Monday, 30 June 2014

PUASA ANAK DAHULU DAN SEKARANG


Dulu
masa sekolah rendah
tahun 80, 81 dan 82
bekal belanja hanya 30 sen
kerana kedaifan keluarga
berpendapatan kecil.

Sebagai anak kecil
ada masa dan ketikanya
melihat kawan-kawan sebaya
berbelanja
bawa pulang air botol
hati amat terasa.

Namun itu bukan alasannya
untuk aku tidak merasa.

Aku masih ingat lagi
kerana ingin merasai kenikmatannya
seperti budak-budak lain
sanggup aku ke belakang kantin setiap hari
mengutip tudung botol
untuk mendapatkan getah di bawah tudungnya.

Untung sabut timbul
untung batu tenggelam
kalau bernasib baik dapatlah aku
getah yang bergambar
bila dihimpun dapat menukar
sebotol air minuman seperti tertera.

Ya! ... kerana kedaifan keluarga
aku harus rajin berusaha untuk merasai nikmat
seperti budak-budak yang lain.

Engkau ada kenangan seumpamanya?

Tapi sekarang
aku lihat anak-anakku sendiri
walau 3 ringgit
perbelanjaan sekolah seorang
masih tidak cukup
masih meminta wang untuk ke bazar Ramadan.

Tidak mahukah mereka berusaha
seperti aku dulu
berusaha untuk mendapatkan apa yang aku mahu
tanpa mahu menyusahkan kedua orang tuaku
berusaha
untuk mendapatkan apa yang dihajati.

Entahlah?
Mungkin fikiran anak-anak zaman sekarang
terlalu lemah, tiada sifat ingin berusaha
tiada daya imaginasi
untuk memperkembangkan jalan
mendapat apa dihajat.

Ah! Kalaulah dapat aku pulang ke zaman dahulu
akan aku tunjukkan kepada mereka;
cara-caranya.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
30/06/2014.

No comments:

Post a Comment