koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Monday, 12 May 2014
BERGEGAR TIANG BAHASA
Bumiku rasa bergegar
goyang-bergoyang ke kiri-kanan
hiruk-pikuk, seru-berseru
langgar-melanggar di tebing waras.
Mungkinkah gempa berlaku
hukum karma menyapa rusuk
manusia bagaikan beruk
dapat burger lupakan begedel.
Kentang lecek menghiasi pai kotej
tiada lagi bunga lawang, kayu manis, cengkih, udang kering
dicampur dedaun saderi-bawang berkuning telur
digoreng setelah dicelup si telur putih.
Aduh! Pening kepala senak perut
tergeliat lidah sakit untut
anak bangsa lemah lutut; mengarut
carut-mencarut, sahut-bersahut.
Ibu-ayah menyalah guru
pabila bahasa melayu grednya layu
sedang di rumah tidak berbuku
apalagi berbahasa baku.
Menteri-menteri berkata kasar
bermulut tuba dalam pengisar
martabat bahasa jangan diengkar
di dalam tv sebutan mungkar.
Aduhai! Semakin lama semakin bergegar
dada sesak nafas sukar
diluah nanti mati emak
ditelan; mati pula si bapak.
Sazalee Sulaiman
Nilai, NS
12/05/2014
08.30am.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment