Showing posts with label Yati Yahaya. Show all posts
Showing posts with label Yati Yahaya. Show all posts

Sunday, 13 April 2014

KETAWA DIA LUKA PADAKU


Saat dia tertawa umpama aku terbang di awangan indah
tawa dia menggamit sekelumit rindu lama padamu yang telah menjauh pergi
sangkaku tiada lagi lopak-lopak kenangan kita yang masih basah
yang bisa menjerat ingatan dengan lumpur derita lama
setelah sekian lamanya aku mencuci luka agar tidak lagi berdarah
ketawa dia padaku seperti kopi pahit walau bergula
tetap tertelan bagai memaksa mata terbuka
tetap diterima walau hitam gelita
memaksa otak dan akalku bekerja
memikirkan kenangan lama kita


ah!...
akan aku buang kunci mimpi lama
agar kamu tidak lagi ada
dalam lena atau jaga


~danhayati~
120414 23:53pm

Friday, 7 March 2014

RINDU DAN AKU


Andai kata rindu itu mempunyai bilah-bilah seperti sangkar yang mengurung aku di dalamnya
aku merelakan walau ia menyebabkan aku luka
kerana aku rela tersakiti merindui
aku rela terkunci menyayangi
dari aku bebas tapi bersendiri

~danhayati~
050314 09:49am

Sunday, 2 March 2014

DETIK WAKTU


Mati telah jiwa
bila engkau ingkari setia
walau kata maaf menyapa
menerimanya tanpa rela
semuanya tidak lagi sama
ada janggal di tengahnya

...yang tinggal hanya pura-pura

~danhayati~
020314 18:08pm


Tuesday, 11 February 2014

RINDU KITA DI HUJUNG BATAS MIMPI


sesekali aku ingin malamku lebih panjang
agar aku terus bermimpi tentangmu
tentang rasa dan impian angan kita
walau janji kata kita tidak lagi senada

baja yang kita tabur dihanyut oleh derasnya ketidaksabaran jiwa
geloranya mencabut benih-benih yang cuba menerobos batas tanpa sempat mengukuhkan akar yang belajar mencengkam setia
masih ada harapankah untuk kita merendangkan rindu yang baru ada?

bakal berakhirlah mimpi untuk kita melihat putik-putik kasih yang bersisa menjadi bunga yang mekar
yang tinggal kini hanya batas angan yang kian gersang
tiada lagi sisa pada benih-benih rindu kita
telah berakhir semuanya
yang ada hanya kita
tapi dengan pandangan yang berbeza

aku cuba mengerti dengan caraku
kamu tetap dengan pendirianmu
telah hilang jiwa yang sama
bila mentari memcecah ufuk timur
semuanya telah berakhir

...rindu kita berakhir di hujung batas mimpi

~danhayati~
110212 00:21am


Thursday, 16 January 2014

SENJA NAN MERAH


Senja merah itu umpama hati aku yang berdarah 
...

aku cuba bangun untuk sujud mengharap reda-Nya
menadah belas tanpa malu aku pernah berdosa semalam
mengharap pengampunan atas kekhilafan yang aku sedari
memohon taubat dari-Mu yang Maha Pengasih
agar dosa ini bisa mengalir dari diri dengan belas rahmat-Mu Ya Allah

Ampuni aku dalam setiap sujudku pada-Mu

~danhayati~
160114 11:36am


Thursday, 9 January 2014

AKU TIDAK TAHU


Ajari aku bagaimana untuk aku lepaskan perasaan itu...

Entah kenapa aku masih juga ke situ
mencari serpihan kenangan yang mungkin tercicir di sebalik guris-guris luka kelmarin
tanpa serik mengejar kasih yang semakin jauh
tidak jemu menyelam lubuk cinta yang semakin cetek rindunya
kerana padaku semua tetap sama

selagi matahari menghadirkan bahangnya
selagi bulan menyinarkan cahayanya
rindumu kubawa hingga hujung nyawa

~danhayati~
090114 07:59am


Wednesday, 11 December 2013

KENAPA ADA AIRMATA ITU?


Cukuplah sekadar engkau berlalu
jangan dititiskan air mata itu di hadapanku
ia bisa membunuh hari-hari depanku
menghiris raga yang telah sedia pilu

biarlah gelombang derita kita sembunyikan dari mereka
lepaskan aku dengan rela tanpa dendam di jiwa
kerana kita berhak untuk bahagia
walau tidak bersama

~danhayati~
101213 11:55pm


Thursday, 14 November 2013

RINDU


IZINKAN AKU KEMBALI


Buat terakhir kalinya 
aku merayu untuk kembali
menghuni tahta jiwamu yang pernah terluka

aku juga terluka sayang
terluka kerana melukakanmu
terluka kerana kesilapanku
terluka kerana belum bisa mengubat lukamu

berhentilah di sana
berhentilah dari terus membisu
kurayu ruang dan peluang kedua
semuanya kerana kau masihku cinta
semalam, hari ini dan selamanya
janjiku untuk selamanya

~danhayati~
141113 19:08pm


Friday, 8 November 2013

INTAI


Hari ini seperti juga semalam
kuintai semula kelemahan dalaman
agar yang kurang aku perbetulkan
yang terlebih aku seimbangkan
semoga hari mendatang tidak berbuahkan penyesalan
agar hidup lebih berwawasan

intaiku bukan sembarangan

~danhayati~
081113 08:37am


KOLEKSI SATU MINITMU