Recent Posts

Friday, 8 August 2014

MERDEKA: PERSALINAN YANG PALING BERERTI


Ini tanah leluhur bangsa warisan berabad
yang dulunya terpanggang di tangan zaman
hingga tertutup pintu fikir menghanguskan mahkota sejahtera
terbelenggu di sebalik tirai merah yang mengaburkan
anak-anak watan bercempera mencari jejak yang terkambus
untuk kembali berdandan dalam persalinan paling bererti
menjubah maruah yang diinjak bersama air mata yang tumpah.


Itu sejarah lama yang dibungkus dalam helai-helai kertas
helaiannya adalah dari hati peribumi yang pernah hancur
yang dijajah pemikiran dan kebebasan membina tamadun
dan dengan harapan yang datangnya dari sejarah hina
tanah leluhur ini bangun membina peradaban lama yang terpinggir
memercu kembali maruah ke persada bangsa dan dunia
agar kemilaunya segemilang bintang di angkasa.


Angin perang itu telah lama berhenti
dewan udaranya juga telah lama mengirimkan damai
layang-layang kebebasan tidak lagi terikat di kaki penjajah
kita yang mengemudi terajunya dalam persepakatan jitu
bersama terbangnya merpati putih mengepakkan sayap merdeka
yang kembali menaungi bangsa dalam satu tamadun yang baru
lalu mencipta sejarah agung yang dimercukan atas nama perpaduan
tanpa curiga
tanpa air mata
pun tanpa darah yang tumpah.


Qalam Bertinta
Klang
04082014
1029am

No comments:

Post a Comment