koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Friday, 14 March 2014
MH370, TERBANG TANPA LANDASAN
Telah kauterbang
membelah kesunyian malam
landasan Beijing menanti kedatangan
namun engkau menghilang
tiada bayang-bayang
tiada kesan
yang engkau tinggalkan.
MH370
ke mana hala terbangmu
kehilangan kamu tanpa pesanan
tanpa makluman
ghaib dari pandangan
tidak terkesan
radar pengawasan.
MH370
Laut China Selatan telah kami selongkarkan
dalam menjejaki sisa-sisa peninggalan
agar terlerai segala kemusykilan
agar terungkai segala kebuntuan
namun jejak tidak kehiduan
masih buntu di dalam penjejakan.
MH370
Selat Melaka kini kami bongkarkan
modes operandi telah kami perluaskan
jika tidak terkesan
akan kami selongkar seluruh laut dan daratan
namun mengalah tidak kami relakan
tidak akan kami izinkan.
MH370
doa kami akan terus bersamamu
dengan harapan agar kami diketemu
satu pertunjuk baru
di dalam pencarian penerbanganmu
setelah engkau terbang
tanpa landasan dan hala tuju.
MH370
berdoalah bersama kami
usah berhenti
kerana kami tetap setia menanti
tetap terus mencari dalam mencari
setiap hari tanpa mahu berhenti
tanpa jemu di hati.
MH370 Pulanglah!
Landasanmu telah kami sediakan.
Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
14/03/14.
No comments:
Post a Comment