koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Thursday, 4 July 2013
PANTUN BERANGKAI HADIRNYA RAMADAN.
Sungguh mengharum si daun pandan,
tempat bersarang burung terkukur;
kusambut tiba hadir Ramadan,
dengan tawaduk serta bersyukur.
Tempat bersarang burung terkukur,
dedaun kering bagaikan tilam;
rasa tawaduk penuh bersyukur,
puasa wajib syariat Islam.
Dedaun kering bagaikan tilam,
berbau harum di waktu senja;
rukun ketiga syariat Islam,
sunat terawih harus dikerja.
Berbau harum di waktu senja,
duduk di bangku di dalam taman;
puasa wajib harus dikerja,
telah terwarta zaman berzaman.
Duduk di bangku di dalam taman,
rasa tenteram aman sentosa;
amalan kita zaman berzaman,
kalau diengkar amat berdosa.
Rasa tenteram aman sentosa,
bagai kepala disorong bantal;
jangan diengkar takutkan dosa,
bila berpuasa elak terbatal.
Bagai kepala disorong bantal,
tidur terlena dipangku nyonya;
jaga puasa hindarkan batal,
genap sebulan itu syaratnya.
Tidur terlena dipangku nyonya,
belikat lurus tidak bersendi;
genap sebulan itu syaratnya,
di Aidil Fitri menang dirai.
Belikat lurus tidak bersendi,
bagaikan kaduk minta dijunjung;
di Aidil Fitri menang dirai,
maaf bermaaf kunjung mengunjung.
Hadir Ramadan bulan beramalan.
Sazalee Sulaiman ... 04/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment