Showing posts with label Yahya Isa. Show all posts
Showing posts with label Yahya Isa. Show all posts

Sunday, 20 January 2013

KEMBALILAH


Impian
segunung harapan
kami tagih jasa dan kepercayaan
berikan peluang melamar
menyunting kembali
kami pertaruhkan mahar janji
janji pasti ditepati

sakitmu dirawat cermat
biar segar tidak lesu
tidak terbiar kaudahaga
kehausan
Langat 2 kami tegakkan
atau pancuran jernih dari Tahan
pucatmu kami solek
biar anggun menarik

menginsafi kelemahan diri
igauan silam yang ngeri
kami pernah silap
sebagai insan kami lalai
membelai
terlepas pandang dan cuai
kurang kasih kurang sayang
kurang pengertian
hubungan kita
berkecai

kembalilah
jangan merajuk lagi
rajukmu keperitan kami
menanggung rindu
di hati.

YHI
Segamat Johor
17012013

“SOFT LANDING”


2002 era malang
PPSMI menyentap, meragut 
jantung bahasaku
gempar panik warga nusa
pakaian dilondeh paksa
kelompok pencinta berbisik sopan
menjerit melolong di jalan
hiruk pikuk warung kopi
hangat perbahasan pengatur cara
tidak mampu melembut
tiada upaya
menghalang kerakusan
titah watikah mamanda

Matematik Sains dialih suara
bahasa ibunda diketepi
bahasa penjajah disanjung tinggi
hadiah mamanda menteri
anak bangsa dikebumi
bagai itik berbahasa ayam
telurnya tembelang

berbilion ringgit dibelanja
dihanyut ke laut tiada kembali
kera disusu anak kelaparan

kekhilafan disedari
mangsanya sudah berjuta
kantung kempis tiris

MBMMBI menjelma
hadir selamba kurang terasa
perlahan
terlalu perlahan
‘soft-landing’ langkahnya.

YHI
Segamat Johor
17012013

KUDUP BERDURI


Kudup berduri
daerah-daerah jembalang
ulat-ulat memamah daging-daging busuk
manusia bertopeng
senyuman bedal
merangkul kuntum dedap

kudup berduri
daerah hanyir terpinggir
cinta bukan teras
tiada yang ikhlas
ada wang datang
miskin kasih sayang

kudup berduri
sarang manusia berbaju telanjang
mata-mata rakus menjilat
hilang pertimbangan
hanyut dalam buih syaitan
kemarau bahasa tuhan
ratibnya hawa
bunga dunia.

YHI
Segamat Johor
17012013

Saturday, 19 January 2013

TEROMPAH KAYU


Terompah kayu
mengusung selesa tuan
diinjak pijak
beban ditanggung
tidak pernah diuntung
selut lumpur diredah
pasrah

menanggung perit
rintih bisu kelu
rayu tidak dipeduli
jasa dipandang sepi
setia terseksa

adat dunia
jasa tidak dikenang
tidak dipandang
usang
terbuang.

yahyaisa
Segamat Johor
18012013

TELUS



Sukar membeza
berkhasiat atau racun bisa
hidangan harian pelbagai rasa
basi segar
diolah serupa
bahan tatapan disajikan
tanpa batas susila, diragut nilai budaya
disanjung melambung kerana untung
dicaci keji takut rugi

yang ditindas terus dipulas
tiada peluang berbahas mengulas
membela diri di atas pentas

yang dipuji dilambung tinggi
biar beronar daki
disembunyi rapi

peranan menyampai, hidangan bernilai
bukan serkap jarang, menghimpun segala temberang
maklumat perlu teliti, dari sumber terpuji
tidak berat sebelah, mengundang pecah belah

serulah perpaduan
bukan peneraju perpecahan
perananmu penting
bukan tempat tuding menuding

tugasmu mendidik
membina akal cerdik
anak bangsa celik
akhlak cantik

perlu telus
kebenaran jangan ditimbus

yahyaisa
Segamat Johor
19012013