Friday 25 October 2013

Puisi : Melerai Kemucuk Kehidupan


Sebermula meredah arus kehidupan
semakin berarak jarak perjalanan
semakin terbit kelibat kemungkinan
dirimu dipeluk kemucuk kehidupan
yang berbunga dalam jangkauan
bukan sahaja meresah pandangan
bahkan membangkit sulit kegatalan
tatkala tepat menyusup celahan lipatan

Namun pasti tiada kesamaan
dalam melerai takdir suratan
yang bersimpuh dengan kesantunan
yang merimbun ranum senyuman
tulus bergayut satu pengharapan
agar kasih berbahagi tak disia-siakan
melabuhkan diri dalam kedukaan
mengeluh untaian ribut kezaliman

Justeru harus ada kewaspadaan
usah dibiar berlama pungguk sendirian
meskipun teguh benteng kesetiaan
khuatir akan terbias gamitan rembulan
yang sekian lama menagih keperihatian
kerna sudah menjadi lumrah insan
kehendak tiap jiwa ingin disatukan
walaupun terpaksa bermukim dipinggiran....

Tabarakkallah!

Duhai Zat yang Maha Mengabuli
lindungilah adindaku kekasih hati
waima di mana jua berpijak di bumi
jauhi segala musibah menyakiti
agar kami kekal dalam mensyukuri
kerna rahmat-Mu lebih kami hajati
daripada pujian insani seisi bumi

Kerna kami daif serba serbi
sedang redha-Mu yang ditagihi
tanpa innayah-Mu memayungi
pasti kami kekal menzalimi diri
tersasar jauh mengikut berahi
yang sentiasa bingkas berani
tanda iman yang kini menjauhi

Nukilan Rasa :
~ Din Kelate ~
19 Zulhijjah, 1434H
24 Oktober, 2013M


No comments:

Post a Comment