Thursday 7 August 2014

ADIK : Dedikasi khas untuk adikku Almarhum Shaharizat Binti Salamah.


Adik
ketika ubunmu kuusap
aku lumurkan dengan sabun
air mataku tertumpah
mengalir tidak terseka
kerana selama ini aku terlupa
untuk mengusap ubunmu
dengan kasih sayang
seorang abang.


Adik
ketika tubuhmu kusucikan dari kekotoran
air mataku semakin deras melimpah
kerana selama ini aku terlupa
aku terleka
untuk memandikan dirimu
dengan kasih sayangku, seorang abang
yang melimpah ruah untukmu
adikku.


Adik
ketika kakimu kubilas dan kualirkan air ke atasnya
aku terbayang kisah-kisah lama kita
saat engkau berlari
setelah engkau mengenakan aku
membuli aku
dengan sambal belacan berlumuran di wajahku
engkau tertawa
berlari meninggalkan aku yang kepedihan, terpinga.


Adik
saat tubuh kakumu aku kapan
aku lega kerana telah menjalankan tugasku
sebagai seorang abang kepadamu
dalam menguruskan jenazahmu sesempurna yang mampu
di perbaringan sepi
menuju rumah terakhirmu
sehingga saat engkau akan dibangunkan kembali
nanti.


Adik
damailah engkau di sana
di sisi Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang.


Doaku
agar Allah memaafkan segala dosamu
seperti-mana aku
telah memaafkan kamu.


Cuma pintaku
agar Allah memaafkan aku
yang terlupa untuk menzahirkan lafaz keramat
untukmu adikku
... lafaz kasih sayang seorang abang
untuk adiknya.


Al-Fatihah.

Damailah angah, ayung amat menyayangi kamu.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
25/07/2014.

No comments:

Post a Comment