Sunday 27 October 2013

AKU, PENANTIAN DAN AKU


Rindu
engkaukah yang datang ketika ranting malam mula menundukkan dedaunnya?
Lalu menyapa angin untuk terbang bersama mengetuk pintu sebuah penantian
yang telah lama bermukim di daerah ini dalam sepi yang panjang
atau engkaukah yang berlari lelah menembusi gelapnya malam
untuk tiba ke penghujung penantian sebelum fajar kecewa mula membongkar sauhnya?

Batas pemisah ini telah lama terbina tika engkau masih lagi dalam perjalanan ke mari
laman jarak itu juga telah lama ditumbuhi hutan keputusasaan
menutup denai langkah yang pernah kita berdua mencantas belukarnya
dan kita juga bersama-sama mencabut semalu tajam agar jalanan kita
tidak tertusuk dengan duri curiga yang akan mencarik kelambu sebuah harapan
yang kita sulam dari benang-benang kepercayaan
juga dalam detik waktu yang bertukar musim.

Pun penantian itu adalah aku yang masih duduk di situ memandang arah mata angin
untuk kuhidu semula bauan denai yang semakin melebat belukarnya
bukan untuk menjemput dan memimpin tanganmu menembusi musim mendatang
dan bukan juga untuk kita kembali menebas belukarnya agar denai itu dapat kita lalui
aku hanya ingin mencari jalan pulangku
kerana di permulaan denai itu
ada aku yang sedang menanti
pun untuk kembali seperti dulu
…sendiri dan sepi.

Qalam Bertinta
Klang
27102013
0201am

No comments:

Post a Comment