koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Monday, 15 July 2013
USAH ENGKAU TUNGGU YANG AKAN DATANG
Engkau bersantai sambil minum-minum secawan kopi
dengan roti bakar atau mungkin nasi lemak berlaukkan sotong
atau dengan sebatang rokok yang berkepul asapnya engkau hembus
bersama gelak ketawa, menggilai dan bersenda dengan teman seangkatanmu
yang sama-sama sehati dan sejiwa, berpakat mencemar mulia
menodai kesucian satu bulan yang penuh pengampunan dan kesucian
tanpa memperdulikan mata-mata jijik yang memandangmu
seolahnya engkau buta dan tidak punyai perasaan malu sebagai seorang insan
atau hatimu telah gelap tanpa ada sedikit pun titik terang yang mampu menyuluhnya
untuk engkau memahami bahawa perbuatan biadabmu itu
telah meletakkan agama suci ini dalam pandangan serong
pada segelintir manusia yang juga buta tentang islam.
Engkau sepertinya mencabar percaturan yang telah ditetapkan
dengan islam yang bertunjangkan kepada lima rukun
engkau singkirkan rukun ketiga demi nafsu duniawi yang engkau junjung
tanpa alasan, tanpa sebab musabab, engkau mempermainkan hukum
kerana engkau menyangka bahawa untuk Ramadhan yang akan datang
engkau akan kembali menegakkan rukun ketiga tersebut
sambil bermunajat memohon keampunan
sedangkan untuk esoknya, engkau sendiri tidak pernah tahu
nafasmu masih ada atau telah terhenti untuk selama-lamanya.
Qalam Bertinta
Klang
15072013
1615pm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment