Sunday 30 June 2013

PEMUJA NOMBOR SATU.


Alis matamu
bagai merenung kalbuku
memukau aku
membangkitkan nafsu.

Senyuman di bibirmu
mengoles rindu
ingin menikmati madu
kemanisan bak tebu.

Ahhh! ... pemuja wanitakah aku
dalam memuja keayuan wajahmu
menampar dinding resahku
apabila wajahmu

... hilang dari pandangan mataku.

Akulah pemuja bernombor satu.

Sazalee Sulaiman ... 30/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.



MASIH MENGHARAP.


Sirnakah
cinta di hatimu
sudah tiadakah aku
di situ
sedangkan aku
masih
mengharapkan
kamu

kembalilah kepadaku

Aku masih mencintai kamu.

Sazalee Sulaiman ... 30/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.



TANGIS


Bayang-bayang


...dalam diri ada bayang-bayang,
suatu rasa yang menghalang,
melengah tempoh jadi matang,
tidak yakin diri cemerlang,
merendah diri melepas peluang,
tak mahu ke depan berjuang,
hanya mengekor dari belakang,
silap langkah boleh kecundang,
terpesong arah tergelincir ke jurang...

takutkah kamu pada bayang-bayang?

CNM, 30/6/13, THMK.

TAK AKAN KUBERPALING


Kupintal tali temali ingat sambil menyisir lintasan cerita kelmarin
yang berona dalam warna kusam membentur lara seraga duka
lalu kupilin sekuatnya ikatan itu sambil membiarkan ianya berlalu
tanpa kubenarkannya mengusap biarpun secuil rasaku yang berdendam
dan pada setiap lorong yang dilalui oleh cerita yang semakin kulupakan itu
kutandakan dengan nisan kebencian dan tanpa ada sedikit jejak pun yang kutinggalkan
kerana di lorong-lorong itu ada airmataku yang tertumpah: ada sendu yang parah
dan di situ juga ada cerita yang tidak mungkin menjadi sejarah.

Lorong itu semakin jauh kutinggalkan…tanpa ingat, tanpa kenangan
dalam jejak yang kucetak dengan keterlukaan yang masih hangat darahnya
aku melangkah tanpa berpaling

: dan tak mungkin akan berpaling lagi.

Qalam Bertinta
Klang
30062013
2051pm

BERTITIK DI SALJI.


Saat yang berlalu tak akan kembali
tak mungkin akan kembali lagi
biarlah menyepi - meminggirkan diri
tak perlu lagi kita kenangi

kelak memakan diri
di kalbu bersembilu duri
meranalah hati
lukanya tersayat kembali

usah diungkit lagi
cinta kita biarlah menyepi
biarkanlah ia pergi
menjadi Tajmahal bersalji

... beku di hati.

Jadikanlah peringatan diri
agar menjadi kekuatan teruji
tragedi yang terjadi
jangan sesekali kita ulangi.

Kutitikkan di sini.

SAZALEE SULAIMAN ... 30/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.



Penjara


...ramai yang bebas lepas, tanpa menyedari mereka dalam penjara ciptaan sendiri. dipenjara hati sendiri dengan hal-hal yang tidak membahagiakan...

...lantas memilih mengasingkan diri dan membiarkan kemurungan meragut kemanisan bersosial dalam ruang lingkup yang disyariatkan, sunggup malang penjara itu dibina atas kehendak sendiri...

...hidup terusan dibelenggu kepedihan sedang hati bisa memilih untuk menelan duka mencari keceriaan beronakan warna pelangi di luar sana...

ketahuilah bahawa di hati ada kunci ke pintu kebahagiaan...

CNM, 30/6/13, THMK.

BAYANG-BAYANG KELABU.


Bila kaurindu
ingatlah
aku sentiasa
memerhatikan kamu
dari kejauhan
dalam kegelapan
di bangku sepi
membayangi tubuhmu
hatimu
dan kalbumu
juga
di setiap
langkahan kakimu
yang lesu.

Bak bayang-bayang kelabu.

SAZALEE SULAIMAN ... 30/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.



SYAIR MUNAJAT PERINDU.


Kelopak mekar bungaan indah
cantik di tangkai berwarna merah
hasrat di hati dimamah gundah
siang dan malam dipanah resah.

Ingin memetik bunga yang cantik
disusun hias berserta putik
mungkinkah rindu datang menjentik
siang dan malam teringatkan adik.

Patah dahan rantingnya hanyut
akar berlingkar tiada bergayut
kuseru namamu gema bersahut
siang dan malam asik menyebut.

Ditimpa hujan bah menderu
dibawa arus mudik ke hulu
di bawah bayu hasrat mendayu
siang dan malam rindu merayu.

Syair berlagu munajat perindu.

SAZALEE SULAIMAN ... 30/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.



2B7K: MENYEPI


Menyepi diri,
disakiti atau menjauhi, lelah memikiri.

ZIE 30/06/2013

MUNAFIK


Berbolak-balik dalam bicara
seakannya lidah berbelit melilit kata
megah menutur bahasa palsu
menjunjung resam hasad warisan iri
mengacum, mencipta domba sesama
lalu tergelincirlah adat menyingkir adab.

Apakah itu kepuasan yang menongkat hatimu
mengadun rencah onar yang melapisi bibir
sedang rasa bersalah engkau anggap benar
malah engkau dakap satu dari sikap yang empat
langsungnya membina sengketa melerai ikatan
dan membenamkan rasa percaya antara sesama

: engkau masih tersenyum bersama kemunafikanmu.

Qalam Bertinta
Klang
30062013
0833am

MASIH TERINGAT.


Rindu di hati pudar wajah
getah di jiwa masih jelantah
mungkin berpaling renung arah
menjiwai saat-saat indah.

Petang tadi ubun berdiang
di dalam kabut berjerebu siang
ombak rindu bertopeng usang
di wajah senyum menghilang.

Bahang keringat hamis dan likat
bercurah hangat membasahi belikat
terkulat dan tercegat
lidah terjilat masih teringat-ingat.

Saat-saat indah di masa silam.

SAZALEE SULAIMAN ... 30/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.



Saturday 29 June 2013

DURI


Selangkah mencari erti
di hadapan penuh ranjau dan duri
cekal dan teguh azimat diri

duri akan menjadi permaidani.

#AE/29JUNE13

DI AKAR SUNYI KABUT MENARI.


Kabut masih mengekori
setiap langkahanku di tanah landai ini
timbul di embunan sepi
merantai belikat, usangnya di kaki.

Hati ... tidak mengerti
kenapa kabut, berterusan menusuk belati
di kala bahagia di hati mengecapi
dibelai nikmat, sesekali.

Mungkinkah kabut telah bersebati
bernaluri di dalam hati
menikam kalbu menghiris kesepian ini
di akar sunyi, kabut menari.

Di batas sendi.

SAZALEE SULAIMAN ... 29/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.



Andai Bisa


andai bisa
malam meludah
nescaya telah dikahaknya
ke kaki kebejatan
yang bercambahan
di sebalik dedaunan...

andai bisa
pepohon menjerit
nescaya telah dilaungkannya
ke telinga kemaksiatan
yang berpeleseran
di taman-taman awam...

alam menyaksikan
kepincangan insan
menongkah syariat tuhan
tanpa sekelumit sesalan
angkuh mempermainkan
suruhan yang difirmankan...

CNM, 29/6/13, THMK

HATI JELANTAH.


Kocakan air
di muara kasih
menghembur ke wajah
mencurah ke lembah
di hati resah
gelisah

... terngadah sudah
gundah.

Di hati jelantah.

SAZALEE SULAIMAN ... 29/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.



CANTIK MEMBUNUH.


Beluncas hayatnya rakus
sentiasa lapar
bernafsu, untuk menggalas perut
sebagai bekalan hidup di saat tergantung
menghitung untung
membusung kepompong.

Keluar kepompong
berseri-seri
cantik bercorak rona pelangi
alam semulajadi
ceria di hati pencinta asasi
indah dikongsi.

Tapi sayang
hayatnya sementara cuma
keesokannya bergelimpang ditemui mati
kerana lapar menghukum diri
gilakan cantik
terlupa ... tiada mulut disertai.

Kecantikan memakan diri.

SAZALEE SULAIMAN ... 29/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.



~Luar-Dalam~


Luar...
terpapar segar
lesu layu
lebam masam
manis bengis
lisut kerepot
cantik molek
dengan mata celik
mudah diratah kunyah
boleh ditelan bulat-bulat
semudahnya dinilai tafsir mengikut hasrat

Dalam...
tenggelam tersembunyi
tak beriras rupa paras
tak pasti lekok bengkok
sukar disukat lurus tulus
rumit dicuit gamit
sekadar mampu diduga teka
perlu ditimbang tara
mesti ditapis dengan hati dan aqal terbuka

Yang tahu pasti luar dan dalam hanya Dia Maha Pencipta.

~msa: 290613 Permatang Mahang,Kedah~

DI BATAS KESEDARAN


Di beting pagi yang keramahan mengelus nyaman
kuhadirkan diri dalam seraga syukur yang menunduk
bersama keinsafan nurani yang memetik bunga sedar
untuk kembali nyata menembusi titik kehidupan
setelah aku dibangunkan dari mati suriku.

Menyelak helaian semalam dalam jilid hidupku
ada ruang yang kutinggalkan dalam sedar persoalan
jalanan ini tidak selancar akal yang merencana
yang punya pendakian mencabar sabar menyisir waktu
untuk meletakkan “jadi maka jadilah”
di dalam hati…sedalam jiwa.

Qalam Bertinta
Klang
29062013
0811am

10 pp


...tidak penah kumelupakan walau sesaat masa berputaran,
hadirmu wahai sayang...

ZIE 29/06/2013

SUNGAI HATI


Andai sungai hatimu mengalir lesu
zikirkan aliran arusmu
agar segar dan jernih selalu.

Maafkan sekitar sungai hatimu
yang mendekatkan daki dan debu
bersihkan dari terus membelenggu.

#Pesanan buat hati sendiri#
::AE/29JUNE13::

SEORANG AKU


Aku kembali meniti hari
yang telah jauh kutinggalkan
kerana leka dalam lamunan
dan terbawa oleh perasaan
antara amarah dan kasihan
aku jadi alpa pada jalan pulang.

Aku ke sini lagi dengan satu tekad
tiada apa yang berubah
kerana aku tetap aku
mengajak bicara tentang kesedaran
dan keinsafan
biarpun yang kuterima hanya ejekan.

Aku pun bukan insan sempurna
kekurangan tertera merata-rata
kerana itu aku sentiasa bermuhasabah
agar tidak terlupa siapa diri ini
aku hanya seorang hamba
yang kadang kala terlalai juga.

Cahaya Laila
29 jun 2013

PERCA-PERCA CERITA


Engkau hanya perca-perca cerita
terbanglah dibawa angin ke mana jua
biar hilang dari pandangan mata
usah singgah menjenguk hiba
mencubit lara yang tiada.

Engkau perca-perca cerita lama
usah mimpi dijahit semula
hanya mengundang sakit pastinya.

#AE/29JUNE13#
Bingkisan Cerita

Aku Hanya Bulan


SAHABAT HATI


embun

setitis embun
besar maknanya
jika inilah penawar
menyambung nyawa

setitis embun
begitu berharga
tika kemarau
merekahkan danau

setitis embun
umpama permata
pada khazanah alam
buat setiap insan

setitis embun bisa menenggelamkan alam maya

Jue Affendi

TAFAKUR HATI.


Kupejamkan ilham
di dada alam
berbantal dan bertilam
di hamparan kusam
berteman malam

: menghitung semalam.

Aku congak saat berlalu
di dalam diari berkalam harianku
usang dan berdebu
... beruntungkah diriku
atau rugikah aku

: berlawas amalanku.

Bersiap untuk hari yang bakal kembali.

SAZALEE SULAIMAN ... 28/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.



DI SITU


Rembang petang
memijar
ada keringatku
yang tertumpah di situ
juga nafasku
yang lelah
ada di situ

: aku juga terus di situ

Qalam Bertinta
Klang
28062013
1707pm

Friday 28 June 2013

SEPATAH TANYA



Lalu aku bertanya
“apa mahumu ke sini?’’
engkau diam

: pandanganmu meredup
ada bening di sudut itu.

…dan aku pun bungkam
melangkah tanpa salam
tanpa alasan

: tanpa jawapan.

Qalam Bertinta
Klang
28062013
1747pm

Dia Datang


dia datang lagi
membawa seribu erti
bermakna di sisi Ilahi
dinanti-nanti
seluruh makhluk bumi...

dia disebut dalam al-quran
membawa pelbagai tawaran
diturunkan ayat suci Tuhan
jadi panduan
sungguh patut dimuliakan

berdoa
semoga dipertemu dengan dia
dapat menyuci dosa
menganda pahala
mencari redha

dia RAMADHAN yang teramat mulia.

CNM, 28/6/13, THMK.

SEPI


Sepi yang menyongsong laman nurani membentak jiwa dalam pagutan kesal
sepertinya ingin memberontak menembus rasa yang sekadar lewat di pinggiran
dan aku pun terhenti di ujung tafakur ingat dengan mata terpejam…pasrah.

Hujan semusim juga masih tidak mampu membasahi akan setiap aksara sepiku
yang kontang dalam bara unggun penantian: pun di situlah aku yang ditinggalkan
hanyut dalam sepi keterpaksaan dan rebah dalam tafakur yang membunuh ingatan.

Sepi itu masih aku yang telah hilang dalam asanya
lalu kucetak semuanya dalam kesepian

: sepi pun kembali bertandang lagi.

Qalam Bertinta
Klang
28062013
1001am

Mageran.


Malam 16 Mei 1969
negara diistiharkan darurat
perlembagaan digantung 
diambil alih Yang DiPertuan Agong 
sebagai pemerintah
di bawah undang-undang tentera. 

Majlis Gerakan Negara
Mageran dibentuk 
Tunku Abdul Rahman menarik diri 
ketua majlis berganti 
Tun Abdul Razak
Timbalan Perdana Menteri ketika itu. 

Parlimen juga digantung
sepanjang tempoh darurat dihitung
Mageran mencari punca tanggung
agar tragedi tidak berulang
menampong. 

Rukun Negara dibentuk
untuk meningkatkan kefahaman rakyat 
tentang erti perlembagaan 
negara perpaduan. 

Dasar Ekonomi Baru dilancarkan
pengenalan kaum dihapuskan 
satu aktiviti ekonomi berjalan 
membasmi kemiskinan. 

Barisan Nasional dibentuk 
bersifat majmuk
sebagai sebuah kerajaan perpaduan 
diperuntuk.

Tetapi kini apa dah jadi
perpaduan yang aku lihat hari ini
seakan longgar ditali
goyah menakluki kaki-berkaki.

... aku kehairanan.

SAZALEE SULAIMAN ... 28/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
Rujukan: http://ms.wikipedia.org/wiki/Peristiwa_13_Mei

Thursday 27 June 2013

Akrostik: CAHAYA CINTAKU.


C-inta
A-dam
H-awa
A-nugerah
Y-ang
A-badi.

C-inta
I-tu
N-ikmat
T-erbaik
A-nugerahNya
K-ekal
U-tuh.

SAZALEE SULAIMAN ... 27/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.


Peristiwa 13 Mei.

Bab 1.

13 Mei tahun 1969 
rusuhan kaum telah berlaku
menconteng hitam sejarah negara 
kemuncak dari masalah perpaduan 
tragedi kehilangan nyawa 
dan juga harta benda.

Calon pembangkang membangkitkan persoalan 
Bangsa Malaysia; tentang bahasa, kedudukan Melayu 
dan hak kerakyatan bukan Melayu 
membuka ruang dan peluang kesempatan politik
habuan pilihanraya.

Sejarah tercatat pada PRU69 
Parti Perikatan gagal mencapai majoriti 2/3 
walaupun berjaya membentuk kerajaan
disifatkan pula parti pembangkang
satu kemenangan yang besar buat mereka 

jumlah kerusi dimenangi perikatan
menurun daripada 89 kerusi pada PRU64 
kepada hanya 66 kerusi
gabungan pembangkang: Gerakan, DAP dan PPP menang 25 kerusi
PAS pula menang 12 kerusi.
___________________
Bab 2.

Dr. Tan Chee Khoon dari Gerakan; menang besar di kawasan Batu
kebenaran polis telah diminta untuk berarak meraikan kemenangan 
mejoriti 50:50 di Selangor
dan menyebabkan kesesakan jalan raya 
di sekitar Kuala Lumpur

perarakan dirangka hingga ke Jalan Campbell dan Jalan Hale 
telah terpesong menuju ke Kampung Baru 
yang penduduknya purata orang melayu, kubu kuat parti UMNO
berasa terancam perarakan kemenangan pihak pembangkang
kerana di sinilah letaknya rumah Menteri Besar Selangor Dato' Harun Idris

dikatakan juga kaum Cina yang menang 
telah berarak 
mengikat penyapu kepada kenderaan mereka 
sebagai lambang kemenangan mereka 
menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan 

ada pula pendapat mengatakan penyapu sebagai lambang 
mereka menyapu orang-orang Melayu ke laut
manakala dalam masyarakat Melayu penyapu mempunyai konotasi yang negatif; sial 
apatah lagi ada yang mencaci dan meludah dari atas lori 
ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan.
_______________________
Bab 3.

Di Jinjang, Kepong
kematian seorang Cina akibat sakit tua 
diarak sepanjang jalan juga dengan kebenaran polis
namun perarakan kematian telah terpesong
bertukar menjadi perarakan kemenangan pilihan raya dengan menghina Melayu.

Pada hari Selasa 13 Mei Yeoh Tech Chye 
selaku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia 
yang bertanding untuk Gerakan memohon maaf di atas ketelanjuran ahli-ahlinya 
melakukan kebiadapan semasa perarakan 
tetapi permohonan maaf tersebut sudahpun terlambat.

Pada pagi 13 Mei 1969 telah terjadi peristiwa ini
orang Melayu berkumpul di rumah Menteri Besar Selangor Dato' Harun Idris 
selaku Menteri Besar Dato' Harun telah cuba mententeramkan keadaan
rupa-rupanya ada dikalangan mereka telah mengumpul senjata 
hanya menunggu arahan untuk mengamuk
_____________________
Bab 4.

jam 3.00 petang: 

berita pembunuhan orang Melayu di Setapak 
dan seorang wanita mengandung dibunuh dengan kejam 
kandungannya dikeluarkan dari perut 
menggunakan besi penggantung daging babi

jam 4.00 petang: 

dua penunggang motosikal Cina telah dipancung
sebuah van membawa rokok, dibakar dan pemandunya telah dibunuh,
pemuda-pemuda Cina yang dikatakan dari PKM dan kongsi-kongsi gelap bertindak balas
mereka membunuh orang-orang Melayu di sekitar Kuala Lumpur

pemuda-pemuda Cina telah bertindak mengepung Panggung Odeon Jalan Tuanku Abdul Rahman 
beberapa iklan telah disiarkan dalam bahasa Cina di skrin pawagam tersebut
menyuruh orang Cina keluar dari panggung tersebut
manakala orang Melayu yang langsung tidak tahu membaca tulisan cina tidak menyedari
dan pemuda-pemuda cina tersebut telah menyerbu masuk ke dalam panggung 

mereka menyerang dan menyembelih tanpa simpati.
________________
Bab 5.

Angka rasmi kematian seramai 196 orang 
439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan
211 kenderaan musnah.

Statistik tidak rasmi jumlah kematian:

Melayu  : 86 orang
Cina  : 342 orang
Lain-lain  : 3 orang 

Apa yang kita dapat dari peristiwa ini? ... Fikirkanlah.

SAZALEE SULAIMAN ... 27/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
Rujukan: http://ms.wikipedia.org/wiki/Peristiwa_13_Mei

MONOLOG BISU


PAGI YANG BERNODA


SYAIR BERLAGU DI HATI.


Syair berkurai di bawah bayu
sendu terlerai di kolam kalbu
hati dibuai di langit sayu
rindu dibelai kasih beradu.

Kusapu bayu di wajah kusam
di kolam kalbu duduk berendam
di langit sayu senja temaram
kasih beradu syair melaram.

Kusingkir kusam di wajah lara
usai berendam berseri muka
senja temaram malam gelita
syair melaram di dada cinta.

Jauhlah lara usah mendatang
kurenung muka sinar benderang
malam gelita pungguk bertandang
di dada cinta syair berdendang.

Kusyair cinta berlagu hati.

SAZALEE SULAIMAN ... 27/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.


SYAIR TUNAS YANG SIRNA.


Telah memerah hati berdarah
terdampar haus menyerah kalah
di bangku usang mencari arah
bertunas duka terbit di wajah.

Di tepi pantai menopang dagu
sambil berperang di dalam kalbu
meratap kasih cinta berlalu
tunas menghilang dibawa debu.

Tunas yang sirna takkan kembali
walau berbaldi rayuan hati
bagai pelangi kian menyepi
di pantai usang senja menanti.

ohh ... ,

kenapa malang menghimpit dada
sendu dan sebak masih terasa
tunas kusunting kering tangkainya
mekar berbunga sesaat cuma.

Bertitis embun di bangku jiwa.

SAZALEE SULAIMAN ... 27/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.


Wednesday 26 June 2013

Syair Helang Tua 3




Berkata ia pada raja rimba
kerana firasat bencana melanda
hati-hati dengan helang muda
leka alpa bermain cinta

Malang sekali tiada didengar
Raja rimba terus beredar
walau sedar ada benar
Egonya tinggi takut tercabar

Helang tua terbang beredar
Keliling rimba menyaksi onar
Helang muda beraksi liar
Meninggal tugas pasangan dikejar

Alamat rimba dalam bahaya
Musuh tiba mengancam nyawa
Helang tua memanjat doa
Dilindungi akan sekalian warga

Musuh sentiasa mencari ruang
Jangan sesekali alpa memandang
Helang tua amat tenang
mengesan musuh memang cemerlang.

CNM, 26/6/13, THMK.

SYAIR CAMAR DI KAMAR.


Wahai kaucamar tinggi di awan
turun ke bumi berkawan-kawan
kutabur bilis untuk kaumakan
sebagai upah untuk berteman.

Dengarlah aku ingin berkata
usah gulana usah curiga
sepi di dada kian bertahta
tiada teman berkongsi rasa.

Wahai kaucamar sungguh beruntung
terbang sekawan kaki tergantung
mencecah air bilis kauusung
sedangkan aku melayan menung.

Terima kasih padamu camar
kerana sudi berkongsi dengar
keluhan hati dada yang cemar
meniti hari kamar nan samar.

Pulanglah camar, sarangmu menanti.

SAZALEE SULAIMAN ... 26/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.


Syair Helang Tua 2


Merasa diri bagai terhina
Termenung helang di pucuk ara
Mengenang jasa pada rimba
Mengesan musuh tugas utama

Betapa airmata menitis laju
Kenang diri sudah tak laku
Malang nasib dirasa menyerbu
Sesak dada hatinya pilu

Sekalian warga sebulat suara
Menyinsih helang dianggap tua
Ditarik tugas mata-mata rimba
Diserah pada helang muda

Membawa diri ke sudut gua
Duduklah menyendiri menunggu masa
Berbicara ia pada isi rimba
Yang tua jangan dilupa.

CNM, 26/6/13, THMK.

Sepi


tik! tak! tik! tak! irama jam dinding itu menerjah ke layar telinga, bunyi jelas bagai sambaran petir menusuk ke akar minda,..sepinya.

sepi ini mengajak akal berpeleseran ke pelantar awangan, memandang dunia kebosanan penuh hutan-hutan duri yang menikam tanpa secarik luka, hanya perit pedih menjalar ke ulu hati.

sepi telah memasung kewarasan, hanya kegilaan yang bebas merasuk, dan sekujur tubuh pantas tertewas dalam godaan nafsu yang tak pernah mengenal erti kekalahan.

sepi membawa ke lembah kemudaratan, mencari kolam kepuasan tanpa menoleh jalan pulang...

CNM, 26/6/13, THMK.

LAKARAN HATI


Benar katamu
lakaran hidup kita punya sejuta warna
merah, hijau, putih, kuning
membatik nubari kita yang bening
tanpa sedar
kita melakar laksana pakar
menyeri hati sendiri.

Di sini
kita melukis abstrak jiwa
gambaran hasrat jauh berbeza
kalau hitam bagimu menawan
biru syahdu hatiku tertawan

Di situ
kita tidak pernah ragu
atau peduli pada keliru
kerana kita berdiri seadanya
sebagai manusia
yang terbeban dan membeban
dan kita berhak bermimpi
menjadi insan sejati.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
26 Jun 2013
3.03 pm

Syair Helang Tua


Tersebut suatu kisah helang
sana sini terbang melayang
menebar sayap agar dipandang
walau diri sudah diambang

Mata sudah hampir buta
kabur pandangan jelas nyata
yang baik tiada di mata
yang buruk dicari jua

dipendekan cerita helang tua
tiada siapa peduli akan dia
hidup ibarat perigi buta
ada tiada tak bermakna

CNM

KENALILAH AKU BUKAN MENYINTAI AKU.


Kenalilah aku seorang penyair mukabuku berdendang apa sahaja mahuku dari dada, minda dan juga rasaku; kenalilah aku.

Kenalilah aku, hanya seorang insan biasa, bukannya ada nama, paras rupapun aku tiada apa lagi harta berjuta ... hendak dibelanja; kenalilah aku.

Kenalilah aku, seorang insan berkecerdasan otak rendah tidak setaraf penyair besar, menapak menyusur lembah dan lurah, tersandung tanah luka berdarah; kenalilah aku.

Kenalilah aku, seorang dungu baru belajar, itulah dari kata-katamu, baru bertatih dah tersandung akar berbelikat engkar; kenalilah aku.

Kenalilah aku, seorang bodoh pada pandanganmu, bicaraku tiada berilmu hanya mencarut dan mengarut ... itulah menurut dari apa katamu; kenalilah aku.

Ahhh! Kenalilah aku dahulu, aku bukan pengoles telur berbulumu, mengipas bukannya cara aku ... mahu menjilat pekung nanarmu kerana itu bukannya aku; kenalilah aku dahulu.

Kenalilah aku dan kritiklah lagi aku semahumu, biar menjadi makanan rujiku kerana aku perlukan kritikan-kritikanmu ... bersendi dalam karya-karyaku; kenalilah aku.

Kenalilah aku kerana telah kutegarkan niat di hatiku dalam belajar seharusnya begitu, memang senang untuk dimaki orang sepertimu, yang terlalu pandai mengikut egomu

... kenalilah aku dahulu, bukan kupinta mencintai diri aku.

SAZALEE SULAIMAN ... 26/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Lelah


adakalanya amat terasa di lubuk hati yang paling dalam akan lelah, setelah keringat mengering, meninggalkan kulit keperangan berkedutan dimamah bahang mentari yang tersenyum sinis, lelah yang adakalanya menyuburkan rasa putus asa, hati jadi lemah, selemah-lemahnya seakan mahu mennghulurkan nyawa, biar malaikat maut mengetusnya ke alam abadi, mahu mati saja, namun perjalanan hidup ini tidak sepertinya angin yang berlalu, bahawa kematian belum menamatkan kemelut, kematian adalah permulaan kepada sebuah kehidupan yang tiada akhirnya, bersediakah? ...lelah hanya datang menguji...renungi.

CNM, 26/6/13, THMK.

TIUNG-TIUNG BINGUNG.


Tiung-tiung bingung
mematuk daging pekung
berkicau berdengung-dengung
mengejar si belalang patung
di semak tinggi menggunung
buat hidangan temenggung
perut membusung.

SAZALEE SULAIMAN ... 26/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.


~di sini dan dan di situ~


di situ sudah tiada aku lagi
misteri...
sebarang kebarangkalian bisa terjadi
hati...
boleh dibaca, sukar dimengerti
di sini, tercatat seribu, seratussebelas nama
hanya angka...
dalam harap moga ukhuwah terbena
ada tapinya...
empunya nama tetap manusia biasa
hatinya...
barangkali serupa warna, hasratnya berbeza
di sini dan di situ atau di mana jua
selamanya kita sama di sisi Maha Esa
usah dendangkan lagu andai-andaian
perang perasaan sering mendustai kebenaran.

~msa: 260613 SK443

BILA TIBA WAKTUNYA


Sepertinya ingin kutembusi awan dan menerjah setiap pintu langit
untuk aku mencari rahsia yang tersembunyi agar dapat kumaknai akan setiap satunya
dan kubawa ke dunia ini agar pengertian tentang satu kehidupan akan lebih dihargai 
tika nilai hidup di jiwa hamba-Nya kian lenyap dalam keruntuhan akhlak
menyonsong semua dosa dalam seretan nafas serakah mengejar dunia
hinggakan terlupa akan janji yang dimetrai ketika ditanya Sang Pencipta
sedang bumi hanya tersenyum mengejek serta menunggu waktu untuk membaham
namun leka dan alpa mendamparkanmu ke pintu neraka yang sentiasa menunggu

: engkau akan mula menyedari bila ruhmu hanya setarik lagi untuk dihabisi.

Qalam Bertinta
Klang
26062013
1013am

KUFAHAMI ARTINYA


IRAMA ASLI.


Kusyairkan rasa sebu 
beriring sayu 
melodinya berirama pilu:

KRIUT KRIUT
KRIUT KRIUT
RUUUUUUUUUT

: lalu kukatamkan iramanya
di meja makan
kedai nasi ayam ... kriuuuuut.

Jom.

SAZALEE SULAIMAN ... 26/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.