Wednesday 4 December 2013

CERITA BANJIR DI SINI SANA


Bah melanda
amaran peringkat merah, jingga
kuning juga ada 
di sini sana, di desa dan juga di kota
peningkatan mendadak air sungainya
bahana hujan seharian lama
bertaburan merata-rata.

Balairaya dan sekolah dibuka pintunya
permindahan dilakukan segera
tinggalkan segala harta benda yang ada 
nyawa lebih utama
dokumen penting sahaja harus dibawa
beramai-ramai berkumpul bersama
berkhemah untuk sementara.

Pertahanan Awam, P.G.A
Pasukan Keselamatan telah bersedia
cuti mereka dibekukan sementara
siap siaga terlakar di dada
untuk rakyat, 
demi rakyat, berkorban apa sahaja
mereka rela melakukannya.

Tetapi...di Kuala Lumpur lain pula ceritanya
merah dan putih berkampung bersama-sama
wakil rakyat terpekik terlolong, berkata-kata 
berbicara;
amanat ketua dibahas lancangnya suara
pecah panggung gamat Pusat Dagangan Dunia Putera
darurat rakyat di D.U.N mungkinkah dilupa.

Wahai Yang Berhormat semua!
Aku bukan ingin menunjuk pandai; 
tidak, tidak! Sama sekali tidak!
Tapi...apalah salahnya
tunjukkan muka kamu walau seketika
rakyatmu perlukan kamu di sana 
di penempatan sementara.

Janganlah nanti;
'Menang sorak, kampung kamu tergadai pula'
aku sekadar mengingatkan sahaja.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
04/12/2013.

No comments:

Post a Comment