Thursday 5 December 2013

PERTEMUAN II ( ceterpen )


Seminggu selepas pertemuan pertama pada 8 Dec di Taman Tasik Taiping tempohari, aku dikejutkan dengan kedatangan sepucuk surat yang begitu cantik tulisannya dan indah bahasanya, itulah surat pertama dari Mus, berulang kali aku membacanya sangat indah bait-bait bicara tersusun aku jadi malu untuk membalasnya kerana aku tidak pandai mengatur ayat seindah itu buat tatapan Mus. Pertemuan kedua dirancang. Kata Mus dia ingin bertemu denganku sebelum dia ditugaskan di Kuala Lumpur, malangnya aku tidak sempat bertemu dengan Mus waktu itu aku terlewat, tika aku tiba Mus tiada lagi di situ, rasa hampa namun tidak mengapa.

Sejak saat itu hanya surat pengganti diri pengubat rindu, ayat-ayat cinta yang kian semarak hadir di setiap surat-surat Mus untukku empat helai kertas kajang dipenuhi ayat-ayat indah dari Mus, paling aku suka bila Mus menyebut ‘gadisku’ di setiap perenggan bagai terawang-awang perasaanku.

Akhirnya April 86 aku dikejutkan dengan kunjungan Mus ke rumahku, itulah pertemuan kedua kami, aku hampir tidak mengenalinya jika Mus tidak memperkenalkan dirinya padaku, gembiranya aku tidak terkata, pertemuan kedua hanya sekejap juga ini kerana Mus datang ke Taiping atas urusan tugasnya selama tiga hari setelah itu Mus kembali semula ke Kuala Lumpur meninggalkan aku bersama bebanan rindu yang maha hebat. Sewaktu kunjungan Mus ke rumahku tempohari aku bercerita tentang keadaan sebenar diriku pada Mus, keadaan aku yang kurang upaya seorang insan OKU yang tiada apa pun dapat Mus banggakan sekiranya dia menerima aku di dalam hidupnya, dan aku melihat Mus begitu tenang mendengar ceritaku, kata Mus dia tetap mencintai aku tidak kira siapa pun aku, sungguh pun aku tidak mempercayai Mus sepenuhnya namun aku tetap terharu dan menghargai perasaannya terhadap aku.

Perhubungan kami tetap seperti biasa, ayat-ayat cinta dari Mus tetap kuterima saban minggu dan isinya semakin semarak di hatiku, ada ketikanya ‘gadisku’ dan ada ketikanya ‘mawar sanjunganku’, panggilan Mus buatku yang sangat membahagiakan aku, begitulah aku dan Mus menyulam kemesraan tanpa ada pertemuan lagi, hinggalah suatu hari Mus memberitahu yang dia benar-benar ikhlas menyayangi aku dan berhajat menyunting aku, sebenarnya aku jadi risau dan takut, bolehkah aku melayari hidup berumah tangga dengan keadaan aku ini, mampukah aku? Berulang kali aku menyuruh Mus fikir semasak-masaknya sebelum membuat keputusan kerana aku tidak mahu Mus menyesal kemudian hari, mungkin juga Mus berfikir kerana selepas itu aku sudah jarang-jarang menerima surat-surat dari Mus dan disuatu masa aku langsung tidak menerima lagi surat-surat dari Mus, perhubungan kami terputus begitu saja selama setahun, July 87 menutup kisah aku dan Mus tapi yang peliknya aku tidak sedih dan terkilan bukan kerana aku tidak menyayangi Mus, tapi kerana aku benar-benar menyayangi Mus maka aku ingin sekali Mus bertemu kebahagiaannya. Aku pasrah… .

Saat itu aku mula mendekati dunia penulisan, saban minggu karyaku hadir di dada akhbar Bacaria, bahagianya aku dibimbing pula oleh penulis otai M.Salleh Mahyat atau nama penanya Musalmah Mesra, aku begitu bersemangat, sayangnya di tengah-tengah keghairahan aku menulis aku terpaksa menolak berbagai undangan dan yang paling ralat sekali aku tidak dapat menghadiri jemputan Rumah Anak Alam untuk perhimpunan penulis-penulis baru bersama penyair Pyan Habib yang aku kagumi. Kerana sangat takut keluar dari kepompong kehidupanku dan kerana aku seorang OKU bodohnya aku.

Hinggalah suatu hari Mus terbaca karyaku yang memang kutujukan khas buat Mus di akhbar Bacaria, Mus kembali menghubungi aku dan Okt 88 menyambung kembali kisah aku dan Mus, surat-surat kembali menjadi teman setia, akhirnya 22 Feb 89 dengan rasminya aku menjadi tunangan Mus atas restu kedua-dua keluarga. Dalam tempoh setahun bertunang hanya tiga kali aku bertemu dengan Mus, dan dalam tempoh setahun itu berbagai ujian yang kami tempuh hingga hampir memutuskan pertunangan, namun jodoh pertemuan aturan Allah akhirnya 27 Jan 1990 aku dan Mus diijab kabulkan termetrilah sudah sebuah ikatan setelah melalui berbagai kisah sepanjang empat tahun alam percintaan dan setahun alam pertunangan. Yang kelakarnya seminggu selepas pernikahan tibalah masanya aku berkunjung ke rumah mertua di Shah Alam aku mula susah hati, sebaik tiba rombongan keluargaku di rumah mertuaku aku turun dari van sambil mendongak ke tingkat lima rumah mertuaku aku tertanya-tanya macam mana aku hendak naik tangga setinggi ini dalam terpinga-pinga itu aku terkejut tiba-tiba Mus mendukung aku dan terus membawa aku menapak anak tangga satu persatu hingga sampai ke pintu rumahnya aku kelu tidak terkata… Hingga kini bila aku menonton cerita Hindustan ‘Man’ lakunan Ameer Khan dan Manisya Koraila adegan terakhir filem Man bila hero mendukung heroin mengelilingi api suci dihari perkahwinan mereka membuat aku teringat sewaktu Mus mendukung aku naik ke tingkat lima seminggu selepas perkahwinan kami…hahahaha… .

Cahaya Laila
5 Dec 2013
Klang Selangor.

No comments:

Post a Comment