Monday 2 June 2014

MENJANA KREATIVITI SERANGKAI


Apa yang ada
pada sebuah kekata
kalau pincang renda bahasa
hingga hilang jiwa nahunya
dan kosa kata
ditolak-balik, tunggang-langgang
bagai:

'Sirih tidak pinang pun tidak,
     Cerana sahaja tunggang-langgang;
Kasih tidak tunang pun tidak,
     Saja dia berulang-ulang'

Memang diakui
adakalanya tatabahasa tidaklah dipandang
tidak berapa penting
bila kreativiti mula terhidang
namun bisa jalan seiring
di dada bidang bawa bergelandang
di bucu kertas cantik tercanting.

Bukan aku menunjuk pandai
sedangkan aku bertelinga keldai
namun rela tidak kugadai
cuba kubukti teman dan handai
di dalam karya aku menyidai
permainan kreatif boleh disemai
tatabahasa tidak terlerai.

Bahasa jiwa bangsa menjana kreativiti taut serangkai.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
02/06/2014
4 Syaaban 1435
02.00am.

No comments:

Post a Comment