koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Thursday, 31 October 2013
~ AKU YANG DULU 1 ~
pesan ayahku
jadilah manusia
yang menghargai hidup
yang tahu menilai erti kehidupan
yang mati dalam bahagia
solatlah, puasalah
jauhi maksiat
dekatilah hatimu pada Tuhan
walaupun hidupmu sebagai
penyanyi jalanan
pesan ayahku
buat aku meniti kembali
perjalanan lalu aku
masjid jamek tempat lepakku
tempat aku mandi, baring lena
bukan tempat aku bermunajat
mahupun menyembah Tuhan
ibuku berkata
gitar kapokmu
telah melimpahkan rezekimu
usah dibuang
iringi doamu dengan iramanya
ibu bukan marah sebab gitarmu
tapi ibu kesal kerana gitar itu
melalaikan aku
aku tersedar, aku yang dulu membina hidupku hari ini
abdulmalekismail
pasar seni KL.
ALAHAI
Alahai...
aku kan dah kata
jangan buat ikut suka
jangan nak cuba-cuba
nanti merana...
Alahai...
tengok apa dah jadi
apa yang engkau impi
berkecai kini, rugi-rugi
sesalan tak bererti
Aduhai...
lupakan kisah lalu
bukalah lembaran baru
pandang jauh ke depan
peluang luas terbentang
Jangan ikut perasaan.
nukilanhati
sue
31/10/13
Penunggu.
Aku
akulah penunggu
di belantara syahdu
lestari rindu
doaku.
Aku
akulah penunggu
penunggu bayang kasih-Mu
mengoles sendu
aku.
Aku
akulah penunggu
di tapal waktu
mengharap restu
cinta-Mu.
Akulah penunggu al-Nur, kemuliaan-Mu.
Sazalee Sulaiman ... 31/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
KONFLIK P.J.J.
Adakah salah pada sang bulan?
... seandainya daun terlalu rimbun
sehingga si pungguk tidak terpandang
dipayungi bayang-bayang
tenggelam di lautan kelam, malam.
Konflik perhubungan jarak jauh.
Sazalee Sulaiman ... 31/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
BEGINIKAH PENGAKHIRAN
Beginikah pengakirannya?
setelah disemai benih kemesraan
lantas bercambah, putik kerinduan.
Rindu yang hadir
tika tak menyapa
hilangmu kucari dan kunanti
penuh persoalan.
Kutahu dikau ada di situ
sekadar memerhati
membisu tanpa kata.
Sebak dan pilu rasa hatiku
tanpa kusedar
mengalir jua air mata jernih
lantas kuseka.
Kupujuk hati
usah menyimpan pilu
usah menagih rindu.
Akur pada diri
saat dikau menjauhi
saat dikau mengelak diri.
ZIE 31/10/2013
50pp: Motivasi Pagi
Perkara yang belum berlaku
usah biar ia mengganggu
usah menambah celaru
memikir perkara yang belum tentu
biar ia datang dahulu
dan pada saat itu
baharulah kita ambil tahu
yang mana perlu
yang mana tak perlu
kongsikan tanpa segan silu
jangan pula diam membisu
pasti ada yang akan membantu
boleh begitu?
CNM, 31/10/13, BBBangi.
~ AKU YANG DULU ~
melalak di jalanan
dendangkan berbagai irama
pinggiran pasar seni
berpelesiran sudah pastinya
meredah kilauan malam
berpesta tidak kira waktunya
gitar kapok diusung
tanpa jemu dan malu
malah itulah kebanggaan aku
petang sabtu dan malam minggu
hasilnya beratus ringgit
wang penuh dalam topi
preeeeet
bunyian datang mengganggu
silap hari bulan
semalaman di balai polis
itu dan ini
soalan diberi
lambat jawab, basah seluar
tanpa disedari
zohornya entah mana
magribnya bila waktunya
subuh tidak pernah bersua
ramadannya lupa bila
syawalnya diraikan juga
ibu kering air liurnya
ayah sakit tangan merotan
aku yang dulu tetap begitu
aku yang dulu membina hidup aku hari ini
abdulmalekismail
pasar seni KL.
SYAIR TENGKUBAN PERAHU
Pertama kali cuba bersyair dan mohon kemaafan jika terdapat banyak kekurangan dan kesilapan dalam syair pertama yang saya ilhamkan ini. Semoga ada sesiapa yang berkemahiran dalam pembinaan syair dapat memperbetulkan segala kesilapan.
Tersebutlah kisah dahulukala,
di Tanah Parayangan cerita bermula,
negerinya aman indah segala,
puterinya seorang ditatang dibela.
Si Dayang Sumbi nama diberi,
cantik rupawan tidak terperi,
mashyur terkenal seluruh negeri,
namun pemarah menemani diri.
Di beranda istana puteri menenun,
dipintal benangnya sepenuh tekun,
benangnya jatuh si puteri tertegun,
menyumpahlah dia memaki hamun.
Kerana marah puteri bersumpah,
kepada sesiapa yang pemurah,
ambilkan benangnya untuk diserah,
akan dikawininya tanpa berbalah.
Sumpahnya makbul sekelip mata,
datang si Tumang mendengar kata,
puteri terperangkap janji dikota,
pernikahan dicanang pada rakyat jelata.
Tumang jadian anjing perkasa,
bukan seperti manusia biasa,
punyai sakti dan juga kuasa,
hiduplah mereka aman sentiasa.
Genap masanya lahirlah putera,
Tumang dan puteri sungguh gembira,
Sangkuriang dinamakan diasuh dipelihara,
sedari kecil saktinya amat ketara.
Suatu masa Si Dayang mengidam,
daging rusa ingin dihadam,
Sangkuriang dan Tumang sudahlah faham,
ke hutan mereka mencari yang diidam.
Setelah lama mereka ke belantara,
si rusa dicari tidak berjumpa,
demi kasih pada si bonda,
si Tumang dipanah secara terpaksa.
Pulanglah anak membawa buruan,
bonda gembira tidak tertahan,
tercapai jua hajat idaman,
tanpa menyedari segala penipuan.
Setelah kenyang menjamu selera,
baru tersedar Tumang tiada,
pada anak ditanya segera,
terbongkarlah semua segala cerita.
Marah Si Dayang bukan kepalang,
dipukulnya tepat di kening Sangkuriang,
jatuh pengsanlah Sangkuriang terlentang,
Dayang diusir oleh raja yang walang.
Setelah bertahun peristiwa berlalu,
menggembara Sangkuriang mencari ilmu,
si wanita jelita telah ditemu,
bercintalah mereka tanpa jemu.
Tiba pada hari pernikahan,
sewaktu menyisir rambut si tampan,
terpandang Si Dayang akan kesan,
tanda di dahi tersingkaplah kenangan.
Terkejut Si Dayang tidak terkata,
kerana anaknya di depan mata,
kerana asyiknya mereka bercinta,
hampir dinikahinya anak jejaka.
Si Dayang berikhtiar gagalkan rancangan,
pada si anak diberi tugasan,
diarahkan Sangkuriang membina bendungan,
sebelum fajar harus disiapkan.
Demi cinta membuta tuli,
tugasan diterima seikhlas hati,
diarahkan jin dengan ilmu sakti,
menyiapkan bendungan sebelum pagi.
Sebelum fajar menjengah kesiangan,
menyiapkan perahu jadi tugasan,
sebatang pokok menjadi pilihan,
lalu ditebang sepenuh kekuatan.
Melihat kerja yang hampir siap,
di hati Si Dayang risau menyelinap,
pada dewa dia berharap,
agar malam menjadi sekejap.
Doa Si Dayang dewa perkenan,
ayam pun berkokok di tengah laman,
menandakan tempoh sudah kehabisan,
mengamuk Sangkuriang kerana dipermainkan.
Perahu ditendang sepenuh kekuatan,
jatuh terbalik di tengah hutan,
konon di situlah Gunung Tengkuban,
perahu terlangkup dijadikan sebutan.
Begitulah kisah sebuah lagenda,
telah termaktub dalam cerita,
kerana asyik dalam bercinta,
hampir sahaja mendapat cela.
Qalam Bertinta
Klang
30102013
2143pm
Tersebutlah kisah dahulukala,
di Tanah Parayangan cerita bermula,
negerinya aman indah segala,
puterinya seorang ditatang dibela.
Si Dayang Sumbi nama diberi,
cantik rupawan tidak terperi,
mashyur terkenal seluruh negeri,
namun pemarah menemani diri.
Di beranda istana puteri menenun,
dipintal benangnya sepenuh tekun,
benangnya jatuh si puteri tertegun,
menyumpahlah dia memaki hamun.
Kerana marah puteri bersumpah,
kepada sesiapa yang pemurah,
ambilkan benangnya untuk diserah,
akan dikawininya tanpa berbalah.
Sumpahnya makbul sekelip mata,
datang si Tumang mendengar kata,
puteri terperangkap janji dikota,
pernikahan dicanang pada rakyat jelata.
Tumang jadian anjing perkasa,
bukan seperti manusia biasa,
punyai sakti dan juga kuasa,
hiduplah mereka aman sentiasa.
Genap masanya lahirlah putera,
Tumang dan puteri sungguh gembira,
Sangkuriang dinamakan diasuh dipelihara,
sedari kecil saktinya amat ketara.
Suatu masa Si Dayang mengidam,
daging rusa ingin dihadam,
Sangkuriang dan Tumang sudahlah faham,
ke hutan mereka mencari yang diidam.
Setelah lama mereka ke belantara,
si rusa dicari tidak berjumpa,
demi kasih pada si bonda,
si Tumang dipanah secara terpaksa.
Pulanglah anak membawa buruan,
bonda gembira tidak tertahan,
tercapai jua hajat idaman,
tanpa menyedari segala penipuan.
Setelah kenyang menjamu selera,
baru tersedar Tumang tiada,
pada anak ditanya segera,
terbongkarlah semua segala cerita.
Marah Si Dayang bukan kepalang,
dipukulnya tepat di kening Sangkuriang,
jatuh pengsanlah Sangkuriang terlentang,
Dayang diusir oleh raja yang walang.
Setelah bertahun peristiwa berlalu,
menggembara Sangkuriang mencari ilmu,
si wanita jelita telah ditemu,
bercintalah mereka tanpa jemu.
Tiba pada hari pernikahan,
sewaktu menyisir rambut si tampan,
terpandang Si Dayang akan kesan,
tanda di dahi tersingkaplah kenangan.
Terkejut Si Dayang tidak terkata,
kerana anaknya di depan mata,
kerana asyiknya mereka bercinta,
hampir dinikahinya anak jejaka.
Si Dayang berikhtiar gagalkan rancangan,
pada si anak diberi tugasan,
diarahkan Sangkuriang membina bendungan,
sebelum fajar harus disiapkan.
Demi cinta membuta tuli,
tugasan diterima seikhlas hati,
diarahkan jin dengan ilmu sakti,
menyiapkan bendungan sebelum pagi.
Sebelum fajar menjengah kesiangan,
menyiapkan perahu jadi tugasan,
sebatang pokok menjadi pilihan,
lalu ditebang sepenuh kekuatan.
Melihat kerja yang hampir siap,
di hati Si Dayang risau menyelinap,
pada dewa dia berharap,
agar malam menjadi sekejap.
Doa Si Dayang dewa perkenan,
ayam pun berkokok di tengah laman,
menandakan tempoh sudah kehabisan,
mengamuk Sangkuriang kerana dipermainkan.
Perahu ditendang sepenuh kekuatan,
jatuh terbalik di tengah hutan,
konon di situlah Gunung Tengkuban,
perahu terlangkup dijadikan sebutan.
Begitulah kisah sebuah lagenda,
telah termaktub dalam cerita,
kerana asyik dalam bercinta,
hampir sahaja mendapat cela.
Qalam Bertinta
Klang
30102013
2143pm
~ atas nama cinta ~
macam-macam jadinya
macam-macam ceritanya
ada suka tak ingat dunia
ada duka lupa diri
ada selamba buat bodoh
dalam mukabuku
lagi aku pening kepala
hari ini dia
esok dia
lusa dia
dalam mukabuku
semalam bertunang
hari ini putus tunang
esok terbang melayang
lepas itu serang menyerang
atas nama cinta
aku pening kepala
untuk fikirkan
mana satu
cerita benarnya
atas nama cinta, aku pening kepala
Jue Affendi
50pp: Motivasi Malam
Menteri dah potong subsidi
mari pula GST
nak lari lorong mana lagi
redah saja dengan terbuka hati
lima tahun lagi ubah undi
kalau tak suka kerajaan punya parti
gula harga makin tinggi
jangan peningkan diri
susu tepung boleh ganti
dah tua-tua elok minum susu macam ‘baby’
tambah kalsium dalam nutrisi.
CNM, 30/10/13, BBBangi.
Aku! ... itulah aku.
Aku adalah aku
aku suka menjadi diri aku sendiri
aku memang suka berkawan, rapat
selain aku suka bersahabat, dunia akhirat
aku boleh berlawak
dan boleh juga dijadikan bahan lawak
aku boleh bergurau senda
dan boleh juga dijadikan bahan gurauan
tiada hitam di hatiku ini
tiada tercalit.
"Tiada hal punyo"
Aku boleh berkarya
aku amat suka mengkaryakan puisi
aku suka meletakkan diriku
di dalam setiap puisi ciptaanku
tentang apa sahaja yang aku mahu
yang terhidang
yang disogokkan kepadaku
di hadapan mata - di dalam minda
tiada siapa yang menghalang kemahuan
kesukaan dan kegemaran aku ini.
"Itulah aku"
Dekatilah aku
tiadalah aku melarikan diri
kasihilah puisiku
akan kuciptakan keindahan
pelangi
di dalam puisi-puisiku
tetapi ... janganlah mencintai aku
kerana pastinya aku akan lari
menjauhkan diri
kerana aku ... ,
"Aku tak rela ada lagi hati yang terluka"
Aku suka jadi diriku sendiri.
Sazalee Sulaiman ... 30/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
KASIH
Selangit salamku
selaut mesra rinduku
terpendam di persada hati
walaupun jasad kita berjauhan
kasihku harum mewangi
aku di sini dan dikau di sana
susah untuk bersua
kasih...
sepi menemaniku selalu
dalam meniti gelombang
di kembara yang panjang.
Mas....30 Oct 2013..
Kota Bahru..Kelantan..
Hampa.
Biarlah alam
menggambarkan
tentang hangat
tentang kering
tentang tandus:
- lembah tanpa air
- gurun tanpa hujan
- banjaran tanpa jeram
di bumi, di laut
di jiwaku.
... setelah hujan, berhenti
ribut menyepi
dan air mata; kering.
... di tanah, kedukaan
hatiku, kedinginan
perasaanku;
kosong - hampa.
Sazalee Sulaiman ... 30/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
NI KISAH KITA
seorang aku untuk cintamu umpama sebatang lilin yang membakar api cintanya agar sentiasa bersuluh jalan kebahagiaan kita
menakung semua lelehan kasih yang tumpah agar cinta ini sentiasa memenuhi bejananya
...kamu cuma diam
seorang kamu yang sentiasa ada untuk aku, memaksa aku sentiasa berteka-teki memahami
hanya berselindung di sebalik cengkerang ego seorang lelaki
mengunci segala kata dan maksud hati
...mohon aku mengerti sendiri
sampai bila kisah kita begini
mungkin akhirnya kasih ini terbang sendiri
mencari persinggahan baru yang abadi
~danhayati~
301013 02:38pm
seorang aku untuk cintamu umpama sebatang lilin yang membakar api cintanya agar sentiasa bersuluh jalan kebahagiaan kita
menakung semua lelehan kasih yang tumpah agar cinta ini sentiasa memenuhi bejananya
...kamu cuma diam
seorang kamu yang sentiasa ada untuk aku, memaksa aku sentiasa berteka-teki memahami
hanya berselindung di sebalik cengkerang ego seorang lelaki
mengunci segala kata dan maksud hati
...mohon aku mengerti sendiri
sampai bila kisah kita begini
mungkin akhirnya kasih ini terbang sendiri
mencari persinggahan baru yang abadi
~danhayati~
301013 02:38pm
AKU ADA UNTUKMU
Saat ini
tika ini
Selalu ada
sentiasa bersama
Untukmu
ada aku
Jangan diragu
usah kaucuriga
Hati tak pernah berubah
hati tak pernah berpisah
Sentiasa ada untukmu
walau ada gelora
Yakin dan percaya
takdir kita bersama.
nukilanhati
sue
30/10/13
WAJAH ITU
Riak air itu cermin
ada wajah di dalamnya
muram…suram
butir air matanya
terhenti di sudut bibir
ada kesal di sana.
Aku cuba bertanya
cerita sendu apa yang terhidang
hingga hatinya walang
:diam
tidak berpaling.
Qalam Bertinta
Klang
30102013
1019am
PESAN BUAT PUTERIKU
Puteriku, ingatlah pesan ibumu ini, bila memasak, masaklah dengan ikhlas dan penuh kasih sayang dimulai dengan bismillah atas setiap apa pun yang engkau lakukan diikuti dengan selawat ke atas junjungan yang dikasihi Muhammad s.a.w.
Ikatlah hati keluargamu dengan resepi keikhlasanmu disadur dengan ramuan kasih sayang agar ke mana pun kaki mereka melangkah hati tetap terpasung dengan kasih sayangmu.
Sisipkan di hatimu sekemas mungkin pesan ibumu ini kerana hanya itulah hartaku buatmu wahai anak, yang mampu kutinggalkan… .
Cahaya Laila
30 Okt 2013
Klang Selangor.
Roti Banjir Bakar.
Pagi ini
aku bersarapan
mencari kekuatan
mengharungi kehidupan
setelah kematian
semalam,
kualaskan perutku ini
dengan satu set roti canai banjir
En. Bakar
penghantaran segera
warongnya;
di bawah tempat kerja.
Syukurku ya Allah
akan rezekiku, pemberian-Mu ... pagi ini
seperti biasa,
"Roti banjir dua, nescafe lambung satu abang Bakar"
Roti banjir En. Bakar enak sekali
amin(promosi percuma).
Sazalee Sulaiman ... 30/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
50pp: Motivasi Pagi
Hijrah
hijrah itu berpindah
hijrah itu tuk berubah
hijrah itu sesuatu yang indah
contohi Rasulullah
sebaik-baik teladan yang tabah
mengharungi hidup yang susah
menempuhi perjuangan yang payah
dari Kota Mekah ke Madinah
namun hatinya tidak goyah
menyatukan ummah
jadinya terjemahkan hijrah
ke dalam amalan mengikut sunnah
hijrahlah hanya kerana Allah.
CNM, 30/10/13, BBBangi.
Gelodak.
Aku terdiam
termenung
merenung
tangan kanan
mencekak pinggang
tangan kiri
di hidung
asyik; sungguh!
... aku tak tipu.
Khayal
fikiran melayang
mata terpegun
menatap wajah-wajah
koleksi
tersusun di hadapanku
di dalam almari
di dalam ... kalbu;
seorang aku.
Wajah-wajah;
aku:
aku tatap satu persatu
aku tenung satu persatu
aku amati satu persatu
terlepas
kuulang renung kembali
saban hari - saban waktu
setiap ketika
di laci hatiku ... berkira-kira.
Sazalee Sulaiman ... 30/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
ILHAM YANG KESIANGAN
Di lantai malam
ilhamku mati
sepi menyengat
bungkam dan diam
aksara merajuk
minta dipujuk
penaku terhenti
abjad jatuh
dari tebing kajang
bertaburan di dada buntu.
Tinta itu masih ada
...beku
lohong itu kosong
lalu menyerap
semua bahasa
dalam terjahan sukar
mencipta kata.
Aksara itu muncul
abjad kembali tersusun
pun ilhamku
kian kesiangan.
Qalam Bertinta
Klang
29102013
2327pm
Falsafah ayam dan itik
... itik;
tidak akan cuba bertelur ayam
begitu juga dengan ayam
tidak akan cuba bertelur itik
kerana berlainan falsafah
kelak pecah telurnya
bau ... ya Allah,
semerbak.
Begitu juga sains dan sastera
berlainan istilah
berlawanan falsafah
usah dicampur adukkan masalah
dengan berlawanan falsafah
kelak ... penuh hospital bahagia
dengan orang gila,
gila tak faham bahasa.
Ada fahamkah?
Sazalee Sulaiman ... 29/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
Berbeza falsafah.
Dalam sains ada falsafah
dalam sastera turut ada falsafah
jangan campur adukkan falsafah sains di dalam sastera
dan jangan gunakan falsafah sastera di dalam sains
umpama itik cuba bertelur ayam
dan ayam mahu bertelur itik.
Gunakanlah akal untuk mengasingkan;
si kuning telur dari si putih telur
baik di falsafah sains
mahupun di falsafah sastera
pasti ada rumusannya
terungkai di dalam kedua falsafah.
Fahamilah sesuatu falsafah
di situ ada anugerah.
Sazalee Sulaiman ... 29/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
50pp: Motivasi pagi
Usia dah senja
rambut dah bertukar warna
usahlah marah-marah tak tentu hala
meninggikan nada suara
lebih baik berbahasa
Menegur dengan budi bicara
bukan mengherdik ikut suka
ingat! Orang lain juga ada air muka
jadi elak dari memalukan sesama
lebih-lebih lagi di tempat terbuka
jaga aib orang mudahan aib kita terjaga.
CNM, 29/10/13, BBBangi.
TERSEMAI BENIH DUKA
Sukar untuk kujelaskan
betapa hati kian tersemai benih duka
duka yang dikau taburi
kian hari kian menembusi relung hati.
Setiap detik kunanti
setiap detik kuingati
setiap detiK kurindui.
Adakah dikau jua merasai?
Masih terigau bisikan mesramu
kala rindu kian menggebu
tak terlerai rindu di kalbu
inginku bertemu dalam lena mimpimu.
Tiada jemu kumenanti
bicaramu pengubat hati
walau tersemai duka di hati
rindu yang hadir. tak mampu kuusiri.
ZIE 29/10/2013
Sketsa malang.
Makan minta disuap
bukannya mitos makan suap
itulah gambaran yang aku kata
akan kemalasan bernama manusia
malas mahu berusaha.
Segalanya harus tersedia
dari abjad A hingga ke abjad Z
perlu disediakan di hadapan mata
tinggal hanya untuk diguna
tanpa mahu berusaha.
Menggerakkan tulang tidak mahu dia
begitu juga dengan minda dia
minta disediakan jawapan segala
tanpa mahu bersusah menggunakan minda
tidak mahu sedikitpun berusaha
... untuk memahami sesuatu bicara.
"Tak dapek esei nolongnyo"
Sazalee Sulaiman ... 29/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
Penunggu Jerantut-Benta.
Bukan kisah mistik
bukan pula kisah seram, tragik
bukan menakutkan dan pelik
pengguna jalan ke hilir ke mudik
nyawa hilang dipetik-petik.
Pokok besar yang reput
jalan kecil dan selekoh maut
sampai bila mahu disebut
menghantui dan berselimut
bantuan kecemasan kala disebut.
Tindakan harus dilaksana
kerjasama harus diwacana
Majlis Daerah dan Jabatan Kerja Raya
perhutanan dan segalanya
agar nyawa tidak lagi menjadi mangsa.
Dalam kritik aku memuji
pegawai-pegawainya yang berdedikasi
di pejabat dan di lokasi
mendengar dan meneliti
bukan menghilang bila dijejaki.
Tempat lain bagaimana?(lenggok abang Jem di Sinar Pagi)
Sazalee Sulaiman ... 29/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
Renungan.
... kita sudah berusaha. Kita sudah melakukan yang terbaik mengikut landasan dan kadar keupayaan yang kita mampu. Namun! ... hasilnya; selalu dipandang sepi, tidak dapat memuaskan hati orang lainnya.
Kenapa? ... mengapakah mereka tidak berpuas hati lagi? Diibaratkan sudah mendapat betis mahukan pula paha.
Lumrah manusia! ... resamnya manusia. Memang selalunya tidak akan mudah berpuas hati dengan apa yang ada. Nafsu sentiasa mengungguli akal dan bicara tidak mengikuti minda. Selagi boleh, selagi mampu, mereka mahukan yang lebih daripada kita. Perah-memerah, tarah-menarah, ratah-meratah sehingga tiada apa lagi yang ada pada kita.
Luas terbentang sawahnya padi,
Padi malinja berwarna perang
Puas sudah kutanamnya budi,
Budi apa lagi diharap orang?
Renung-renungkanlah.
Sazalee Sulaiman ... 29/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
BERBEZA
Engkau
aku.
Dia
aku.
Aku
engkau.
Dua
berbeza
hijab
terjarak.
Pencipta
dicipta
akal
fikirkan
iman
tanya.
Qalam Bertinta
Klang
29102013
1037am
Halaman.
I: Halaman rumah orang
... aku jaga,
aku sapu daun-daun berguguran
aku ragut duri-duri tajam, berbisa
takut terpijak kaki tetamu
datang menziarah setiap waktu.
Terpelihara landskap
bersih, selesa
indah
mata mereka memandang.
Tanggungjawab jiran tetangga.
II: Halaman rumah aku
... aku sendiri yang jaga
bersendirian menyapu daun gugur
bersendirian meragut duri tajam, berbisa
takut tetamuku terluka kaki
datang mereka tidak tentu lagi.
Bersendiri memelihara landskap
agar bersih, agar selesa
agar indah
dipandang mata, semua.
Tak apalah!
Sazalee Sulaiman ... 29/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
Curhat
majlis tahunan
penyair nusantara
alih bahasa
Sazalee Sulaiman ... 28/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
Adat berdagang.
Pagi berdagang
tengari berdendang
menjelang petang
akupun terbang
pulang
ke sarang.
Sazalee Sulaiman ... 28/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
Satu suara
... sepi tak selamanya sunyi
sunyi tak selamanya sepi
lelaki tidak selamanya wanita
wanita tidak selamanya lelaki
bergabung satu suara
martabat bahasa
sastera.
Sazalee Sulaiman ... 28/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
DI MATAMU
Di matamu,
kulihat sinar
indah dan berkilau
redup dan memukau
Matamu,
bagai berbicara
ada rindu yang tersimpan
pada senyum dan harapan
ada hasrat yang terpendam
Mata kita,
biar menjadi satu
degup jantung menjadi laju
saat getar pun berlagu
rindu pun mengalir deras
dalam setiap hela nafas....
sue
28/10/13
Monday, 28 October 2013
Cerita teh-o ais kurang manis.
Gula naik rakyat menggila
darah naik gula menggila
gula-gula gila-menggila
digula-gula tidak menggila.
Kurangkan manis dalam minuman
tambahkan manis dalam senyuman
YB tersenyum menghulur salaman
rakyat tersenyum geli-geleman.
Orang kaya bertambah kaya
orang miskin bertambah kedana
ada cerita di dalam gula
ada kisah di sebalik gula-gula.
Oooo! ... sebab itulah teh-o ais naik harga.
Sazalee Sulaiman ... 28/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
50pp: Motivasi Pagi
Mulakan langkah hari ini
ia mampu membawa ke destinasi
usah berlengah lagi
bangkit majukan diri
jangan dipeduli orang yang memerhati
saat kepayahan tiada siapa yang akan hulur simpati
tinggal diri kita memikul beban sendiri
ayuh! saudara saudari
tetapkan matlamat yang tinggi
pasang strategi
bina kekuatan peribadi
tiba ke puncak prestasi.
CNM, 28/10/13, BBBangi.
Syair selepas hujan.
Mentari bersinar terik ke lembah
menyuluh alam dilanda bah
tangisan semalam bumi disimbah
arahan Tuhan harus disembah.
Mergastua riang di hati
turun ke bumi penuh di jeti
di pagi hari embun meniti
habuan disambar berkati-kati.
Itulah unik Allah yang Esa
dalam memberi ditunjukkan kuasa
kepada hamba-Nya dilimpahkan sentiasa
rezeki yang ada harus diperkasa.
Wahai manusia sedar dan bangun
kun fayakun bukan untuk dipegun
bersyukur sentiasa kemaskan anggun
gunakan akal di bara unggun.
Di bumi Allah tegakkan rukun.
Sazalee Sulaiman ... 28/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
Sunday, 27 October 2013
Selepas hujan
... bumi basah
jalan becak
alam berkotak.
Katak teriak
gema bersahut
berlagu riang.
Riang-riang menyahut
belalang merungut
sang perut berdenyut.
Malam jalang
minda berhutang
mata terpalang.
Bantal berdendang
di kamar usang
... bahtera tenggelam.
Sazalee Sulaiman ... 27/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
Hujan
... hujan di luar
hujan di hati
hujan di sana sini.
Kerana hujan aku pasrah
kerana hujan aku basah
kerana hujan aku gelisah.
Tanpa payung aku kehujanan
walau berpayung aku tetap kebasahan
dalam payung aku kelemasan.
Biarlah,
biarkanlah hujan
menenggelamkan hujan
air mataku.
Sazalee Sulaiman ... 27/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
SI KATAK ( kecindan )
Dalam pasu bungaku
si katak beradu
geli-geleman pula aku
keluarlah wahai katak Puru
aku nak siram pokok bungaku.
Terkejut aku di situ
bergegas keluar anak-anakku
terperanjat mendengar jeritanku
kutunjukkan katak di dalam pasu
apalagi...diketawakanlah aku.
"Hanya seekor katak Puru
Mami menjerit sekuat itu
ingatkan apa yang berlaku
katak...kecil je tu".
Itulah kata-kata anakku.
Bukan aku sengaja buat begitu
dah memang aku gelikan katak Puru.
ZIE 27/10/2013
WALAU MIMPI RETAK SERIBU
Walau mimpi retak seribu
sakit hati badan terasa
dendam terpendam memamah kalbu
bagai racun menambah bisa
Bila diri sudah mengerti
jangan dirawan diri sendiri
usah diturut rasanya hati
kelak sesal memakan diri.
Waktu luka pedih sekali
bagai nyilu tertusuk peniti
andai tertulis di dalam azali
suka duka silih berganti.
Andai hidup tiada berteman
sedih dan sayu rasa terkilan
andai diri bersandar iman
tabah selalu mengiring jalan.
Biar diri memberi maaf
takdir tersurat rela terima
bila sedar diri terkhilaf
usah diingat derita lama.
SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
24 Oct 2013
8.51 am
Subscribe to:
Posts (Atom)