Friday, 7 February 2014

ROKOK DAN CILIBOH


Amarah, panas baran dan dendam semuanya ada hubungkaitnya di antara masa kini dan masa lampau. Tidak akan pernah terpadam dalam kamus kehidupan dan diari manusia yang masih bernyawa.

Ya! Aku akui, aku tergolong dalam golongan panas baran yang tidak dapat mengawal amarahku. Dan yang menjadi mangsanya adalah anak-anakku yang sering mencabar kewibawaan aku sebagai seorang bapa. Bermula dengan anak sulongku hinggalah ke anak-anakku yang sudah meningkat remaja semuanya kaki melawan akan apa yang aku suruhkan. Dan kini sudah pandai pula beraku-kau denganku.

Ya! Sememangnya aku tergolong dalam golongan pendera yang mendera anak-anakku dari segi fizikal dan mental. Akibat dari amarahku yang tidak terkawal itu. Aku akui.

Tetapi dari mana datangnya sifat pembengis itu kalau tidak dari acuan kedua orang tuaku sendiri yang kini bersebati di dalam jiwaku dengan tali pinggang dan rotan.

Aku masih ingat peristiwa yang lalu. Hanya kerana ciliboh yang terjatuh ketika aku masih berusia 10 tahun ketika hujan lebat akibat jalan yang licin dan kemiskinan selipar jepun yang aku pakai membuat aku tergelincir, pecah berselerak di tepi jalan. Dan kerana kedaifan keluarga aku mengutip sisa-sisa ciliboh yang boleh aku kutip untuk kubawa pulang. Tetapi apa yang aku dapat!...aku dipukul dan dilempar dengan pisau oleh ibuku. Bayangkan di usiaku yang baru 10 tahun aku telah diajar untuk mengelak kerana kalau tidak sudah pastinya pisau itu akan terbenam di kakiku. Mak!...peristiwa itu masih jelas di ingatanku. Maafkan aku mak, aku tidak dapat mengikis ingatan itu.

Aku juga masih ingat peristiwa 31 tahun yang lampau ketika aku berusia 13 tahun aku dipukul oleh ayahku hanya kerana aku tidak membelikan rokoknya. Alasanku tidak diterima walau apa yang aku katakan benar. Manalah ada kedai yang dibuka waktu maghrib di kampung ketika itu. Aku disepak dan dipukul semahu oleh seorang ayah yang ketagihan candu di bibirnya. Aku masih ingat lagi dengan jelas peristiwa itu. Alasanku langsung tidak diendahnya.

Sedih dan memang tragis. Memang mudah untuk kita beralasan mengapa kita memukul anak. Anak-anakku pula kini menjadi mangsa pukulan aku. Tetapi aku memukul bukan kerana ciliboh ataupun rokok. Aku memukul kerana ingin mendisiplinkan. Arahan aku senang dan mudah. Cuma jangan keluar merayap di waktu malam kerana itu aku memukul untuk menjadikan mereka insan yang berguna. Tidak mahu mereka menjadi kutu rayau dan diperkatakan pula siapakah kedua orang tua mereka yang tidak pandai mendisiplinkan anak dan membiarkan sahaja mereka melepak di usia masih terlalu mentah. Juga tidak mahu mereka ponteng sekolah dan sebagainya. Kerana bagiku, walaupun mereka tidak berjaya di dalam akedemik cukuplah mereka menjadi insan yang berdisiplin dan patuh kepada kedua orang tuanya bukan mencabar apa yang diarahkan.

Yang jadi peliknya aku tetap dipersalahkan. Baik isteriku mahupun ibu dan ayahku dengan menyatakan aku keterlaluan di dalam mengajar anak-anakku. Sikap panas baranku sering diungkit-ungkit tetapi terlupakah mereka semua dari mana asalnya sikap panas baranku itu.

Memang ada juga yang akan berkata yakni seorang anak haruslah memaafkan kedua orang tuanya yang melakukan kesilapan kepada mereka tetapi salahkah! Seandainya kedua ibu bapa meminta maaf kepada anak-anaknya yang dahulu didera tanpa sebab yang munasabah seperti aku. Dan kini kenapa pula bila aku melakukannya kepada anak-anakku disebabkan mahu mereka berdisiplin, aku yang dipersalahkan kononnya aku tak menyayangi dan mengasihi anak-anakku. Ya! Anak. Anakku yakni cucu mereka yang mereka sayang. Tetapi aku bukankah anak mereka ketika aku dipukul dahulu?

Dan kini aku tidak akan meminta maaf dari anak-anakku dalam soal disiplin. Aku mahu mereka fikir sendiri apa musababnya aku memukul mereka. Dan seandainya mereka berakal satu hari nanti di saat itulah mereka akan memaafkan aku dan aku pasti akan sujud memohon maaf kepada mereka.

Kepada anak-anakku seandainya kamu berjaya dalam hidup kamu nanti. Dendamlah kepada ayahmu ini yang bertegas dalam mendisiplinkan kamu. Dan ingatlah, sejahat-jahat seorang ayah. Pasti menyayangi anak-anaknya sendiri. Dan pohonku kaumaafkanlah ayahmu ini.

Aku mendisiplin bukan mendera.

Sazalee Sulaiman...Nilai, N.S
07/02/14.

No comments:

Post a Comment