada akal yang masih cetek
menabur cerita bagaikan seorang munafik
menebar jala di lautan antartik
bekunya tidak tercarik.

Ingat-ingatlah sikit.

ss/spl/pm ... 31/8/2012.



PENGEMBALA DAN SERIGALA


Terpekik terlolong rupanya beragenda
meminta perhatian sahabat dan saudara, orang kampung semua
akan gembalaan diterkam serigala
di atas bukit kisah dicerita.

Habis semua pakat menuju ke bukit sana
ada yang termengah dan ada juga yang termuntah dibuatnya
akibat berlarian kerana takut habis gembalaan dibaham serigala
sehingga tiada tertinggal bulunya yang berharga.

Si pengembala tergelak sakan melihat aksi di depan mata
seraya tergolek ke tanah tertonggeng tertawanya
akan ...rang kampung menyirap darah ke tahap maksima
kerana gurauan yang tidak lawak oleh si pengembala.

Nak dijadikan cerita, pada satu hari benar-benar terjadi apa yang dipintanya
habis gembalaan dibaham sekawan serigala
menangis dan meraung, berair matakan darah di kelopak mata
kerana orang kampung tidak memperdulikan lagi akan laungannya.

Hai! ... masih adakah lagi cerita yang seumpamanya di alam maya.

ss/spl/pm ... 31/8/2012.



BADAIAN RIBUT


Kuyup dan kusut;
basah,
di bucu sudut
lencun,
di badaian ribut
kecut,
menggigil lutut
sayup,
rintikan bersahut
jiwaku,
berbalut kalut.

Sendu kian hanyut.

ss/spl/pm
31/8/2012.
 

PESONA HARAPAN


Bebaslah engkau wahai sang burung kayangan
terbang tinggi melepasi pergunungan
janganlah engkau terjajah fikiran
dan dibelengu api kerunsingan
oleh mereka-mereka yang penuh kepura-puraan
bertopengkan syaitan
dan bertangankan banjingan.

Pesona sebuah harapan.

ss/spl/pm ... 31/8/2012.



Thursday 30 August 2012

SATU KEPASTIAN


Teruskanlah berkarya
selagi masih ada ilham dimiliki
dan teruskanlah kehidupan
selagi hayat dikandung badan
yang pergi akan tetap pergi
yang hidup pasti akan menyusuli
entah bilakah saatnya nanti
bukan hak kita untuk mengetahui
kerana hidup itu pasti
dan mati itu juga satu kepastian
janganlah kita tangiskan lagi.

Saatnya pasti akan tiba nanti.

ss/spl/pm ... 30/8/2012.

SAAT AKU KEHILANGANMU


Saat kutatap potret ini
tergambar di benakku betapa satu pertarungan
yang maha hebat sedang engkau hadapi;
di saat ... engkau bertarung dengan barah yang engkau hadapi
dan akhirnya! ... sang barah, menjuarainya
sehingga merampasmu dari sisiku ... selama-lamanya.

Aku kehilanganmu.

ss/spl/pm ... 30/8/2012 (Tarikh keramat 29/8/2012).



BILA SENDU BERBICARA


Hati ... hati memberontak ingin berkata-kata
namun tinta - di minda, kehilangan bicara
puas kucuba namun hilang puncanya
setiap bait hilang entah ke mana
yang tinggal hanya ... ,
kesunyian yang semakin menghimpit rasa
kehilangan kian terasa.

Sendu bicara.

ss/spl/pm ... 30/8/2012.



Wednesday 29 August 2012

SENYAP DAN SUNYI


Tinta kata hilang rentak melodi di jiwanya
senyap dan sunyi menerawang di sudut ruangan angkasa
sebak dan sebu, mega hitam menyelimuti cahaya
aku! ... ,
aku ... hilang kata-kata untuk kulakarkan pujangga.

Tangisan dalam kerinduan di jiwa.

ss/spl/pm ... 29/8/2012.

SAYA PAHAM


Bukan saya tak mahu sms awak,
itu kerana saya tidak menyimpan nombor handphone awak.
Bukan saya tak nak 'call' awak,
saya tetap menyatakan, saya tiada nombor handphone awak.
Bukan juga kerana saya 'busy',
tapi saya tak tahu bagaimana nak menghampiri awak.

Bukan saya membuang awak,
tapi awak yang tergamak membuang saya.

Bukan saya tidak sayang awak,
kerana perasaan itu masih ujud bertahta di dada.

Tapi! ... ,

Biarlah ... saya nak buat macam mana
kalau benar satu hari nanti
awak sudah tidak menyintai saya
saya akan anggap itu bukanlah rezeki saya.

Saya akan cuba memahaminya.

ss/spl/pm ... 29/8/2012.



Tuesday 28 August 2012

IKHLASKANLAH HATIMU ITU


Ikhlaskanlah hatimu
tatkala menjamu para tetamu
barulah redha rezeki dijamu
mengisi tembolok riang selalu
bersama kesyukuran diangkat untukmu
dalam keikhlasan rezeki Tuhan Yang Satu
berkekalan bahagia dalam nawaitu
terpampang jelas di wajahmu itu.

"Engkau bukannya tak tahu
aku suka makan kangkung campur belacan,
kenapa engkau masak kangkung ... ,
tidak campur belacan?".

Aduhai! ... ikhlaskanlah hatimu itu.

ss/spl/pm ... 28/8/2012.

SYAIR PUTERI SETAHUN YANG LALU


Syair puteri berlagu pilu
tergambar dari rasa yang sayu
mengenang rindu kekasih dahulu
berteman sendu hatiku layu.

Saat syair berdendangkan lagu
terlerai kasih cinta dipadu
menangis hiba di pinggiran waktu
mengenang kisah selahun yang lalu.

Kini syair senyap dan bisu
bermain kata hanya di hatiku
mengeras rindu telah kematu
syair puteri kututupkan buku.

Dirimu kini hanyalah bayangan di angin lalu.

ss/spl/pm ... 28/8/2012.



MERDEKA AZIMAT DI JIWA KERAMAT


MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Laungan keramat
Menyentuh kesumat
Berjiwa di hati rakyat
Akan kemerdekaan sepanjang hayat
Janji ditunai mengambil berkat
Seluruh rakyat mengerti hakikat
Berbakti itu sebagai azimat
Rakyat didahulukan sentiasa diingat
Laungan keramat pemangkin semangat
Selamanya berkeringat membasah hangat
Memberi manfaat kepada masyarakat.

Merdeka ... berazimat di jiwa keramat.

Ss/spl/pm ... 28/8/2012.






RAHMAT DUHA


Gerimis mengundang
hujan mendatang
bergema guruh
di tabir bisu
kilat menyepi
hilang pancaran
rintikan mengemis
esak teriakan
di rimba kota
mutiara berhijab.

Rahmat duha.

ss/spl/pm ... 28/8/2012.

 

SIMFONI ALAM BERSATU DI KALBU RINDUKU


Simfoni alam bertali arus menderu-deru
menyapa syahdu, menjirus rindu, di perdu kalbu; terkulai layu
menderu sang bayu digigit kelam aku merayu
menyapa lembut, mengusap pipi, lesu bertamu; mendayu laguku
bawalah aku, mudikkanlah rakit rindu hatiku
alirkanlah perahu, berdayungkan sendu
kepangkuan syahdu kita berakad ... ijab dan kabul di pelaminan rindu
cinta bertamu di gelodak pusaran pepasir yang lesu; airnya menyeru
di bibir menggebu kita berkucupan restu; menyimpul nawaitu
aliran rinduku dan rindumu kini bersatu menjadi satu.

Simfoni alam menyatu, berdakapan syahdu, di sudut kelam; di benak kalbuku.

ss/spl/pm ... 28/8/2012.



Monday 27 August 2012

SEORANG AKU II


Aku ... ,
aku bukannya sesiapa
hanya seorang pujangga cinta
melakarkan apa yang aku rasa
terlakar dari jiwa terluka
kerana cinta mengajar aku erti dewasa
berkalang noda si dara kupuja
pengemis cinta yang tiada rupa.

Aku ... ,
aku juga bukan sesiapa
hanya hamba berpetualangkan cinta
tergalas dari bibir bernista
kerana cinta aku derita
memuja si dia
berselendangkan kasta
tingginya dunia.

Kubur kata mari rumah pula berkata ... "pergilah kamu wahai si tua bangka".

Aku, ahh! ... aku bukannya sesiapa.

ss/spl/pm ... 27/8/2012.



SERUAN CINTAKU


Perjuangkanlah cinta di hatimu
usah dibiarkan ianya lesu
menjadi santapan pinggiran waktu
termamah kalbu di badaian sebu
terhijab rindu ghaibnya berlalu dari hatimu
perginya pasti akan berlagu pilu
pasti ...kan sayu memilu
pasti ...kan layu di perdu kalbumu
usahlah dibiarkan ianya pergi berlalu
mereput lesu ditiup sang bayu.

Perjuangkanlah! Pertahankanlah!
Demi cintaku, demi rinduku yang berbara di lubuk hatimu itu.

ss/spl/pm ... 27/8/2012.



NAMAMU - KUSERU


Sisipan rindu di maya kelabu
membelai layu hati yang membiru
berpaksi restu ayah dan ibu
bersaksikan aku berkabulkan lafaz - ijabku.

Menyinsing baldu berlengankan kalbu
menongkah deru badai menyapu
hilanglah aku di sebalik salju
ghaib bertamu di sebalik rindu - menggebu.

Di kamar syahdu namamu - kuseru.

ss/spl/pm ... 27/8/2012.



Sunday 26 August 2012

KAU-KUSERU


Usahlah kauberpaling dariku
usai segalanya aku lakukan untukmu
terlerai kabut tebal menyelubungi kegelapan senjamu
melewati pergunungan yang berliku
berlurah dan landai yang semu, sadis di lubuk hatimu
dengan hembusan nafas rinduku,
aku hembuskan bersama semangat 'kau-kuseru'
kejora pasti ...kan bersatu
kabus pasti ...kan berlalu
mentari pasti ...kan bertamu
di nafasan rindu cinta kita pasti akan bertemu.

Usahlah engkau berpaling lagi dari diriku ... kau-kuseru!.

ss/spl/pm ... 26/8/2012.



MENCANAI HARAPAN YANG TIDAK KESAMPAIAN


Hari ini aku mengintai
dari tirai kamar usainya aku mengintai
akan dirimu yang masih aku ... ahh!! Segalanya mungkin
walau tiada setitik pengharapan untuk aku berharap
namun dirimu akan tetap bernaung di lubuk inap
kekal selamanya menyelinap sebagai seorang sahabat.

Terlebih baik begitu
dari berterusan mencanai harap
menambahkan dendam
yang pastinya menyirap di sebalik sarap yang berasap.

ss/spl/pm ... 26/8/2012.



PERCUTIAN YANG MASIH BERBAKI


Sehari lagi bercuti
sebelum sekolah dibuka kembali
sehari lagi perjalanan memuaskan rasa hati
anak dan juga isteri
yang keletihan minda dan sanubari
setelah sekian lama kelelahan dan kepenatan menyelubungi
dari kesibukan sekolah dan tugas sehari-hari
masanya telah tiba untuk berehat sambil menikmati
percutian yang masih berbaki.

Selamat pagi
dan selamat bertugas kepada mereka yang telah bertugas kembali
aku masih dalam 'mood' bercuti
jangan cumburu bersarang di hati.

Ahakssssssss...kih kih kih.

ss/spl/pm ... 26/8/2012.

Friday 24 August 2012

ENGKAULAH SAHABAT TERISTIMEWA PADAKU


Aku tak pernah merasai apa yang engkau rasakan
tatkala kaudukung kelahiran anakmu itu
tatkala kaukomatkan di telinganya akan azan kebesaran Ilahi
tatkala kauketahui yang anakmu itu anak istimewa
tatkala kaujerih berkejaran ke hospital untuk merawat anak istimewamu
tatkala kaukelelahan membesarkan anakmu itu dengan kerenahnya
tatkala kautatang anakmu itu bagai menatang minyak yang penuh
tapi yang aku tahu
dan yang aku rasai kini ... aku amat berbangga dengan dirimu
aku amat berbangga untuk mempunyai sahabat sepertimu
yang tak akan pernah kenal penat dan jemu
untuk membesarkan anakmu itu dengan penuh kasih dan sayangmu.

Aku amat berbangga mengenali dirimu sahabatku Cikgu Nik Mie.

ss/spl/pm ... 24/8/2012.

CUTI-CUTI MALAYSIA ... MERDEKARAYA


Cuti! ... mari kita pergi bercuti
ambil angin sambil beriadah
melepaskan segala penat dan lelah
ketika bertugas di lebaran yang sudah
kini tibalah masanya pula
melepaskan batuk yang bersarang di dada
bagaikan menghilangkan penyakit barah.

Cuti! ... marilah kita pergi bercuti
ambil cuti selepas raya
masih ada berketinggalan sisa
untuk kita beraya juga
kerana bukankah raya sebulan untuk warga kota?
Untuk kita melepaskan gian yang tersisa
di dada lelah, ianya berkota.

Marilah kita bercuti-cuti Malaysia ... Merdekaraya.

ss/spl/pm ... 24/8/2012.

SELAMAT MALAM DUNIA


Ketika nyawa berpisah dari jasadnya
berakhirlah episod sketsa dunia
membawa roh insaniah kembali ke alam asal kejadiannya
menuju gerbang berhijabkan ghaib dan alam nyata
berpukalkan neraca beratkah timbangan amalan telah terlaksana
mungkinkah berat di bahu kanan tersandang segala pahala?
Atau! ... ringankahkah di bahu kiri sandangan dosa?
Bagaimanakah timbangannya?

Di kamar perbaringan, kelesuan dan keletihan menghimpit dada berminda.

ss/spl/pm ... 24/8/2012.

Thursday 23 August 2012

BENANG PUJANGGA


Berhati-hatilah menarikan tarian cinta
di dalam puisi kamu baitkan kata
kelak terfana pasti, ...kan terpesona
akan sebuah harapan si pembaca memuja
memuja cinta terlakar di dalamnya
bait-bait kata dirasakan terlahir untuk dirinya
walau dirimu hanya penglipurlara
telah terasuh dek benang asmara sang pujangga
melakar kata untuk hiburan semua.

Berhati-hatilah si penglipurlara yang aku cipta.

ss/spl/pm ... 23/8/2012.



SETANGGI CINTA SEHASTA RASA


Buat perasap kasih yang mesra
membelai kalbu aroma jiwa
membait rindu kasih bergelora
tercambuk nafsu setanggi cinta.

Kemenyan ditabur perasap di muka
wajah berseri kilauan asmara
menambah seri menerbitkan aura
berdampinglah dara mengelilingi beta.

Kasih diseru bersabda rimba
rimba raya di tengah kota
berdakap denganku dakapan cinta
lempiaskanlah rasa kekasih kupuja.

Bersatulah denganku bersatukan setanggi cinta sehasta rasa.

ss/spl/pm ... 23/8/2012.



Wednesday 22 August 2012

Kawan makan kawan?


...aduhai masih banyak berleluasa di dalam dunia ini, terutama di dalam halaman muka buku...entah sampai bilalah ianya nak berakhir...tak sudah-sudah agaknya sampai ke akhir zaman.

Nak mengurat pun pandai-pandai sendirilah...tak perlulah pakai nama kawan untuk mendapat apa yang anda kehendaki...terkadang bukannya berpelangi ceria tapi mendatangkan awan yang gelap menyelubungi alam yang telah pun gelap gelita.

Aku tahulah yang aku tiada apa-apa perhubungan lagi dengan bekas kekasihku...tetapi...itu bukannya syarat untuk engkau menaburkan racun ROUNDUP di hati kami terutamanya si dia yang sudah pastinya akan menambahkan lagi luka di hatinya. Pandai-pandailah menggunakan kelebihan di dada untuk mengurat atau untuk mendapatkan si dia bukannya dengan cara ULAR yang BERBISA...kawan makan kawan.

Dan satu lagi...aku dah tiada apa-apa atau kena mengena dengan dia...janganlah engkau menggunakan nama aku dengan memburuk-burukkan aku kepada si dia...kan dah!...tak pasal-pasal engkau yang kena block dengan dia...PADAN MUKA.

Ambillah pengajaran ini ya...usahlah diulangi apa yang engkau telah lakukan kepada dirimu sendiri...dan yang penting aku bukannya macam si dia...aku tak akan block kawan-kawan aku...dan untuk pengetahuan engkau...engkau punya pasal aku pun kena UNFREIND dengan dia...aduhai...kawan, kawan...nasib baiklah aku kenang engkau tu kawan aku.

Dahlah ya...pandai-pandailah engkau cari jalan nak mengurat dia ya.

ss/spl/pm ... 22/8/2012.

JALUR GEMILANG TETAP DI HATI


Tanamkan di hati
sematkanlah di jiwa yang murni
inilah panji-panji kami
inilah jalur kami; jalur lambang keberanian di hati kami
jalur kemegahan anak bangsa yang merdeka seperti kami
jalur gemilang yang kami sanjungi
yang akan kami arak dengan gah di hati
yang akan kami arak dengan megah di jiwa kami
selagi langkahan kaki melata di muka bumi
selagi bernafas akan kami kukuhkan di hati
selagi bernyawa jalur gemilang tetap akan terbilang di mata hati kami
anak Malaysia yang berjati diri.

ss/spl/pm ... 22/8/2012.



KESAKTIAN CINTAKU PUDAR MENYEPI


Bertelenggu aku di pepohon mati
sendirian mencari - jawapan tak pasti
hanya sepi menemani sunyi
hanya sepi menemani kesunyian hati
aura sakti kian pudar menyepi
kusam? ... hilang warnanya, karat berdaki
kelam dan hitam, ... memayungi diri
sirna pelangi ... lenyap dan mati.

Kesaktian cintaku hilang di celahan rimba hati.

ss/spl/pm ... 22/8/2012.



Tuesday 21 August 2012

PANTAIKU PILU


Biarkanlah aku dengan lautku
dibadai sepi dipukul pilu
menyinsing keting ombak merindu
melara resah di kalbuku syahdu
terdampar lesu di pantai bertepian batu.

Pelaut Malang terdampar lesu.
 
 

WAHAI ADAM DAN HAWA


Terkadang rasa malu membawa kerendahan diri di dalam hati...tapi kenapa ya?...kenapa harus ada rasa malu untuk mengakui satu harapan yang pastinya telah terbina di dalam hati anak-anak Adam dan Hawa sejak sekian lama...hanya kerana malu kita rasa rendah diri untuk mengakui tentang impian yang suci di hati iaitu ingin merasai detik, ketika dan waktunya, saat bersalam-salaman, berkucupan tangan dan dahi di antara suami isteri...perlukah kita rasa rendah diri kerana sebab ini...tepuklah dada tanyalah apa yang ada di dalamnya.

Renung-renungkanlah wahai insan muslim dan muslimah sejati...baik anak teruna, dara, mahu pun yang telah bergelar duda dan janda...buangkanlah sikap malu yang membawa perasaan rendah diri untuk mengakui keinginan yang suci.

Renungkanlah.

ss/spl/pm ... 21/8/2012.

JALUR GEMILANG

Akrostik

Jiwa anak Malaysia
Akan menjadi padu
Luhur dalam keikhlasan
Untuk menjadi rakyat yang terbilang.

Gerakkanlah dan pastikanlah
Ekonomi negara
Maju dan berjaya; dan ... ,
Indeks kompositnya berkembang maju
Lambang kesungguhan
Azamnya kita, rakyat di bumi bertuah ini untuk
Nikmat hasil yang lebih ... ,
Gemilang.

ss/spl/pm ... 21/8/2012.
 

haiku


ambang merdeka
kibar jalur gemilang
panji negara.

ss/spl/pm ... 21/8/2012.



KITALAH ANAK MALAYSIA


Aku,
aku anak Malaysia!
Aku bangga dilahirkan sebagai anak Malaysia
aku bangga menjadi salah seorang anak jati Malaysia
aku bangga menggalas Jalur Gemilang sebagai anak kelahiran Malaysia
dan aku amat berbangga mengibarkan panji kebesaran negara, Malaysia.

Aku! ... akulah anak Malaysia yang merdeka
bersama-samalah kita, melaungkan kata-kata, kita anak merdeka.

Laungkanlah! ... kibarkanlah! ... demi Malaysia, negaraku yang tercinta.

'MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Kita semua anak Malaysia.

ss/spl/pm ... 21/8/2012.

Monday 20 August 2012

DEJAVU BUAIAN RINDU DI KINABALU


Akan kuhayun buaian hatimu
selaju dan setingginya tercapai hayunanku
agar terdetik di ubun kasihmu
akan reranting rinduku
yang berbunga syahdu
dan di saat itu
mekarlah ianya di dalam jambangan kalbumu
akan dejavu
kerinduanku terhadapmu.

Ayuh! ... lajulah buaiku laju
pergilah kamu ke negeri di bawah bayu
akan utusan rindu, kita bertamu
di puncak lesu mimpi kita ...kan bersatu
dan dejavu pasti turut menyeru
bahawa cintaku
masih lagi milikmu ... kekasihku di Kinabalu.

ss/spl/pm ... 20/8/2012.



KERANA DODOL AKU MERINDU


Maafkan aku
menatap dinding halamanmu tanpa keizinan darimu
kerana rindu aku berbuat sebegitu
kerana rindu kutatap satu persatu
di halamanmu rinduku terlakar layu ... ,
wajahmu! ... aku renung semahu hatiku
wajahmu! ... aku tatap sepuas mahu rindu membelengu
tidak berkelip mataku menatap wajahmu yang amat aku rindu
sehingga menggamit nostalgia setahun yang lalu
akan kenangan ... dodol pemberianku untukmu,
di hari lebaran kukirimkan kepadamu
di negeri di bawah bayu kuutuskan pemberian ikhlasku
di Syahwal yang mulia, setahun yang lalu
ianya sampai kepangkuan kasihmu.

Ahh! Kerana dodol ... aku merindui kamu.

ss/spl/pm ... 20/8/2012.



MAAFKAN AKU


... andai engkau terluka oleh sikapku
kerana aku tidak seperti dahulu
aku bukan lagi ... diriku yang engkau kenali; dahulu
yang setia pada janji-janji dipadu; dahulu
yang setia kepada lafaz cintaku; dahulu
aku kini seorang pemburu .. ,
pemburu cinta! ... akan setiap wanita
yang dahagakan belaianku
yang mempunyai keinginan nafsu
yang ingin dibelai rakus jemari tangan gasarku
yang mahu dipuja oleh tinta kalbuku
yang mahu dimanjakan ... oleh nafsu romantisku.

Maafkan aku ... ,
inilah aku ... yang engkau cipta
dari kepalsuan cintamu; dahulu.

ss/spl/pm ... 20/8/2012.



HATI vs PERASAAN...YANG MANA PILIHANKU?


Terkadang hati dan bicara tidak seiringan jalannya dan kadang-kadang bila kita sampai di selekoh bersimpang kita tak tahu ke mana hala tuju yang harus kita lalui jalanannya sehinggakan kita terpaku dan terkedu di situ teraba-raba dalam benak yang senak lagikan sebu...begitulah ketika ini yang terbangkit dalam diriku macam kuih bangkit yang sudah mula terbakar hangus mengeluarkan bauan yang semerbak mewangi tapi tak sanggup untuk aku kunyahi...di benakku, di mindaku mengatakan redha akan tugasan-tugasanku tapi di hatiku pula!...meraung seribu bahasa, ingin beraya di kampung bersama sanak saudara dan sahabat-sahabatku...aduhai inilah yang semakin menyebukan diriku, ditambahkan pula tiada satu pun kedai di tempat kerjaku dibuka untuk aku melawas keinginan nafsu perutku; berdenyut, berbunyi, berdendang dan berlagu...berdangdut akan lagu Mas Idayu...aduhai!...di mana? di mana??...kan kucari kedai untuk mengisi
petrol Ron 75 ke dalam perutku ini.

Cer beritahu padaku!...adesssssssssssss kebuluran berlaku.

Kih kih kih.

ss/spl/pm ... 20/8/2012.

Sunday 19 August 2012

DEMI KASIHKU DEMI SAYANGKU


Akan aku rangkul dirimu sayang
seperti aku tidak pernah merangkuli dirimu sebelumnya
demi kasihku, demi sayangku ... ,
demi lebaran yang kini bertamu
kita bersatu di bawah restu ayah dan ibu
sedondon engkau dan aku
di pelaminan rindu kita bernafsu
di pelaminan cinta kita bersatu.

Demi kasihku, demi sayangku ... ,
demi cinta kita yang satu
aku milikmu.

ss/spl/pm ... 19/8/2012.