Sunday 4 May 2014

KERINGAT PAK TANI


Bauan lumpur itu
bak haruman kasturi bagimu
keringatmu
umpama siraman air mawar
yang menjirus tubuhmu
engkau seakannya berpesta riang
di petak bendangmu
nyanyian punai sepertinya irama ronggeng
lalu melangkahkan tarian kakimu
di pentas rezeki semaianmu.


Lintah, haruan, keli dan puyu
turut sama menari
mendendangkan lagu kesyukuran
pada tanah anugerah
yang engkau panjangkan
dari musim ke musim.


Di situ duniamu
kelangsungan warisan temurun
punya kisah yang panjang
antara suka dan duka
yang engkau anyam
dari lumpur dan keringat
dari air mata dan kudrat
tanpa lelah
apa lagi rebah
kerana engkau tahu
duniamu itu nadi hidup
pada berjuta insan
dan demi satu harapan.


Qalam Bertinta
Klang
01052014
0959am

No comments:

Post a Comment