Monday 31 March 2014

JERIJI BESI MENUSUK HATI


Kehijauan
memukau mata
mempersona
damai suasana
indah.

Di situ ada kali
nyaman dan dingin sekali
mergastua membasahi
manusia merenangi, menikmati
riang berkongsi.

Hutan dara bongsu
tidak terusik dek siku
ganas dan rakus bernafsu
menjarah perdu
membakar tisu.

Tapi! ... itu dulu
duapuluh tahun dahulu
zaman kanak-kanakku
riang bersama temanku
bermain buru-buru.

Kini tiada lagi
yang tinggal jeriji besi
menusuk hati
hutan dara hilang seri
besi-besi berkarat di sendi.

Atas nama pembangunan
diselongkar serata hutan
raksasa mengaum kedahsyatan
meninggalkan kesan
pokok-pokok kebakaran.

Bergumam aku
tidak terluah dari tekakku
suara bisu
bicara apa lagi dapatku
luahkan sedihku.

Anak-anak berkata
"Ayah tipu! Di mana tempatnya ayah berkubang?
Membuat terjun tiruk bersama rakan sepermainan.
Di mana hutan? Di mana keindahan?
Tak nampak pun!
Yang ada hanya jeriji besi"

Ahh! ... ,
harus bagaimana ingin aku terangkan?
Harus begaimana dapat aku buktikan?
Gambarnya tiada yang tinggal hanya kenangan
abadi di lubuk ingatan
tidak dapat aku kongsikan.

Kehijauan dahulu telah tiada
kedinginan dahulu telah dicemari manusia
mergastua telah berhijrah ke kota
di tembok batu bernama zoo negara
termenung memerhati
manusia yang tamak haloba.

Sedihnya rasa ... huh!

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
31/03/14.

DI PINTU SYURGA


DIKALAKU KESEORANGAN


PANTUN


BICARA SEPI


Semalam aku mati
hari ini aku bangkit kembali
dari terkujur sepi
meneguk nikmat diberi
yang seringkali aku mungkiri.

Syukurku ya Allah!

Dikaulah Yang Maha Pengasih
Dikaulah Yang Maha Penyayang
Dikaulah Yang Maha Pemberi
Dikaulah Yang Maha Suci.

Selawat serta salam juga untuk kekasih-Mu.

Amin amin amin ya Rabbulalamin.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
31/03/14.



Sunday 30 March 2014

MERAYU GERIMIS DI PUNCAK KEMIS


Menyinggahlah
buat apa engkau ikut semilir
jika hanya sekadar mahu berlalu
tanpa singgahan tamumu.

Pintu telah kubuka
luas kangkangannya
tiada kasta
dalam menyambut kamu bertamu.

Lama, sudah sekian lama
dari pagi membawa ke senja
peluh hamis tidak terkira
lencun bajuku hitam di kolar.

... .

Kiranya engkau tahu... ,

tanah kupijak telah merekah
bahang menampar hawanya resah
ubun terbakar bagaimana untuk berludah
terjelir lidah sumur membuncah.

Singgahlah!
Kalau itu yang dikau mahu dengar
kemis rayuan dari ego yang hambar
terkikis dalam bujukan tawar.

Singgahlah!
Aku masih ingin merayumu
sudilah kiranya engkau bertamu
sebelum peluh menyejat ... ,
di saharaku.

Aku merayu gerimis bertamu.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
30/03/14.

GURINDAM BERDANDUT


Ayuh berdandut
melenggang segala isi perut.

Ayuh berdandut
menghilangkan perut yang gendut.

Ayuh berdandut
usah dilayan kepala berserabut.

Ayuh berdandut
kelak muka berkedut-kedut.

Ayuh berdandut
pagi menyambut senja menurut.

Ayuh berdandut
buangkan kusut tinggi membusut.

Ayuh berdandut
tenangkan kepala lutut.

Ayuh berdandut
yuk!...kita layan dandut.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
30/03/14.



MERANJUT MIMPI


Teori Paradoks Klein: ZARAH MENEMBUSI SAWAR BESAR


Kemungkinan-kemungkinan
kebarangkalian-kebarangkalian
kebolehjadian-kebolehjadian.

Teori sekecil zarah
bisa menembusi sawar besar
mampu memalukan seandainya benar.

Di mana asas pengumuman?
Berakhirnya penerbangan di dalam lautan
pencarian sedang dan masih dijalankan.

Dunia ralit memandang
persada tumpuan
memungkinkan hilaian tertawa.

Maruah calar-balar
terpampang
dihidang gelandangan.

Orang suratkhabar,
... fikirkan!

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
30/03/14.



Saturday 29 March 2014

LUKISAN HATI


CINTA SATU AMANAH


Andai sepi itu indah
di awan nimbus aku bermadah
bergema guruh ungkap meluah
terpercik api datang meludah.

Andai rindu itu resah
di hujung bumi aku menyinggah
melakar potret berkanvas cerah
berona darah pekat tersimbah.

Andai cinta itu lumrah
di laut rakus aku menyanggah
memintal ombak bergulung tadah
tidak menyerah tidak berserah.

Seandainya cinta satu amanah.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
29/03/14.



PASTI


DUNIA PEMENTASAN


Di pentas kehidupan
kaulaksana seorang penari
yang sedang menarikan
tarian barongan
bertopengkan binatang.

Di pentas khayalan
kaulaksana seorang pelakon
yang sedang melakonkan
lakonan sufi
berwatak keagamaan.

Di pentas nyata, apakah watakmu?

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
29/03/14.

LANGIT SEDANG BERCANDA


Di dada langit wajah kusam dan gelita
di dada bumi peluh mencurah tiada hentinya.

Kutuam hangat dalam peti sejuk beku.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
29/03/14.

PERINGATAN-NYA II


Cukuplah peringatan dalam hinaan
pesawat hilang dari pandangan
sehingga menjadi tatapan dan bahan sindiran
tikar terbang dijadikan paparan
perkara syirik tidak tertangan.

Jangan sampai Allah turunkan kehancuran
kerana akidah diperkutak-katikkan
kerana kekasih Allah dihina orang sembarangan
kerana rambut wanita dikatakan bukan aurat wajib diselindungkan
kerana orang besar mempertahankan kemungkaran.

Bersyukurlah!
Allah masih mahu memberikan peringatan-Nya
tapi ... ,
sampai bila?

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
29/03/14.

SECUKUP TENGGOROKAN


KISAH PAK MAIDIN DAN KASSIM BABA


Pak Maidin sudah nyanyuk
membidas kata berjari telunjuk
bagai nyamuk sedang mengamuk
di tepi telinga dia menyebuk

dikatakan biar bersederhana
dalam penahanan si Kassim Baba
katanya Kassim Baba dah tua
tak perlu bengis dalam menahannya

sudah lupakah Pak Maidin
setiap organisasi ada pemimpin
ada cara ada disiplin
dalam maskulin dalam feminin

apa ceritanya Pak Maidin dan Kassim Baba
menambahkan kemusykilan di hati seorang hamba
sehingga Pak Maidin beria-ia mempertahankannya
sehingga jabatan agama dikambing-hitamkannya

pintu gua jangan dibuka sebarangan
apatah lagi disentuh tangan
menghina agama dan aurat perempuan
sehingga Nabi dikatakan, didewa-dewakan

Pak Maidin kena faham
perkara pokok yang dikatakan kejam
akidah harus dipertahankan tidak dipejam
menghina Islam haruslah direjam.

Bala dan hinaan Allah jangan dibuat-mainan.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
29/03/14.

INGIN KUCURI MIMPIMU


Jika hujan adalah lukisan
biarkan langit menangis
kusembunyikan air mata ini
di sebalik deras titisannya
sekujur tubuh ini akan menanti
untuk engkau bawakan cinta
bersama larik-larik kata
yang engkau tulis dalam puisimu
kerana biarpun di balik jendela berdebu
aku akan terus menunggu
dengan hati yang penuh rindu.

Telah lama kupeluk erat jiwa dengan cinta
sering kuberniat mencuri mimpimu
untuk kujadikan aksara indah esok pagi
pada jiwamu
tika hatiku merindu
lalu kita pun bertafakur di dinginnya masa
biar pelaminan hening memapahmu
sebelum siang menuba langit malam
juga dalam simbol sebuah rayuan
pada angan yang penuh kedamaian.

Qalam Bertinta
Klang
29042014
0345am

Friday 28 March 2014

PERINGATAN-NYA


Telah terpukau mata si buta
telah terkuntau hati haloba
telah tersilau jiwa durjana
telah terpulau jasad merana.

Masihkah galau dalam gelita?

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
28/03/14.

SELOKA PETANG


Guruh berdentum
di langit benderang
mungkinkah hujan
menimpa bumi
kabutkah itu
atau jerebu berdebu
mata memandang
pedih bergaram
ubun berdiang
tubuh yang lencun
ketiak yang asam
mmm... ,
kuhidu wangi.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
28/03/14.

GURINDAM: CONTOH MELALUI TELADAN


Buatlah seperti apa yang engkau mahukan,
jangan kaubuat seperti yang tidak engkau mahukan.

Engkau berkata tentang kesalahan,
jangan pula engkau yang melakukan kesalahan.

Kotakan apa yang engkau katakan,
jangan kotakan apa yang bukan engkau katakan.

Engkau meletakkan kesalahan di bahu orang,
jangan pula engkau melakukan kesalahan di mata orang.

Berilah contoh melalui teladan,
jangan diberikan contoh yang tidak berteladan.

Engkau mencari kambing hitam untuk dipersalahkan,
jangan pula engkau jadi tikus mondok menyorok apa yang dipersalahkan.

Bercakaplah seperti yang serupa bikin,
jangan bercakap yang tidak serupa bikin.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
28/03/14.

Tragedi @ Konspirasi Keji?


Hilangmu satu misteri
pakar buntu apa terjadi
tragedi atau konspirasi keji
keduanya perlu diselidiki
tiada satu mampu ditolak tepi

Ya Allah yang maha mengetahui
tunjukkan kami bukti
jika ia satu tragedi
mudahan keluarga mudah meredai
jika ia satu konspirasi keji
biar satu dunia tahu agenda tersembunyi

Kepalsuan yang dirancang
kelihatan amat sempurna
namun
ia tetap palsu selamanya
kebenaran pasti akan tiba
mari berdoa pada Yang Esa.

CNM, 28/3/14, BBB.

GURINDAM: JUMAAT YANG HEBAT


Secepat waktu tidak menunggu,
Jumaat malamku senyum mendagu.

Di hari Jumaat semua nak cepat,
lutut yang ketat lenguh dibuat.

Penat bekerja peluh mencurah,
Jumaat bercahaya mindaku cerah.

Menumbuk cili di pagi Jumaat,
kugosok hati mencari syafaat.

Mata meleleh syafaat dihidu,
harta dibersih Jumaat merindu.

Lihat pelita di atas para,
Jumaat bahagia sesama saudara.

Jumaat wajib ingat di dada,
umatnya tertib doa baginda.

Pergi ke masjid sembahyang Jumaat,
mulut berkumit banyak selawat.

Rindukan Nabi selawat syafaat,
rindu ya Rabbi Jumaat bersolat.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
28/03/14.

PANTUN: DI HARI LAHIRMU


Dedaun resah penuh berduri,
tangkai ikatan menambat jati;
Pantun kuserah pengganti diri,
rungkai ingatan sahabat hati.

Mentari petang senja mendulang,
rahsia alam pundak bertali;
Sehari datang uja menghilang,
usia silam tidak kembali.

Di dada lelah duduk di pohon,
melepas penat membuang duri;
Kepada Allah kita bermohon,
semoga mantap sihat diberi.

Di hari minggu aku ke pekan,
semalam penat menggali sumur;
Di hari lahir aku ucapkan,
salam selamat berganti umur.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
28/03/14.



Thursday 27 March 2014

ADA DOA KUSEDIAKAN


YANG TERSURAT


Aku dan alat
sentiasa aku kulat
di tiang hasrat
aku jilat.

Tulisanku itulah alat
coretan berjulat
pena berjihad
kudrat.

Alatku mencari makrifat
arah kiblat.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
27/03/14.

RENUNGAN


'Nak seribu daya tak nak seribu dalih'

Kalau kita mahukan sesuatu, kita akan berusaha mendapatkannya dan menjadikannya milik kita. Bukan sekadar omongan kosong yang tiada berkesudahan, hanya manis di bibir sahaja. Tiada sebarang usaha untuk menjadikannya hak milik mutlak.

"Dalam hal ini, iya!...untuk mendapatkan seseorang yang bernama aku"

Hihihi.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
27/03/14.

TERUNGKAI KASIH


JALAN PULANG


: BILA TIBA HARI KHAMIS (LAGU CAHAYA AIDILFITRI BLACK DOG BONE)


Bila tiba hari Khamis
semua insan kan mengemis
anak-anak menangis
malam disuruh tidur berbaris
mesti cepat sebelum 'miss'

Ayah dan ibu kata mereka
suruh tidur tapi kenapa
kan minggu ni cuti sekolah
tak-kanlah tak boleh 'blah'
cerita tv 'best'lah ayah.

Chorus:
Aduhai anak-anakku cubalah kaudengar sini
malam Jumaat tak baik tidur lewat
nanti momok merasuk di kala kausedang tengok
nanti dia memeluk.

Pergilah cepat anak-anakku
cepat juga tutup lampu
kalau dengar sesuatu janganlah pasang telinga
mungkin itu momok punya kerja.

Ulang chorus;

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
27/03/14.

Wednesday 26 March 2014

MH370: LANDASAN TERAKHIR


Bagai mutiara berderai jatuhnya
mata berbutir embun sahaya
sendu dan raung tertancap di telinga
hati terusik makin menjeruk.

Landasan terakhir karangnya sayu
bagai tidak percaya di situ pengakhiranmu
lautan tebusan ganas menjamu
mungkinkah serpihan dapat kami nisankan.

MH370 doa kami bersamamu
penumpang dan kru terkujur di laut biru
semoga rahmat Allah dicucuri ke atasmu
sayapmu patah di landasan pasrah.

Tangisan terpamir di landasan terakhir.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
26/03/2014.


BAHASA BERIRAMA: 'KUAR'


Gampang-gampangan
alang-alangan
tiada kesungguhan
ala kadaran.

Gampang, dianggap enteng
bagai tiada yang penting
di otak kering
duduk mengereng.

Ada ke patut!

keluar ditulis 'kuar'
ditanya faham apa maksud 'kuar' ... ,

dia kata tahu - dia kata faham
apa yang dia tahu - apa yang dia faham
aku pun tak tahu - aku pun tak faham
melopong nampak gigi geraham.

"Tuan/puan tahu apa maksudnya kuar?"

Pabila bahasa sms diagungkan di dalam karya.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
26/03/14.

RUSIE


RINDU 60



Melayu, Sedarlah!


Aku bawa ke zaman penjajah
Melayu lemah
tak punya apa-apa
jadi hamba bangsa kulit putih
jadi kuli bangsa Jepun
merempat di tanah sendiri
diperkuda.

Setelah merdeka
sedikit kuasa yang ada
jadikan Melayu tamak haloba
gagal bersatu pertahan maruah bangsa
sedang bangsa lain bertepuk ria
pecah belah membarah
tunggulah masa
Melayu hilang segala.

CNM, 26/3/14

GURINDAM: LANGKAH PROVOKASI 2


Colok bukan sebarang colok,
jolok jangan sebarang jolok.

Tebuan bukan sebarang tebuan,
serbuan jangan sebarang serbuan.

Benta bukan sebarang benta,
sengketa jangan sebarang sengketa.

Liberalisasi bukan sebarang liberalisasi,
provokasi jangan sebarang provakasi.

Relau bukan sebarang relau,
pulau akan terpulau.

Ilham bukan untuk didagangkan,
faham apa yang dipersoalkan.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
26/03/14.

SYAIR MH370 DI ANGIN LALU


Berakhirlah sudah usaha menjejaki
telah ternoktah di langkahan kaki
penerbanganmu MH370 telahpun terhenti
di lautan hindi tempatmu bersemadi

segala harapan berkecai sudah
air mata melimpah seakan bawa bah
perit menatang ujian-Mu ya Allah
beratnya bahu menanggung resah

tangisan bergema di dalam dada
mereda di mata sendunya tetap ada
hanya kepada-Mu Allah kami menadah pada
semoga jenazah dipermudahkan temunya

kepada kerajaan teruskan usahamu
walaupun secebis itu yang kami mahu
agar solat jenazah dapat kami jamu
sebagai penanda kuburnya bertetamu

kepada semua teman seruku bergema
tragedi menimpa usah dijadikan jenaka
bersamalah kita rasakan kesedihan mereka
keluarga si mangsa yang tidak menduga

kepada saudara yang kehilangan kasih
kami semua turut berasa sedih
sekalung doa di tangan bertasbih
semoga bersabar ditampar perih

MH370 kulagukan bersyair
tragedi menimpa persada tanah air
janji-Nya Allah tidak kita termungkir
ajal dan maut telahpun diukir

sekian syairku di bawa bayu
berlaguan pilu di dada sendu
doa dipanjatkan kepada Allah yang Satu
cucurilah rahmat-Mu beriringan kasih-Mu.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
26/03/14.

Tuesday 25 March 2014

Air Mata Kepiluan


Biar beribu persoalan
biar spekulasi dimainkan
bertabah selesaikan
tragedi yang tak diudang
jadi sejarah paling dikenang.

Yang berkata-kata senang
yang berdiri sepertimu jarang
tahniah terus berdiri matang
kalau yang lain kukira dah tumbang
tenang, mohon pada-Nya dipermudahkan.

CNM, 25/3/14
Air Mata Kepiluan

Biar beribu persoalan
biar spekulasi dimainkan
bertabah selesaikan 
tragedi yang tak diudang
jadi sejarah paling dikenang.

Yang berkata-kata senang
yang berdiri sepertimu jarang
tahniah terus berdiri matang
kalau yang lain kukira dah tumbang
tenang, mohon pada-Nya dipermudahkan.

CNM, 25/3/14

MAIN TARIK-TARIK TALI


Pangkal tali dipegang
di hujungnya masih bercongak.
Basah ke - terkulai?
Kering ke - tegang?
Entah!
Aku pun tak tahu
aku masih
berkira punya kira.

Sampai di tengah tali
aku memegang.
Terasa basah
tapi masih tegang.
Sedikit kering
dan sedikit terkulai.
Aku masih berkira-kira
tidak mahu berandaian melulu.

Di hujung tali
kurasa kering - tegang
tidak basah
tidak terkulai
tidak patah.
Patah?
Ya tidak patah
untuk aku menarik pangkalnya.

Kutarik tali semampu-bolehnya
penuh berhati-hati
ya lah, kudrat si orang tua!

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
25/03/14.

MENCARI KUNCI


Semalam aku selongkar laci almari
dalam mencari seberkas kunci
usai kelmarin aku letak di dalam laci
tapi mengapa tidak pula aku jumpai.

Hari ini, kunci itu telah aku jumpa
tersorok jauh di bawah meja
yang aku kira dan aku rasa
telah aku selongkar semalamnya.

Mungkinkah aku yang pelupa
atau kunci itu bermain silap mata
tapi aku rasa ada yang tidak kena
mungkin kucingku ingin bermanja.

Satu peristiwa berjuta teori
pelbagai soalan pelbagai persepsi
bermain di minda berkata basi
mungkinkah ada konspirasi.

Kunci kebebasan sukar dicari ganti.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
25/03/14.



MH370 DALAM KENANGAN


Sebuah penantian ternoktah jua
sayapmu nan terluka
rebah di lautan duka
juraian tangis seluruh dunia
sakit hiba seluruh jiwa
luluh seluruh rasa
hilanglah seluruh bicara

MH370 tidak akan pulang kepangkuan
kami maafkan kerana inilah suratan
tinggallah sebuah kenangan
sayapmu nan terluka menghibakan
sejahtera dan damailah bersama tuhan
kami serahkan dan redha akan ketentuan
segalanya jauh dari jangkauan
lemah kudrat setiap insan.

Al-fatihah zat terindah kami hadiahkan
salam takziah buat waris yang ditinggalkan
selamat tinggal MH370, engkau kekal di ingatan.

~AE/250314~
::TintaMataPena::
‪#‎TragediMH370‬

PANTUN TRADISI: BERINGAT-INGAT


Buah mengkudu di dahan tinggi,
masak sebiji idaman hati;
Luah merindu ditahan lagi,
rosak tersaji geleman mati.

Buih di laut cuba dipintal,
buat hiasan hantaran cinta;
Juih di mulut tuba disental,
siat kuisan meneran kata.

Resah gelisah jiwa menadah,
di dalam kamar bermenung kedu;
Desah mendesah tawa meredah,
disulam samar merenung perdu.

Susah menjolok sarang tebuan,
kelak bersagat sakitnya badan;
Usah memeluk bebayang ruan,
balak menyagat peritnya tindan.

Sekali sengat selalu ingat.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
25/03/14.



Titik Akhir


Penantian
penuh harapan
ternokhtah.


Takdir
di Lautan Hindi
titik akhirmu.


Al-Fatihah.

CNM, 25/3/14.

DOA DAN REDA


MH370: SURATAN ATAU KEBETULAN


Engkau hilang
di saat riuh mengutuk
badan meringkuk
terkeroyok.

Engkau kembali
di saat riuh berlapuk
badan dipeluk
berbiduk.

Ya Allah!
Apa yang cuba Kau-tunjukkan kepada kami?
Apa yang cuba Engkau tayangkan kepada kami?
Apa yang cuba Dikau ilhamkan di hati kami?

... .

Dikau permudahkanlah ya Allah!
Minda kami untuk melihat
di sebalik hijab ... ,
tragedi.

Al-Fatihah.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
26/03/14.

Monday 24 March 2014

PDRM - Tan Sri Khalid Abu Bakar


Pelbagai
Operasi dilaksanakan
Langkah pastikan keselamatan
Itulah pengorbanan
Sangat membanggakan


Dari Perlis hingga ke Sabah
Impikan kedamaian
Ramai yang bergantung harap
Anggota PDRM bertindak cekap
Jaga dari kejadian jenayah
Ancaman yang kian bertabah


Malaysia
Aman denganmu
Lupakan kutukan
Anggap ia cabaran
Yang tahu menghargai
Sangat ramai mengerti
Insan-insan sepertimu
Anggota yang sangat berjasa.


CNM, 24/3/14, BBB.

GURINDAM: DIKATA ORANG


Satu orang meludah atas dulang,
dikata orang, orang itu bukan calang-calang.

Satu orang membuat onar di peradaban,
dikata orang, orang itu sengaja mencari beban.

Satu orang bertanya soalan berulang-ulang,
dikata orang, orang itu seorang petualang.

Satu orang sengaja meletakkan kesalahan di bahu orang,
dikata orang, orang itu menconteng arang.

Satu orang menggoncang tiang bangsal,
dikata orang, orang itu memang mencari pasal.

Satu orang faham perkara pokok perbincangan,
dikata orang, orang itu berotak cairan.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
24/03/14.

DIA


GURINDAM LANGKAH PROVOKASI


Sudah gaharu cendana pula,
sudah tahu bertanya juga.

Setiap soalan ada jawapan,
setiap jawapan dipusing soalan.

Air mengalir dalam pembentung,
air berpusing tiada penghujung.

Langkah panjang ada catur,
langkah provokasi disusun atur.

Jangan dituding jari telunjuk,
jangan kelingking berbalik tunjuk.

Kura-kura dalam perahu,
kura-kura kata tak tahu.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
24/03/14.

HILANGKAN KASIH


SATU PERTANYAAN MINDA


Salah siapa?
... seandainya ada yang kebulur
kerana tidak makan
sekiranya makanan telah dihidangkan
di hadapan mereka.

Hanya tinggal untuk disuap
ke dalam mulut sendiri.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
24/03/14.

TETAP MERELAKAN


PETIKAN


"Apa yang engkau nampak tidak sama dengan yang dia nampak. Apa yang dia nampak tidak sama dengan yang aku nampak. Apa yang aku nampak tidak sama dengan yang kamu nampak. Apa yang kamu nampak tidak sama dengan yang kami nampak"

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
24/03/14.



HADIRNYA


JANGAN JADI HAIWAN

"Seekor ibu kucing telah empat kali melahirkan zuriat dari perut/rahimnya. Anaknya yang di kelahiran pertama juga telah melahirkan keturunannya sendiri. Akhirnya anak dan ibu kucing tadi bergelut-maut merebut kawasan yang ada"

Pengajarannya?

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
24/03/14.

RENUNGAN

"Orang yang tidak dapat menerima kekalahan adalah orang yang sering menggunakan 'tetapi' untuk menutup kekecewaan mereka"

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
24/03/14.

SASTERA KITA


Di dalam sastera imej yang digambarkan tidak semestinya imej yang bersamaan. Terkadang imej yang dilihat, dibaca dan digambarkan oleh minda dan akal yang menterjemahkan berlawanan maksud kewujudannya. Mungkin imej yang digambarkan hanya sekadar imej saduran yang mengandungi maksud yang tidak terjangkau oleh manusia yang tidak mahu menggunakan minda yang ada. Imej-imej ini terkadangnya membawa hasil maksud yang tidak terbatas oleh fikiran manusia.

Gunakan daya HOKi dan HOKa(Hemisfera Otak Kiri dan Hemisfera Otak Kanan) untuk cuba memahami maksud setiap perkataan yang terbina di dalam karya tersebut. Di situ dapat membantu usaha untuk kefahaman. Dan di situlah baru dapat kita fahami apa yang cuba disampaikan imejnya.

Kerana di dalam sastera ada falsafah yang disebut sebegini.
"Sastera sahaja tidak mampu meruntuhkan sesebuah 'jambatan' tetapi dengan sastera kita mampu menyuruh pembacanya meruntuhkan 'jambatan' dengan daya imaginasi mereka"

Salam selamat pagi teman-teman muka-bukuku.

Sazalee Nilai, NS.

Sunday 23 March 2014

10pp: TIMBANGAN


Bila Kijang menjadi Kancil sukarnya Harimau mahu menjerat tidak terdacing.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
23/03/14.

10pp: PERKARA POKOK


"Pejam mata buka telinga
cuba faham dengan hati
baru mengerti"

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
23/03/14.



10pp: TIKAM CURI


"Ular di laut
memagut sekali
tidak dua
kerana takut
lemas"

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
23/03/14.



10pp: CABARAN HIDUP


"Air kuteguk terasa manis
walaupun kosong tiada bergula,
tercampur bisa"

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
23/03/14.



10pp: BERKARYA


"Aku bebas,
terbang semahu-mahunya
tanpa belenggu pengikat sayap
menyangkar belikat"

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
23/03/14.



10PP: PESANAN UNTUK BAKAL KEKASIH


Usah dimulakan bicara jiwa
yang tidak mungkin dapat dikotakan
raga.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
23/03/14.



SEJARAH SEMALAM


BILA MANA


Kau!

Kaubangga
bila mana dikenali
dipuja
bukan dikeji.

Kaubangga
bila mana karyamu dibaca
walaupun ada ketika
tidak dinikmati.

Kaubangga
bila mana suaramu didengari
tanpa bantahan
selingkuh.

Kaubangga
bila mana caramu diterima
tanpa bangkangan
engkar.

Engkau diibarat kacang terlupa kulit
dikenali sedikit
sombongnya berbukit
hanya menanti masa hilang dek ralit.

Namun engkau terlupa!

Setinggi mana
sarangnya si Tempua
bila mana dijolok
ke tanah jua jatuhnya.

Setinggi mana
layang-layang terbang mengungguli
akan turun kembali
bila mana talinya digili.

Bla mana nanti
masa penentu bicara
terbukti.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
23/03/14.

Saturday 22 March 2014

PELITA HATI


HATI LUKA


CINTA BERLAINAN BENUA


Pintallah buih di lautan itu
andai bisa dijadikan tali pengikat leher
yang akan menjerut lehermu
leherku
dan nyawa pun melayang di kayangan
sepusaran impian
bersama,
kerana aku tahu kita tidak bisa
tidak mampu
menyemai kasih
berlainan laut, berlainan benua
berlainan pegangan
berlainan bumi dipijak
awan... ,
hanya dari kejauhan
bisa kita ulit
mimpi dari sebuah fantasi.

Andai tidak!
Iya, harus dilupakan sahaja
niat
yang tidak akan pernah
kesampaian.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
22/03/14.



BINAKAN UMMAH


Friday 21 March 2014

IZINKAN AKU


GURISAN RASA


Aku cuba selindungi
apa yang terukir di hati
agar tidak terpalit gurisan
yang bisa membinasa
dari sebuah perkataan;
aku kembankan
dalam trengkasan.

Nah! Dalam kemban
aku tetap trengkaskan
apa yang aku rasa
dalam halus suara
susul-gema
susun-atur butiran
tiada meluka.

Tidak keterlaluan membogelkan rasa.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
21/03/14.



NAWAITU


Duduk di bangku
mengadap komputer riba
asap rokok disedut
satu persatu dihembus

fuh fuh fuh... ,

nikmat berbara
di subuh dingin gelita
meresap di jiwa
melawas mata yang sukar dibuka.

Sesekali, terbatuk kecil
dada menggigil
di embun mongel
mulut berdegil.

Nawaitu menjegil.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
21/03/14.



Thursday 20 March 2014

HUJAN


HARAPAN KEMBALI BERBUNGA


Setelah tigabelas hari menunggu
harapan kembali berbunga
mungkinkah itu kamu MH370... ,
atau sekadar harapan palsu.

Kami tetap akan menunggu
setia menunggu
sabar dalam menanti perkhabaran darimu
tanpa jemu.

Dari kejauhan beribu batu
doa kami tetap bersatu
walaupun nanti hanya bangkaimu
yang kami temu.

Armada Australia di Lautan Hindi
semboyanmu, kami tunggu.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
20/03/14.

KONKLUSI RINDU DI MEGA KELABU


I:
Mega kelabu berarak
lakaran wajahmu merafak
pelangi bercorak.

Merak merindu
rayuan kalbu
di mega kelabu.

II:
Rindu... ,
mungkinkah kamu?

Rindu... ,
itukah kamu?

III:
Mungkinkah sirna mega berarak
di langit kusam kian merafak
biasan pelangi melakar corak.

Cantik si merak pelepah rindu
nian semarak rayuan kalbu
Itukah kamu? Di sebalik mega kelabu.

Ahhh!... , konklusi rindu.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
20/03/14.


 

PEPATUNG JALAN


Wednesday 19 March 2014

TIPOGRAFI PENZALIM


Beringatlah!
Bangkai gajah masa-kan bisa terhapus
walau kaututup dengan segunung rumput
baunya akan tetap terhidu
bersahut.

Beringatlah!
Tipografi akan terbendung
walau topografi menyanjung-gantung
cuba melindung
terhitung.

Kerana Allah tidak buta,
walau manusia seringkali dibuta.

Kerana Allah berakal,
walau manusia seringkali diakal.

Kerana Allah mengetahui,
walau manusia seringkali dibodohi.

Ingatlah!
Allah adalah sebaik-baik perencana.

Mungkin sekarang engkau berbangga
segala tipografi terlaksana
namun Allah Maha Penghimpun
segala yang engkau himpun.

Menanti waktu dibuka oleh-Nya
pintu hijab berita
rumpun demi rumpun
berduyun-duyun.

Di masa itu segala tipografimu
wahai penzalim!
Tidak tertutup oleh topografi
kaubina.

Beringatlah kamu, wahai penzalim.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
19/03/14.

METAFIZIK SEORANG PEMUISI


Meniti hari
mengoles duri
di ambang sunyi
melayan sepi
semakin nyeri.

Bersilang kaki
menyantun usia berjari
di pantai beruri
berbisa kawi
melanggam rima puisi.

Terhenti... ,
bayu dan ombak terhenti
rentak lautku mati.

Di senja ini... ,
keranda mengusung hati
runtun melodi.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
19/03/14.



BIDADARI


KEMELUT DI JIWA


Mentari bersinar
gah di langit tinggi
dan bulan... ,
telah lama diulit mimpi.

Dini kembali
setelah sore semalam menghilang
entah ke mana
seraup dedaunan senja.

Hati berkata
inikah purbawara
setelah pancawarna
pelangi menyapa.

Bias atau terbias
satu paradigma
rasa
di sebalik kemelut jiwa.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
19/03/14.



Tuesday 18 March 2014

Teraju Senget


Katanya;
cikgu, ajarlah anak-anak
biar tumbuh subur adat budaya timur
budaya nenek moyang
jadi akar tunjang
budaya dijulang.

Bikinannya;
Nah! Ini lesen konsert
untung bahagi dua
tarik anak muda
lupa adat budaya
menelanjang maruah agama.

Bila cakap tak serupa bikin
teraju senget
undang tragedi memalukan
tak siapa nak ke depan
terasa di dahi ada kemaluan
modal insan jadi korban.

CNM, 18/3/14

RINDU 59


EMBUN MENITIS


RINTIHAN DI JURAIAN HUJAN


Hujan... ,
berikan aku sedikit masamu
aku ingin berbicara denganmu
tentang rindu
yang kian menggebu
di altar pilu.

Hujan... ,
fahamkah kamu?
Tentang perasaan seorang lelaki sepertiku
yang berbicara sendu
di kalbu
menanggung rindu.

Hujan... ,
kaubisikkanlah di cupingku
dengan rintikan melodi syahdu
di atap zink sambil berlagu
rintihan padu
kaumengerti perasaanku.

Hujan... ,
kaubelailah tubuh bogelku
dengan tangisanmu
sambil menyapu
kerinduan bertandu
di jiwa aku

Rintihan seorang perindu.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
18/03/14.



Entah


Jawabku mudah
entah...
entah...
entah...
tak kuasa melayan kerenah
sebelum naik darah
kelak nanti aku yang hilang arah.

~msa 180314sk443~

ROS MERAH