Thursday 26 September 2013

SYAIR AKHLAK MULIA


Segala puji-pujian kepada Allah,
Bermula syair dengan Bismillah,
Akhlak yang mulia diri terserlah,
Janganlah berlaku budimu relah.

Akhlak berasal bahasa Arab,
Akhlaq bererti perangai kerap,
Moral dan etika indah diharap,
Budi pekertimu usah terperap.

Diri berakhlak dihormati orang,
Di mana-mana tidak dilarang,
Memegang luhur tiada curang,
Iman teguh menjauhi dilarang.

Jaga akhlakmu jangan dicemari,
Seindah lakumu tidaklah berlari,
Inilah permainanmu sehari-hari,
Santun budimu tidaklah terperi,

Insan berakhlak disanjung selalu,
Kesempurnaan diri sangat perlu,
Sesiapa melihat tidaklah berbulu,
Memilih menantu ini dilihat dulu.

Nilai-nilai positif menjadi amalan,
Karakter yang baik selalu ditelan,
Perangai dursila jangan berjalan,
Dipandang orang jadi mengkelan.

Akhlak yang cela jadi cemuhan,
Tentu ibu bapa dihimpit keluhan,
Kelakuan buruk kena bantahan,
Perlu berubah biarpun perlahan.

Kesucian diri hendak dipelihara,
Zahir dan batin usahlah cedera,
Di hadapan Allah akhlak mesra,
Depan orang tua santun bicara.

Nabi Junjungan baiknya akhlak,
Sunnah baginda jangan ditolak,
Mengandam diri indah bercelak,
Khalayak melihat tidaklah jelak.

Membina akhlak hablun minannas
Cantiknya ukhwah jangan dirunas,
Dulang silaturahim menjadi panas,
Maka keharmonian bertukar ganas.

Akhirul kalam syairku tamatkan,
Andai berguna di hati sematkan,
Pesanku buat teman dan rakan,
Kalau tak sudi janganlah makan.

Wallahu’alam.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
35500 Bidor,Perak.
26.9.2013 (Khamis)
Jam, 5.00 petang.

No comments:

Post a Comment