Recent Posts

Sunday, 3 November 2013

SYAIR KELUARGA BAHAGIA


Keluarga bahagia syair kukarang,
Mesra bersama tinggal di sarang,
Ketua keluarga bapa tak garang,
Bergurau senda sentiasa girang.

Membina keluarga asasnya takwa,
Cahaya keimanan terbawa-bawa,
Asas keagamaan dipandang lawa,
Perkara maksiat janganlah dirawa.

Aman damai hidup berkeluarga,
Tiada wasangka tiadalah curiga,
Khalayak melihat terpalit bangga,
Sempurna semua rumah tangga.

Rumahku syurgaku jadi idaman,
Satu keluarga mesra senyuman,
Selalu berbincang secara aman,
Beriadah bersama ada di taman.

Sayangi keluarga setiap masa,
Ibu dan bapa hormat sentiasa,
Solat berjemaah amalan biasa,
Makan bersama wajib terpaksa.

Dikurniakan zuriat permata hati,
Bahagia kepalang detik dinanti,
Riuh-rendah kerenah diperhati,
Sangat terhibur bahagia meniti.

Semua sepakat satu pendapat,
Ahli keluarga sama rata dapat,
Tiada dibeza istimewa terdapat,
Sama saja mana-mana tempat.

Agama dihayati terus-terusan,
Ibu dan bapa selalu berpesan,
Didik anak-anak satu tugasan,
Jangan suka memberi alasan.

Jalin hubungan mesra dan akrab,
Santun berbicara sangat diharap,
Bincang bersama perlulah kerap,
Keluarga bahagia tentu mujarab.

Kebersihan rumah dijaga selalu,
Hari minggu gotong-royong perlu,
Tumbuh kerjasama sejak dahulu,
Rumah yang kotor mata berbulu.

Ahi keluarga dijaga keselamatan,
Nyawa terjamin biarlah kelihatan,
Jaga mereka sebagaimana intan,
Ambil tugasan kalau anak jantan.

Suasana di rumah perlu selesa,
Tabung isi rumah dikongsi rasa,
Ekonomi kukuh enak berperisa,
Jangan membazir buatlah biasa.

Karangan hamba tamat di sini,
Keluarga bahagia moga begini,
Syair yang kusam tidak berseni,
Kemaafan kupinta berguni-guni.

Ambillah intan seandainya ada,
Syair kugubah cantiknya tiada,
Permainan kata terbit di minda,
Ceritera keluarga tidak bernoda.

Wallahu’alam.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
Bidor,Perak.
2.11.2013 (Sabtu),
Jam 9.20 malam..

No comments:

Post a Comment