koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Saturday, 4 January 2014
HINAKAH PEREMPUAN ITU? :Situasi empat.
Perempuan itu dari seberang
datang bertandang mencari makan
demi keluarga yang tersayang
sanggup berdagang demi kewangan.
Mencari makan siang dan malam
asal ada peluang, akan digenggam
biar pun penat badannya legam
rela dikerjakan demi rezeki segengam.
Majikan memandang dendam terpendam
seludang pinang nafsunya geram
kerana keletihan di kamar terbungkam
ikan terhidang kucing menerkam.
Kudrat perempuan apalah sahaja
hendak dicerita ditutup mulutnya
hendak tak hendak diikut rentaknya
siang dan malam jadi pacarnya.
Wang dilimpah rezeki bertambah
kerja yang susah bertukar rencah
tugas harian tetap digagah
nafsu malaman tetap berjamah.
Setahun lamanya melayan kerenah
keluarga di kampung tidak menyanggah
ongkos bulanan tetap dilimpah
pondok yang buruk bertukar sudah.
Asalnya ikhlas menyara keluarga
rezeki yang halal itu hajatnya
kini bertukar agenda cerita
kerana noda, dia mengikis harta.
Salahkah caranya?
atau!
Hinakah perempuan itu, di mata kita?
Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
04/01/14.
No comments:
Post a Comment