Recent Posts

Monday, 15 September 2014

PUISI UNTUK SEORANG ISTERI (Falsafah Rumahtangga)


Isteri, bumi mana yang tidak kehujanan
laut mana yang tidak bergelora
itulah kehidupan, ada pahit ada manisnya
walau berlainan falsafah kejadian
namun kedua-duanya saling bergandingan
memberi makna kepada insan
keharmonian.

Isteri, walaupun langit tidak selalunya terang
walau pantai tidak selalunya tenang
namun di satu ketika pabila saatnya tiba
mega pasti berserakan; berperca
kelam kembali terang,
ribut akan berhenti berpencak; berbuih
ombak kembali tenang.

Asam di darat
ikan di laut
namun demi kebersamaan
keinginan insan; usaha
di dalam belanga
asam dan ikan pasti bertemu
bahagia.

Isteriku ... ,
kurma yang engkau jamu
selama ini
sungguh berharga
tidak ternilai dengan kata-kata
di dalam diam, seorang suami pasti
hargai.

Terima kasih.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
15/09/2014.

No comments:

Post a Comment