Saturday, 4 January 2014

HINAKAH PEREMPUAN ITU? :Situasi lima.


Perempuan itu kematian suami
anaknya masih lagi bayi
tinggal di rumah setinggan Kerinci
wang tiada harta jauh sekali.

Ambil upah berkerja di warung Pak Ali 
cuci pinggan cuci juga kuali
gaji kecil halal dicari
menyuap si bayi perutnya sendiri dikunci.

Tarafnya janda dipandang hina
seolah maruahnya telah tiada
memanglah jejaka tergila-gila
masih bergetah masih lagi manja.

Para isteri memandang curiga
takut suami terperangkap dengannya
bukan sahaja manja tapi jelita
Pak Haji yang lalu, pasti menjeling juga.

Habis dinista juga dicaci
mulut yang becok tidak berkunci
hajat di hati mahukan janda pergi dari sini
habis agenda fitnah digali.

Kerana tak tahan si janda pun lari
pergi ke kota bertemankan tangisan sepi
kerana tarafnya janda, seringlah dimaki
nak cari kerja memang susah sekali.

Duduk di kolong, hanyir dan kotor
tiada wang tangan dijulur
anak berdendang makin kebulur
masyarakat memandang tidak menghulur.

Sedang terduduk seakan bertafakur
anak menangis panas berjemur
puas bergelumang di kolong kelemumur
pelayan kelab malam kerja dikumur.

Kerana hinaan si janda terlanjur
dan akhirnya jatuh tersungkur.

Siapa yang hina di sini?

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
04/01/14.

No comments:

Post a Comment