Monday 30 September 2013

dicacah pedih


pada lurah sedih
dicacah bilah-bilah pedih
sakitnya tak terlukis
parut dikakis
lukanya digilis
kecewa menitis
setitik
setitik
memenuhi lekuk asa
luluh rasa...

CNM, 30/9/13

JANGAN MENGALAH


Puisi Teka-Teki.


Direnjis sekali
dipilis berkali-kali
bukan najis
diletak di dahi berlapis.

Apakah gerangannya?

Sejenis daun sebagai kata kuncinya.

Sazalee Sulaiman ... 30/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

MAKIN GALAU HATIKU INI


Mentera raja.


Kutabur halus kemenyan cinta
merebak asap semerbak aroma
mengatur langkah mula bicara
bersimpuh duduk beralun mentera

teratai kupetik bersusun di meja
mengharap tetamu datang menjelma
bersatu jasad bersatu jiwa
merayap melata di segenap buana

wahai dara si ayu jelita
datang padaku duduk di riba
akan kudakap dirimu mesra
selagi hidup selagi bernyawa

terlakar senyuman tawanan minda
melirik manis di tangkai muara
menjadi hamba menurut kata
di kamar beradu membelai beta.

Berpimpin tangan di alam syurga bahagia.

Sazalee Sulaiman ... 30/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Segeluk air beralas talam.


Kucelakkan jiwa berinaikan bara
resah di kalbu dicumbu ragu
ubun berpayung ralit merenung
semalam berjanji engkau mungkiri

tinggallah aku menopang dagu
petang berbahang kuulitkan mayang
syair kuilham mentera gurindam.

Segeluk air beralas talam
kutilik mendalam.

Sazalee Sulaiman ... 30/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Sebuah Prosa Di Titik Resah.


Milik siapakah sekeping hati yang gundah. Menambah resah pada mata yang gelisah. Menatap wajah di sebalik purdah. Aku tertewas; aku kalah.

Inginku menyerah, bersuluh arah.

Sazalee Sulaiman ... 30/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Gurindam Jiwa.


Renda langit terkuak, terbuka
langsirnya lusuh bersenggol jendela
menyanggul awan titik sebentar
cahaya menyelit di bayu menampar

dan embun menyepi 
mengemisnya di pangkal gigi
hilang bersaksi
di saat mentari mula meninggi.

Gurindam jiwa 
membindu minda 
larikan kata
mengolah rasa

... pagiku bercanda.

Sazalee Sulaiman ... 30/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Kuzahir Syair Di Maya Fakir.


Suria pagi menjeling lesu
bagai ada penghalang lalu
ditumbuk rusuk disiku kalbu
senak terasa dipalu-palu.

Senyum sang suria terasa kurang
dihambat bayang awan menambang
bergulung-gulung di langit bidang
mungkinkah tangisan merenjis jelang?

Aku di bangku sejuk di rusuk
dingin menampar bayu menumbuk
kipas kupasang lena menjeruk 
tidak kupasang nyamuk mengamuk.

Kugagahkan jari menari syair
walau mengantuk mata berair
ilham membeku minda menyalir
di dada maya jelas kujelir.

Di bangku usang syair terlahir.

Sazalee Sulaiman ... 30/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

50pp: Motivasi Pagi


...jika berkehendak jangan mudah mengalah, 
berusaha sebelum berserah, 
usah berhelah, 
sepatutnya terus tabah,
kena kreatif mengolah,
mencari jalan mencerah,
atasi masalah,
berdoa kepada Allah,
usir gundah,
semoga dipermudah,
segala pekerjaan sempurnakan sampai sudah,
sedikit lelah,
akan berbayar dengan hasil berfaedah,
pasrah dengan ketentuan Allah,
reda takdir-Nya adalah ketetapan yang terindah...

CNM, 30/9/13

PANTUN MOTIVASI


Ke Pulau Indah memburu rusa,
berhenti rehat solat didahulu; 
jangan mudah berputus asa,
tekad dan semangat suburkan selalu.

Buah berangan lebat di dusun,
rantingnya bertemu si dahan pauh;
rebah jangan hingga tak bangun,
kerana perjalananmu masih jauh.

Pergi berjual di Pasar Tamu,
dibeli nyonya burung tekukur;
andai gagal membatasi usahamu,
jangan jadikannya kayu pengukur.

Di Kuala Kedah bahtera dilabuh,
mencari bahulu dan ubi rebus;
jangan mudah untuk dipengaruh,
berfikirlah dulu sebelum terjerumus.

Di Kuala Gula mengail tenggiri,
penuh sebakul seronok terasa
kekalkan segala jati diri,
negara bangga mampan sentiasa.

Qalam Bertinta
Klang
30092013
0003pm

Sunday 29 September 2013

MAAFKAN AKU


OMBAK RINDU


kubiar
angin bayu
membelai..
bersama
ombak
membadai..
berbisik
rindu bagai
terbuai..
nyanyian
sang camar
kasih
termetrai...

sue
29/09/13


SYAIR KASIH SUAMI ISTERI


Dengarlah tuan ceriteraku ini,
Syair pesanan kehidupan ini,
Suami isteri hendak harmoni,
Aman dan damai laki dan bini.

Suami isteri saling memahami,
Pahit manis sama mengalami,
Cinta nan suci kental bersemi,
Hati dan nurani sama diselami.

Hidup sebumbung suami isteri,
Saling membenci usah menari,
Mesra hubungan setiaplah hari,
Tangan bahagia jangan bergari.

Hidup bersatu setianya di sisi,
Dililit kelukaan sama ditangisi,
Sehati sejiwa sesama berpaksi,
Detik bahagia sama berkongsi.

Hidup berkeluarga cari rezeki,
Harta sepencarian sama miliki,
Jangan diungkit jangan dijaki,
Dana keluarga arkiteknya laki.

Cahaya mata teramat dinanti,
Tanda bukti percintaan sejati,
Ragam anak sama dimengerti,
Di malam hari bergilir berganti.

Melentur anak ambillah peduli,
Suami isteri berperanan sekali,
Memantak nasihat biarlah lali,
Buruk sahsiahnya akan diperli.

Rumahku syurgaku bisa terjadi,
Cinta bahagia utuh bersemadi,
Kasih nan jernih luhur dimandi,
Membelai asmara jangan melidi.

Mahligai cinta hingga ke mati,
Kasih sayang tentulah mesti,
Lidah tergigit sesekali gerenti,
Suami dan isteri sabarlah hati.

Pergi melancong bisa sesekali,
Terhibur hati tidak dapat dibeli,
Cinta muram berubah kembali,
Dirawit bahagia menjadi mangli.

Wahai isteriku kulafazkan janji,
Kasihku setia berpagarnya jeriji,
Rindu di kalbuku bukan bergaji,
Damak cintaku setajamnya taji.

Tamat sudah syair yang kuberi,
Alkisah cerita si suami dan isteri,
Sebagai panduan seandai selari,
Jika tak berkenan daku susun jari.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
The Orient Star Resort,
Lumut, Perak.
29.9.2013 (Ahad)
Jam 8.00 pagi.

*Inilah “buah tangan” yang kubawa balik sempena Hari Keluarga Sek Men Sri Tapah, Perak (Tempat mengajar isteri tersayang, Pn Mahani Mokhtar) pada 28 - 29 Sept 2013. Terima kasih.

Terpampang jua.


Di lantai ini aku telanjang
dibogelkan 
oleh kamu yang sentiasa peka 
dalam pemerhatian
mencari peluang
dan ruang
mengintai dalam kesamaran
menanti masa dan ketika
yang sesuai
untuk melucutkan keegoaan
aku.

Sehingga akhirnya 
tertewas juga aku, dalam kekaburan 
yang sengaja aku kabuskan 
tentang cinta, cintaku terhadapmu.

Aku mengaku
aku amat, teramat
amat menyintai kamu
... kekasihku.

Sazalee Sulaiman ... 29/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

MENGAPA


mengapa
ada rindu..
sedang
semalam
kita baru
berjumpa..
melepas rasa,
bicara mesra..
apakah sayang
bercambah
cinta..
hingga tak
mampu
berpisah
seketika...

sue
29/09/13


PESAN ABANG (Sambungan dari sajak PESAN KAKAK oleh Cahaya Laila)



Dik!
ingin abang berpesan padamu
tentang sebuah harapan
yang sering engkau luahkan
di mukabuku ini
untuk satu cinta
yang mungkin engkau dambakan.

Dik!
puisi abang mungkin mengasyikkan
bait-bait kata yang abang susun
mungkin bisa mencairkan hatimu
namun ketahuilah dik
puisi abang hanya imbasan pengalaman
atau mungkin juga lantunan perasaan
dan mungkin juga mainan ilusi
lalu abang terjemahkannya
dalam susunan aksara
yang kita namakannya puisi.

Dik!
abang berkarya kerana minat
juga kerana sedikit bakat
yang dianugerahkan-Nya
bukan untuk dipikat
apa lagi untuk abang memikat
kerana hati dan cinta ini
sudah lama terikat
kata dan janji sudah sepakat
akan bersama di dunia dan akhirat
bersama Cahaya Laila cinta telah abang nobat.

Dik!
pesan abang
jangan cuba berteduh
di bawah naungan cinta
yang telah ada penghuninya
dan pesan abang lagi
jangan mudah menyerahkan cinta
pada kenalan yang hanya dikenali
di mukabuku ini
kerana di sini
lebih banyak yang hipokrit dari yang jujur
lebih banyak yang palsu dari yang asli
jangan sampai engkau kecundang
dan menangis dalam rentak yang menggila
yang engkau sendiri
tidak akan tahu akan iramanya.

Pesan abang yang terakhir untukmu dik
jaga adab sopanmu sebagai gadis melayu
dan yang penting jaga maruah suamimu
andai engkau sudah bergelar isteri.

Ingat pesan abang yea dik... .

Qalam Bertinta
Klang
29092013
1149am

50pp: Motivasi Pagi


...demi masa,
manusia sesungguhnya leka lagi alpa,
terjebak dengan hal-hal tak bermakna,
meletakkan diri dalam kancah terhina,
tak peduli akan pahala dan dosa,
tidak takut kepada Yang Esa,
marilah rebut yang lima sebelum datangnya yang lima,
sesungguhnya bekalan yang baik ke sana adalah takwa,
yang mampu menyelamat dari azab murka-Nya...

CNM, 29/9/13

Namamu.


Kuiringkan doa 
di kelambu semalam
berjuraian
di kamar bernama hati
dan rinduku pun 
bertamu
di bibir kalbu
resah

aku menyebut namamu.

Sazalee Sulaiman ... 29/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.


Sendu Dan Airmata.


Dalam dakapan sendu
kuterlihat
seraut wajah kusam
mengalir duka
airmata.

Pelbagai persoalan
bermain di benak hati
cuba merungkai
persoalan
kenapakah gerangannya?

Apakah ini kerana diriku?

... jika benar
maafkan aku yang terleka
akan kilauan kaca
sehingga terlupa, engkau
terseksa.

Akan kuseka airmatamu
dan relalah aku meneguk juraiannya
semoga bahagia
kita, tanpa kilauan kaca dusta
merentangi, cinta kita.

Sazalee Sulaiman ... 29/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.


Saturday 28 September 2013

Seremban Dua


aku datang bertiga
jumpa yang tiga
alhamdulillah ceria
borak macam-macam cerita
sambil jamu selera...

terima kasih penghulu seremban dua
walau singkat masa
cukup bermakna
bertentang empat mata
kenal mengenal sesama...

syukur atas rahmat-Nya
dipermudahkan acara
mudahan bersambung di lain ketika
dihadiri sahabat semua
merapat ukhuwah alam maya...

CNM, 28/9/13

Pulangnya cucu Nabi SAW.


Menangis kehilangan
orang yang kita sayang
orang yang kita kasihi
pulang ke sisi Allah SWT
kerana rindu
memang dibenarkan
untuk menghilangkan kesedihan
kehilangan.

Seharusnya berbahagialah
bersyukur
kerana mereka telah dijemput 
ke sisi Allah SWT
yang amat mengasihi hamba-hambaNya
yang tawaduk dan tunduk,

pulangnya mereka
ibarat sehelai kain putih 
tidak bernoda
di mata Allah SWT
sehingga harinya nanti
mereka dibangkitkan 
kembali.

Mereka telah dijemput!

Namun ... ,
haruskah kita bernista?
Haruskah mereka yang pulang diraung?
... diratap penuh hiba
apatah lagi
dengan menyakiti tubuh badan kita sendiri.

Dengan meratap, memukul tubuh badan
dengan meratap, mencederakan anggota badan
berdarah
dan ada juga; hilang nyawa
hanya kerana cucu Nabi SAW
seorang hamba Allah yang reda dijemput.

Itu belum lagi kalimah syahadah
yang terang ditokok tambah.

... itukah yang diajar Nabi SAW?

Subhana-Allah.

Sazalee Sulaiman ... 29/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

SEBUAH HAKIKAT


Manik-manik rindu.


... kala ini
tatkala terpandang wajahmu
ada manik-manik rindu
menyimbah kalbu
bergelora
membadai jiwa raga

aku rindu.

Sazalee Sulaiman ... 28/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

10pp:


RINDU YANG HADIR


Hati...
bagaikan kuntuman bunga
yang mekar mewangi di taman hati
bagaikan sang pelangi
yang indah menghiasi.
Rasa itu...
takkan bisa kuusir pergi
takkan bisa kumenafi
kerana...kita saling merasai.

Hadirnya tanpa diundang...
hadirnya tanpa dipaksa
lahir dari hati
yang ikhlas merasai.

Rasa itu hadir...
bersama hadirnya antara kita
lantas menjadi rindu...
tika tak menyapa
seakan hilangnya dicari dan dinanti.
Begitulah...tika rindu itu hadir.

ZIE 28/09/2013


Pesan kakak.


Dik!
jangan suka bermain api
nanti yang melecurnya engkau juga
dik...
jangan suka menumpang
dahan yang sudah berbunga
kelak berdarah tertoreh durinya.

Engkau masih muda
hidupmu bagai pelangi
penuh warna warni
lihat lorong di hadapanmu
begitu luas terbentang
penuh cemerlang.

Mengapa pendampingku juga yang kauidam
rasa ingin ketawa bimbang kauterluka
tidakku bersedih dik
malah belas dengan rayuanmu.

Kembalilah dik
ke pangkal hidupmu
moga bahagia sentiasa milikmu.

Cahaya Laila
28 Sept 2013
Klang Selangor

Fitrah


kalbu gendut
malam berdangdut 
siang melurut 

semalam menyedut
hari ini mengangkut
esok sangkut
terjerut.

Memboyot - mengurut
memetut - memecut
memarut - menghenjut
membuntut - mengecut
melaut - melikut
parut.

Dunia disedut akhirat dicarut
dikatakan pula mengarut
kuburnya hotel Harold
enam bintang disebut-sebut

nafsu diturut
tidak pernah nak surut
kemaluan terlucut
menyusut.

Fitrah manusia semakin merosot.

Sazalee Sulaiman ... 28/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

~Respirasi Hati~

... dari sepatah perkataan
aku bermula
melakar kata gabungan ayat
membudayakan jiwa

berkoyan-koyan suku kata menghiasi
dari kamar minda aku terjemah
di kanvas maya
aku meluahkan, rasa hati

kutambahkan pula perisa
bunga bahasa
sebagai landskap mencantikkan isi
contengan menjadi seksi

indah dirasa molek dicerna
pembaca mengerti
dapat diterima
itulah kepuasan penulis bersaksi

tercipta dari proses ... ,

~Respirasi Hati~

Sazalee Sulaiman ... 28/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

50pp: Motivasi Pagi


...apa nak dipeduli,
orang hanya pandai menuding jari,
itu ini,
begitu begini,
yang tanggung kita sendiri,
untung kalau ada anak bini,
mungkin mereka boleh mengerti,
orang luar memang ramai yang menyakitkan hati,
jadi yang penting motivasikan diri,
mantapkan peribadi,
sentiasa positif menjalani hidup hari ke hari,
mudahan urusan dipermudahkan Ilahi...

CNM, 28/9/13

Demi tugas


tujuh hari seminggu
sebulan tigapuluh satu hari
demi tugas rela kugalas
ikhlas dalam cerdas.

Tidak terculas.

Sazalee Sulaiman ... 27/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

~Monolog Laptop~

"...aku
kepanasan
melekit badan
peluh masin bertetesan
jemarimu tak henti menekan
comot seluruh badan
debu-debu hapak berserakan...

tolonglah tuan
tolong sesekali bersihkan
tolong sesekali tisukan
tolong sesekali lapkan
biar suci berkilat permukaan
cantik bersih kelihatan
ideapun datang dalam nukilan"...

~Monolog Laptop~

MONOLOG DIRI 2


Ah!
aku tidak peduli
tentang omongan 
yang berbasa-basi
memalit madu
dalam racun kata
wajah syaitan
bertopengkan malaikat.

Aku hanya aku
seperti dulu
juga untuk seterusnya
masih tidak peduli
onar mungkar
pengikut Dajjal.

Hidup ini singkat
hanya sekerdip
kelipan mata
dan mati
bukan pemutus.

Qalam Bertinta
Klang
27092013
2137pm

Cinta Digerimis


ayat-ayat romantis
dibisik penuh puitis
rindu pun menitis...

senyuman manis
diukir buat si gadis
hatinya tercuit habis...

cinta digerimis
kasih sayang tak terhakis
menebal bak kumis abang polis...

CNM, 27/9/13

Cinta Ketat


duduk rapat-rapat
debar mengelejat
kasih tertambat...

peluk kejat-kejat
nafas tersekat
rindu berselirat...

cinta ketat
cinta beradat
bahagia dunia akhirat...

cinta ketat
impian umat
penuh berkat...

CNM, 27/9/12

Cinta Tertancap


dikhianat
hati disiat-siat
cakaran menyengat...

perasaan dikerat-kerat
ditipu bulat-bulat
diulat-ulat...

ralat
telah diperalat
sandiwara berhajat...

cinta tertancap dek muslihat.

CNM, 27/9/13

Cinta Merayap


bagai bersayap
merayap-rayap
tidak menetap...

tanpa sebab
tanpa cakap
dibiar tersentap...

tak ingin dihadap
sakitnya menghempap
terbakar jiwa berasap...

cinta merayap
jagan diharap
ia hanya perangkap...

CNM, 27/9/13

Friday 27 September 2013

RINDU KAMU


Cinta Berkurap


tetiba putus harap
darah menyirap
hati tertiarap...

rindu meruap
kasih disentap
jiwa meratap...

terhinggap
cinta berkurap
gatalnya menyulap...

terhendap-hendap
tercungap-cungap
muka naik sembap...

CNM, 27/6/13

Aroma rindu di hati


... telah beraroma
harum mewangi
cinta bersemi 
di hati
gurindamnya sunyi
tersenyum aku bersendiri
melayan resah
rindu
dan gelisah
di kalbu
bagai bersayap
bertebaran merata 
pelepah,
pelepah kasturi
di malam, sengsara.

Aroma rindu terbit di hati.

Sazalee Sulaiman ... 27/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.


SAAT INDAH


PANTUN LUCU (MANUSIA)


Kenyang sendawa sampai terbelahak,
makan keladi bersambalkan kuini;
atuk ketawa terbahak-bahak,
nenek mandi pakai bikini.

Ayam mengais cacing di beting,
terkejut sakan disergah merpati;
atuk menangis terguling-guling,
gigi palsu dilarikan oleh mak menti.

Memasang panjut di Kampung Sawah,
ketawa mengilai si orang sakai;
nenek terkejut mulalah melatah,
hingga terburai kain dipakai.

Masak kari dan sambal belacan,
untuk dibawa pergi memancing;
ayah menari berzapin sakan,
emak ketawa sampai terkencing.

Gulai nangka tumis darat,
sambil makan bermain catur;
julap disangka kepingan coklat,
di depan jamban mulalah beratur.

Mengutip kulat dan daun pegaga,
berkain pelikat memungut koko;
orang melihat mulut ternganga,
sudah bertongkat masih ke disko.

Qalam Bertinta
Klang
27092013
1113am.

TERPANAH GELISAH.


Redup mata
asyik memandang
tiada kata
secantik bahasa luahan 
jiwa ingin melakar
hasrat, bergarisan pusat
terpesona.

Ya Allah aku memuji-Mu
ya Allah aku mengagumi diri-Mu
ciptaan-Mu
tidak dapat aku sanggah
kecantikan seumpama mawar merah
di hati,
memanah resah.

Aku gelisah.

Sazalee Sulaiman ... 27/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.


SATU MINITMU 4


RAMA-RAMA


Rindukah kamu kepada aku?


... setelah semalam yang bertamu
mula berlalu, bertemu kita melepas rindu
di aras resah lelah di kalbu
membelai cinta, dua jiwa diakadkan satu
walau hanya di batasan waktu
rindu kita bertemu.

Rindukah kamu kepada aku?

... aku rindu.

Sazalee Sulaiman ... 27/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

CERIA SELALU


TAWAKAL.


Salam selamat pagi Jumaat semoga berkat
segala yang diusahakan urat belikat
kena mengerti harus beringat
bukanlah hak kita untuk menyukat
kita hanya mampu menyikat
kita hanya mampu membetung bulat
apa yang kita buat, apa yang kita hasrat
selebihnya serahkan pada iradat dan kudrat 
Ilahi Yang Maha Hebat akan menobat.

Menyimpan itu hebat, menabung itu syafaat
di masa darurat datang menghambat.

Sazalee Sulaiman ... 27/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

50pp: Motivasi Pagi


...iri, hasad dengki, busuk hati dan apa saja perkataan seerti, ini sifat keji, dibenci, tidak disukai, malah dimurkai Ilahi, jadi cuba sedaya upaya jauhi, jangan sesekali mendekati, mudahan kita tidak tergolong dalam kalangan yang rugi, tiada yang sudi menghampiri, dijauhi, dek buruknya peribadi, akhirnya bersendiri, menunggu hari membawa ke mati...

CNM, 27/9/13

Hebatnya dia


hebatnya dia
beri satu kata
terhurai seribu makna
terlerai tanda tanya
tersampai siratannya...

hebatnya dia
ada berpuluh ribu kata
terhimpun jadi rujukan pujangga
dalam satu kata diketahui semua
itu kamus namanya.

CNM, 26/9/13

Alisha


pakcik tidak mengenali kamu
pakcik tidak mengenali wajahmu
pakcik tidak pernah mendengar suaramu
pakcik ibarat si buta: teraba-raba
pakcik ibarat si pekak: tidak mendengar
pakcik hanya orang luar: si musafir yang lalu
tidak tahu apa yang berlaku
di dalam dapur rumahtangga mummymu.

Tetapi Alisha;

pakcik dapat rasakan penderitaan di hati mummymu
pakcik dapat rasakan rapuhnya dalam keampuhan hati mummymu
dalam kekuatan diuji Yang Maha Esa
seharian bahkan selama hayatmu; mummymu
berendam si airmata
tertumpah bagai bah tidak terkira
tidak terempang
hanya kerana bersyukurnya mummy
dapat berbakti dan berkhidmat
menerima amanah kurniaan Ilahi
teruji dalam keterujaan
sangkar kasih
kasihnya terhadap dirimu.

Alisha
engkaulah permata mummymu
kaulah penguat semangat mummymu
engkaulah sumber inspirasi,
mummymu.

Senyumlah Alisha
demi kedukaan di hati mummymu
yang amat menyintai
kamu.

Sazalee Sulaiman ... 26/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Thursday 26 September 2013

SYAIR AKHLAK MULIA


Segala puji-pujian kepada Allah,
Bermula syair dengan Bismillah,
Akhlak yang mulia diri terserlah,
Janganlah berlaku budimu relah.

Akhlak berasal bahasa Arab,
Akhlaq bererti perangai kerap,
Moral dan etika indah diharap,
Budi pekertimu usah terperap.

Diri berakhlak dihormati orang,
Di mana-mana tidak dilarang,
Memegang luhur tiada curang,
Iman teguh menjauhi dilarang.

Jaga akhlakmu jangan dicemari,
Seindah lakumu tidaklah berlari,
Inilah permainanmu sehari-hari,
Santun budimu tidaklah terperi,

Insan berakhlak disanjung selalu,
Kesempurnaan diri sangat perlu,
Sesiapa melihat tidaklah berbulu,
Memilih menantu ini dilihat dulu.

Nilai-nilai positif menjadi amalan,
Karakter yang baik selalu ditelan,
Perangai dursila jangan berjalan,
Dipandang orang jadi mengkelan.

Akhlak yang cela jadi cemuhan,
Tentu ibu bapa dihimpit keluhan,
Kelakuan buruk kena bantahan,
Perlu berubah biarpun perlahan.

Kesucian diri hendak dipelihara,
Zahir dan batin usahlah cedera,
Di hadapan Allah akhlak mesra,
Depan orang tua santun bicara.

Nabi Junjungan baiknya akhlak,
Sunnah baginda jangan ditolak,
Mengandam diri indah bercelak,
Khalayak melihat tidaklah jelak.

Membina akhlak hablun minannas
Cantiknya ukhwah jangan dirunas,
Dulang silaturahim menjadi panas,
Maka keharmonian bertukar ganas.

Akhirul kalam syairku tamatkan,
Andai berguna di hati sematkan,
Pesanku buat teman dan rakan,
Kalau tak sudi janganlah makan.

Wallahu’alam.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
35500 Bidor,Perak.
26.9.2013 (Khamis)
Jam, 5.00 petang.

IMAGI


Bagaimana kalau bulan tidak lagi bercahaya
lalu matahari senyum di malam gelita
kalau angin berhembus panas 
mengasap liang roma yang tegak
atau kita menapak di langit
tidak kaki menjejak bumi.

Pernahkah imagi menjangkau
andai dunia boleh digenggam
lalu tangan menghempas
melihat beburung merayap
dan lipan terbang di laut dalam
atau hati dapat dibasuh
hasrat nyata tiap ketika.

Kalaulah hari dan waktu dapat berhenti
dan kita pun menyusun kembali
sedemikian sempurna.

Janji yang terlupa
mimpi yang terjaga
hasrat yang padam
puisi yang tertunda

Dan kita pun menjadi orang
tidak lagi memburu bayang
dari sekecil hama
benar- benar menjadi manusia.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
26 Sept 2013
11 23.am

SATU MINITMU 2


SATU MINITMU 1


Berikan aku.


Berikan aku sehelai sireh
bertemu urat berkapur putih
untuk aku manterakan kasih
mereneh
rindu yang aku tasbih
tersengih.

Berikan aku sekuntum mawar
usah cuak usah gusar
akan kuselitkan di sanggul ikrar
melata di tilam gebar
cinta tidak pudar
mekar.

Berikan aku sedikit waktu
untuk engkau mengenali siapa aku
dan cinta pasti bertamu
di hatimu
bersemayam seorang aku
nakhoda perindu.

Berikan aku ... hatimu.

Sazalee Sulaiman ... 26/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Lukisan hati


... awan bagai sebuah lukisan
bergurisan
bergerak dalam garisan
menampar dinding langit mengawan
memayungi alam kehidupan

bercahaya suram
terkadang terang terkadang hitam
di bawahnya kelam
berbalam
mungkinkah langit bersiram

di dada bidang ini
terhimpit sepi
berseorangan berdiri
di batasan duri
mencongak erti mimpi.

Di sebalik adunan realiti 
sebuah lukisan kehidupan; di hati.

Sazalee Sulaiman ... 26/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

SENYUM DALAM PENANTIAN


penantian itu menyeksakan,
penyeksaan itu menyakitkan,
lebih sakit bila menanti,
menanti pada yang tak sudi..

rindu itu indah,
bila rindu berbalas,
tapi jadi sakit,
bila rindu menjadi tepu,
kerana yang dirindu tak tahu...

senyum itu penawar duka,
senyum juga tanda bahagia,
tapi senyum jadi hambar,
bila senyum kerana terpaksa,
bukan senyum seikhlas jiwa...

sue 
26/09/13

dedaun


Seloka Tengari.


Mentari di ubun
mata berselaput rabun
perasaan tersagat pantun
minda mula berkebun
di bawah pepohon 
buahnya merimbun, berduyun-duyun.

Sungguh anggun
atur langkahnya menghayun
jalan tersusun
pinggul beralun-alun
memegun
dadanya meruntun, santun.

Anak dara siapakah gerangannya?

Sazalee Sulaiman ... 26/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

SATU MINITMU 3


WARKAH AKHIR BUATMU


warkah ini..
warkah terakhir buatmu,
usah ditanya lagi,
andai suatu saat kaurasa 

kehilangan...

tintaku telah kekeringan,
menanti balasan warkah
darimu.. tanpa jemu..
dan kini hatiku telah mati,
tak mungkin kembali..

bersama janji kubawa bersama,
berteman rindu yang terbiar,
dan warkahku yang kian pudar,
hati yang kian rawan,
engkau bukan lagi pujaan...

sue
25/09/13


50pp: Motivasi Pagi


...kukira konsep memakmurkan, idea Tun M bertepatan, boleh diterapkan, dalam kehidupan harian, ya, Tun M cuba memakmurkan negara serantau yang berjiran, dan negara turut mendapat kesan kebaikan, jadi mengapa tidak kita memakmurkan yang duduk bersebelahan atau dengan kata lain rakan-rakan, jika orang di sekeliling kegembiraan, bukahkah kita turut mendapat kesejahteraan...?

CNM, 26/9/13