Showing posts with label Sang Pujangga Langit. Show all posts
Showing posts with label Sang Pujangga Langit. Show all posts

Wednesday, 18 December 2013

kritis


polaris 
individualis
kandis 
si ikan bilis

bukan kapitalis
kekapis
menenyeh kudis

kikis

...spl 18122013.

Tuesday, 17 December 2013

dalam kain


kain aku berlubang engkau nampak
kain engkau koyak tidak berjahit
burung aku berkicau engkau hendak
karipap engkau jual terasa hangit

kalau hendak kata hendak
jangan dijaja nasi belum ditanak
kelak jelantah belum lagi masak
termuntah lendir dan kahak

aku tak kacau orang
orang jangan kacau aku
rumahtanggaku tak goyang
rumahtanggamu ada ke paku?

...spl 17162013.

Sunday, 24 February 2013

Kebetulan.



Adakah satu kebetulan
akaun utamaku
tidak dapat aku masuki
diberitahu
ada kerja penambahbaikkan
sedang dilakukan.

Adakah satu kebetulan
Pusat Rujukan Persuratan Melayu 
tidak dapat aku tembusi
diberitahu
pencapaian tidak dapat dilakukan
halaman itu 'server down'.

Adakah semuanya satu kebetulan
setelah seharian-kelmarin
aku mainkan isu peribahasa
yang diperkotak-katikkan sewenang-wenangnya
oleh mereka yang kononnya
memperjuangkan maruah bangsa.

Adakah semua ini, 
... hanya satu kebetulan.

ss/spl/pm ... 24/02/2013.

Kebebasan berkarya.



Dalam tangan bergari
mulut dipasungi,

... jemari kaki kini menari.

Kebebasan dihidui.

ss/spl/pm ... 24/02/2013.


Thursday, 24 January 2013

Senja ini hatiku pasrah.



Kicauan burung menyinggah
menerpa dan menerjah
di saat senja berlabuh resah
rembulan menjengah
hatiku disanggah.

Oh! Senja yang indah
dapatkah lagi aku duduk di ribaan singgah
melayan keluh kesah
senduku berdarah
hilang arah,

jiwaku pasrah hatiku menyerah
takdir Allah 
tidak dapat aku menyanggah
mati pasti menyinggah.

Di senja yang indah.

ss/spl/pm ... 24/01/2013.


Monday, 21 January 2013

Syair Penglipur Lara VI.



Pelangi petang semakin menghilang
setelah kelam semakin mendatang
senja bertamu di buruj kontang
berdagang di hati jiwaku walang,

berdiri sendiri di halaman petang
menopang dagu akar menunjang
berfikir panjang galau melintang
dipetik rawan sendu memanjang,

gerangan siapa hatiku pulang
tidak bertani tidak berdagang
pintu rumah sering berpalang
kuketuk rindu tidak dipandang,

ghaiblah aku bak pelangi petang.

ss/spl/pm ... 21/01/2013.


Tuesday, 25 December 2012

haiku


guruh berdentum
awan hitam di langit
alam menangis.

spl
25122012.



Sendu di jiwaku.



Kutitipkan salam di angin lalu
buat menyapa dirimu insan kesayanganku
di tirai malam di kamar raduku
rembulan bersinar cahayanya membiru
bertitisan embun kelopak mataku
mutiaranya gebu berbutiran rinduku.

Sedih dan pilu di sendu jiwaku.

Spl
25122012.


Monday, 24 December 2012

Kata pujangga



kupasak kaki di pentas dunia
mencengkam tanah kekuda kaki
selagi bernafas aku bernyawa
gunung dan ganang akan kudaki,

gunung tinggi akan kudaki
bersama semangat berhati waja
bersua kita sekali lagi
bermain kata bermadah pujangga

di mukim hati aku berkata.

Spl
24122012.


Berwajah-wajah


Dua watak di dalam satu wajah
memainkan peranan yang berbeda-beda
di satu watak bermuka-muka
manakala di satu watak mendatangkan resah
meremang roma andai tersua.

Bagaimana pula watak di wajah kita?

Spl
24122012.


Wednesday, 3 October 2012

Cari Pasal


Pepohon bergoyangan
dedaun melingguk keriangan
habuk-habuk berterbangan
ditiup angin di waktu petang kegersangan
melayang ke segenap ruangan
di sekitar padang lapangan
penuh halaman
sedangkan aku! ... tanganku, aku depangkan
mataku, aku buntangkan.

Pedih - mataku kepedihan.


spl...02/10/2012.

Tuesday, 2 October 2012

kupulangkan sarungmu semula


wahai keris sakti
berlok hitam
bertitik jingga

bersepuhkan emas di bingkainya! ... .

kupulangkan semula
sarung keramatmu
agar bersatu azimat dan mantara
berasap kemenyan bertepakkan bara

engkau dan dia - akral terbela
dimatrai janji ikatan setia
semuga selamanya - kamu bahagia
sentiasa berdua - ke akhir masa

kerana aku ... ,

aku sudah muak
dengan kerenah sarungmu
yang tidak tahu apa itu setia
tidak tetap - jua ... pendirian di dadanya.

spl...02102012.

hanya tiga


sekali! ... ,
aku boleh terima
walau bersengketa
namun kemaafan
aku berikan ... jua

dua kali! ... ,
masih aku boleh terima

walau peritnya
hati yang merasa
maaf aku masih boleh terima

kali ke tiga! ... ,
aduh!! ... sendiri mahu ingatlah
kautinggalkan medan bicara secara tiba-tiba
kebingungan aku menunggu sapa
alasanmu - huh! ...langsung tidak mengena
malah tidak mampu aku terima

jangan kaumenyalak mengatakan aku yang berangkara
sudah - sudahlah! ... muak aku dengan mendengar akannya.

spl.

Pendirian


bagiku itulah kekuatan
berpegang pada apa yang kita lakukan
berpeluk pada yang kita mulakan
dan bergelumanglah kita selama-lamanya
di dalam lopak berlumpur dan hina

seandainya tiada pendirian
dan terlucut pegangan di tengah laluan

relalah aku bersendirian
dari aku terus menanggung sesalan
yang tiada berkesudahan

maaf ... aku juga ada pendirian yang aku agungkan.

spl.

Tuesday, 4 September 2012

SYAIRKU



Akan kusyairkan kata-kataku
hingga bergema di seluruh pelusuk alam
biar bergetar
setiap inci hati yang mendengar
akan keindahan dendangan syair milikku...SPL.


Saturday, 1 September 2012

HALUMAN ASMARA DI JIWA


Olesan rambutmu;
bersketsa
goyang pinggulmu;
bercanda
tubuh gebumu;
berbicara
gerak langkahmu;
berjiwa.

Sentuhan pawanamu;
berpuaka
panahan asmaramu;
berbisa
wangian cintamu;
beraroma
hakikat pesonamu;
berjiwa.

Haluman asmara.

...SPL.



Tuesday, 24 July 2012

BUSUNG


Genggaman jejari menyantun ke bumi
pijar di hati hempedu menari
memek muka jiwa terluka
dipendam rasa kalbu binasa
mengempang rindu dada memilu
baldunya palsu beranyaman sembilu
legenda dongeng senggolan ronggeng
badan berlenggeng ponggong tertonggeng
larut mendapan musnah impian
menempah kapan sejadah bernisan.

Ahh! - hanya kerana tanggapan
terguris perasaan...SPL.
 
 

Sunday, 6 May 2012

cinta dan kasih hati gelisah




cinta dan kasih tiada bertingkah
tingkahan jiwa bercengkaman resah
resah gelisah tiada terluah
luahan hati rinduku tertumpah.


tumpahan rindu sentiasa berkalimah
berkalimahkan sendu di jiwa melimpah
melimpah ruah tiada tertadah
tadahan cinta kasihku ... kuberserah.


serahan takdir penentu segala gelisah...SPL.



Wednesday, 2 May 2012

untukmu sayang




siang berganti malam
hari berganti hari
semakin lama
perasaanku
kasih dan sayangku
cinta hatiku
terhadapmu
semakin menebal
wahai kekasih hatiku
yang sentiasa aku dambakan.


kehadiranmu di sisiku
amat berharga dan bermakna buatku
lantas kukirimkan kepadamu
sebentuk cincin ikatan kasih dan sayang
untuk kusuntingmu sebagai suri hatiku.


aku cinta padamu Lafaz Kalbuku...SPL.



Thursday, 26 April 2012

Rindu Yang Bertahta



sedulang kasih setalam cinta
buat dirimu yang aku puja
hatiku pedih rindu bertahta
Lafaz Kalbuku bukannya sesaja.

akan kupintal buih di laut
menjadi hiasan sanggul hatimu
kerana sayang hati terpaut
jiwa dan raga kuserahkan kepadamu.

semalam bersama memagut asmara
di dermaga rindu berlarian bersama
rindu dendam hasrat membara
selagi kasturi cintanya kekal beraroma.

angin malam terbangkanlah rinduku kepada si dia...SPL.