Wednesday 30 April 2014

KUAJUK PUNGGUK BERLAGU


Ooo oooo, ooo oooo

... mungkin begitu si pungguk berlagu
merindukan bulan yang sedang beradu
sepertinya aku di meja usangku
merindukan bantal peluk di rumahku, syurgaku.

Ooo oooo, ooo oooo
kuajuk pungguk yang sedang berlagu.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
30/04/2014
22.15pm.

1 MEI, HARI BURUH


Buruhkah aku?

Mungkin ... pertanyaan itu,
tidak sepatutnya bermain di benak mindaku
di waktu malam kusengkangkan mataku
di meja usang pencarian rezekiku
di malam hari perayaan buruh-buruh sepertiku
dihargai kerana jasa dijamu
berliku.

Selamat hari buruh sahabat seburuhku.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
30/04/2014
21.30pm.

KEMBALI DI MEJA MALAMKU


Malam mengetuk rindu
rembulan ... agaknya sedang beradu
di meja usang aku kembali berseru
melakar kerinduan padu
berlangit kelam bukannya kelabu.

Ahh! Mata yang tadi layu
dibuai melodi keroncong yang pilu
kembali segar disapa sang bayu
di kerusi kenyal kutekankan punggungku
kembali jemari bernafsu.

Kembalinya aku di meja malamku
itulah karya pertama di malam kerinduan aku
yang pastinya ... bukanlah karya terakhirku
di waktu malam girangku bertamu
mengulit indah bahasa puisiku.

Malam masih baru.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
30/04/2014
21.00pm.

Putaran


Dalam sebuah lingkaran nafas kehidupan
tiada terkesan nyata adanya suatu perundangan
yang dituntut masa adalah sejalur peradaban
urutan dari rangkaian kelaziman berlarutan
bayi yang lahir sesaat tadi atau dinihari nanti
esoknya...adalah kita yang sedang menulis atau membaca harini
Aku yang dulunya dirotan ayah
kerana tidak menghafal surah Alfatihah
lari, menrpa diri ke ribaan opah
emak tersedu sedan menganyam tikar mengkuang
buat sehelai sejadah
Harini...aku hanya mampu menadah restu Ya Rahman
dalam gelombang rinduku yang berputaran.


~msa:390414SK443~

ALAM ITU MENANTI


Subuh yang menghamparkan halamannya
gemalai anginnya mengirim pesan
usah lena pada mimpi tadinya malam
dingin ini akan membunuhmu
ranjang itu sekadar menjanjikan api
buka matamu
berikan salam pada alam
menyatulah di dalamnya
ada Dia di situ
yang telah lama menanti
untuk pencarianmu
dalam hidup yang menebarkan dusta.


Qalam Bertinta
Klang
30042014
0627am

FENOMENA OBAMA


Tahniah Obama!

Lawatanmu membuka lembaran baru
kehadiran singkatmu mencatat fenomena syahdu
keunggulanmu menyimpul kisah haru
di bawah panji 'Uncle Sam' dikau disambut rindu
terasa pilu dan ngilu
akan kehadiranmu ke negaraku.

Perdagangan dua hala menjadi agenda padu
pelaburan termeterai di kanvas satu
dolar dan ringgit bertukar bagai peluru
peluang pekerjaan berpusu-pusu
disaksi rakan dan seteru
dahulunya meludah ke langit biru.

Tahniah, tahniah, tahniah
sekalung tahniah kuucapkan kepadamu ... ,
Obama

kerana dikau telah membuka mataku
betapa di hadapanku kepala-kepala mengangguk laju
berjabat tangan sambil menggesel muka di malam 'caraouse'
tetapi di belakangmu ... ,
kutuk mengutuk dipalu bertalu
sumpah seranah dihidang seperti selalu.

Kini dikau telah pulang Obama
'Air force one' kamu terbang membelah awan
meninggalkan seribu kenangan
tidak terluput dek sesawang sejarah
yang indah
di benak rakyat yang tersenyum parah.

Semoga Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi
walaupun rakyatnya berpendapatan tidak seberapa tinggi.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
30/04/2014
11.00am.

Tuesday 29 April 2014

TIDAK LEBIH TIDAK KURANG


Dari tanah manusia diciptakan
ke dalam tanah manusia diabadikan
terhimpit, patah riuk segala tulang
tidak lebih tidak terkurang.

Datangnya ia tidak terhalang
badan berbahang hingga ke rahang
ubun tersalai api menjulang
tidak lebih pun tidak terkurang.

Sesaat bayu dihembus puput
bagaikan taufan datang meragut
hadirnya ajal pasti bertandang
tidak terlebih tidak pula terkurang.

Tekak yang basah terasa haus
air setelaga tidak mampu menjirus
nyawa di halkum terasa kontang
tidak terlebih tidak juga terkurang.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
29/04/2014
14.30pm.

Monday 28 April 2014

SEHINGGA HUJUNG NYAWA


Engkau dan aku, satu
engkau dan aku, tiga
engkau dan aku, ramai
engkau dan aku, sepi
engkau dan aku, dua
engkau dan aku, satu
engkau dan aku, kosong.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
28/04/2014
23.00pm.

MASIH PUNYA WAKTU


Langit bak medan perang
awan gulung-gemulung, hitam
kilat sabung-menyabung, pancar
bumi kepanasan bahang.

Wap;
dari kaki naik ke dada
dari dada naik ke muka
dari muka naik ke kepala
dari kepala turun ke bumi
berbolak.

Keringat;
dari ketiak meleleh ke lengan
dari lengan menuju tapak tangan
dari tapak tangan jatuh ke bumi
mencurah.

Berdoa;
Allah Maha Pengasih
Allah Maha Penyayang
Allah Maha Pemurah
hujan pinta dilimpah.

Petang belum sampai senja
nafas belum sampai halkum.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
28/04/2014
16.00pm.

SAAT DIA MULA BICARA 2


MENYIBAK USIA DI TABIR SENJA


Kanvas maya hilang citra
minda dan hati berlainan kata
lolongan ghaib peneman rasa
menghimpun resah di dalam dada.

Ratapan hiba berganti gema
pusara selingkuhan di Pulau Cendana
nisannya ada jasadnya tiada
bisakah nanti bergabung semula.

Rindu-rinduan tiada bicara
bagaikan laut bergelora hiba
pantainya murung di hujung muara
di tabir senja menyibak usia.

Nyawa berbekas senafas cuma.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
28/04/2014
14.00pm.

RUSIE


MEMENDAM KILAN


Sunday 27 April 2014

RUSIE


PEMBINA EMPAYAR


MAHALNYA KEDAMAIAN


Pagi terjaga di kamar usang
terasa kering lagikan gersang
cutinya aku mahal berharga
setahun bertamu rindu menyapa
kugalas joran.

Lima ekor talapia sebagai syarat
guruh di langit datang menghambat
jumpa lagi sang kedamaian
bila langit petang memungkinkan
aku kembali.

Seperti diduga seperti dijangka
petang menangis lebat esaknya
duduk termenung di hadapan rumah
melayan tempias perciknya ramah
basah di jiwa.

Rutin harian menyapa diri
papan kekunci ligat menari
sementara ilham sudi bertamu
sebelum mata menutup lampu
esok menanti.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
27/04/2014
21.00pm.

Saturday 26 April 2014

BIRU LANGITMU


DALAM TERANG AKU BERSULUH


Telanjangkan aku dalam kritikan
kerana aku perlu ketahuan
di mana kekuatan
di mana pula kelemahan.

Telanjangkan segala selulit
tanpa seutas benang melilit-belit
cuma kupinta tinggalkan sedikit kulit
di bahagian paling sulit.

Jangan puji aku ketika telanjang
kerana aku malu dipandang orang
nanti aku tertolak seludang
jalan terang tak nampak lubang.

Cuma sediakan aku sehelai tuala muka.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
26/04/2014
18.00pm.

Friday 25 April 2014

GURINDAM BERSIAP SIAGA


Bersiap siaga sebelum waktunya,
ada hikmahnya ada kebaikannya.

Bersiap siaga harus sentiasa,
pelbagai kaum hidup sentosa.

Bersiap siaga duduk semeja,
bulatkan fikiran toleransi dibaja.

Bersiap siaga harus diwacana,
aman, damai rukun terlaksana.

Bersiap siaga seperti aku,
mengemas meja menyusun bangku.

Bersiap siaga itu semestinya,
tamat tugas tepat pada waktunya.

Hihihi.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
25/04/2014
18.20pm.


Tata.

YANG BERTAKHTA


Permata hati
walau dalam gelap tetap terang
dalam terang memancar sinar
kilauan tak akan pudar.


Permata hati
tiada dua atau tiga
tetap satu yang bertakhta
hingga ke akhir engkau satunya.


Permata hati
memilikimu adalah anugerah
menyayangimu satu keindahan
kasihmu bagai mentari
sentiasa hangat membaluti diri.


Hingga akhir nanti
hanya satu, engkau yang
bertakhta di hati.


nukilanhati
sue
250414

BERTUNAS DAHULU SEBELUM MENJADI POKOK


Aku suka menggagau
dalam memerhati alam sekeliling
dari sekecil daun gugur
di atas tanah mereput
dan hanyut
apabila hujan menjemput
sehingga ke tingginya pokok
tersergam agam
mencecah awan tinggi melangut
asalnya
hanya dari tunas bak semut.

Aku perhatikan
betapa sanggupnya pokok
berpanas-berhujan
berlapuk-berhabuk
berdebu bawaan angin
melekat di daunan rimbun
mula mengering
bertahan agar kewujudan
tetap terpampang di mata
tanpa keluh-kesahnya.

Perlahan-lahan merangkak besar
dari tunas sekecil semut, tadi
membesar menjadi balak tinggi
berbakti
kepada manusia yang mengingini
rakus meregut
bila pokok dirasakan patut
sebesar dua pemeluk
dihanyut
di muara Sungai Siput
untuk dijadikan perabut.

Nah! Tidakkah kamu faham lagi
apa yang cuba aku maksudkan
yang kiranya tadi aku hanya berlapik
memperkatakan tentang hidup
perlukan pengorbanan
belajar dari sekecil tunas
bersabar sehingga menjadi pokok
agam dibangga pungguk
keberhasilan bila sampai waktunya diperuntuk
menjadi guna kepada manusia, masyuk.

Bertapaklah satu persatu
agar wujudnya kamu dirasai seteru
bukan rakus berpeluru
deras menjahanamkan dirimu
tidak sempat bertamu
layu di kaki waktu
dimakan bubut beribu.

Bertunas dahulu sebelum menjadi pokok.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
25/04/2014
15.00pm.

KATARSIS


Aku masih mampu tersenyum
walau belum puas
mengenang semalam
ranum menelanjang perasaan
dek pasungan sunyi
diam
di kamar sepi.

Pilu
sendu
sayu
rindu
layu
lunyai
ke sungai
ke laut
kutulis di muka-buku.

Ah! biarlah
aku-kau, kau-aku
beradu kaku
di langit asing
pusing
terpisah dinding
menjeling
tidak kurunsing.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
25/04/2014
11.00am.

TABIR RASA


KAMAR JUMAAT


Aku masih gigil
berselingkuh dingin
dari gebar semalam
menusuk kalbu
bersendirian.

Aku masih waras
dalam tangis sendu
tubuh kaku-beku
selangit rindu
keseorangan.

Aku masih mahu
walau pedih sembilu
meninggal sayu
keseorangan beradu
pilu.

Aku masih berharap
esok kamu tahu-sedar
walau sekelumit datang waktu
berwarna harapan-impian
kembali berpelangi.

Dan cinta pun subur
bertunas di kamar Jumaat.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
25/04/2014
08.00am.

Thursday 24 April 2014

JENDELA JUMAAT


Biarkan aku beradu
di atas riba gebumu
beralas bantal kekabu
di alam fantasiku.

Biarkan aku bertamu
antara sedu-sedanmu
mengukir abjad-abjad syahdu
mengoles pilumu.

Biarkan aku menyelinap di kamarmu
antara bulan dan langit malamku
sebagai pungguk perayu
berselimut setiaku.

Biarkan aku renyokkan kelambu
yang menambat hawa nafsuku
bergelorakan nafsimu
ketika aku menikahi bayangmu.

Aku dan jendela Jumaatku.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
24/04/2014
23.00pm.

DI LEMBAH RAMAI


Kupisah telangkai
kubiarkan relai
dari tangkai
tidak terkulai
dalam membelai
kerana aku bukan Man Bai
bukan berlagu hai hai
bye bye
hanya seorang penuai
di lembah ramai
mengilai.

Sebelum aku melugai
usahlah aku diintai.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
24/04/2014
15.00pm.

PERAWAN HUJAN


Perawan
bermain hujan
membasah tubuh
ubun disentuh
girang.

Asyik
melayan rasa
gembira di mata
hatinya
berlainan bicara.

Perawan
mengubur tangis
guruh bergempita
taufan melanda
jiwa.

Perawan dinoda
cinta.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
24/04/2014
13.00pm.



TANGISAN PERAWAN


Engkaukah itu,
datang dalam jurai hujan
hadir bersama derai tangisan
wujud ditempiasi kerinduan
tiba bertemankan sedan
hiba mengucup tangan
telanjang dek perasaan
di gugusan awan bercendawan
saat pagi masih berampaian.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
24/04/2014
09.00am.



GURINDAM JIWA


Jika kita tak suka disuntik,
jangan kita suka menyuntik.

Jika kita tak suka dijentik,
jangan kita suka menjentik.

Jika kita tak suka diherdik,
jangan kita suka mengherdik.

Jika kita tak suka diprovokasi,
jangan kita suka memprovokasi.

Jika kita mahu orang melihat kita,
seharusnya kita melihat dulu diri kita.

Jika kita mahu orang mendengar suara kita.
seharusnya kita mendengar dahulu suara kita.

Jika kita mahu orang menerima pendapat kita,
seharusnya kita terima dahulu pendapat kita.

Jika kita suka mengada-ngada,
jangan kita suka mengada-adakan cerita.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
24/04/2014
07.30am.

Wednesday 23 April 2014

RENUNGAN


"LANTAKLAH"

Lantaklah orang nak baca atau tidak karya-karya aku. Orang nak komen di dalamnya pun aku tak kisah. Dipuji karyaku satu anugerah kepadaku. Dikritik karyaku satu bonus juga kepadaku. Kerana dari kritikanlah kita dapat mengetahui kekurangan di dalam karya kita yang sememangnya kita sebagai seorang manusia ini memang banyak kekurangannya inikan pula dalam bidang penulisan. Dari situ kita belajar sesuatu yang baru.

Tetapi!

Bila tiba masanya akan kita terlihat rakan-rakan kita diikhtiraf penulisannya oleh majalah atau makalah ataupun akhbar yang ditulis pula nama-nama besar dan mapan di dalam penulisan, kita haruslah bersama-sama turut berasa bangga. Mengucapkan tahniah dan sama-sama berkongsi kegembiraannya bukan mencemuh dan menjatuhkan teman-teman penyair kita apatah lagi dengan mempersoalkan apakah dan di manakah asas kelayakan mereka sehingga diikhtiraf sampai sebegitu.

Dunia sastera kita; Malaysia terutamanya bukannya besar mana pun. Jika kita sesama kita leka dalam cemuh mencemuh dan asyik dalam saling jatuh menjatuhkan sesama kita tidak akan berkembang ke mana-manapun karya kita mahupun ke persada dunia. Akan terlingkuplah di bawah tudung saji(tempurung) tidak terpandang sesiapa. Tidak berkembang mutunya(akhlaknya).

Jadinya! Makanya! Marilah kita semua bersatu dan memajukan lagi penulisan karya kita dengan lebihkan lagi usaha untuk mempelajari sesuatu yang baru dari setiap kritikan yang diterima bukannya mencemuh.

Kritikan yang saya maksudkan adalah tentang mutu karya ya! Kritikan yang membina bukan yang menjahanamkan sesebuah karya.

Marilah kita sama-sama fikirkannya dalam renung, berenungan. Usahlah irihati dijadikan pegangan hidup kita.

Renung-renungkanlah.

Saya tamatkan renungan ini dengan sebuah karya yang saya karyakan dua hari lepas untuk kita renung jauh ke dalam setiap patah perkataan yang terbina di dalamnya. Semoga kita semua dapat keberkatan dan melipat-gandakan lagi usaha kita untuk mempertajamkan mutu karya kita.

BUSUK HATI ATAU BUSUK KETIAK?

Pandang orang penuh curiga
nampak orang bagai tak bermata
walau terbeliak hitam tiada
hanya putih bijinya berwarna
merah berona pelangi pun jingga.

Bila berkata tiada batasnya
secukup rasa secukup perisa
kesenangan orang berbulu di mata
tidak tahukah dia
kesenangan diterima, Allah yang merencana.

Mungkin cemburu penuh di hatinya
sehingga dia terlupa
setiap orang ada rezekinya mereka
dahulu mungkin rezeki di tangannya
sampai ketika rezeki berganti tangan pula.

Bersyukurlah kita kepada Yang Esa
yang Maha Perencana lagi Maha Berkuasa
mungkin hari ini rezeki tiada
siapa tahu,
mungkin esok rezeki kembali ke riba.

Biarlah masam dibawa peluh menggila
hasil usaha mengalir dari dada
jangan sengketa dibuat rencana, beragenda
berbaiklah sangka sesama manusia
itu yang semolek-moleknya.

Biarlah busuk di bawah ketiak kita
jangan pula busuk, terhidu dari hati kita.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
23/04/2014
11.10 am.

GURINDAM ADA-ADA SAHAJA


Tikus dan tetikus pening kepala,
melihat aku di bawah meja.

Tikus dan tetikus pun menyapa,
kenapa gerangannya sedemikian rupa.

Tikus dan tetikus terdiam durja,
bila aku mengatakan tiada apa-apa.

Tikus dan tetikus tergaru kepala,
melihat aku menutup muka.

Tikus dan tetikus tergelak tinggi suara,
melihat tong sampah kuserkup di kepala.

Tikus dan tetikus lari bergempita,
bila aku jerkah secara tiba-tiba.

Tikus dan tetikus tergolek di atas meja,
bila aku katakan " Shh! Diamlah, aku termalukan diriku sendiri"

Hihihi aduhai! Gurindam ada-ada sahaja.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
23/04/2014
08.30am.

MUKA TAK MALU


Pada mulanya aku mengamuk
habis segala di hadapanku
baik meja
kerusi
tong sampah
aku tendang
aku sepak terajang
kerana namaku
tidak terpandang - tidak tersebut
oleh majikan
dalam buletin tahunan.

Tapi bila majikan minta maaf
dan menyatakan namaku
terpilih dalam jurnal tahunan
aku punyalah gembira
melompat-lompat
hipikaiye
yihaa
yahoo.com
hurei
dan yang sama waktu dengannya
macam monyet dapat pisang
aku melompat-lompat.

Tapi kini aku terdiam
menyorok bawah meja
ditutup dengan kerusi
kepala kuserkup dengan tong sampah
kerana malu
semua orang memandang
perangai tidak senonohku
yang tak tahu bersabar.

Aduhai! Malunya aku.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
23/04/2014
01.30am.

Tuesday 22 April 2014

BIAR TERUS MATI


mengunyah satu-satu serpihan lalu
menapis satu-satu debu nan dulu
biar tiada satu yang mengekori
meninggalkan kisah sendiri
dalam ruang yang mati


biar terus mati
tanpa nisan terpatri
kerana lelah itu harus pergi.


~AE/220414~
::TintaMataPena::
- YangMerahItuSaga -

MALAS


Tertarik-tarik badan
mengeliat-geliat pinggang
mata kelabu kerawang
berbayang-bayang ilham.

Duduk bersandar sambil menguap.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
22/04/2014
10.20..

Monday 21 April 2014

ADIKKU PANDAI BERLARI


Kasihan adikku
setelah penat berlari
ke kanan ke kiri
ke sana ke mari
lelah di kaki
mengah di dahi
sampai waktunya duduk sekerusi
teman yang didukung tinggi
terlupa diri
apatah lagi segala bakti
dilupai
tidak diingati
janji tinggal hanya janji
malah ditikamnya pula belati
berjari-jemari
bermatakan gergaji
dari belakang, tersembunyi
dan hati,
pun berdarah nyeri.

Setelah populariti dirasai.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
21/04/2014
17.45.

BUSUK HATI ATAU BUSUK KETIAK?


Pandang orang penuh curiga
nampak orang bagai tak bermata
walau terbeliak hitam tiada
hanya putih bijinya berwarna
merah berona pelangi pun jingga.

Bila berkata tiada batasnya
secukup rasa secukup perisa
kesenangan orang berbulu di mata
tidak tahukah dia
kesenangan diterima, Allah yang merencana.

Mungkin cemburu penuh di hatinya
sehingga dia terlupa
setiap orang ada rezekinya mereka
dahulu mungkin rezeki di tangannya
sampai ketika rezeki berganti tangan pula.

Bersyukurlah kita kepada Yang Esa
yang Maha Perencana lagi Maha Berkuasa
mungkin hari ini rezeki tiada
siapa tahu,
mungkin esok rezeki kembali ke riba.

Biarlah masam dibawa peluh menggila
hasil usaha mengalir dari dada
jangan sengketa dibuat rencana, beragenda
berbaiklah sangka sesama manusia
itu yang semolek-moleknya.

Biarlah busuk di bawah ketiak kita
jangan pula busuk, terhidu dari hati kita.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
21/04/2014
15.15.

SANDIWARA PURBA


Bukalah matamu
dan perhatikan aku
aku sedang berlakon
di pentas hidup
bertopengkan kepuraan
berjubah kehitaman
sandiwara, hati.

Tersenyum; hanya untuk menyenangkan mata
memandang.

Tertawa; hanya untuk menyedapkan hati
petualang. Bangsat!

Sedangkan hatiku sendiri
masam mencuka - menjerang rasa
jelek memandang mereka
penghimpit glamor
hipokrit
penikam belakang
bila sudah ternama dan bernama
seolah kacang terlupa kulit.

Ya! Bukalah mata dan perhatikan aku
aku masih lagi berdiri; pelakon
di pentasan sandiwara
purba.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
21/04/2014
12.00.

PANTUN WARISAN GELANGGANG


Selamat pagi salam sejahtera,
di pagi hari kita berbahasa;
Hidup yang ikhlas tidak berpura,
aman dan damai jiwa sentosa.

Bercelak hitam di alis mata,
cari istana pinang puteri;
Pantunku ini pembuka kata,
senyum berwarna muka berseri.

Anak tempua di pohon rimbun,
di atas dahan tunggu si bonda;
Akal yang sihat minda tak rabun,
lebihkan baca tajamlah minda.

Hidupnya soljar menggalas nusa,
di perbatasan haruslah peka;
Gelanggang seni warisan bangsa,
arena pantun kini kubuka.

Salam selamat pagi
salam selamat sejahtera
salam berjual beli
salam mari berpantun.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
21/04/2014
08.00.

Sunday 20 April 2014

PANTUN PURBAWARA


Lembing Damak melayang ke alang,
bergegar hebat tusuknya lurus;
Kambing emak digoyang pak belang,
pagar tak hambat masuknya terus.

p/s: hati.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
20/04/2014
15.50.

SELAGI GELAP TIADA


ANTARA KITA ADA HIJAB


SEKADAR BERBAHASA


Adakala malah ada ketikanya kita ingin mengubah cara pemakaian kita dari bercelana jeans dan bert-shirt kepada berkemeja dan berseluar slack. Begitu juga dengan pemakaian bahasa di dalam puisi-puisi kita agar pembaca tidak merasa bosan akan pemilihan kosa kata yang statik tiada kelainannya.

Kosa kata di dalam kamus perbendaharaan kata kita luas dan kaya. Pilihlah sahaja dari dalam gobok kamus yang tersedia. Tepat atau tidak pemilihan bahasa biarkan sahaja susunan bicara di dalam karya dibaca pembaca. Dan pembaca yang akan menikmatinya dan menentukan baik atau buruknya bahasa yang dibicara.

Dan yang paling penting di dalam karya berbentuk puisi, sajak, gurindam dan syair...kosa katanya tidak sama dengan pemilihan kata seperti di dalam prosa, novel atau cerpen yang lebih senang dicerna dan dihadami pembacanya.

Yang tidak memahami kata-kata puisi dengan berkata-kata keji, menghina dan mencerca akan pemilihan kata bahasa di dalam puisi kita biarkan sahaja kerana mereka berhak membuat tanggapan mereka dan mereka juga berhak untuk merasakan kata keji, hina dan cerca berbalik semula dan kembali ke muka mereka sendiri.

Sekadar untuk renungan ringan di hari Ahad santai ini.

...SS, Nilai NS.

SUARA


Ada suara
Mengetuk
Pintu, di hati
Pilu
Sebak kurasa.

Kubuka selak pengunci.

Sazalee Sulaiman
Nilai, NS
19/04/2014.

DETIK YANG HILANG


UNSUR


Siang mencari arah
mata angin terhenti
prasangka jadi bicara
bibir dijahit dusta
jasad ini bukan bangkai
ia bernyawa
di kerongkong matanya ada nafas
diamnya bukan mati
ia mencari pasti
langit pun turun ke bumi
menyelak empat juzuknya
…sempurna
lalu khabarnya dibawa ke atas.


Kita tidak mengaji kitab
itu semalam
waktu angin mengirim nafas
sebelum matanya berhenti
unsur itu bukan dikumpul
ia pemberian
kita menerima
dalam sedar
tapi lupa
pun bukan leka
tapi tercela.


Qalam Bertinta
Klang
20042014
0139am

KEWARASAN


Lelaki memuji-puja
kecantikan
keayuan
kemontokan
keindahan
susuk tubuh wanita
dalam jaga-lena
igau-angau
adalah satu kelaziman
kebiasaan,
sama juga dengan wanita
melihat kesegakan
kesenangan
kewarakan
kebertanggungjawaban
di batang tubuh seorang lelaki
disukai - dikasihi
akan dinikahi.

Begitu sentuhan gender
dicipta - tercipta
dalam puisi
waras.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
20/04/2014
08.00.

Saturday 19 April 2014

RINDU 63


MATI II


Siapa kita?
Siapa kita untuk mengatakan,
mati itu balasan Ilahi
dalam kejahilan si mati
menolak hukum Ilahi
sedangkan Allah telah berjanji
mati itu pasti
tidak kira engkau islam
ataupun engkau kafir dilaknati.

Siapa kita?
Siapa kita untuk mendefisinasikan,
mati dalam kemalangan adalah balasan Ilahi
sedangkan manusia sebaik seorang imam
pun! Akan dijemput Ilahi
dalam kemalangan-maut
tidak hanya mati di atas katil
ataupun di atas sejadah
menyembah Allah.

Ya!
Siapa kita untuk menjatuhkan hukum
tentang bagaimana matinya seseorang manusia
dihubungkaitkan dengan pembalasan dosa
sedangkan Allah hanya menjanjikan pembalasan azab
disegerakan atau dilewatkan bersebab
di muka bumi atau di akhirat bernisab
bukannya mati berasbab
dosanya terhisab.

Siapa kita?
siapa kita?
... siapa kita?

Kita hanya manusia.

Ingatlah!
Allah tidak menyuruh kita membuka aib,
si mati; tetapi sebagai peringatan
kepada diri kita sendiri
untuk kita semua fikirkan kembali
tentang azabnya mati.

Mari kita fikirkan kembali.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
19/04/2014
14.50.



AMANAH


MATI


Mati
semua orang akan mati
semua orang akan temui mati
semua orang akan rasai mati
bagaimana kita akan mati
bagaimana kita akan temui mati
dan bagaimana kita akan rasai mati
tiada siapa yang ketahui
itu rahsia Ilahi
jangan pula kita mendahului
menjatuhkan hukuman kita sendiri
sesuka hati
akan apa yang kita tidak mengerti
tidak ketahui
sebagaimana kita tidak mengetahui
bagaimana caranya nanti
kita akan mati
temui mati
dan rasai, saat mati.

Kita hanyalah manusia yang akan mati.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
19/04/2014
10.30.



SENJA


HARI JUMAAT


POHON NAN SEBATANG


TAFAKUR SUNYI


Dan pagi
berlayar sepi
hati mati
ngeri 
diri dikembiri
dini.

Pada-Mu Ilahi
aku bertafakur sunyi.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
19/04/2014
07.30.



Friday 18 April 2014

MUNGKAR


Berpayung dengan hujan langit
sungai sabar itu kita perahukan
dayung iman berpencak di lantainya
haluannya ke muara cabar
tebingnya melontar bara batu
hujan pun terbakar
kotanya hangus di pasir api.


Kita tidak talkinkannya di nisan itu
doanya airmata
jalannya bukan kuburan diam
bersuara di tembok pusara
bahasanya angin
yang turun membawa khabar
cuma kotanya enggan wujud
lalu sabar jadi bisu


... mungkar.

Qalam Bertinta
Klang
17042014
2347pm

IGAUAN


Igauan
dalam lena
tangisan
dalam rintih
kerinduan
kiankah menyisih?
Gurat pilu
menikam kalbu
tarian penaku
bersenandungkan syahdu
igau rindu
di perdu
kalbu.
Zie
17/04/2014


 

MONOLOG: MUSYKIL DAN HAIRAN

Assalamualaikum dan selamat pagi Jumaat kepada semua teman muka-bukuku walau di mana kamu semua berada. Salam sayang dan salam cintakan bahasa mewarnai kehidupan kita. Syukur kepada Allah kerana diberi peluang lagi kepada kita semua untuk mencari keredaan-Nya dengan nyawa yang masih di badan. Buatlah pahala dan jauhkanlah dosa, insya-Allah diberkati-Nya...amin.

Jom kita bekalkan minda kita dengan sebuah monolog bertajuk MUSYKIL DAN HAIRAN sebagai sarapan berbahasa kita pagi ini seperti kita bekalkan tubuh kita dengan sarapan pagi teh dan kopi serta roti canai banjir campur telur suku masak dua biji.

*****
MONOLOG: MUSYKIL DAN HAIRAN

Pekerja:
"Selamat pagi bos, kami nak bertanya sedikit. Kami MUSYKIL DAN HAIRAN. Ni mana datangnya pula stok yang bos katakan hilang dan bos katakan kami yang melesapkannya. Telah puas kami selongkar di dalam daratan gudang dan selautan dokumen tapi tak berjumpa sehinggakan ke dasar samudera syarikat pun telah kami selami masih tidak terjumpanya. Juruaudit pun pening kepala memikirkan tentang kehilangan ini"

Bos:
"Sebenarnya stok tersebut tidak pernah hilang. Saya sorokkan untuk menguji kamu dengan latihan kehilangan. Supaya kamu lebih peka dengan urusan dan harta syarikat. Stok ini semua saya letak di dalam gudang bawah tanah yang tiada seorang pun dari kamu ketahuinya, kiranya saya buat latihan 'audit' tahunan "

Pekerja:
"Audit ya! Macam ada yang tak kena je ni, setelah pihak insuran membayar pampasan tak sampai pun dua bulan?"

Bos:
"Diamlah ... nak bonus tak hujung tahun ni? Kalau nak diam-diam ya!"

Aku(dalam hati):
'Senyum-senyum selalu untuk senaman wajah di pagi Jumaat yang barakah ini'

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
18/04/2014
07.30.

Thursday 17 April 2014

INDAHNYA BILA BERBAHASA IV


Saat aku terima nikahnya kamu
telah aku lafazkan ijab dan kabul
sumpah-janji, taat-setia
bertanggungjawab
ke atasmu,
kebajikanmu,
kehormatanmu,
nafkahmu,
zahir dan batin
di dalam kamar berkelambu
di luar kamar berkelambu
juga tanpa, kelambu.

Akan aku dukung kamu
pimpin tanganmu
mengucup seluruh tubuhmu
merangkulmu ke kamar beradu
berbulan-madu - jamu-menjamu
menyetubuhimu
tanpa mengizinkan walau seinci
tubuhmu itu diratah tetamu
mendahului aku. Dan di waktu itu
kitapun terkulai, beradu
di dalam nikmat keabadian nyilu
kucup-rayu, merayu.

Ah!
Indahnya gelora nafsu
di dalam hangat sentuhanmu
bahasaku,
aku mencintai kamu
bahasa melayuku.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
17/04/2014
14.00.

POTRET


Tertegun kau di persimpangan
memungut bingkai berbinar


Waktu melaju di sela-sela bugenvil
warna pucat warna cerah


Masa tak kembali

Rev, 160414

KISAH GAGAK, BATU EMAS DAN AIR LAUT


Gagak terbang terlalu tinggi
membawa batu emas tersisip di kaki
hasrat di hati,
ingin jatuhkan ke dalam botol
mengharap naik aras air
dapat minum bersuaralah emas.

Tersasar tuju jatuhnya batu emas ke dalam laut
tenggelam ke dasar, laut menelan
tapi laut tidak pula naik arasnya
tiada terluak tiada cuak
tinggallah batu emas di dasar laut tidak tercari
kerana tiada isyarat akustik.

Gagak tetap meneguk
walaupun masin terasanya air laut
katanya, asalkan ada dari tiada
namun suara tiada beremas
suara yang serak semakin serak
rabak.

AK AK.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
17/04/2014
08.40.


 Penerangan:
Pelajaran pertama di rangkap pertama adalah USAH BERCITA-CITA TERLALU TINGGI sehingga melepasi gunung dalam mengharapkan sesuatu yang boleh kita dapati dengan berpijak di muka bumi tidak perlu terbang terlalu tinggi untuk mendapatkan hasil yang maksima.

Pelajaran kedua di rangkap kedua jatuhnya nanti jika hajat tidak kesampaian akan menjadi sia-sia dan mendatangkan kerugian yang amat. Kerana peluang hanya datang sekali dan jika dilakukan dengan gopoh-gapah tidak melalui keupayaan dan kemampuan yang kita ada impak dari kejatuhannya amatlah besar. Pastinya apa yang kita harapkan dengan terlalu tinggi kita akan lakukan dengan membuat pengorbanan yang besar. Pengorbanan segala apa yang kita ada dan pastinya kerugiannya nanti amat besar jika kita tidak BERPIJAK DI BUMI NYATA. Tidak tercari ganti.

Pelajaran ketiga dari rangkap ketiga. USAH MELAKUKAN KERJA GILA DAN SIA-SIA. Kerana sesudah kita tahu kegagalan usaha kita, hadapilah dengan tenang dan berfikiran waras. Usahlah yang sia-sia kita ambil juga natijahnya ibarat tenggelamnya seorang nakhoda kapal biarlah tenggelam bersama kapalnya ke dasar laut,. Tidakkah ini kerja sia-sia dan gila? Masih ada lagi peluang untuk kita memperbaiki kesilapan kita seandainya kita mampu berfikiran waras.

"Buat apalah air laut yang diteguk sedangkan kita tahu air laut memang azalinya masin. Tidakkah kerja gila dan sia-sia?"

HATI 13


Wednesday 16 April 2014

INDAHNYA BILA BERBAHASA III


Ghairahku ingin berbahasa
seumpama ghairah mengupas bawang
semakin terselak helaian mayang
semakin jauh menuju ke isirong dalam
semakin ghairah terasa idam.

Ghairahku meneroka bahasa
seghairahnya lelaki meneroka tubuh wanita
semakin lama lelaki merenung
semakin meneroka di sebalik selubung
semakin terjuih bibir, liur berladung.

Ghairahku bersua bahasa
seghairahnya saintis bersua hidrokarbon
semakin mendalam melihat setiap rantaian
semakin ghairah setiap intaian
semakin terikat dalam ikatan ilmuan.

Ghairahku mencipta bahasa
seghairahnya pemuzik mencipta lagu
semakin mantap petikan gitarnya
semakin meremang bulu tengkuk melentik
semakin gedik jiwa terjentik.

Begitulah ghairahnya aku terhadap bahasa
bagai penyair di langit jingga
biar serak di tekak senja
tetap bernafsu dalam berbicara
tetap berjiwa mainan bahasa.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
16/04/2014
16.30.

INDAHNYA BILA BERBAHASA II


Bagai disapa bayu mengoles
di wajah kusam kembali ceria
terus masuk ke rongga hidung
bernafas riang di paru minda.

Begitulah hadirnya bahasa di dalam minda
berolak-alik menyentuh perawan dada
lembut banir menolak resah
kian hilang bersama senyum, ilham.

Ah! Lancar penulisan
selancar menyebut a, b, c dan d
seligat kayuhan basikal di jalan raya
sehebat bayu di Selat Melaka.

"Tambah lagi mas!
Akan aku temanimu sepanjang pengembaraan"

Begitulah sapaan bahasa
menggalakkan lagi kelajuan jari
mengeluarkan apa dirasa
mengembara di mayapada tiada sempadan

asyik! ... ,

di dalam nadi
mengeluarkan bicara
berbahasa.

"Udah dong! Usah diladeni sangat bicaranya
tinggalkan sedikit untuk lewat sore nanti"

Aku bergumam sambil menggumal bucu bicara
menyimpan sedikit bahasa.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
16/04/2014
13.30.

KULAPISKAN KATA KARYA


Aku sedang bertugas
di kantor mejaku berdebu
seusai aku mengelamun
namaku dipanggil
untuk berbicara karya
tentang kata-kata terlempar resah
bisikan puitis seorang karyawan wanita.

Lantas tugasku tidak mampu tergalas
di jemala bahu
memikirkan apa maksud bicara
kuselami dan kuhirup bagai mengopi
ternyata ... ,
karya ini mempunyai sentuhan suara
suara seorang perempuan

'kenangan sering merodakan isak
meluruh hingga basah jemari
'tika cuba kusapu
gementar tapak-tapak rinduan
lebarkan senyum
padamu yang jauh'

sinonim dengan tangisan di dalam senyuman
tabah dalam kehidupan
meskipun jauh namun dekat di hati
cintanya abadi
mungkin kepada seorang lelaki
ataupun Yang Hakiki.

Bicaranya resah

'Katanya, ini kanvas seluruh
seluruh resah jinggaku
dan diam'

dalam diam
tinta rindunya tetap mengalir
di sebalik hijap
kata-kata
adalah lebih suci berdiam diri.

Teratai tetap abadi
teratai tetap menjadi misteri
teratai tetap teratai.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
16/04/2014
11.25.

INDAHNYA BILA BERBAHASA


Kulapik kata
di pentas bicara
menyelubungi hasrat
bertinta jiwa.

Seumpama benang di dalam tepung
bila ditarik tidak berselerak - tepung
tidak kan putus - benang
seiring sejalan.

Bunga-bunga bahasa
kembang dan mekar
menghiasi laman
sendaloka, bergurindam jiwa.

Betapa indah bila berbahasa
lantunan kata dalam luahan
bila diguna dengan tajwidnya
bila diguna berlapis maksudnya.

Seumpama bawang berlapis-lapisan
seumpama bangunan bertingkat, capaian
indah bicara di dalam persuratan
cantik maksud dalam persiratan.

Pagi ini pintu minda terbuka
menerima masuk kembara bahasa
bersama cahaya ilham dicipta
berlapis maksud tafsiran bicara.

Berpuput lembut serata mayapada
sempadannya
tidak pernah ada
aku berbahasa.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
16/04/2014
09.40.

GERAKKAN RENTAK TINTA


Biarkan seni menari
menjalar ke rongga jiwa
lalu berdenyut dalam nadi
telusur rimba rasa
jauh dari peduli dan iri.


Gerakkan rentak tinta
mencakar rimbunan minda
mencari butiran mutiara
walau ternyata tiada
airmata bukan pendusta
pada kekalahan menghias kata.


SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
15 April 2014.

PANTUN MH370


Burung Bayan burung Tempua,
turun ke tanah mencari makan;
hilangmu mengejutkan seluruh benua,
terciptalah fitnah yang memalukan. 


Menjala pari di Batu Buruk,
pari dijamu di Kota Melaka;
gerakan mencari di segenap pelusuk,
tidak ditemu andaian direka.


Dari Segari ke Batu Kikir,
singgah di Muar membeli betik;
usaha mencari cuba difikir,
hingga tersasar ke perbuatan syirik.


Si dara Bentan mandi di paya,
pokok jati di tengah desa;
lebih sebulan jadi tanda tanya,
yang menanti terasa siksa.


 Ke sawah padi menjala haruan,
buah peria di kebun nyonya;
mungkin yang terjadi satu peringatan,
kuasa manusia ada batasnya.


Pasang pelita di tengah rumah,
di atas sejadah memohon meminta;
kembalilah kita kepada fitrah,
berdoa berserah kepada Pencipta.


Qalam Bertinta
Klang
16042014
0329am

Tuesday 15 April 2014

AL-KISAH SIPUT SEDUT


Sedap!

Enak dimakan
masak pula gulai cili api
bersama rebung

diratah, disedut
rakus
ketika panas

tapi awas!

Boleh mendatangkan parah
bila tersedak.

Kisah rakyat di sebalik cerita.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
15/04/2014
17.30.



DATANGNYA HUJAN


Habuk menyebak mata
hanya sementara
mendatanglah hujan
habuk pun hilang
bersama lebatnya rintik
di lembah sendu.

Terkesankah hati?

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
15/04/2014
16.30.



PEMIMPINKU


Manusia ... ,
setiap manusia ada ragamnya
setiap manusia ada resamnya
setiap manusia ada kemahuannya
setiap manusia ada pendiriannya.

Begitu juga dengan rakyat
setiap rakyat ada pendiriannya
setiap rakyat ada kemahuannya
setiap rakyat ada resamnya
setiap rakyat ada ragamnya.

Masyarakat kita berbilang bangsa
masyarakat majmuk hidup berkelompok
rambut mungkin sama hitam
tapi hati berlainan bicara
ada yang suka dan ada pula yang tak suka.

Usah label-melabelkan
hendak pula yang dilabelkan itu
rakyat jelata
dan yang melabelkan pula
adalah pemimpin kepada rakyat.

Tangani mereka dengan mesra
bukan dengan melabelkan rakyat dan masyarakat
sebagai penentang kepada rakyat
akan segala usaha dilakukan
dan ingin dilaksanakan oleh kerajaan.

Di situlah ... , kalau boleh saya katakan

"Letaknya kematangan seorang pemimpin, dipilih rakyat"

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
15/04/2014
14.10.

PADANG DATAR DAN KINCIR CINTAKU


Tidak ingin aku menikahimu angin
kerana kauakan membawaku terbang jauh
dan meninggalkan kincir cintaku
di padang datar ini
lalu bilah-bilahnya mereput
dikitai waktu.


Aku hanya ingin menyongsongmu
kerana bila aku lelah
aku bisa kembali
ke padang datar
untuk bersama kincir cintaku
dan bilahnya
akan terus mengitarimu
pada detik waktu
yang sama-sama kita relakan.


Kutunggumu
di sini...di padang datar
bersama kincir cintaku
sekadar untuk kaupimpin tubuhku
mengikut matamu
sehingga aku lelah
dan kembali semula ke sini
ke padang datar
bersama kincir cintaku.


Qalam Bertinta
Klang
15042014
1419pm

AKU BUKAN SESIAPA


Aku hanya orang biasa
menulis hanya suka-suka
pada mulanya,
di alam maya aku bermula.

Menulis dari pengamatan mata
dari apa yang aku rasa
dan dari pengalaman aku selaminya,
berbicara alam juga buana.

Pelajaran aku tidak setinggi mana
setakat sijil sekolah menengah jatuhnya
tidaklah dapat aku berbangga
seolah-olah sarjana setinggi menara.

Dan kerana itu aku sedar diriku siapa
masakan pipit dapat terbang tinggi di angkasa
tiada setaraf enggang dan garuda
gagah mencakar cakerawala.

Menulis bukupun aku tiada
kalau adapun hanya antologi tersisip satu dua
karya-karya menumpang nama
tidak dipandang sarjana bernama dan ternama.

Ya! Aku sedar aku bukan sesiapa
namaku tidak ternama
bagai melukut di padi berhuma
tiada bermakna tiada berguna

sampai masanya lenyap dari mata dunia.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
15/04/2014
14.10.

RINDU 62


PENENTANG GST ADALAH PENENTANG RAKYAT?


Ya ke?

Tidak adakah hak rakyat
dalam menyuarakan ketidak-puasan hati
akan apa yang diperkatakan belum terbukti
keuntungan belum nampak lagi
tapi kenaikan harga barangan itu yang pasti.

Dilabelkan oleh menteri
kononnya menyuarakan hak rakyat
sebagai penentang rakyat
hanya kerana menyuarakan kekeliruan tentang GST.
Nak tanya sikitlah. Siapa rakyat yang diperkatakan ni?

Dikatakan wang cukai GST bukan untuk kerajaan
tapi untuk kesenangan rakyat masa hadapan
pembangunan,
jalan raya
dan hospital dinaik-taraf
cukai GST dikongsi rakyat dan juga pendatang
yang tidak mengistiharkan pendapatan.

Chit!
Tiadakah pembangunan?
Tiadakah jalan raya atau lebuh raya?
Dan tiadakah hospital selama ini
sebelum diperkatakan tentang cukai GST
di mana datangnya sumber kewangan selama ini
bukankah dari sumber asli kita sendiri
seperti pertanian,
minyak,
industri-industri
dan pelbagai lagi sumber kekayaan negara
yang ditarah hingga akar umbi.

Aduhai!
Tentang pendatang,
yang tidak mengistiharkan pendapatan
bukankah menjadi tanggungjawab kerajaan
untuk mengawal-selia pendapatan mereka ini
itu gunanya LEVI.

Makan boleh sebarang makan
label jangan sebarang label
bercakap bukan dengan orang buta
rakyat semua dah celik mata
tahu apa diperkatakan mereka.

"Chit! Jangan nak auta"

Kami bukan menentang GST
tapi kami rakyat yang cinta negara
juga rakyat yang diajar, apa itu intergriti.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
15/04/2014
07.50.

Monday 14 April 2014

MASA


SEBIJI EPAL KECUT


Seandainya epal ini mampu bercerita
ketahuilah kamu!
Begitulah keadaan hatiku di saat ini.

Seandainya epal ini mampu dirawat
bolehkah kiranya kamu?
Merawat hatiku seperti epal yang terawat itu.

Seandainya epal ini tidak lagi diperlukan
buanglah ia ke tanah,
sepertimana aku mahu kaubuang hatiku ini.

Usahlah engkau biarkan ia berulat.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
14/04/2014
17.05



AIR


Tiada air
keringlah tekak
tidak dapat mengopi
mengeteh
dan sama waktu dengannya.

Tiada air
keringlah tubuh
tidak dapat mandi
berenang
begitu juga sama waktu dengannya.

Tiada air
kosonglah negeri
tiada penghuni
tiada rakyat
padang jarak padang terkukur.

Pada masa itu adakah lagi jabatan bekalan air

"Lu fikirlah sendiri"

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
14/04/2014
10.00.

WARNA RINDUKU


MILIK KITA HAK KITA


Berita terkini
kotak hitam belum dijumpai
tapi hak untuk menyelidiki
kini dipergaduhi
kerana integriti terletak di kaki
takutkan bayangan sendiri.

Begitulah seandainya integriti
tidak dimiliki... ,

'Bangkai gajah tetap cuba diselindungi'

Buat apa nak takut?
Milik kita hak kita
hijab Ilahi.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
14/04/2014
08.20.

Sunday 13 April 2014

USAH DUDUK DALAM TEMPURUNG


Adat berjamung biarlah rentung,
adat berkampung biar sebumbung.

Bukan setempurung.

*****

Perkara susah usah disusahkan, tenangkan fikiran cuba senangkan pastikan senang hidup berilmu, hidup berilmu minda kan tenang.

Hendak berilmu perlukan guru, perbanyakkan guru banyaklah ilmu. Sekali berguru tamatkan perguruan, ilmunya guru manfaat perguruan.

Sesudah tamat berguru, bergurulah lagi. Carilah lagi guru yang berilmu sekufu tidak seteru untuk manfaatkan ilmu.

Ilmu diterima harus berkembang bukan setempurung duduk terkurung tak dapat dihitung. Minda terpasung hanya menampakkan hidung tak nampak hujung talinya ilmu sentiasa berjamung.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
13/04/2014
16.50.

Suaranya


Suaranya
pada titis air mata rindu
menanti waktu ke waktu
anak cucu
kembali bertamu.


Suaranya
pada lamunan di tangga batu
menunggu tanpa jemu
waris dirindu
hadir tanpa diseru.


Suaranya
tak terluah dalam bicara
duhai anak
fahami naluri ayah ibu
yang mengharap kunjunganmu.


CNM, 13/4/14, Trolak Selatan.

RENUNGAN


Kepada semua penyair muka-buku ini aku berseru pelbagaikanlah bentuk dan jenis karyamu. Usah hanya bersyair, usah hanya bersajak, usah hanya berpantun dan usah hanya bernovela cinta dalam puisi.

Marilah kita terokai bentuk-bentuk puisi moden dan tradisi yang ada seperti TEROMBA, TALIBUN, KECINDAN, GURINDAM, SELOKA dan pelbagai lagi jenis serta bentuk karya yang telah dicipta oleh pengkarya terdahulu kita.

Semoga sastera kita tidak dianggap malap dan semakin mendekat di hati pembaca.

Renung-renungkanlah.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
13/04/2014
09.10.

Selamat bersantai di hujung minggu bersama keluarga.

DATARAN SEMALAM


Dataran ini dataran kurap
bapak-bapak menggaru kayap
mak, nenek kemaruk sekerap
datuk, datok menogok sarap
abang-adik sayap tersalap.

Tergelimpang
tertonggeng
di tepi dataran
semalam.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
13/04/2014
08.30.

KETAWA DIA LUKA PADAKU


Saat dia tertawa umpama aku terbang di awangan indah
tawa dia menggamit sekelumit rindu lama padamu yang telah menjauh pergi
sangkaku tiada lagi lopak-lopak kenangan kita yang masih basah
yang bisa menjerat ingatan dengan lumpur derita lama
setelah sekian lamanya aku mencuci luka agar tidak lagi berdarah
ketawa dia padaku seperti kopi pahit walau bergula
tetap tertelan bagai memaksa mata terbuka
tetap diterima walau hitam gelita
memaksa otak dan akalku bekerja
memikirkan kenangan lama kita


ah!...
akan aku buang kunci mimpi lama
agar kamu tidak lagi ada
dalam lena atau jaga


~danhayati~
120414 23:53pm

Saturday 12 April 2014

RAJUK


Puan,
biarlah aku menjauh walau dekat
tidak melekat walau rapat
di sebalik pelekat aku menjilat
berbatik basah berpelipat
taklik syarat berbilas isyarat
belebas terikat.

Sebagai tiang pengukuh laman.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
12/04/2014
18.20.



GST


Gagasan satu transaksi
gagasan satu transformasi
gagasan satu transisi
gagasan satu transmisi.

Katanya:
"Laju memacu dalam peralihan jangka masa panjang"

Macamana pula tu, laju memacu tapi jangka masa yang panjang?

Kataku:
"Senak, sehingga GaStriTis datang menyerang"

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
12/04/2014
17.25.

TEROMBA: ADAT PUJANGGA


Menghulur cawan biar beralas
meneguk manisan biar bergelas
berjemur petang biar berpayung
berkumur siang biar bergayung
menegur salah biar berlapik
menjunjung titah biar berpatik

bak merajuk nan terpujuk
bak menjeruk nan tak busuk
bak meliuk nan terjalar
bak mengantuk nan tersedar
bak mengutuk nan terungkai
bak meluluk nan terintai.

Adat pujangga halus membelai.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
12/04/2014
15.35.

PINTAKU, PUAN!


Puan,
biar bumi bergegar kuat hebat
biar gunung melata tidak berjulat
biar busut bertunas cendawan dan kulat
biar badan dimamah ulat melekat
tidak kupinta engkau melarat dekat
cukup sekadar menurut nasihat,
itu dihasrat.

Puan,
biar laut berombak tinggi tsunami
biar badai memukul nyeri semilir sepi
biar pantai tidak bertepi pasir berganti
biar bayu bertiup mati nyiur menanti
tidak kupinta engkau mengekori
cukup sekadar setia di sisi,
itu dihajati.

Namun puan,
walau cantik kulitmu gebu mencuit sipu
walau ayu tingkah lakumu menyenangkan kalbu
walau manis paras wajahmu pengubat rindu
walau montok tubuh genitmu menggoncang nafsu
tidak kupinta semuanya itu
cukup sekadar engkau sedar dan tahu
kata maaf kupinta darimu.

Setelah karat engkau menyagat.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
12/04/2014
12.25.

DURI DALAM DADA


Aku ketawa
tetapi aku berduka
aku tersenyum
tetapi luka tetap terasa
aku bersedih
tiada siapa tahu
kerana telah aku selimutkan pilu
tangis sendu
jauh dari wajah senjaku
senyuman berpiala
hidup gembira.

Walau duri menikam dada.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
12/04/2014
10.15.



MH370


Spekulasi disebar
masing-masing bercakap
kesahihan samar
prasangka dicipta
fakta entah ke mana
kenyataan dicanang
wartawan sibuk mencatat
tauke akhbar tersenyum lebar
‘rating’ jualan mencanak naik
marhaen berdebat sesama
begitu...begini
di sana...di sini
bebal dalam kebodohan.


Kenapa harus mengomel
tidak perlu dipalu genderang bohong
berdegar kosong
ramai yang terluka
dan dunia tertawa
maruah negara disenda...


cerdik- cerdik Si Pandir.

Ini kerja Tuhan
mungkinkah Dia murka?
Atau sekadar ingin melihat
akan manusia-manusia bodoh
mendustakan rahsia-Nya
atau menolak fitrah kejadian
yang berlaku punya sebab
bukan sengaja
atau disengajakan.


Itu rahsia-Nya
Dia Mengetahui


kita...?

Qalam Bertinta
Klang
11042014
2345pm

HUJAN DAN RIBUT BERSATU


Puan,
layar laraku yang gah jitu
agam bertiangkan seri di kamar tidurku
tersergam di hati sang perindu
terkoyak sudah di pagi nan syahdu
carik dijamah pilu
rabak dimamah waktu
runtuh tiang seri keegoanku
seumpama pelepah rindu
di dadaku
rabak dibadai ribut padu
menyimbah kalbu.

Malam tadi bumiku bergegar dek sendu
disanggahi hujan-ribut bersatu.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
12/04/2014
08.30.



Friday 11 April 2014

LAMBAIAN MASA


Sesunyi mentari petang meniti senja
begitulah sunyinya hatiku di hadapan meja
menanti teman sekerja entah di mana
mungkinkah menjelma mungkinkah tiada

aduhai! Kenapalah lamanya masa nak bergerak
pasar malam melambai sesak
nafasku semakin nazak.

Jom!

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
11/04/2014
18.30.

KERIS PUSAKA KERIS AMANAT


Puan,
inginku tikam perdu hatimu
namun kerisku panjang dek sarung
pendek dek jengkal
akalnya janggal
tidak terodok hempedu berakal
berdarah putih Mahsuri ikal.

Puan,
kuusung kial bersama rehal
dalam pedati menyusur mimpi
berharapnya hati puan mengerti
bara didamba itu dihajati
kasih dihangat pimpinan tangan
seiring jalan mudik muara.

Puan,
kerisku pendek tidak kemetot
sepanjang akal mahu mengentot
berjuang tetap aku berjuang
walau gugur di persimpangan jalan
asal makbul niat dan hajat
terkujur nyawa di perbaringan cinta.

Puan,
kerisku berhajat
kerisku berniat
kerisku berhasrat
dalam munajat
dalam muslihat
dalam makrifat.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
11/04/2014
15.50.

KESINAMBUNGAN


Kata mereka,
kenapa TPM mendiamkan diri?
Hanya Naib yang buat kerja.
Kata kita;
masing-masing ada potfolio mereka
kementerian mereka sendiri
takkanlah itupun tak tahu.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
11/04/2014
1435.

GELIAT


Tangan didepang
ke atas
semakin tinggi
menarik
urat dan daging
belikat serta kulit
menegang - merangsang tubuh
yang semalam malas
yang semalam lena
yang semalam mati
leka diulit mimpi
dan pagi ini
hidup kembali
bernyawa
yaaah! ... sekali nafas
aku menggeliat.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
11/04/2014
09.00.

MONOLOG


"Kirimkan salamku kepada Jumaat
semoga aku, engkau, dia dan kita mendapat berkat
taufik dan hidayat, hidup bermanfaat
dijauhkan mudarat."

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
11/04/2014
08.00.

Thursday 10 April 2014

AKU BERCERITA


Aku ingat lagi satu kenangan yang indah sewaktu majlis sambutan ulang tahun penubuhan syarikat tempat aku bekerja di sebuah hotel terkemuka berhampiran KLCC. Rasanya lebih tigabelas tahun yang lepas tapi tarikh aku tak ingat dan sayang sekali telifon bimbit tercanggih ketika itu yang aku pakai adalah Nokia 3310 yang dinaiktarafkan ke 3315. Belum tercipta lagi telifon bimbit yang boleh merakamkan gambar.

Ceritanya begini...waktu itu kami bersolat Isyak diimamkan teman baikku. Selesai solat kami bersalam-salaman di antara satu sama lain dan ketika bersalaman dengan seorang hamba Allah ini aku sungguh terkejut rupa-rupanya hamba Allah itu adalah pemimpin politik yang semua orang kenali. Hamba Allah ini sanggup berimamkan orang yang biasa di kalangan rakyat jelata. Selepas bersalam-salaman hamba Allah itu terus bersolat dua rakaat sunat.

Sejak itu aku berkata di dalam hati dialah pemimpin politik yang amat aku hormati sampai bila-bila dan akan aku ingatinya sampai akhir nyawaku.

Nak tahu siapa gerangannya? Dialah Timbalan Perdana Menteri sekarang ini.

Subhana-Allah, Allah memelihara pemimpin yang menjaga solatnya dan berjiwa rakyat. Dan aku menjadi saksi solatnya.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
10/04/2014
14.50.

RENUNGAN


'Kenali diri kita sebelum kita kenali orang lain sekeliling kita. Kenali orang sekeliling kita sebelum kita kenali pemimpin yang kita suka. Kenali politik pemimpin kita sebelum kita minta menggantikan pemimpin yang tahu politiknya sendiri.'

Renung-renungkan.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
10/04/2014
11.15.

SELOKA BERGURINDAM: DAHULU DAN KINI


Pasukan kambing hitam,
mencari kambing untuk diwartakan hitam.

Pasukan kambing hitam,
sering diselubungkan gebar hitam.

Pasukan kambing hitam,
milik orang yang bertangan hitam.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
10/04/2014
10.50.

KITA KENA FAHAM


Setiap organisasi, syarikat
ada undang-undang
peraturan
akta menyimpan rahsia
baik pekerja
penyelia
mahupun pihak atasan
inikan pula majikan

begitu juga setiap negara
ada akta menyimpan rahsia tersendiri
jangan pula kita bertohmahan
menghentam
beragenda
menjatuhkan satu sama lain
inikan pula pemimpin

yang terikat dengan sumpah
menyimpan rahsia
kerajaan
negara
dan Yang Dipertuan Agung.

Yang senyap tidak bermakna tidur.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
10/04/2014
09.50.

KLASIK


Aku memandang engkau memandang
apa yang aku pandang dan apa pula yang engkau pandang
mungkin sama mungkin juga berbeza
mungkin serupa tapi dalam keadaan berbeza
mungkin berbeza di dalam suasana sama
lokasi dan situasi juga berlawanan
tiada kesamaannya tapi ada kesinambungannya
hanya kita yang merasa hanya kita yang mengetahuinya
tanpa perlu ada yang merencana
kepada kita insan pencinta.

Bergema di udara terasa di dada.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
10/04/2014
08.00.

Wednesday 9 April 2014

DARAH DARA


Dalam hidup ada kali pertama
dalam kali pertama ada kesinambungan
sentiasa terbit dalam penceritaan
sentiasa bermula dengan dosa dan pahala
ada kecewa ada duka
ada juga gembira - mengecap bahagia
yang pentingnya... ,
darah dara mengajar kita
erti perjuangan,
bermula belum pasti berkesudahan.

Selagi mata belum terbuta.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
09/04/2014
22.00.

LEMON TEH


SENJA BERINSUT


HANGAT KASIHMU


di awangan


sering berjalan dan berlari-lari
acap jua berjimba sambil menari-nari
sesekali kuingin terbang menembusi awan
menangkap gumpalan rindu yang berserpihan
di pentas awangan itu
aku mau berdiri tegak di lantai tak berpenjuru
dalam ruang nafas realiti
setiap datang pasti pergi.


~msa:080414:sk443~