Friday, 4 April 2014

INI BUMI TUHAN


Bumi ini telah lama lelah
nafasnya tersekat di kerongkong sebu
dadanya diinjak dengan kerakusan
rintihannya diam
tidak bersuara
tapi memerhati
lalu manusia semakin lupa
kehendak dilumuri dengan nafsu
lonjakan keinginan menjadikan mereka dungu
hinggakan mereka lupa tentang warisan
pun tentang yang empunya.

Bumi ini perlu damai
ia milik Tuhan
milik kita hanya sementara
usah mencabar
paksinya akan bergegar
kita hanya debu yang menyerpih di sudutnya
bukan gunung yang tunjangnya melilit...mencengkam
kita rebah bukan tewas
tapi hancur.

Ini bumi Tuhan
ia memerhati
menanti... .

Qalam Bertinta
Klang
04042014
1255am

MENERIMA TAKDIR


Thursday, 3 April 2014

KIAS


Di atas pentas puisi
aku jiwai, bebas berdeklamasi
menyelami mengikut arus imaginasi
merenangi fantasi selaut mimpi
tidak pernah aku miliki
dalam kehidupan sehari-hari
kekarang sunyi.

Di alam nyata aku bersembunyi
berpura-pura menjadi diriku sendiri
menjaga hati, orang mengelilingi
terkunci kaki dan sendi
setiap ketika harus berkias menghiasi diri
tanpa kebebasan untuk aku kecapi
mutlak, abadi.

Ahh! Keluhan gumam menyelami
dalam kotak tersembunyi gema hati
di dasar laut yang tak pasti
terusan sepi.

Sazalee Sulaiman
Nilai, NS. 03/04/14.

KESUNTUKAN WAKTU


PELEMPAR BATU YANG DIREJAM


Lempar batu sorok tangan
guna kemudahan sorok kebaculan
tidak malu hilang kemaluan
walau tergantung telurnya di depan
kerana terpilis sembilu hutan.

Harus kurejam andai kedapatan.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
03/04/14.

Wednesday, 2 April 2014

PONDOK BURUK PENUH HABUK


Di pondok buruk lahir tersorok
dinding dan tiang dimakan bubuk
kayu alang kian berlapuk
terbangnya habuk asik bergosok.

Jalak lenteng keruyuk kemaruk
di mata betina cuba disorok.

Sazalee Sulaiman
Nilai, NS. 02/04/14.
(Kisah si Tanggang)

PUISI DAN RAGAMNYA


Dalam dunia ada kehidupan
dalam kehidupan ada falsafah
dalam falsafah ada sastera
dalam sastera ada dunia
peradaban mencelah di antaranya.

Dalam mitos dan lagenda
sering dimainkan penyair dan pujangga
ada cerita ada riwayat ada hikayat
ada bahasa di dalam ayat
ada ragam di dalam setiap tingkat.

Dalam pantun ada usikan
dalam gurindam ada kecindan
dalam syair ada teladan
dalam sajak ada perjuangan
dalam haiku ada keegoaan.

Sekadarnya sahaja termampu aku sebutkan
yang lain tidak perlu aku sentuhkan
terlalu banyak genre dan jenis yang tidak tersingkatkan
tidak dapat aku paparkan
di minda kelaparan, sakit tak makan.

Kerana setiap negara ada genre dibanggakan
dalam rumpun bangsa ada falsafah diperjuangkan
dalam setiap penggiat ada kebanggaan.

Cuma... ,

usah mendongak berlebih-lebihan
kerana langit bisa jatuh keruntuhan
bumi juga bisa hancur kebinasaan
ditelan zaman hilang peradaban
hilang paksi, junjungan dan pijakan.

Pijaklah bumi walau di awang-awangan.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
02/04/14.

KITA LALAI MENILAI DIRI


SEBELUM LANGKAH TERHENTI


SEKADAR CORETAN MERAPU


Katakan aku jahat
sering memainkan hati perempuan
bersifat pelahap,
buaya!
Tapi tidak berdaratan.

Katakan aku ego
sering melenting bila tersentuh
berhidung tinggi,
dubuk!
Tapi bukan di hutan rimba.

Katakanlah apa sahaja
cuma jangan katakan aku kacak
segak bergaya,
Anuar Zain!
Walaupun sama umur.

Kerana aku sedar
perutku memang mancung
sering berusung,
Doraemon!
Cuma tiada isi di kantung.

Dan yang penting
aku tidak mengandung
angin dan air sahaja.

Ahh adoi!
Apa yang aku mengarut pagi ni daaaa.

Sazalee Sulaiman...Nilai, NS
02/04/14.