koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Saturday, 31 August 2013
TANGISAN.
Tangisan seorang ayah
tangisan seorang suami
tiada siapa yang tahu
tiada siapa yang peduli
hanya mampu tersenyum
walau di hati duka
hanya mampu tersenyum
walau di hati terluka
hanya mampu tersenyum
walau di garisan wajah
jelas
menampakkan raut gelisah.
Tenggelam di lautan tabah
rebah di dalam gema; tangisan
hujan.
Sazalee Sulaiman ... 31/08/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
tak tertebus
wajah-wajah hiba
pewaris pejuang negara
tersiksa dalam reda
mengalir air mata
tak tertebus dek pingat negara
kerana hilang nyawa bukan sandiwara...
engkau yang berkata
kembalikan mereka pada anak isteri tercinta
jika tidak engkau penulis skrip perosak bangsa.
CNM, 31/8/13
MATA YANG BERCERITA
Kecewa terluka
mengapa harus
kausimpan kebencian itu
di kotak hatimu
yang kian menjadi dendam
tercalar hati
kian ketara.
Sandiwara demi sandiwara
yang kaulakonkan
di sebalik topeng senyummu
matamu sedang bercerita
tentang hitamnya hatimu.
Cahaya Laila
31 Ogos 2013
Klang Selangor
LAYAR RASA.
Rinai hujan di luar kabin tidak selebat hujan di dalam hati yang cuba aku selindungi, yang cuba aku selubungi. Gelombang ngeri ombak bergulung; tsunami, semakin lama semakin menghakis kesabaran hati semakin menggoyahkan bahteraku ini. Terombang ambing bersama sepi dan sunyi yang silih berganti di rinai hujan yang mula berbaki.
Penyu menangis siapa yang tahu, hati merintih siapa yang peduli. Tinggallah aku bersendiri di bahtera usang berkayuan cindai hati yang semakin mereput di tiang ampuh, layarannya runtuh.
... bersendirian
menakhodai bahtera hati
belayar bersama awak-awak
belayar bersama anak-anak
kapal, di suak teluk yang hampir mati
tiada yang mahu mengerti
tiada siapa yang mahu peduli
bahawa bintang yang menemani pelayaran
yang menyuluh hala tuju pelayaran
semakin malap kerdipan
suarnya.
Mata angin juga terhenti.
Sazalee Sulaiman ... 31/08/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
Gaul Jadi
kulekatkan api dapur gas
kuhangatkan kuali
kutuang minyak masak
kucampak ikan masin jeruk
kumasukkan cabai tumbuk
kucampurkan bawang besar
kutaburkan nasi putih
kugaul hingga sebati
kuhiasi dengan daun sup
pergh! wangi...
jadilah nasi goreng ikan masin.
CNM, 31/8/13
PANTUN DUKA
Pisang sesikat dibuat serawa
Siap terhidang habis dimakan
Pergilah sayang pergilah nyawa
Hidupmu bahagia aku doakan
Keliling tasek mendayung sampan
Mengirai sayap si burung undan
Putus kasih putuslah harapan
Bagai berkecai nyawa di badan
Burung kayangan si cenderawaseh
Buat tunggangan si dewa dewi
Apa diharap hati nan kaseh
Hanya permainan hidup duniawi
Kutanam serumpun akar pegaga
Tumbuhnya pula serumpun lalang
Hatiku kaseh sepenuh raga
Cantik juga dipandang orang
Memancing ikan di laut dalam
Ikan kupancing disambar helang
Apakah maksud mimpiku semalam
Cincin di jari permatanya hilang
Cahaya Laila
30 Ogos 2013
Klang Selangor
PROSA DUKA DI HATI.
... aku ingin lari dari pentas dunia ini, jauh agar tiada siapa yang mampu menjejaki; ketemui. Hati dan perasaan aku tiada siapa yang mahu ambil tahu dan tiada siapa yang mahu ambil peduli
merintih, menangis
aku ... .
tapi di mana, ke mana?
Aku masih di bangku ini, berteman hati yang remuk dan hancur.
Sazalee Sulaiman ... 31/08/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
Friday, 30 August 2013
Malam Merdeka
ramai teruna dara
berjanji setia
ingin bebas merdeka
membina bahagia
dengan mengadai mahkota
kesucian ibunda...
Ya Allah jauhkan bala.
CNM, 30/8/13
ANAK MERDEKA?
Malam merdeka
selepas ambang merdeka
layan bunga api merdeka
di dataran merdeka
sampah merdeka
muda-mudi rasa merdeka
bercengkerama sebebas merdeka
jangan nanti ada anak haram merdeka
di lahirkan selepas 9 bulan sambutan merdeka
kononnya merdeka
hotel budget buat promosi merdeka
harga murah sempena merdeka
bilik merdeka
maksiat pun merdeka
kerana jabatan agama menyambut merdeka.
Tersangatlah merdeka.
Sazalee Sulaiman ... 30/08/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
minda terjajah
ramai yang menggelupur
bila dikatakan mundur,
ramai yang menggeletik
bila dikatakan tak patriotik,
egonya!
sedang masih ada warga;
buang sampah dari kereta,
campak putung rokok bawa meja,
lagu negaraku terlupa senikata,
banyak lagi kalau nak catat semua
sesuaikah dengan 56 tahun merdeka?
tepuk dada buka minda
jangan nak sentap bila orang mengata...
CNM, 30/8/13
PANTUN BONDA
Menyemat kain dengan peniti
Kain samarenda pilihan hati
Dipakai tuan yang baik budi
Wahai bonda permata hati
Budi selaut tak dapat kuganti
Walau seluruh hidup kuabdi
Cendana sudah berbau wangi
Harum semerbak di pagi hari
Hingga sampai kekuala linggi
Kasih bonda bagai pelangi
Harum bak bunga kasturi
Lembut bagai bayu pagi
Kutanam selasih bersama lada
Terik mentari menitis keringat
Sambil memetik pucuk paku
Teman setiaku senyuman bonda
Katamu buatku pencetus semangat
Sabarmu adalah ketabahanku.
Cahaya Laila
30 Ogos 2013
Klang Selangor
satu soalan?
"Weh! ... mano demo tu, kijo ko?"
"Dak eh! ... gi tengok wayang"
:P
Sazalee Sulaiman ... 30/08/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
DALAM KELAT ADA MANISNYA.
Kuambil, kupicit
bergetah
melimpah ruah
bila kubogelkan tubuhnya.
... dan kujilat, kuratah
kelat yang tak sudah
kuludah jelantah
ke tanah.
Kuambil dan kupicit lagi
melimpah air jernih kali ini
manis sekali
di hati.
Kunikmati berkali-kali.
Sazalee Sulaiman ... 30/08/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
BICARA SENJA DI HATI.
Biar terluka di jari
dari terluka di hati
akan menjeruk diri
membawa mati.
Ya Allah
kuatkanlah hati hamba-Mu ini
amin.
Sazalee Sulaiman ... 30/08/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
Duhai Anak
kenangi orang tua
jangan sesekali memperdaya
kerana mereka berdua
lahir kamu ke dunia
mengenal huruf tulis baca...
kasihani orang tua
dari kecil kamu dijaga
berkorban apa saja
untuk lihat kamu berjaya
hidup bahagia...
hormati orang tua
sayangi mereka.
CNM, 30/8/13
Pra-Merdeka : Pasca-Merdeka
tiga era
masih meninggal duka;
Inggeris
datang mengikis
khazanah Tanah Melayu habis
anak bangsa terhiris
peritnya tak terlukis...
Jepun
membawa racun
menghancur sebuah tamadun
anak bangsa dibalun
sakitnya meruntun...
Komunis
memecah belah harmonis
masyarakat ditabur janji manis
propaganda kekerasan menguris
lukanya dalam tak terhakis...
jangan engkau lupa
bukan sedikit air mata.
MERDEKA!
telah terbina
negara tercinta;
Syukur
Dia menganugerah nur
pejuang-pejuang bangsa masyhur
sepakat mengatur
tuntut merdeka tanpa gugur...
Perpaduan
jadi asas kemerdekaan
bangsa menyatu atas satu tujuan
bebas merdeka dalam acuan
negara bangsa ke puncak kejayaan...
Bangunkan modal insan
satu kemestian bukan kemewahan
ia tunjang negara capai wawasan
jadi negara maju seperti perancangan
bebas merdeka dari segala penjajahan.
jangan engkau leka
mereka sentiasa mencuba.
CNM, 30/8/13
RASA HATI
bagaimana lagi untuk kita lari dari rasa ni
taman kasih ini kita bina sebentang angan yang tidak bertepi
menyiram rindu dengan titis cinta yang mula berputik mekar
semekar jalinan hati kita
dan kasih...kita mengerti maknanya
bawalah aku kekasih
belum puas aku menerokanya
~danhayati~
300813 12:45pm
KATA-KATA HIKMAH DI MUKABUKU.
...ambil isi jangan ambil kulitnya...kunyah di mulut kita jangan kunyah di mulut orang kerana yang telan nanti adalah kita bukannya orang lain, yang akan kenyang.
Sazalee Sulaiman ... 30/08/2013.
LAPANG, MELAPANGKAN DAN KELAPANGAN
Lapang
melapangkan
kelapangan.
Di mana masa lapangmu
apakah engkau melapangkan
dalam kelapanganmu
untuk engkau melapangkan
kelapangan yang lapang.
Qalam Bertinta
Klang
29082013
2205pm
Puisiku Sepi
puisiku sepi
di malam yang sunyi
entah kenapa jari jemari enggan menari
mungkin telah penat menanti
ilham yang tak kunjung kemari...
puisiku sepi
irama hati seakan terhenti
melodi sanubari seakan tak bernadi
mungkin telah lelah menanti
idea yang hilang tak ditemui...
CNM, 29/8/13
PANTUN PUSAKA BANGSA
Kemboja tanjung di tepi halaman,
harumnya sampai ke hujung desa;
pusaka bangsa pusaka berzaman,
kekalkan ia di sepanjang masa.
Menebang buluh hari selasa,
buluh dicantas dikerat-kerat;
pusaka bangsa madah berbisa,
banyak tersirat dari tersurat.
Lembayung jingga menjengah senja,
bulan tersenyum menampak diri;
pusaka bangsa bukan dipuja,
sekadar mengenal bangsa sendiri.
Teguh berdiri di tengah gelanggang,
keris di tangan tergenggam rapi;
pusaka bangsa terus diperjuang,
agar tidak dipandang sepi.
Gunung Tahan tinggi puncaknya
jangan mendaki di musim tengkujuh
laluannya licin mengundang geruh
pusaka bangsa pusaka budaya
membina semangat kuat dan teguh
membadai musuh yang datang mencemuh.
Qalam Bertinta
Klang
29082013
2247pm
TANAH AIR TERCINTA
Ini tanah air tercinta
merdekalah ke puncak jaya
mengenggam sejuta cita
menyemaraklah jiwa bangsa.
Ini tanah airku
rakyat hidup biar bersatu
membina negara maju
memperkayakan khazanah ilmu.
Bila mengenang keperitan
usah lagi jadi tawanan
kita wajar seiring sejalan
membentuk perpaduan
menghindar dari penjajahan.
Waktu menjadi saksi sejarah
sengsara hidup dihenyak penjajah
betapa kejam pertumpahan darah
keringat pahlawan jenuh diperah
tidak undur pantang menyerah.
Dalam kedamaian ini
hasrat petualang biar di kebumi
tanah ibunda milik abadi
jangan terhasut ingin dikhianati.
Merdeka
merdekalah
sejahtera itu menjadi milik kita.
SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
19 Ogos 2013
Thursday, 29 August 2013
MEMANAH ILUSI
Kiasnya mengolah sangsi
sisipan kaca menghiris sendi
lemparan janji memaku benci
mimpi itu singgah sesekali
cagaran lenyap tak berpaksi.
Kiasnya memanah ilusi.
~AE/290813~
SUKA DUKA
Cinta
taman rasa
mencari makna
warna bahagia
Kecewa
laman keliru
cemburu memburu
kehilangan restu
Suka duka’
warna hidup
senyum tangis
kembara dalam rahsia.
SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
29 Ogos 2013
6.40pm
MALAM RINDU BERSATU.
Telah terukir cindai bahtera
kisah cinta kita berdua
menenun kasih di lembah asmara
meniti malam bayang gelita.
Kisah cinta engkau dan aku
berkepit kalbu padu nawaitu
di hamparan resah kuala sembilu
di muara rindu kita bersatu.
Malam ini malam engkau dan aku.
Sazalee Sulaiman ... 29/08/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
MIMPI BUKAN ILUSI.
Kutinggalkan semalam
menyelusuri hari ini
antara esok
di dalam pencarian mimpi
bukan ilusi.
Mungkinkah?
Sazalee Sulaiman ... 29/08/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
KENANGAN ITU
Dulu
aku hidup dalam kenangan
sekarang
aku juga mampu hidup dalam kenangan
untuk esok
untuk selamanya
aku juga mampu mati dalam kenangan
kerana mungkin aku telah ditakdirkan
hanya untuk memiliki semua kenangan itu
:biar menyakit dan melukakan
kenangan itu tetap milikku
Qalam Bertinta
Klang
28082013
0013am
Wednesday, 28 August 2013
Bingkisan Akhir V
setelah kupacak nesan
tanda kukuburkan jiwa lara
tiada lagi ruang yang pernah kauhuni di hati
ia jadi suci bersih tenang dengan izin Ilahi
usah engkau datang menagih kembali
kerana cukuplah hanya sekali
hati ini disakiti...
jadikan perpisahan ini
perpisahan yang kaunanti
biarkan kusendiri.
CNM, 28/8/13
MEMORI INDAH.
Girang
di anak tangga
termenung
dalam merenung
semalam
berseorangan
tersenyum
ceria.
Sazalee Sulaiman ... 28/08/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
Bingkisan Akhir IV
telahpun meruap air mata
jadi pelangi di dada angkasa
walau senyuman mampu kuperaga
cinta teraniaya menyesak ke dada
begitu sukar melupa sandiwara yang engkau cipta
namun cintaku kepada-Nya mengatasi segala...
akan kukuburkan jiwa yang tersiksa
dan kujadikan kisah kita sebagai nesannya.
CNM, 28/8/13
Bingkisan Akhir II
kutuliskan
warkah akhir ini
dengan titisan air mata
tatkala engkau membaca
ia telah mengering dari tubir duka
dan mudahan tiada lagi tumpahan kecewa
membasahi helaian-helaian sejarah cinta
yang engkau tamatkan dengan leraian janji yang kaubina...
kutintakan air mata
tanda nokhtah antara kita.
CNM, 28/8/13
Bingkisan Akhir III
cinta
yang engkau nokhtahkan
tiada lagi peruntukan air mata
biar kusendirian menongkat janji dibina
dan engkau bebas mengejar cinta
andai tidak kautemui yang didamba
itu bermakna tiada lagi aku di dunia
mempertahan cinta yang engkau aniaya...
CNM, 28/8/13
MAMPUKAH AKU?
Cuba kuundurkan waktu semalam
agar hari ini akan terhenti
untuk aku membasuh setiap dosa
di dalam setiap sujud dan doaku
dengan airmata keinsafan.
Cuba kutulis kembali
pada hari ini
cerita tentang semalamku
yang buku catatannya
telah dipenuhi dengan noda
agar untuk hari ini dan seterusnya
tinta hitamnya
akan kembali memutih
dalam limpahan nur keimanan
...mampukah aku?
Qalam Bertinta
Klang
28082013
1021am
MAMBANG.
Citra malam mula berwarna
di bawah alis layu menggoda
ketiak masam tiada dikira
poket kembong itu hajatnya
yang jauh didekat-dekatkan
yang dekat kita rapat-rapatkan
yang penting dapat berkenalan
tak hensom tiada halangan
janji abang ada wang.
Aduhai, mambang.
Sazalee Sulaiman ... 28/08/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
Tuesday, 27 August 2013
ADA TAK ADA.
Ada tak ada
yang pentingnya kita bahagia.
Ada tak ada
yang penting kita gembira.
Ada tak ada
yang penting kita berkarya.
Ada tak ada
yang penting kita yang punya.
Ada tak ada
yang penting kita tak plagiat karya.
Ada tak ada
yang penting kita semua saudara.
Ada tak ada
yang sombong kita tinggalkan sahaja.
Ada tak ada
yang penting kita tak seperti mereka.
Sazalee Sulaiman ... 27/08/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
di sini
aku;
larikkan kata
zahirkan bicara
lontarkan suara
dalam rencam nada,
dari luahan cinta
membangkit persoalan di minda
sindiran tajam menusuk sukma
kugaul menjadi ramuan karya...
nikmatilah jika bermakna.
CNM, 27/8/13
gah pada nama!
pada nama
gah di kuping telinga
engkau dipandang mulia
taraf khutub khanah negara
tapi adakah bermakna?
jika tiada usaha
memperbaiki yang sedia ada
tambah baik nilaian berganda
membukti nama itu selayak engkau punya...
CNM, 27/8/13
SATU DARI TIGA.
Kuintai senja
di sebalik jendela jiwa
sepi berperca - sunyi berkaca
hati terasa, menjerut dada
berkampung jingga
membara
di belikat tubuh sakit masih terasa
amarah minda.
Sazalee Sulaiman ... 27/08/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
MADAH RINGKAS.
Lain padang lain belalangnya
lain orang lain pengertian kemerdekaannya
bersyukur itulah yang sebaik-baiknya.
Allah memberi Allah juga mampu menariknya kembali
usahlah angkuh tidak mensyukuri nikmat diberi
pertahankannya itu yang pasti.
Ini hanya pandangan peribadi.
Sazalee Sulaiman ... 27/08/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
SATU DALAM SEJUTA (Puisi ingatan buat allahyarham RHD)
Aku kembali ke daerah ingatan
dan di waktu langkahku yang masih bertatih
engkau hulurkan tanganmu
membimbing dan menunjukkan arah tujuku
untuk aku kenali akan setiap lorong
lorong yang katamu
akan membawa aku ke suatu aras
aras yang meletakkan aku
pada duniaku sendiri.
Ingatan itu masih ada
dan biarpun dalam musim yang berubah
ingatan itu akan sentiasa ada
itu aku pasti
kerana engkau adalah satu dalam sejuta
yang mempamerkan keikhlasan hati
juga ketulusan budi
dalam menghulur dan memberi
tanpa nama besarmu yang membatasi.
Aku akan sentiasa berada di daerah ini
daerah yang mempertemukan kita
biar cuma di gerbang maya
namun itu bukanlah tembok pemisah
untuk aku melupakanmu
kerana engkau
adalah satu dalam sejuta.
Al-fatehah buatmu
moga damai di sisi Penciptamu.
Qalam Bertinta
Klang
27082013
0909am
DI TANAH INI ADA SEMANGAT YANG KITA GEMBURKAN
Di tanah ini ada semangat yang telah lama kukumpulkan
juga semangat yang kugemburkan pada tiap keringatku yang tumpah
untuk aku terus menanam pohon-pohon juang dalam baja kudrat
agar tanah ini akan dapat kupertahankan demi warisan zuriatku dan zuriatmu
biar mereka mengerti akan kesucian dan keharuman tanah warisan bangsa ini
dan dipertahankan biarpun darah jadi cagaran dan nyawanya yang jadi taruhan
kerana tanah ini tanah berdaulat dan punya tuan yang mampu menyusun batas-batasnya
untuk menanam semangat cintakannya dari generasi berturun-temurun tanpa usai
juga tanpa sesiapa yang mampu menafikannya bahawa tanah ini adalah tanah bangsa.
Ayuh, bangunlah wahai generasiku dari lamunan dan khayalan ciptaan asing
janganlah lagi kalian lena dalam mimpi yang asyik sedangkan matamu celik membuntang
bangunkanlah budaya dan adab yang menunjang bangsa ini di persada alam
bangunlah dengan minda segar untuk mencincang budaya penjajah yang menyumbang sumbang
dan bangunlah dengan semangat kenegaraan yang jitu dan jatidiri yang menggunung tinggi
untuk kalian sentiasa sedia berdiri di perbatasan juang membadai musuh yang cuba mencipta bangsa boneka di tanah leluhur ini.
Ayuh generasiku, ayuh
kalianlah harapan kami generasi tua yang semakin kecundang dengan kudrat yang membatas gerak
bangunkanlah kembali tanah leluhur ini dengan acuan bangsa yang pernah dibina dengan gemilang
warnaikanlah kembali susila diri dalam adab ketimuran yang menjulang bangsa ini ke dunia peradaban
pun tanah ini punya bangsa yang peradabannya dicemburui kerana ketinggian pekertinya
juga di tanah ini kita akan terus bermukim berganti waris hingga ke penghujung janji-Nya
kerana tanah ini tanah kita dan dengan kesucian serta keharumannya yang masih menebar di jiwa
akan terus kita pertahankan tanpa kompromi pada mereka yang cuba menelanjanginya
juga di tanah ini telah bersemadinya semangat yang kini kita gemburkan kembali
untuk kita terus menjadi tuan di sini
di tanah air tercinta ini.
Qalam Bertinta
Klang
27082013
1045am
MENANTI HADIRMU
Bagai sang mentari...
sinarannya dinanti
begitu jua
saat kumenanti hadirmu.
Rindu ini sering bertamu...
saat berada di kejauhan
saat bicaramu seketika cuma.
Hadirmu undang bahagia...
hadirmu undang ceria...
kutahu, kaujua begitu
menanti hadirku.
~ Tiada jemu kumenanti hadirmu ~
ZIE 27/08/2013
ERTI KEMERDEKAAN BUATKU.
Walau bernisbah satu
dari sekala sepuluh
dalam menikmati
dalam mewartakan
dalam memaknai
dalam mencerahkan
erti kemerdekaan
pada diriku
yang dapat aku nyatakan
bila persoalan diaju
tentang erti sebenar kemerdekaan
dari sisi pandangan mataku
dan selagi aku mampu bersyukur
di dalam doa-doa harianku
munajatku
kehadrat Ilahi
yang memberikan aku kebebasan
melata di bumi tercinta ini
mencari rezeki
menyara anak dan isteri
keluargaku
itu sudah memadai
untuk aku nyatakan
di sini
bahawasanya aku amat berbangga
menjadi anak Malaysia
yang merdeka.
Aku bersyukur Ya Allah.
Sazalee Sulaiman ... 27/08/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
~ Kini ~
Di merata ruang terbuka
ramai yang menjaja lurah
di merata penjuru tersembunyi
pedagang haram kian lasak berniaga ghairah
bercambahlah jantan betina membinatang olah
Mata-mata seragam biru dilutu caci
kanun terakta bagaikan seri pewangi
panglima dan hulubalang terpilih kini
terus bercakaran sesama sendiri
mercun dan senjata api
menjadi tajuk utama persidangan kedai kopi
Kini
mungkinkah mahkamah perlu berfungsi
di siang dan juga di malam hari.
~msa: 260813 sk443 Temerloh ~
Sajak: ILHAM MERDEKA.
Telah bertitik
tanggal 31 Ogos 57
laungan keramat kemerdekaan
bergema megah
di jagatraya
seluruh pelusuk Tanah Melayu
menjadi saksi
merdekanya kita
berpaksi.
Anak-anak bangsa
tua dan muda
lelaki dan wanita
melayu, cina, india
dan kaum yang lainnya
bersatu
berdiri megah
melaungkan ...
MERDEKA.
Gegak gempita angkasa raya
tempikan nyaring pejuang nusa
tergalas rapi di bahu bangsa
gembira
dan bertemasya
berbangga
hilangnya penjajah
hilangnya penjarah
hilangnya
pengkhanat bangsa
di bumi bertuah
di bumi tercinta
kita semua
laungkan ...
MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA.
Terima kasih Allah.
Sazalee Sulaiman ... 27/08/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
PANTUN KEJIRANAN
Si dara bersimpuh menyulam tekat
buat teruna jadi bekalan
jiran baik membawa berkat
hidup bermuafakat jadikan amalan.
Petang hari duduk di bendang
melihat murai terbang berkawan
tidak sempurna iman seseorang
jika jiran dijadikan lawan.
Jangan mudah berputus asa
hingga termenung berduka lara
jiran berbudi kita berbahasa
barulah hidup aman sejahtera.
Biar di desa mahupun di kota
amalkan kerja berganding bahu
jangan kerana kemewahan kita
jiran berlapar buat tak tahu.
Qalam Bertinta
Klang
26082013
2137pm
Sumbang
yang cemerlang selalu dijulang
yang cemerlang selalu jadi bualan
tanpa sedar kita sebenarnya sumbang
membiarkan yang lemah terus kecundang
membiarkan yang lemah lemas tanpa haluan
benarkah kita warga pembina modal insan?...
CNM, 26/8/13
bingkisan akhir
jangan engkau basahkan
bingkisan akhir ini dengan air mata
aku percaya setelah selesai engkau membaca
telah jauh aku dari hatimu yang tega
pergiku bukan dengan rela
undur diriku atas keterpaksa
berbahagialah kuutus doa
kerana hati ini tak mungkin ada sesiapa...
CNM, 26/8/13
Monday, 26 August 2013
50pp: Bugar Minda
...begitu mudah kata dilontar, melaksana belum tentu mencapai sasar, ia boleh jadi menyasar, hati-hati jika melakar dasar, memurnikannya tentu sukar, hanya dengan perancangan penuh sabar, mungkin ia di landasan benar, yang tegar semangatnya tak akan pudar, sentiasa mencari jalan menyinar, mindanya berlegar, bagai fikir sang pakar, menjana dasar yang mengegar...
CNM, 26/8/13
ALTAR KASIH.
Sayang
inginku dakap batang tubuhmu
namun tercapai tiada upayaku
hanya doa di angin lalu
kubingkis setia kesejahteraan kamu
walau jauhnya beribu batu
sesaat menghilang tiada kubiarkan
hanyalah kamu kesayangan aku
bertahta teguh bersemayam ampuh
di altar kasih
... terukir namamu.
Rindu merindu engkau dan aku.
Sazalee Sulaiman ... 26/08/2013
Nilai, Negeri Sembilan.
KESUSASTERAAN DAN KITA. pada 26hb Ogos 2013 pukul 3.23 ptg
Dunia sastera telah bertapak lama sebelum mula diperkembangkan di tanah air kita Malaysia. Awalan dunia kesusasteraan tercipta sebelum tahun 1800 Masehi. Sastera awal adalah berbentuk Sastera Tradisional (Klasik dan Lama).
Contoh Sastera Tradisional yang amat dekat dengan kita adalah kisah dari Penglipur Lara. Penglipur membawa maksud penghibur, manakala Lara pula bermaksud duka atau kesedihan hati. Daripada cantuman dua kata ‘Penglipur’ dan ‘Lara’ membawa pengertian cerita yang menghiburkan orang dalam kesedihan atau dukacita.
Cerita Penglipur lara dikenali juga sebagai ‘folklore’. R.O Winstedt menamakan penglipur Lara sebagai roman rakyat (flok ramances). Cerita Penglipur Lara ialah cerita-cerita roman yang mengandungi unsur “adventure”. Biasanya cerita berlegar di sekitar golongan istana atau golongan-golongan putera-puteri, cerita raja dengan segala gambaran keindahan, kemewahan, kesaktian serta kejadian-kejadian yang luar biasa (“supernatural”).
a: CIRI-CIRI CERITA PENGLIPUR LARA
Cerita penglipur lara yang kita dapati melalui kajian terbahagi kepada tiga bahagian. Di mana ciri-ciri ini dilihat dari segi tema, malah cerita penglipur lara ini juga berpusat di kalangan putera-puteri Raja serta cerita ini mempunyai ciri-ciri berbentuk prosa dengan selingan puisi.
b: DUNIA SASTERA
Dunia sastera telah melalui proses permantapan dari zaman ke zaman iaitu tiga zaman yang pernah dicatatkan di dalam sejarah sastera iaitu:
1) Zaman lisan/purba
Puisi (Milik Melayu asli):
Pantun/talibun
Bahasa berirama
Perbilangan adat Perpatih
Rangkait
Ungkapan
Dendangan
Teka-teki
Bahasa kiasan
Nyanyian kanak-kanak
Prosa:
Cerita rakyat (asal usul, binatang, jenaka, lipur lara, hantu)
Mitos
Legenda
Teladan
Hikayat
Panji
Epik
Adat istiadat
2) Zaman pengaruh Hindu/India/Sanskrit/Budha
Puisi:
Seloka
Gurindam
Jampi mentera
Prosa:
Hikayat
Panji
Epik
Ketatanegaraan
3) Zaman pengaruh Arab/Islam/Jawi
Puisi:
Syair
Nasyid
Nazam
Ratib
Masnawi
Rubai
Qitah
Teromba
Prosa:
Undang-undang
Ketatanegaraan
Adat istiadat
Hikayat
Agama
Kitab
Epik
Panji
Sejarah.
c: PENELITIAN SEJARAH SASTERA TANAH AIR KITA:
Penelitian terhadap perkembangan kesusasteraan Melayu moden dari tahun 1970 hingga 1979 telah diselidiki dan dibincangkan dalam Kolokium Kesusasteraan Melayu Moden III anjuran Bahagian Kesusasteraan Moden, pada 21 hingga 23 Oktober 1999. Hasil kolokium itu, sebanyak 21 kertas kajian telah dibincangkan dan dikumpulkan dan dijadikan buku dengan judul Kesusasteraan Melayu Moden 1970 – 1979.
Makalah pertama yang mengisi buku ini adalah tulisan Baha Zain, yang berjudul “Kesusasteraan Melayu Moden 1970 – 1979 Satu Ziarah dan Renungan”. Hamzah Hamdani menulis tentang Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dalam peranannya menghidupkan dan menggerakkan organisasi pengarang di Malaysia. Sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada perkembangan kesusasteraan Melayu sepanjang 10 tahun ini dibicarakan oleh Zalila Sharif dan Zulkeply Mohamad.
d: SASTERA DAN KITA:
Sastera bukan suatu yang sia-sia, seperti dakwaan segelintir kita. Junjungan mulia Nabi Muhammad SAW juga amat menggemari sastera zaman Baginda, dan Baginda pernah meminta supaya ia diperdengarkan. Saidina Umar al-Khattab pernah menyebut : Syair itu ilmu suatu kaum, tidak ada suatu ilmu yang lebih benar daripadanya. Tatkala Umar menasihati anaknya, Abd Rahman beliau berkata: Peliharalah kecantikan syair, maka ia akan memperbanyak peradabanmu.
Jadi tanyalah kepada diri kita sendiri mahukah kita mempelajari apa itu sastera bukan sahaja dengan menulis apa yang kita katakan puisi dan sebagainya tanpa mahu mengambil tahu tentang gaya bahasa, personafikasi, anafora apatah lagi nilai-nilai estetika yang harus terhasil di dalam sesebuah karya.
Sekiranya jawapannya YA, maka marilah kita belajar selok belok maksud SASTERA itu sendiri. Dan dalam belajar kita haruslah berguru kerana seelok-eloknya pula pelajaran tanpa berguru tiadalah berkembang ilmunya.
Carilah guru yang dapat membimbing kita cara-cara dan bagaimana untuk memahami sesebuah karya dan berkarya. Manakala sebaik-baik guru pula adalah yang sudi berbahagi ilmu, memberi saranan-saranan yang mantap dan tidak memperlekehkan anak murid apatah lagi pengkarya yang baru mula berjinak di dalam dunia kesusasteraan tanah air kita.
Renungkanlah.
Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
26/08/2013
jam 1515 petang.
Subscribe to:
Posts (Atom)