Sunday 6 July 2014

BUNGA YANG TELAH PERGI

Puisi ini didedikasikan kepada Allahyarhamah Biduanita Dato Sharifah Aini


Bunga itu telah gugur ke pusara abadi
kembangnya menguncup dalam hangatnya nadi
tika gemersik harumanmu masih menebar
kelopakmu lerai dari ranting masa yang cemburu
terbang bersama merpati putih di lidah pagi
setelah laman ini berdekad menjadi milikmu.


Biarpun suaramu mungkin retak di penjara
namun senyummu mendera pesona
merembas tubuh insafi hari ke pelabuhan tua
...tanpa sedu-sedan
engkau masih berdiri di garismu
tak mungkin akan dapat dipunggah
kerana datangnya adalah dari sejarah.


Bermanik dalam doa yang tiada akhir
juga dalam juraian pasrah dan reda
engkau tinggalkan sejarah yang tak akan berubah
untuk berhijrah ke tempat mula janjimu
lalu melepaskan cintamu
yang telah larut pada setiap jiwa
kerana fitrahmu
telah kembali menuntut haknya.


Qalam Bertinta
Klang
05072014
2353pm

No comments:

Post a Comment