Sunday 12 January 2014

PROSA: AKAR


Pernah dahulu aku berkata di dalam hatiku, yang aku ingin menjadi seperti lilin menerangi alam dengan cahaya di waktu kegelapan. Tetapi adatnya sebuah lilin bersumbu, membakar diri sehingga ke akhir sumbu dan akhirnya hilang dari pandangan. Ghaib bersama cahaya yang menerangi alam malam.

Selepas itu aku memandang pada matahari yang terang, menerangi alam jagat-raya. Aku berharap menjadi seperti matahari. Aku ingin berbakti dengan menerangi semua insan dan makhluk Allah berlandaskan semangat matahari yang jitu. Tetapi bila jatuhnya siang dan malam menjelma bersama sang bulan, matahari yang terang hilang dan yang tinggal hanya bulan yang meminjam cahaya matahari tanpa dapat menerangi alam.

Akhirnya aku berkata kepada diriku sendiri. Eloklah aku menjadi seorang manusia. Melakukan apa sahaja yang termampu dilakukan oleh kudrat seorang manusia. Berbakti sekadarnya yang termampu dan biarkanlah Allah menentukan di mana letaknya keikhlasan aku dalam memberikan cahaya ilmu kepada manusia. Kerana aku hanyalah manusia. Seorang hamba kepada Sang Pencipta. Ilmu yang ada padaku adalah kurniaan pinjaman dari-Nya yang Esa.

Aku fahami kelebihan dan kekuatan akarku.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
12/01/14.

No comments:

Post a Comment