Sunday 27 October 2013

HANCURNYA ISTANA CINTAKU


Berenang-renang anak haruan
sampan kolek mudik ke hulu
bagaimana hati tak rawan
orang dirindu diam membisu.

Kerana rindu yang menggamit, kerana sepi yang bertamu, kerana persoalan yang tidak pernah terjawab maka ringan benar jejari ini rasanya mencoretkan bait-bait bicara untuk tatapanmu. Segala yang kulakukan ini adalah kerana panggilan hati yang setiap detik dan ketika keluh kesah kerana mengenangkan sikapmu. Katakan di mana silapku sehingga kaumenyepi demikian rupa atau penyesalan telah membumbung tinggi menyelinap rasa lantaran hadirnya aku di persada hatimu.

Pemergianmu dari daerahku, daerah yang mempertemukan kita… meninggalkan sejambak sepi dan resah, saban malam lenaku berbantalkan duka, bertilamkan resah, diselimuti rindu, bermimpikan ilusi semalam tentang kita, manakan hati tidak gundah, saban hari minumku semangkuk air mata nestapa, makanku sepinggan rindu yang gelora…manakan hati tidak resah… pun begitu apalah dayaku untuk menghalangmu.

Biar masa penentu segala…bunga harapan tak mungkin padam kerana hatiku telah bertinta namamu.

Baik-baik belayar rakit
jangan sampai putus talinya
kasih sayangku bukan sedikit
kalau boleh mati bersama.

Cahaya Laila
27 Okt 2013
Klang Selangor

No comments:

Post a Comment