Saturday 24 November 2012

Ayahku


Ayah!
Bagaimana untuk aku lakarkan 
sebuah lakaran puisi 

mengenai kerinduan di hati
seorang anak yang amat merindui
belaian kasih dan sayangmu.

Ayah!
25 tahun telah berlalu
saat engkau kembali menemui Ilahi
dalam kerinduanku
aku kembali mengenangimu
seorang ayah yang amat aku kasihi.

Ayah!
Aku terlalu merinduimu
ingatanku terlakar kembali di saat hidupmu
setiap kali aku pula menghadiri
majlis Hari Anugerah Kecemerlangan
anak-anakku - cucu-cucumu.

Ayah!
Dahulu,
- (bergenang air mataku)

engkau selalu menghadiri majlis sebegitu
sewaktu aku
di bangku sekolah rendahku
tanpa jemu
engkau pasti menemani
aku.

Masihku ingat ayah
sewaktu melintas jalan raya
genggaman erat tanganmu
kemas menggenggam
dan memimpin tanganku
juga tangan kakakku
menuju ke dewan sekolah
buat mengambil
hadiah kecemerlangan itu,

bila tersua rakan-rakanmu
engkau dengan bangganya berkata
kepada mereka

"Nak pergi tengok anak-anak ambil hadiah"

begitu bangga ayah
perasaanmu
terhadap anak-anakmu ini
kerana jelas terpampang
di wajah kegembiraanmu
sebuah senyuman kepuasan
terserlah di dalamnya.

Ayah!
Aku memang anakmu yang manja
walaupun masih punya
2 orang adik lagi di bawahku
namun engkau membelai aku
dan memanjakan aku
seumpama akulah anakmu yang paling bongsu.

Ayah!
Sememangnya ketiadaanmu
memberi kesan kepada diriku
tatkala di tahun 1987
tahun keramat pemergianmu
aku pula akan menduduki
ujian Sijil Rendah Pelajaranku
namun aku bersyukur

"Alhamdulillah"

aku tetap tenang
menduduki ujian tersebut
sehingga berjaya
mencapai keputusan yang cemerlang.

Namun ayah
kini aku pula mengiringi anak-anakku
seperti juga aku
mereka membuatkan diriku merasa bangga
seperti bangganya kamu, ayahku
terhadap kami
anak-anak kesayanganmu.

Ayah! Rinduku kini bertandang kembali.

Ayahku.

__________________

Nukilan permintaan Roziah Abd Samad.

ss/spl/pm ... 23/11/2012.






No comments:

Post a Comment