Showing posts with label Pak Chu Supian. Show all posts
Showing posts with label Pak Chu Supian. Show all posts

Sunday, 21 December 2014

3120 Jumaat


...dan hari ini
kurniaNya masihku nikmati
tak terkecuali semalam melimpah erti
terpinjam olihku hayat penuh rahmat
andainya esok, aku Kau jemput pulang
hanya kupinta sedetik ruang
untukku lafazkan kalimah syahadah
dalam hening hijrah bertatah pasrah
ke pangkuanMu nan Maha pemurah
setelah tiga ribu,seratus dua puluh jumaat
jasad kerdil ini kau izini menghela nafas nikmat
sujud berpaksi qiblattullah yang satu
Ya Allah ya Rabbulizzati ampuni dosa-dosaku


mohdsufianali
051214 sk 443
temerloh.

Monday, 29 September 2014

Pulang


Ramai yang pulang
namun ,sedikit yang datang memulangkan
zat dalam sajian kasih sayang
lantaran titis tumpah keringat
tidak dicatat dalam riwayat
mana-mana buku hutang piautang
Hidup dan kehidupan akan terus ulang berulang
yang pergi dan yang datang
mendaki puncak atau menyeberang
semua pasti akan pulang


msa
270914
Temerloh.

Tuesday, 9 September 2014

Resam


Apabila ada dari tiada
terlagi-lagi nak berada
apabila dah ada serba
tergila-gila nak lebih segala
tak kira apa, tak peduli siapa, tak kisah dari mana
dari berani, menjadi takut sentiasa
bimbang hak empunya ditagih orang
lalu dicipta segala macam pantang larang
ramai berpepatah "Inilah resam dunia"
tapi yang nyatanya
bukan semua manusia tidak manusiawi
ramai yang meresamkan duniawi
untuk bekalan ukhrawi


~ msa 080914 Temerloh~

Saturday, 6 September 2014

Perang Dingin


Nikah
bukan hanya untuk kahwin
Kahwin
bukan hanya untuk beranak pinak
banyak lagi yang lain
tuntutan fardu ain
fardu kifayah
tak harus dipisah
Usah dipayah-payahkan nikah
kelak semakin ramai yang kahwin
tanpa izin
ramai pasangan nikah di seberang
untuk dapatkan lesen
perang dingin
sengketa batin.


~ msa: 050914 SKK443 Temerloh ~

Friday, 5 September 2014

~ Lauk Bilis


Seorang anak bergigi rongak
melangut ke muka ayahnya
yang sedang menggesek biola
di kaki lima
bank negara
Lagu kelaparan digesek sumbang
di tengah lalu lalang
Si anak terlena di riba
si ayah meraba-raba
hasil persembahan di perca
cukup untuk sebungkus nasi lemak
berlauk bilis
agar anak tidak menangis
.
~ msa:040914 ssk443 ~

Gila


Gila sekarang
gila dulu
sekuntum tapi tak sebau
Aku pernah belajar gila-gilaan
guruku senapang,peluru dan hutan
tiada berberas, sardin dan sambal belacan
umbut, katak, ular dan biawak
terpaksa ditelan
Belantara adalah padang kuliahku
subuh pagi ,petang atau senja
sama saja
malam gelap gila
di pangkal banir memulih tenaga
Para sahabat seperjuanganku semua
pencinta gila
rela membunuh atau dibunuh
demi nusa tercinta
.
~ msa : 020914 SK443

Sunday, 31 August 2014

Orang


Orang...
di sebelah sana
kita...
yang di sebelah sini
kita orang bukankah kami
kerana dah terbiasa
siapa peduli
Orang di sana berperang dengan orang
tak kurang yang berbunuhan sesama sendiri
kita tersangat peduli
kutip, kumpul dan hantar segala berguni-guni
Kita di sini berperang emosi
menonton 'bersamamu'di TV
Orang gelandangan di tempat kita
semakin melata
mungkinkah ini perkara biasa
.
-msa:310814: skk443-

Wednesday, 20 August 2014

Serangkai Soalan Tak Bertangkai


Apalah aku ini
nak ke situ
atau terus di sini
nakku tanya sang bistari
atau aku jawab sendiri
benarkah semua soalan
pasti ada jawapan
Apakah aku ini
akan hidup seribu tahun lagi
atau sebelum fajar menyinsing nati
dijemput Israil kembali ke pangkuan Illahi
Apakah benar aku ini
si pemberani menghadapi mati
Jari jemariku pantas mencari
dan menghitung denyut-denyut nadi
.
~msa~ 200814 SK443~

Thursday, 8 May 2014

Mengenang semalam.


Sepelayar lintasan kisah
terkulum di permatang lidah
tersembunyi tapi indah
menjadi pencuri tak berwajah
Lantaran takut memerintah diri
membeku harap di lubuk hati
ke hulu, ke hilir senyum sendiri
malam mengigau, siang bermimpi
Mengenang semalam di julai senja
berteleku rindu di perbatasan mata
esok...akan adakah lagi kenangan tertunda


~msa: 070514sk443~

Wednesday, 30 April 2014

Putaran


Dalam sebuah lingkaran nafas kehidupan
tiada terkesan nyata adanya suatu perundangan
yang dituntut masa adalah sejalur peradaban
urutan dari rangkaian kelaziman berlarutan
bayi yang lahir sesaat tadi atau dinihari nanti
esoknya...adalah kita yang sedang menulis atau membaca harini
Aku yang dulunya dirotan ayah
kerana tidak menghafal surah Alfatihah
lari, menrpa diri ke ribaan opah
emak tersedu sedan menganyam tikar mengkuang
buat sehelai sejadah
Harini...aku hanya mampu menadah restu Ya Rahman
dalam gelombang rinduku yang berputaran.


~msa:390414SK443~

Wednesday, 9 April 2014

di awangan


sering berjalan dan berlari-lari
acap jua berjimba sambil menari-nari
sesekali kuingin terbang menembusi awan
menangkap gumpalan rindu yang berserpihan
di pentas awangan itu
aku mau berdiri tegak di lantai tak berpenjuru
dalam ruang nafas realiti
setiap datang pasti pergi.


~msa:080414:sk443~

Tuesday, 18 March 2014

Entah


Jawabku mudah
entah...
entah...
entah...
tak kuasa melayan kerenah
sebelum naik darah
kelak nanti aku yang hilang arah.

~msa 180314sk443~

Monday, 10 March 2014

Sekadar satu jawapan.


Terjawabkah sudah
tekateki bertaraf sejarah
antara betul atau salah
belum lagi berkesudahan
sirinya mungkin berlanjutan
selagi jelma soalan, pasti ujud jawapan
Siapa yang terluka
Di mana darahnya
berbalah sesama kita apa untungnya
sedang jawapanya tentang air
jangan lagi dibazir
walau setitis
usah biarkan tiris.

~msa: 100314 sk443~

Monday, 3 March 2014

Sekadar ini dan itu


Yang di situ itu
pasti mulanya di sini
ini, tak akan ke situ
kalau tak ujud erti
Jarak antara ini dan itu
diukur waktu tak bertanda
kita sentiasa dalam kembara
mencari itu dan ini tanpa henti
kita tak jemu-jemu mempersoalkan tentang itu yang di situ
mahunya kita dakap impian dalam harap yang tepu
dari banyak waktu kita abai mensyukuri
di sini, ini, kita masih diizinkan berdiri dan menari
tanpa perlu sembunyi-sembuyi.

~msa:030314sk 443~

Thursday, 27 February 2014

akhirnya di mana


sering aku bertandang ke penjuru gelap
sambil berbaring mendap
mengintai wajah hati mereka yang akrab
kian dekat kejauhan rasa manusiawi
dikambus guguran dedaun duniawi
aku tak punya daya apa-apa
pun, tak bisa lagi bertanya
akhirnya di mana
-msa:270214 sk443-