Thursday 31 October 2013

SYAIR TENGKUBAN PERAHU

Pertama kali cuba bersyair dan mohon kemaafan jika terdapat banyak kekurangan dan kesilapan dalam syair pertama yang saya ilhamkan ini. Semoga ada sesiapa yang berkemahiran dalam pembinaan syair dapat memperbetulkan segala kesilapan.

Tersebutlah kisah dahulukala,
di Tanah Parayangan cerita bermula,
negerinya aman indah segala,
puterinya seorang ditatang dibela.

Si Dayang Sumbi nama diberi,
cantik rupawan tidak terperi,
mashyur terkenal seluruh negeri,
namun pemarah menemani diri.

Di beranda istana puteri menenun,
dipintal benangnya sepenuh tekun,
benangnya jatuh si puteri tertegun,
menyumpahlah dia memaki hamun.

Kerana marah puteri bersumpah,
kepada sesiapa yang pemurah,
ambilkan benangnya untuk diserah,
akan dikawininya tanpa berbalah.

Sumpahnya makbul sekelip mata,
datang si Tumang mendengar kata,
puteri terperangkap janji dikota,
pernikahan dicanang pada rakyat jelata.

Tumang jadian anjing perkasa,
bukan seperti manusia biasa,
punyai sakti dan juga kuasa,
hiduplah mereka aman sentiasa.

Genap masanya lahirlah putera,
Tumang dan puteri sungguh gembira,
Sangkuriang dinamakan diasuh dipelihara,
sedari kecil saktinya amat ketara.

Suatu masa Si Dayang mengidam,
daging rusa ingin dihadam,
Sangkuriang dan Tumang sudahlah faham,
ke hutan mereka mencari yang diidam.

Setelah lama mereka ke belantara,
si rusa dicari tidak berjumpa,
demi kasih pada si bonda,
si Tumang dipanah secara terpaksa.

Pulanglah anak membawa buruan,
bonda gembira tidak tertahan,
tercapai jua hajat idaman,
tanpa menyedari segala penipuan.

Setelah kenyang menjamu selera,
baru tersedar Tumang tiada,
pada anak ditanya segera,
terbongkarlah semua segala cerita.

Marah Si Dayang bukan kepalang,
dipukulnya tepat di kening Sangkuriang,
jatuh pengsanlah Sangkuriang terlentang,
Dayang diusir oleh raja yang walang.

Setelah bertahun peristiwa berlalu,
menggembara Sangkuriang mencari ilmu,
si wanita jelita telah ditemu,
bercintalah mereka tanpa jemu.

Tiba pada hari pernikahan,
sewaktu menyisir rambut si tampan,
terpandang Si Dayang akan kesan,
tanda di dahi tersingkaplah kenangan.

Terkejut Si Dayang tidak terkata,
kerana anaknya di depan mata,
kerana asyiknya mereka bercinta,
hampir dinikahinya anak jejaka.

Si Dayang berikhtiar gagalkan rancangan,
pada si anak diberi tugasan,
diarahkan Sangkuriang membina bendungan,
sebelum fajar harus disiapkan.

Demi cinta membuta tuli,
tugasan diterima seikhlas hati,
diarahkan jin dengan ilmu sakti,
menyiapkan bendungan sebelum pagi.

Sebelum fajar menjengah kesiangan,
menyiapkan perahu jadi tugasan,
sebatang pokok menjadi pilihan,
lalu ditebang sepenuh kekuatan.

Melihat kerja yang hampir siap,
di hati Si Dayang risau menyelinap,
pada dewa dia berharap,
agar malam menjadi sekejap.

Doa Si Dayang dewa perkenan,
ayam pun berkokok di tengah laman,
menandakan tempoh sudah kehabisan,
mengamuk Sangkuriang kerana dipermainkan.

Perahu ditendang sepenuh kekuatan,
jatuh terbalik di tengah hutan,
konon di situlah Gunung Tengkuban,
perahu terlangkup dijadikan sebutan.

Begitulah kisah sebuah lagenda,
telah termaktub dalam cerita,
kerana asyik dalam bercinta,
hampir sahaja mendapat cela.

Qalam Bertinta
Klang
30102013
2143pm

No comments:

Post a Comment