koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Saturday, 21 September 2013
PANTUN LUCU (BINATANG)
Di Pekan Lama membeli haruan,
haruan dibeli bersama belacak;
kambing selsema terkena hujan ,
lembu ketawa terbahak-bahak.
Kain diampai berdepa-depa,
baju kebaya bunga di dada;
hajat si tupai menebuk kelapa,
apakan daya gigi tiada.
Bunga melur si bunga tanjung,
di dalam geluk ia bercampur;
ayam bertelur riuh sekampung,
itik mengamuk tak boleh tidur.
Anak teruna dipandang tampan,
berseluar labuh berbaju sutera;
cacing diguna sebagai umpan,
ikan menjauh tak ada selera.
Makan bubur di waktu petang,
sehelai songket di bahu tersandang;
kucing tertidur kerana kenyang,
tikus berjoget berdondang sayang.
Batu kerikil di tengah jalan,
di tepi paya ia ditabur;
biri-biri menggigil sebab kesejukan,
kerana bulunya habis dicukur.
Qalam Bertinta
Klang
20092013
2317pm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment