Friday 21 June 2013

Sajak: MELAYU HILANG DI MATA DUNIA.


Melayu tak akan hilang di dunia
namun yang hilang
pastinya jati diri kemelayuan kita
seandainya bahasa tercinta
yang menjadi ciri kemelayuan diri kita
hilang nilai-nilai martabatnya

... setelah norma-norma tatabahasa
dan keasliannya dilanggar
dilacur dan dirojakkan 
tanpa batasan

... didagang sewenang-wenangnya
bercampur aduk bahan bahasa penjajah
di dalam bahasa
oleh setiap dari diri kita.

... bahasa sms menjadi pilihan
diselitkan di dalam karya-karya mereka
yang kononnya
mahu menjadi seorang bijak dalam berpujangga.

Tidakkah mereka ini sedar
merekalah bapa dan ibu ayam pelacur
yang melacurkan bahasa melayu
di mata dunia

... yang semakin merosakkan jati diri
bahasa moyang kita.

Jangan pula seandainya nanti
kamu marah akan apa yang aku katakan ini
bila dengan terang aku katakan
bahawa melayu memang telah mula hilang di mata dunia.

kerana nama kita yang bercirikan kemelayuan
keislaman
semakin malu hendak dipertahankan
kita pertontonkan

... bro, uncle, ellyz, kathy, bob, sam dan pelbagai nama lagi
dibangga-bangga
diguna pakai di muka maya
sedangkan nama asli 
melayu
malu dan disorok-sorokkan

... salahkah nama melayu digunakan
seperti kemboja, melati, taruna dan sebagainya
yang bercirikan melayu
digunapakai di dalam halaman mukabuku.

Ditambahkan lagi dengan bahasa rojak dan sms
terlacur dan dipelacurkan
maka bertepatanlah dengan apa yang aku katakan tadi
melayu memang sudah mula hilang di mata dunia.

Lantaklah kalau kamu mahu marah aku
... aku sudah tidak peduli
kerana aku sayangkan bahasa kebangsaan aku
dan itulah teras perjuangan 
seorang aku.

Peduli apa aku ... ada aku kesah?
Aku sayangkan bahasa melayu aku.

SAZALEE SULAIMAN ... 21/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment