Friday 28 February 2014

FANTASI


KOLEKSI TANKA

ADA APA PADA BULU DADA?


Rayuan semakin berdendang
cumbuan berkumandang sumbang
melodinya gersang.

Bulu dada bergetaran.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
28/02/14.

p/s: Lagu Unchained Melody 
Lirik tulisan
LINDE, DENNIS/MCDANIEL, MEL

#biarlah.

Benci itu fitrah 
anugerah
agar masa depan terarah
aku berserah dan aku mengalah
: aku pasrah.

#biarlah.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
28/02/14.


NASIHAT UNTUK SI GADIS MANIS


Untuk dikau si gadis manis
kejelitaan tidak akan berkekalan
usia muda dan sifat keanak-anakan; manja
juga tidak akan kekal
rengekan sekadar keluhan sahaja
: lupakan.

Gadis manis
yang kekal hanyalah ilmu di dada
masa hadapanmu masih terbuka 
jauh dan luas pengisiannya
mungkin penuh dengan pelangi berwarta
: pelajaran itu utama.

Gadis manis usah dikau persia-siakannya
dengan memburu cinta si orang tua 
sifat cinta sebegitu hanyalah sementara
kelak terjumpa cinta seusia
si orang tua tiada lagi bermakna
: tiada gunanya.

Si gadis manis
dengarlah nasihat aku ini
nasihat dari si orang tua
yang mahu engkau berjaya
tidak terleka
di dalam cinta sementara.

Usah dipersiakan usia remaja.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
28/02/14.

KOLEKSI TISNA BARBATULLY


AKSARA DUKA


Anafora + Epifora: PENYAKIT


Setiap saat ingin disapa; mual
setiap ketika ingin dimanja; mual
setiap jam mahu dibuai; mual
setiap waktu mahu dibelai; mual
setiap siang damba dijilat; mual
setiap malam damba digulat; mual.

Setiap rengek menambah mual.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
28/02/14.

GURINDAM BERAKHIRAN PANTUN : Lumrah Kehidupan


Daun muda banyak kerenah,
daun tua semakin mengah.

Tangkai muda berdiri megah,
tangkai tua tunggu nak patah.

Dara jelita manja tak sudah,
si emak dara cepat melatah.

Anak teruna cepat termuntah,
si orang tua liat meludah.

Janda muda masih bergetah,
janda tua kasih melimpah.

Duda muda makan di lembah,
duda tua makan berempah.

*****

PANTUN

Pepohon renek biak di para,
berenda jingga seri kekarang; 
Walaupun cantik si anak dara,
mak janda juga dicari orang.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
28/02/14.

PADA RENTANG WAKTU


Engkau hamparkan permaidani cintamu
lalu mengajak aku menghitung waktu
di antara sayap camar dan merpati putih
yang terbang di celah pelepah masa
awan pun jatuh di hujung ranting
bersenda hingga langit kebingungan.

Jarum angin pun menyulam senyum
benangnya cahaya
indah berdandan menyanggul cinta
umpama kristal pasir
yang membelai lembut
pada getar cumbu
yang tak berkesudahan.

Pada setiap rentang waktu
mengelus percik pesonamu
lalu kupancangkan tubuhku
pada setiap nafas yang luruh
aku menyambut tanganmu yang datang
dan kupimpin ke rongga jiwaku
untuk kusandingkan bayanganmu
di saat ranting hatiku mengulum rindu.

Qalam Bertinta
Klang
28022014
0303am

GURINDAM: GELORA.


Kerana rindu disapa belum,
kerana nafsu lidah terkulum.

Tangan bergari kaki berantai,
tangan di hati mengintai-ngintai.

Duduk di bangku aku mengelamun,
duduk beradu bangunku mamun.

Urat belikat ditambat pasung,
urat disakat rindu berusung.

Mentari merah datang menduga, 
mentari berdarah panji si naga.

Di subuh sunyi kupetik embun,
di subuh mati sawang menimbun.

Kaki melangkah hayunan lemah,
kaki disimbah bayangan rumah.

Kupandang alam bayu membelai,
kupandang tilam jiwa terkulai.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
28/02/14.

Thursday 27 February 2014

USIA SENJA


NAMAMU KULAGU


Di setiap degup jantungku
berkumandang irama merdu
romantis alunan simfoni mendayu
bernota cinta di hati perindu

merata sebarnya
merayap di pembuluh darah pencinta
dahulunya berurat nadi gerhana 
kalbu dirundung duka

cuka kian bergula
manis kian terasa
meresap di jiwa 
berbunga di dada

pelangi cinta berwarna indah
kian mewarnai raut wajah
terbit tanpa diarah
senyuman terlakar tiada terjarah.

Dan di setiap degupan padu
sebutan nama dilagu 
si jantung hati yang dirindu
sumber segala ilhamku

menjalar di urat sarafku.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
27/02/14.

KETIKA HUJAN BERDETIK


SENTUHANMU


Setapak aku melangkah 
engkau tetap mengekori aku
merangkul dalam diam
dalam jaga
menggugah lena

degup jantung kencang
dilancang nafsu
gersang dihidang
kasih sayang
berdulang

engkau menyetubuhi hatiku
dengan kemanjaan
membuat aku terleka
fana
dalam rangkulan

cumbu dan rayu
semakin membunuh
kewarasan.

Akhirnya aku kecundang.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
27/02/14.

akhirnya di mana


sering aku bertandang ke penjuru gelap
sambil berbaring mendap
mengintai wajah hati mereka yang akrab
kian dekat kejauhan rasa manusiawi
dikambus guguran dedaun duniawi
aku tak punya daya apa-apa
pun, tak bisa lagi bertanya
akhirnya di mana
-msa:270214 sk443-

#haiga34


SEHANGAT KASIH


Terkenang


ada kenangan antara cerita
kisah musim remaja yang indah
berdiri di hadapan cermin
sudah membuat aku sangat bahagia
apatah lagi mencuba baju baru
segala-galanya terlalu indah

kadang-kadang musim berubah
sedikit peristiwa membuat
aku menangis seharian
rabak hati hanya kerana seremeh perkara
dimarahi ibu atau ayah
dukaku berpanjangan

musim berganti cinta menggamit
bertambah suka dan duka cerita hidupku
penunggu setia Sang Posmen
rindu menatap wajah posmen
melebihi rindu menatap surat cintaku

terlalu banyak kenangan indah
waktu remajaku bersama teman-teman
berkongsi cerita berkongsi suka dan duka
sebenarnya kisah pahit suatu waktu dulu
juga adalah kenangan manis waktu kini

kerana pahit dan manis sebuah cerita
adalah kenangan masa kini.

Cahaya Laila
Klang
27 Feb 2014

CANDU


# Seorang gadis genit
perawan
merengek pinta ditiduri
dioles mimpi
tangan lelaki; tua, biang keladi
seorang ayah
sebaya orang tuanya
dari kejauhan
menanti

: arus Selat Melaka menghubung.

// Panasaran 
berkelubung di hati
si tangkai jati meliuk-lenggok 
ke kanan, ke kiri
bergetar terbuai, tegap kembali
di pagi hari
bayu menyapa sepi
meniti
dingin dan nyeri sekali

: ombak Selat Melaka menghalang.

Kecanduan kasih di hati.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
27/02/14.

RUSIE


HANYA SEDIKIT


Keringlah hamparan
merkah tanah akar
kontang di dasar
debuan merintih bertebaran
dedaunan layu kekeringan,

...dan seisi alam
gigih merayu belas
memohon curahan segar
titisan dari awan,

Pemegang awan
Pemegang hujan
hanya memberi peringatan
sedikit tamparan
sedikit kepanasan
sedikit kehausan,

...dan hanya sedikit,
Dia memberi peringatan.


~AE/260214~
::TintaMataPena::
YangMerahItuSaga.

GELUK PEMIMPI


Di cawan pagi
di geluk pemimpi
gema berperi
ada rindu termateri
menanti ... ,
susuk si dewi hati.

Salam selamat pagi 
walau di mana rinduku ini
beraksi dan bersaksi
menyeberangi 
tujuh lautan mimpi
berpedati.

Kerinduan berdiksi aksara embun suci.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
27/02/14.

Wednesday 26 February 2014

GODAAN


PANTUN: MEMECAH SUNYI


Rengekan malam jelas bergumam,
rintikan hujan masih berbalam;
Terbenih awan tidak terkemam,
berbuih laut memaut kalam.

Malam berdiang hangat berpeluk,
subuh yang sunyi puyuh meranduk;
Kurendam elok di dalam geluk,
mengomel isim di dalam duduk.

Di dalam sungai keli meliuk,
berdebur bunyi memecah tunjuk,
Ubinya kayu dalam periuk,
keras bak batu bila merajuk.

Pukulan cambuk di malam sunyi,
jelas berbirat di hati sepi;
Rindu berfatwa makin berbunyi,
panah asmara gelora mimpi.

Aduh! Demam tak kebah.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
26/02/14.

PUJANGGA: KISAH SEORANG LELAKI


Kupetik bintang di malam sepi
kejora bersatu di langit tinggi
purnama merindu silih berganti
pungguk merayu di siang hari.

Ingin kukisah rahsia hati
pernah membarah di tangkai jati
di dalam syair aku berperi
embun menitis dingin sekali.

Datangnya bara hangat dikongsi
suam terasa tunggul beraksi
disiram puteri di betis kaki
cendawan bertunas di subuh sunyi.

Puteri membelai lembutnya jari
tangkai bersawang bergetar ranggi
hangat berbahang subuhku tadi
urat belikat lurus kembali.

Aku bersiul burung bersaksi.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
26/02/14.

Tuesday 25 February 2014

#haiga33


#haiga32


HANYA INDAH


SELEMBUT SALJU


BEBASKAN PASUNGAN


Apabila aku mengatakan perawan
aku berkata dalam konsep keremajaan
seorang gadis baru mengenali erti kehidupan
seorang gadis baru mengenali apa itu cinta
bukan bermaksud gadis berada di hadapan mata.

Apabila aku mengatakan menghidang keperawanan
aku luahkan dalam konsep hati dan kejiwaan
seorang gadis meluahkan apa dirasa
seorang gadis menyatakan perasaan cintanya
bukan bermaksud gadis menyerahkan mahkota idaman.

Apabila aku mengatakan seorang gadis berkemban
aku nyatakan dalam konsep berlapik perkataan
seorang gadis meluahkan perasaan yang tersembunyi
seorang gadis malu mahu meluahkan keinginan
bukannya bermaksud gadis berkemban di hadapanku.

Itulah magis dalam permainan pengkaryaan
yang disokong daya imaginasi minda keterbukaan
HOKa memberikan sebuah gambaran
dan HOKi menyediakan segala jawapan
di situlah letaknya ilmu yang tiada batasan.

Berfikirlah di luar kotak pemikiran
usah dipasung fungsi minda kehidupan
baru terjana imaginasi berkekuatan
yang kaya dengan daya keilmuan
kerana setiap huruf, ada kamus untuk dimengertikan.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
25/02/14.

PROLOG PERAWAN TETANGGA


Aku terkasima
memandang susuk gebu
perawan tetangga
berkemban
menyidai pakaian
sewaktu aku buka pintu rumahku
mahunya ke tempat kerja.

Manis senyuman
cantik lirikan 
matanya kuyu sungguh ayu
seakan rela menjamu nafsuku
tubuh perawannya,
mongel 
rakus mataku; meratah hidangan.

Mungkinkah ada agenda
tersembunyi di sebalik galaknya perawan
menjamu seleraku di subuh gelita
membuat aku panasaran, hilang arah
tertanya, berseloka minda
meraba... , kenapa?
Si perawan menghidang perawannya.

Ahh! Prolog kubuka, perawan tetangga 
nun di seberang sana.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
25/02/14.

Monday 24 February 2014

KENANGAN YANG HILANG


Pelangi di kaki langit
semakin pudar warnanya
semakin hilang serinya
tiada indahnya lagi

senja temaram
berlabuh tirai petang
meninggalkan seribu cerita
kisah lelah seorang aku

menyingsing kenangan
yang tertinggal di perdu hati
merobek perasaan nyeri
meninggalkan parut luka.

nukilanhati
~sue~
24/02/14


GURINDAM BERDIKSI LAMA


Lama sudah tidak bergurindam, 
terasa bagai sedang mengidam.

Lama sudah aku menahan,
di dada maya kukirimkan luahan.

Lama sudah aku pendamkan,
menjadi barah meletus ledakan.

Lama sudah tiada kekuatan,
baru kini kutahu maknanya cintan.

Lama sudah aku di buaian,
memendam hajat serelung perasaan.

Lama sudah aku fikirkan,
adalah terlebih baik aku melupakan.

Lama sudah kubawa diri di pekan,
untuk melupakan si dara anak ponakan.

Lama sudah kutetapkan pendirian,
biarlah aku hidup bersendirian.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
24/02/14.

DERAP KAKI KIAN PERLAHAN


Sehayat bakti kasut
lelah sepanjang jalan
menurap serapan pendakian
bagai tari di lantai kerikil
bagai jari digigit sempit

menggulung selaput amarah
cubaan melontar ke pelusuk damai
jauh mematikan hasrat nan tertinggal
di mana tujuan di permulaan
di mana akhiran disudahkan
masih kunci di genggaman
masa yang sedikit berbaki
masa yang terus berlari
pintu sebenar belum dilewati

hakikat lusuh kasut di kaki
sebuah pesan tersarung bukti
derap tari kian perlahan
derap kaki gigil menyaksikan
lusuh kasut, bukan lusuh perjuangan.

~AE/240214~
::TintaMataPena::
YangMerahItuSaga

RUSIE


RUSIE


CIPTAAN ALLAH


RINDU TERPATRI


Rindu...
sentiasa kemas
terpatri di dinding hati
sentiasa kugilap
agar tidak pudar
sentiasa nampak sinarnya,

seperti baru semalam
menyulam kasih gelora
walau lemah langkah
akan kujaga ianya
akan kupastikan
rinduku sentiasa mekar
hingga bersemadinya jiwa.

nukilanhati
~sue~
23/02/14


DEMI SUMPAH


ADOI! AKU DITIPU LAGI


KOLEKSI TISNA BARBATULLY


SEHANGAT PAWAKA


Kekasih 
tahukah kamu 
betapa aku rindu
cumbuan 
dari belaian kasihmu
menyentuh ranjang kamarku
yang kering dan gersang
kehausan, laksana si tangkai jati
dingin-membeku
mengharapkan kelopak bunga
gugur 
tergenggam erat di tangkai
mengoles lembut si kerangkai
menyapu embun-membelai 
mendatangkan pesona, kehangatan pawaka 
asmara di dada
bergelora
di saat dan ketika ini.

Engkau dan aku akan bergelumang 
nikmatnya.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
24/02/14.


Sunday 23 February 2014

JOM BELAJAR


MAHKOTA CINTA MEMBELENGGU


Katakan kepadaku
di mana kelebihan aku
sehingga engkau merayu
mendayu, bicara berlagu
aksara rindu
di hatimu... ,
untukku.

Terangkan kepada aku 
dari mana datangnya fatwa rindu
di hatimu 
bergurindam syahdu-berdiksi pilu
kauserah kepadaku
bukanlah... , 
sebuah mahkota semu.

Tunjukkan padaku
hala tuju rindu 
kerana mahkota cinta kauserahkan itu
telah menggoncang tangkai nafsu 
di hatiku 
untuk mencumbui kamu... , 
setiap waktu.

Mahkota cintamu membelenggu aku.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
23/02/14.


SAAT KEMATIAN


... datang tanpa mengenal usia
tidak kira masa
tidak tertahan dek manusia
tidak kira darjatnya
kerana telah ditetapkan Allah yang Maha Perencana
di saat kelahiran
di situ dibisikkan saat kematian
kepada manusia yang belum berakal
untuk mencari
untuk mengumpul segala bukti 
kebenaran kepada semua perintah-Nya
setelah bertapak - berdiri tegap 
di kedua belah kaki
dan di ubun yang keras
bak batu.

Bersyukur dan bertawakal
bersujud, menyembah; memohon rahmat dari-Nya
itulah jalan yang direda.

Amin.

# Air mataku tumpah di saat ini
takut akan seksaan Allah SWT
kerana aku insan yang leka.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
23/02/14.

10pp+10pp: KEJUJURAN


Aku lebih senang bersuluh dalam terang dari bergelap dalam gelita. Jelas di mata, terang perbuatan dari bersorok pandangan, berdakap terlarang. 

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
23/02/14.

KOLEKSI TISNA BARBATULLY


SELUHUR YASIN


Saturday 22 February 2014

KAMUS CINTA


Bila aksara mula bernuansa
diksi mekar kelopak-kelopak bunga
kamus bahasa menerawang bicara
walau terpaku; bahasanya bisu
romantis tetap bergema 
melanggamkan, lagu-lagu jiwa
ranggi - bermelodi 
satu bahasa.

Lenggok tubuh juga berbahasa
katanya rindu menyeksa
suara sebak berbisik 
asmara
cinta
kasih
dan sayang... ,
kian bergelora.

Tinta hati menitip kata
di kamus cinta.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
22/02/14.


SUSAH ITU ILMU


SUBURKAN CINTA


PANTUN NAKHODA MALANG


Sepetang langit pelepah merak,
putera bertaup dingin menjelir;
Segantang sengit sumpah berkerak,
bahtera ditiup angin semilir.

Dermaga sayu berlantai usang.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
22/02/14.


#haiga31


#haiga30


KOLEKSI TISNA BARBATULLY



SEBUAH PROSA TANPA TAJUK


Buat kesekian kalinya aku menatap muka-buku ini namun keghairahan yang pernah bermahkota seakan telah ghaib, hilang dari pandanganku tiada daya memarakkan kembali pawaka mempesona. Singgahsana terbiar usang.

Yang tinggal hanya kemualan, rasa tidak enak dan kejemuan yang melampaui batasan citra fikiran. Kejumudan semakin mencengkam dada; tertusuk duri pilu bersembilu yang dingin, mati. Beku di dada waktu, ketika fajar bercahaya ungu. 

Namun aku gagahkan jua jemariku untuk menarikan sebuah kata berkelubung cindai jantan, bermelodikan minda fakir bukannya hati, berbicara dari dada kelana musafir di alam maya.

Kuhidangkan untuk sarapan semua.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
22/02/14.