Recent Posts

Wednesday, 20 August 2014

TIKA MIMPI BERTUKAR KE DAERAH SIANG


Seperti rama-rama yang terbang dari bunga ke bunga, aku juga terbang memagut mimpi yang terapung di tenda malam setelah bulan meninggalkan matahari yang tersipu-sipu berundur ke daerah lain. Bagaikan sebuah abstrak hitam yang melakar kanvas debar dan curiga yang cuba berlari mengejar angin ke belantara sunyi menyisih zaman untuk didebungawangikan dalam erti cinta merpati putih yang terbang membawa rindu ke laman kasih. 

Aku bukan pencatat kicau yang jauh dan menyulamkannya pada denting yang tidak aku dengari. Berbaring pada malam berbalam dan gelap, aku menyunting ilham mimpi dari daerah yang aku tak pasti di tangan pujangga mana yang sama berkelana membenih fikir untuk mengetuk pintu bilik-bilik huruf yang malu dan masih bermalas-malas di ranjang mimpinya. 

Rama-rama itu masih dengan tawariangnya mendebungakan waris. Sedang mimpi itu telah lama terhenti di garis pemisah biarpun catatannya belum bermula dalam aturan abjad yang benar. Daerah ini telah lama bertukar. Mimpi jadi igau dan memilih untuk sunyi. Malam masih berbalam, mencari indahnya setelah kehilangan mimpi yang bertukar ke daerah siang.

Qalam Bertinta
Klang
20082014
1257pm

No comments:

Post a Comment