Sunday 28 September 2014

AKU PERNAH RASAKAN


I

Dahulu... ,
aku pernah makan nasi
berlaukkan garam imaginasi
berkuah hangat air puisi
mendiamkan perut yang berbangsi
menguatkan hati
walau jamahan menjeruk diri.

II

Dahulu... ,
aku pernah berlagu pilu
tentang keresahan yang mengganggu
tentang igau yang berhantu
menghiris jiwaku
perasaanku
lagu berlalu tiada yang tahu.

III

Dahulu... ,
aku pernah bercakap sendirian
mengeluh sendirian
melagukan karya bersendirian
tiada teman untuk meneman
di dalam halaman
relung lingkup keseorangan.

=

Sebab itu aku tidak hairan
apabila engkau mengatakan
acara hiburan ramainya tangan
majlis ilmu kesepian
tiada sambutan
ngeri lagi menggerunkan
fikiran.

*

Sebenarnya... ,
tiada yang menghairankan aku
kerana aku pernah merasainya dahulu
melukakan hati dan perasaan aku
namun dapat menyedarkan aku
teman-teman di muka-buku
bukan teman sejatiku.

Berjabat tidak bertatapan.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
28/09/2014.

No comments:

Post a Comment