Thursday 19 December 2013

SELANGOR NEGERIKU


Merah kuning benderamu
Lembah Klang gelaranmu
negeri terkaya di Malaysia
berdaulat di bawah rajanya
gahmu di seluruh dunia
dari mula tamadunmu dibina
menyusur peradaban
dengan darah dan air mata
mencipta gemilang
bertunjang adab dan budaya
lalu mencipta sejarah demi sejarah.

Di tanah leluhur ini
aku mula mengenal erti hidup
meniarap, merangkak, bertatih
dan berlari merentas azam
menyambung warisan lama
menjunjung kedaulatannya
dengan cara dan dalam duniaku
biar terpinggir
namun tidak pernah mungkir.

Setiaku tidak berbatas
di hamparan buminya
lelahku tidak pernah mengalah
menyemai bakti biar hanya sebesar butir padi
kerana di sini
di Selangor negeriku
ada kesinambungan yang harus diteruskan
ada harga yang perlu di jelaskan
pun ada maruah
yang sentiasa minta dipertahankan.

Merah
semerah darah semangatku bersamamu
Kuning
Kujunjung daulatnya di jemala setia sumpah warisan.

Qalam Bertinta
Klang
19122013
1409pm

No comments:

Post a Comment