Recent Posts

Monday, 20 October 2014

AKU SI BURUNG PIPIT


Aku-lah si pipit kesunyian
terbang bersendirian di dada malam
tanpa cahaya menemani penerbanganku
sering tersandung dedahan pokok
adakalanya terlanggar bumbung bangunan.

Pabila terlanggar aku menyapa
"Wahai pokok kenapa berdiam?
Tahulah aku, kamu bersusuk agam
tidak mahukah kamu
kita berjalan sambil bergenggam tangan?"

: Namun pokok tetap berdiam
aku pun terbang.

Kepada bumbung aku pula bertanya
"Wahai bumbung kenapa tinggi letaknya kamu?
Telah aku rasakan tadi
terbangan aku menggapai awan
namun kenapa, kamu lebih tinggi tersergam?"

: Namun bumbung seperti pokok
hanya diam membisu.

Akupun terbang lebih tinggi
sehingga lelah sayapku berkibas
akhirnya tersungkur
jatuh ke tanah berlumpur
sayapku hancur.

Baru kusedar
aku hanya seekor pipit
bukannya belatuk si pengadu domba
bercakap besar
berhati kecut.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
20/10/2014.

No comments:

Post a Comment