koleksi puisi garapan sazalee sulaiman dan teman-teman bertujuan untuk menghimpun puisi-puisi pemuisi kecil-kecilan agar tidak hilang begitu sahaja ditelan waktu. Perkongsian nukilan garapan amat dialu-alukan. Jika ingin berkongsi karya yang dipetik pastikan ada nama penulis asal dinyatakan jika tidak ianya melanggar akta plagiat dan anda boleh diambil tindakan susulan.
Tuesday, 27 August 2013
DI TANAH INI ADA SEMANGAT YANG KITA GEMBURKAN
Di tanah ini ada semangat yang telah lama kukumpulkan
juga semangat yang kugemburkan pada tiap keringatku yang tumpah
untuk aku terus menanam pohon-pohon juang dalam baja kudrat
agar tanah ini akan dapat kupertahankan demi warisan zuriatku dan zuriatmu
biar mereka mengerti akan kesucian dan keharuman tanah warisan bangsa ini
dan dipertahankan biarpun darah jadi cagaran dan nyawanya yang jadi taruhan
kerana tanah ini tanah berdaulat dan punya tuan yang mampu menyusun batas-batasnya
untuk menanam semangat cintakannya dari generasi berturun-temurun tanpa usai
juga tanpa sesiapa yang mampu menafikannya bahawa tanah ini adalah tanah bangsa.
Ayuh, bangunlah wahai generasiku dari lamunan dan khayalan ciptaan asing
janganlah lagi kalian lena dalam mimpi yang asyik sedangkan matamu celik membuntang
bangunkanlah budaya dan adab yang menunjang bangsa ini di persada alam
bangunlah dengan minda segar untuk mencincang budaya penjajah yang menyumbang sumbang
dan bangunlah dengan semangat kenegaraan yang jitu dan jatidiri yang menggunung tinggi
untuk kalian sentiasa sedia berdiri di perbatasan juang membadai musuh yang cuba mencipta bangsa boneka di tanah leluhur ini.
Ayuh generasiku, ayuh
kalianlah harapan kami generasi tua yang semakin kecundang dengan kudrat yang membatas gerak
bangunkanlah kembali tanah leluhur ini dengan acuan bangsa yang pernah dibina dengan gemilang
warnaikanlah kembali susila diri dalam adab ketimuran yang menjulang bangsa ini ke dunia peradaban
pun tanah ini punya bangsa yang peradabannya dicemburui kerana ketinggian pekertinya
juga di tanah ini kita akan terus bermukim berganti waris hingga ke penghujung janji-Nya
kerana tanah ini tanah kita dan dengan kesucian serta keharumannya yang masih menebar di jiwa
akan terus kita pertahankan tanpa kompromi pada mereka yang cuba menelanjanginya
juga di tanah ini telah bersemadinya semangat yang kini kita gemburkan kembali
untuk kita terus menjadi tuan di sini
di tanah air tercinta ini.
Qalam Bertinta
Klang
27082013
1045am
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment