Showing posts with label Liza Isma. Show all posts
Showing posts with label Liza Isma. Show all posts

Thursday, 4 July 2013

D E D A P


Merah menyala indah dipandang
duduknya tinggi di hujung dahan,
Tidak juga berbau harum,
sebagai hiasan tetap menawan...

Batang pohonnya sedikit berduri,
rimbun daunnya menampakkan seri
Tetap indah sebagai hiasan,
di hujung laman teguh berdiri....

Walau hanya indah dipandang,
tetap menarik di juring mata
Walau kasih hilangnya sayang,
budi tuan hamba tak lupa...

===getar rasa===
Liza Isma
2 Julai 2013

Friday, 7 June 2013

B U D U

Istimewa untuk penggemar budu....

Dari laut naik ke darat
nelayan bersabung nyawa
mencari rezeki sesuap nasi,
ikan kecil sebagai pilihan
diperam berbulan-bulan bersama garam
mencair hingga masin
muncul warna coklat kemerahan
terkenal seantro dunia
budu diberi nama...

Budu wadah istimewa
pembuka selera
dicicah bersama ulam,
campur sedikit sambal belacan
atau juga tempoyak.

Nasi tanpa budu,
bagai cinta tanpa rindu...
tanpa budu,
makan nasi tak lalu
kenyang tanpa rasa...

Liza Isma/07062013_12:50am
Khamis/Temerloh.

Terima kasih Cikgu Yahya Isa, mengilhamkan puisi BUDU ini....:))

Monday, 27 May 2013

SEJARAH HANYALAH KISAH


Kata-kata bukan lagi ada erti,
pesanan juga bukan panduan,
minda bagaikan sudah mati,
nafsu telah mengambil jalan.

Sejarah hanyalah sebuah kisah,
diulang berkisah buat tak endah,
yang di belakang telahpun punah,
yang di hadapan menanti pecah.

Riwayat hanyalah suatu peristiwa,
diulang tayang di layar minda,
tiada rasa menggigit jiwa,
yang berlalu biarkan saja.

Mata melihat hati menangis,
kisah lalu bagaikan makin dilupa,
hati bimbang berulang kisah tragis,
apakan daya mereka sengaja alpa.

====Getar rasa====
Liza Isma,
27 Mei 2013_07:40am/Isnin

Monday, 13 May 2013

G E L O R A


Saat berdepan dengan gelora rasa
yang melanggar tebingan hati
pada kala angin lembut menyapa
deburan ombak perlahan berbisik
kata rindu pada pantai
mujur bebatu penahan hakisan
utuh berdiri
menolak gelora rasa bertandang
kerana pantai ini tahu
ada halangan dibawa ombak rasa
tak mungkin menerima walau ada bisikan rindu
kerana rindu itu ada pemiliknya
maka biarkanlah rindu itu
dibawa ombak rasa
kembali ke tengah lautan
biarlah pantai ini
hanya melihat dari kejauhan
jikapun masih ada rindu menerjah gelora rasa,
biarlah bayu membawanya pergi
jauh dari sini..............

Getar rasa,
Liza Isma/12052013_Ahad.

Monday, 22 April 2013

DEDALU


Di tanah leluhur ini,
pepohanan rendang
berdiri kukuh dan subur 
menghijau
memayungi alam
tiba-tiba kelihatan akar menjalar
kemudian, dedaun lain mulai tumbuh
hidup di atas pepohon itu....
Oh,....dedalu!

Jangan biarkan dedalu itu subur,
berdiri megah dan merimbun
di atas pepohon nan asal...
pasti kelak pohon itu
rebah ke bumi jua..
dan semuanya pun turut mati.....

Ilham rasa di hujung minda...;
LizaIsma,
21042013/Ahad_11.55pm

Sunday, 14 April 2013

~~Pepatah yang Patah~~


Pepatah tetap bermakna
biarpun sering tak diguna,
“cerdik tak boleh ditumpang, 
bodoh tak mahu diajar”,
yang cerdik petah bercerita
yang bodoh mendengar saja
yang mendengar seperti pekak
yang melihat seperti buta
yang betul salah
yang salah betul
maka semuanya kacau bilau
arah fikir semakin bercelaru
kerana dicelarukan…

Biarlah musang berbulu ayam
Biarlah kuda sebagai tunggangan
asal sampai maksud impian
lautan kelam diredah jua
asal saja tak bergantungan
biar berenang ke tengah lautan
asal tidak berdayung sama.

Yang didekat, bukan musuh
Yang dijauhi, bukan saudara
ralik menghitung dendam bertapuk
biar kesumat mencincang lumat,
asal tidak mengurang niat
biar sampai hasrat hati 
asal tidak bersatu lagi!

Tangkas dan pantas,
segala maksud segera diperhebah
segala hasrat segera dipersembah
temanya segera diubah
biarpun ada yang mendesah
asal saja seperahu kapal berlabuh
asal maksud sampai ke destinasi
lain cerita, kemudian saja.

Kala ralik penglipur bercerita,
ukur padu bukan lagi taruhan,
hajat mendahului niat
tentulah terbiar kaku
tega melihat bangsa bercakaran,
bersahaja melihat agama dipersenda 
menjadi bahan mainan
yang cilik diajak berjerit pekik
yang tua memekak tuli
mulut bersuara tapi bisu
mata melihat tapi buta...
Bilakah penyatuan bisa berlaku,
jika dendam terus dipangku??

Liza Isma,
~Suara hati di hujung tinta~

20 Januari 2013/8.00pm_Ahad.