koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Thursday 14 November 2013
LABUHAN HARAPAN
Aku gali dari perdu kesedaran
akarnya berselirat
mengundang lelah yang bukan kepalang
aku tidak mewarisinya
lalu kepayahan kulemparkan
sedang di mimpi hidup ini berkaca.
Bukan aku mengail bertopengkan umpan
biar biduk kecil sebesar upih
dan hidup dalam desakan merintih
kepalang sudah tersentak disergah
di dada segar membuah cita
di gelanggang segala ingin berbakti
untuk aku riang menari
dendangan lagu kebebasan.
Ini bahang senja
melurut jatuh di bunga pelita
sepertinya menadah deraian embun
di sela kembara kehidupan
untuk esok melabuhkan harapan
keabdian dalam usia yang direncah
dengan azam besi berumbi
tanpa bengis juga dahsyat
kerana aku tahu perbatasan hidup dan mati
atau sebelum rembang menjadi kuning
pun sebelum petang menjadi kering.
Qalam Bertinta
Klang
14112013
1127am
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment