Showing posts with label Cikgu Nik Mie. Show all posts
Showing posts with label Cikgu Nik Mie. Show all posts

Saturday, 2 May 2015

Metamorfosis


Insan
ditekan tertekan
berlipat semangat
mampat padat kuat
mantap.


Insan

hatinya memejal
melantun kebal
bereaksi bebal
kepada yang dangkal
bermain tangkal
mendajal.


CNM, 19/3/15

Monday, 9 March 2015

Lopak


Sehebat mana ciptaan
seindah mana garapan
semantap mana ungkapan
pasti ...kan ada
lompang
lubang-lubang
kelemahan berkubang
tuntut tambah baikan
hakikat yang tak bisa diabaikan.


CNM

Jerit Tanpa Suara


Di sini
di kota berneon
batin menjerit-jerit tanpa suara
merintih tanpa air mata
menongkah tanpa lantunan kata
tenang mengenap dalam keladak sengsara
damai menyerap dalam gelojak rasa.


CNM, 11/2/15

Kuala Lumpur


Walau di cerukmu banyak lumpur
walau ramai yang menggelupur
walau ramai yang berdengkur
walau ramai yang tak berdapur
walau ramai yang kebulur
senyumlah Kuala Lumpur
neon bisa mengaburi duka
pengcakar langit membayangi
sungai-sungai mengukir tenang
hamismu ditelan karbon-karbon metropolitan.


CNM, 11/2/15

Saturday, 17 January 2015

Air Mata Titiwangsa


Air mata titiwangsa
menerjah kampung bonda
meninggalkan pilu luka.


Ranap harta benda
amukkan paling bisa
lantunan provokasi manusia.


Kamu amati
banjaran itu disakiti
sesekali asakkannya melampaui
jangan terduduk menangisi.


CNM, 16/1/15

Wednesday, 14 January 2015

Lecak


Air mata menyejat
tinggal hati yang lecak
renung dahsyatnya landskap
hasilan tangan-tangan keparat
yang buta tuli menjarah.


Kepiluan ini
dalamnya menikam asa
bukan kepalang buat mengangkat muka
terbeban dek amukan alam ternoda
natijah tak terjangka.


Insaflah
alam itu bernyawa
responsifnya tak terduga.


CNM, 13/1/15

Monday, 12 January 2015

Sukar


Nun
di daerah yang ranap
dek arus dan selut mengenap
yang tinggal cuma mengharap
bantuan tiba pulih semangat
ujian ini terlalu berat
untuk kembali tegak.


Turun
hulurkan jabat
sumbangkan kudrat
sapu air mata
lepaskan trauma jiwa
pohon doa
tabahkan hati mereka.


CNM, 11/1/15

Sunday, 21 December 2014

Punah-ranah


Atas kepalaku
menitis suci
tangisan awan gemawan
buat alam
hidup.


Mereka
rakus menongkah
menjarah
menarah
jadi punah-ranah.


Aku
tak mampu menadah
diri kian terdedah
jari jemariku berdarah
sarat kelodak sampah
petanda mereka mencari padah.


CNM, 6/12/14

Jalan


Hati yang berakal
melatih nafsu nakal
tunduk pada iman
ingat tuhan
jauhi larangan.


Otak yang berhati
pilih syariat ditaati
tanpa gagal
tegar tekal
beramal.
 

Jalan lurus
kudus ke Firdaus.


CNM, 2/12/14

Saturday, 18 October 2014

Retorik Wajah


Retorik Wajah


i
Dalam indah lontaran kata
mulusnya bicara
tersemat agenda perkuda
perdaya
mengena tanpa takut dosa.


ii
Dalam lurus tingkah di mata
tertib langkah diperaga
tersembunyi sandiwara
mengaburi jiwa
licik menyelumbar bisa.


iii
Retorik wajah
kian galak mencelah
lupa rakaman Allah
setiap satu akan didedah
di hadapan-Nya tiada helah.


CNM, 17/10/14

Monday, 13 October 2014

Hipokrit


Pemimpin
main politik
hipokrit.


Menunjuk contoh tak baik
menyokong 'Oktoberfest'
yang kesannya ternyata
membawa kemudaratan.


Baik pemimpin kerajaan
mahupun pembangkang
agenda jelas terbayang
One Utama
Jonker Walk
dijadikan gelanggang.


Halang
sebelum syaitan bertepuk tangan.


CNM

Wednesday, 10 September 2014

Pendatang


Kian terang
Tanah Melayu diganyang
sesak padat segenap lubang
mereka datang
menjarah segala peluang.


Kian terancang
Tanah Melayu diserang
atas bawah depan belakang
mereka berkubang
mengecah bau dalang.


Kian membimbang
Tanah Melayu bakal hilang
ditakluk pendatang
mereka menang
kita jadi warga malang.


Bangkit kuasai semua bidang.

CNM, 9/9/14.

Friday, 5 September 2014

Bibik V


Hello!
Tak semua bibik durjana,


i
Bibik baik-baik saja
aurat dijaga
solat cukup yang lima
tutur kata indah berbunga
terima arahan siap siaga.


ii
Anak-anak yang tak boleh terima
bibik dikata agen penyekat kebebasan media
gadjet tekini jadi masalah ibu bapa
kerja rumah terbiar di meja
anak-anak dengan perisian mainan pungut mata.


iii
Bibik punya laporan semasa
anak-anak anggap aduan tak berguna
bibik dijadikan bila tiada ibu bapa
adegan sabotaj bermaharajalela
bibik seorang dijadikan hamba.


iv
Terimalah hakikat
sesuatu itu ada suka duka
sesuatu itu ada pahit dan manisnya
bertindaklah dengan bijaksana
akal diberi guna dengan cakna.


CNM, 5/9/14

Bibik IV


Macam-macam cerita
ada suka ada duka,


i
Bibik punya angkara
sengsara satu keluarga
diberi makan barangan puja
tak takut bahana dosa
janji dapat kerja selesa.


ii
Bibik punya penangan
anak-anak mula renggang
dengan bibik macam isi dan tulang
berpisah tiada pagi petang siang malam
akhirnya bibik jadi tuan.


iii
Bibik punya selera
dulu datang naik tongkang tua
kalau balik nak naik kapal udara
tak dipenuhi meragam pula
katanya tak nak balik lagi bekerja.


iv
Bibik punya agenda
khabarnya rindu anak saudara mara
nak pulang ziarah sekejap saja
tunggu punya tunggu tak nampak muka
sedar-sedar dah diperdaya.


v
Bibik ada baik buruknya
yang bijak tak akan terkena
yang muda percaya selalu terkena
selidik tawakal dan doa
mudahan bibik baik perangainya.


CNM, 5/9/14

Bibik III


Suami isteri
dalam dilema,


i
Bibik jadi orang ketiga
suami berubah selera
bibik lebih mesra
bibik tempat bermanja
bibik sedia segala.


ii
Bibik buat huru hara
suami isteri pening kepala
bil telefon berganda
barangan dapur lesap tiba-tiba
waktu kerja ada tetamu luar negara.


iii.
Bibik perenggang kasih
anak-anak mula menyisih
bibik tempat merujuk merintih
ibu ayah kerja tak habis-habis
siang malam kumpul pitis.


iv.
Bibik
ada susah
tak ada lagi payah
sebelum jadi masalah
kaji upaya cari kaedah.


CNM, 5/9/14

Bibik II


Bibik berkata
walau dalam hati saja,


i
Puan!
Kok tak ingin masak sendiri
tuan itu mahukan masakkan puan
bukannya air tangan gue
nanti hilang seleranya.


ii
Puan!
Kok tak ingin digosok sendiri
tuan itu teringin sentuhan puan
bukannya kerja tangan gue
nanti hilang mesranya.
 

iii
Puan!
Kok tak ingin dihantar sendiri
tuan itu perlukan perhatian puan
bukan dipesan bawa balik madu
nanti dibawa balik isteri baru.


iv
Tuan!
Eh! Janganlah berbahagi kasih
kasihan cik puan itu
nanti hidupnya celaru
dek menerima madu.


 CNM, 4/9/14

Bibik


Isteri
selalunya,


i
Bik!
Tuan nak makan
tolong buat maggi jantan
masak dua bungkusan
bagi tuan kenyang.


ii
Bik!
Tuan nak pakai baju melayu
tolong gosok yang terbaru
samping warna biru
bagi tuan bergaya selalu.


iii
Bik!
Tuan nak pergi kerja
tolong angkat bag di meja
pesan pada tuan bawa balik madu
jangan lupa tutup pintu.


Suami
akhirnya,


i
Bik!
tolong buka pintu
tunjukkan bilik puan punya madu
esok bantu puan baru
masak dan gosok baju.


CNM, 3/9/14

50pp Berderaian


Melihat langkahan senja
berderaian air mata
menitik ke pipi hiba
kerana menginjak lagi detik usia
sedang ada yang terus bersandiwara
menanam tebu di bibir dusta
pandai memintal kata
kelihatan indah susunan bicara
namun seketul daging berjelaga
penuh karbon prasangka
melemaskan ukhuwah sesama
membina tinggi tembok penjara
mengali dalam jurang sengketa.


CNM, 1/9/14