Sunday 12 October 2014

JIWA PUISI


Siapa kata berpuisi itu mudah?
Puisi itu seumpama mengunyah kuaci
mudah dikupas kulitnya dan dinikmati isinya.

Salah! Berpuisi tidak semudah disangka-sangkakan.

Puisi harus ada kepala
baru pembaca dapat melihat wajahnya
kacak ataupun cantik
kerana itu pemuisinya sentiasa pecah kepala
untuk menghasilkan tajuk yang sempurna.

Puisi harus ada pakaian
baru pembaca dapat melihat keindahan
segaknya tubuh badan
sebab itu pemuisinya tidak membogelkan diri
bercokin dan berlenggeng.

Puisi harus ada jiwa dan semangat
baru pembaca dapat menyelami apa dihasrat
dibicara dan dinikmat
intipatinya yang menyengat
sebab itu pemuisinya sentiasa bergelumang
fantasi dan realiti di alam mimpi.

Puisi harus ada kaki
untuk menunjukkan jejak yang telah bertapak
buat menunjukkan yang si pemuisi
sirius dalam penciptaan
bukan hanya satu permainan.

Puisi harus memegang bunga
diksi yang kepelbagaian warna dan corak
baru pembaca dapat mencambahkan tunas
imaginasi yang hidup di dalam minda
sebab itu pemuisinya sentiasa nampak gila
... gila-gila dalam berbahasa.

Puisi seharusnya kaya gaya bahasa
baru akan dinikmati manisan
oleh pembaca dan pengkritiknya
sebab itu pemuisi seharusnya kaya tidak miskin
dalam perbendaharaan kata.

Puisi memang tidak mudah dicipta
atau semudah menulis a.b.c
malah aku menyangkal jika ada yang mengatakan
mencipta puisi hanya sekadar suka-suka
hanya untuk kepuasan diri
kerana akan menangislah para pemuisi
yang bergantung hidup dengan menulis puisi
kerana penulisan puisi adalah satu cabang
mencari makan menyara kehidupan.

Sebab itu puisi harus berjiwa dan dijiwai.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
12/10/2014.

No comments:

Post a Comment